Tuesday, August 13, 2013

Dxing malam raya ke-6 : Bonaire Island 599.

Agak lama jugak kawan tidak DX, iaitu hampir sebulan lebih. Sepanjang ramadhan, langsung kawan tidak DX, tetapi hanya menyertai contest sahaja. Antara contest dengan dx ianya amat berbeza sekali. Semasa contest, band agak penuh dan penuh dengan tekanan, manakala DX pula aktivitinya lebih santai dan sesuai untuk melepaskan tekanan. Dua aktiviti yang berbeza. Satu dengan tekanan dan satu lagi tanpa tekanan. Walau bagaimanapun, kedua-duanya seronok dan penuh dengan kejutan.

sebelum kemas

Malam tadi kawan melakukan aktiviti DX setelah lama tidak ke udara. Selepas selesai segala tugasan dan urusan, kawan menjenguk kembali bilik radio. Sebelum aktiviti DX dijalankan, bilik radio perlu dikemaskan terlebih dahulu. Segala habuk dibersihkan dan segala peralatan disusun semula ke tempat asal. Semasa bulan ramadhan tempohari, kawan rasa agak malas juga untuk mengemas, mungkin kerana ingin menjimatkan tenaga kot...apapun sebenarnya itu hanyalah sebagai alasan, sedangkan Nabi Muhammad SAW sendiri pun berperang dalam bulan Ramadhan, inikan pula kita...hehe

selepas kemas
Setelah aktiviti mengemas selesai...barulah jiwa tenang sikit, kalau tidak semak perut dibuatnya. Kawan tidak suka berada dalam persekitaran yang berselerak, rimas dibuatnya. Sebelum memulakan apa-apa aktiviti, kawan akan pastikan yang keadaan tenang dan selesa dahulu. Barulah jiwa tu enjoy dan tenang semasa DX ataupun melakukan aktiviti yang lain seperti layan gitar dan elektronik repairing.

Malam tadi band cantik. Band 20m pun cantik, band 15m pun cantik. Kedua-duanya membuka dengan senyap dan steady saja. Sepintas lalu kawan monitor, kedengaran stesen dari Myanmar sedang pileup, iaitu XZ1Z. Pada masa tu mereka di 20m, 14.250 dan main split, up 10khz iaitu moni di 14.260. Memang terbaik stesen tu. Berduyun-duyun stesen Eropah masuk, dah macam zoo bunyi dia. Tetapi kawan respek kat dia, XZ1Z sebab kedengaran dia relax saja layan pile-up dan berjaya menguruskan pile-up dari EU tu dengan sukses sekali. Tahniah diucapkan.

Oleh kerana band 20m sudah banyak frequency yang diduduki, maka kawan mengambil keputusan untuk mencuba nasib di 15m. Setelah hampir 15 minit monitor di setiap khz. "Band ni terbaik"...kata kawan didalam hati. "Boleh try malam ni"...sekali lagi kawan berkata di dalam hati.


Akhirnya frequency 21022.5 mhz menjadi pilihan kawan untuk beraksi pada malam ni memandangkan hanya frequency itu sahaja yang tidak diduduki. Peluang ini kawan tidak melepaskannya, cepat-cepat kawan CQ disitu. Memang terbaiklah malam ni. Hanya selepas satu pusingan CQ sahaja, panggilan CQ kawan disahut oleh stesen dari Crotia iaitu 9A1FVW. Signalnya pula sangat kuat dan jelas. 599 plus plus. Maka selepas itu, kawan pun pile-uplah dari stesen Eropah. 

Namun didalam timbunan callsign-callsign yang masuk itu, terselit pula sebuah stesen dari Kepulauan Bonaire, di Lautan Caribean iaitu PJ4NX. Kuat signal dia. Apabila kawan meneliti QRZ.com mereka. Patut pun cantik signal dia, 9 element Optibeam ( 20m-10m). Tetapi kawan berbangga juga...sebab pada masa tu, kawan hanya menggunakan G5RV Jr saja. Saja guna G5RV sebab lama tak panaskan dia.


Ini bermakna, signal kawan dengan kekuatan 100 watt ini telah pergi sejauh 21762 km. Jauh tu...apa-apa pun kawan disini ingin mengucapkan terima kasih kepada PJ4NX op Tim Beaumont MØURX   kerana sudi check in dalam CQ DX kawan. 


Malam tadi kawan hanya guna antenna wayar sahaja, iaitu G5RV Jr. Hasil sejam pileup di 15 meter band. Kawan berjaya mengutip 61 stesen dengan 25 DXCC. Ok dah tu untuk malam ni. Siap dapat bonus lagi, iaitu PJ4NX dari Benua Amerika Selatan. Mana nak cari...memandangkan kita masih lagi dalam mode raya. Tetapi DX tetap dijalankan juga...hehe...raya raya jugak, dx tetap dx jugak. Malam esok, Rabu...maka satu lagi aktiviti DX akan berlangsung, 9M4CJB pula akan ke udara seperti kelazimannya sejak dua tahun kebelakangan ini. 


Selamat Hari Raya Maaf Zahir & Batin. 73 de 9m2zak.

Monday, July 29, 2013

Berani mencuba, sikap yang terpuji

“ Orang yang cemerlang sebenarnya bukanlah orang yang melakukan sesuatu perkara berlainan daripada orang lain, tetapi melakukan sesuatu perkara itu dengan cara yang berlainan daripada orang lain”

Orang yang berani mencuba ialah orang yang mengamalkan sikap menjaga maruah diri, tidak suka meminta-minta, dan berusaha sendiri untuk mencapai matlamat yang diingini. Keinginan untuk mencuba bukanlah bererti seseorang itu ingin membuat sesuatu yang lebih baik daripada orang lain tetapi sebenarnya beliau ingin mencuba menghasilkan sesuatu yang terbaik mengikut kemampuan yang ada pada dirinya, dengan dibimbing dan didorong oleh rakan-rakan sekeliling. Sifat ini perlu ada dalam diri kita warga radio amatur. Kejayaan dari hasil percubaannya itu boleh meningkatkan keyakinan dirinya dan seterusnya boleh memberi sumbangan ke arah peningkatan kemahiran dalam bidang ini.


Bang Salehan 9W2SBD
Sifat ini kawan nampak ada di dalam diri beberapa warga radio amatur di tanahair kita. Dimana mereka yakin dengan diri sendiri, berani mencuba dan sentiasa berfikiran positif, tahniah diucapkan kepada Bang Salehan, 9W2SBD yang berani membuat beberapa percubaan. Pelbagai eksperimen beliau lakukan di dalam hobi ini, selain daripada percubaan 100 DXCC dengan QRP, sekarang timbul pula percubaan untuk menghasilkan 3 element delta loop untuk band 10 meter. 


Walaupun sebelum ini pelbagai dugaan yang datang melanda, namun semua perkara itu tidak menjadi halangan untuk beliau meneruskan aktiviti radionya. Syabas dan tahniah kawan ucapkan…disini kawan doakan agar segala perancangan dan projek bang Salehan akan berjaya dengan suksesnya. Sehubungan dengan itu, dari arah selatan ini, iaitu lebih kurang 800 kilometer jauhnya ke utara semenanjung Malaysia, kawan hanya mampu membantu  dan menyokong dengan menghadiahkan penulisan ini agar projek bang Salehan berjaya seadanya. 


Pepatah melayu ada berkata, mata pena lebih tajam dari mata pedang…itu dahulu, tetapi jika kita adaptasikannya, maka ia akan menjadi… Sebaris ayat ditaip di komputer, seribu semangat akan dijananya…Jadi disini mari kita renungkan cerita yang bakal kawan ceritakan ini….ceritanya begini:

 

“ Setelah selesai Columbus meneroka  benua Amerika, beliau belayar pulang ke negaranya dan menceritakan pengalaman serta kejayaannya itu kepada masyarakat Eropah. Walaupun ramai yang kagum dan berasa bangga dengan kejayaannya itu, namun terdapat sekumpulan orang ternama yang tidak mengiktiraf kejayaan beliau. Mereka mengatakan bahawa penemuan Columbus itu itu bukanlah sesuatu yang luar biasa dan malah…semua orang boleh melakukannya.

          Columbus tidak berkecil hati dengan sikap yang ditunjukkan oleh golongan tersebut. Beliau sedar bahawa terdapat segelintir manusia di dunia ini yang mempunyai perasaan hasad dengki apabila melihat kemajuan dan kejayaan orang lain. Untuk meraikan kejayaannya itu, Columbus mengadakan satu majlis makan malam dan turut menjemput golongan ternama. Dalam majlis itu, Columbus berkata: “Adakah ada di antara tuan-tuan dan puan-puan yang dapat menegakkan telur ayam ini di atas meja?” Namun, tiada seorang pun di kalangan hadirin yang hadir itu sanggup melakukannya.

            Memandangkan tiada seorang pun yang berani menyahut cabaran itu, Columbus pun berkata: “Baiklah, saya dapat melakukannya.” Kemudian, beliau memecahkan sedikit pada hujung telur itu dan meletakkannya di atas meja pada hujung telur yang pecah itu.Telur itu pun berdiri dengan tegak dan tidak bergolek.


            Melihat betapa senangnya Columbus menyelesaikan masalah tersebut, salah seorang daripada golongan ternama yang tidak mengiktiraf kejayaan Columbus itu pun berkata: “Ahh, kalau cuma begitu saja caranya, semua orang disini pun boleh buat juga.” Columbus tersenyum mendengar sindirin orang ternama tersebut, lalu beliau pun berkata: “ Demikianlah juga apabila saya menjadi orang Eropah pertama yang berjaya meneroka Benua Amerika, sebelum ini tiada sesiapa pun yang berani melakukannya, pelbagai alas an diberikan, malah ada yang menghina dan menggertak saya, akan tetapi apabila saya berjaya melakukannya, ramai pula yang mengatakan bahawa sesiapa pun boleh melakukannya” Kata - kata Columbus itu menyebabkan para hadirin terdiam seketika, namun selepas itu, majlis itu menjadi bertambah meriah dengan sokongan dan pengiktirafan daripada mereka.


Kesimpulannya ialah….sikap yang ada pada diri bang Salehan dan juga pada diri Columbus adalah sama, iaitu mempunyai harga diri, membuat perancangan dan menyusun matlamat tersebut mengikut keutamaan serta sanggup berusaha untuk mendapatkan sesuatu sehingga berjaya. Manakala bagi golongan ternama pula, sikap mereka ini tidak ubah seperti masyarakat kita, maksud kawan…ahli masyarakat kita, dimana ada segelintir daripada mereka ini mempunyai perasaan dengki apabila melihat kemajuan orang lain. Mereka – mereka ini juga sentiasa memperkecilkan pencapaian orang lain, sedangkan mereka sendiri pula tidak berusaha untuk meningkatkan prestasi diri mereka.

Jadi disini apa yang kawan ingin sampaikan adalah kecemerlangan dan kejayaan adalah sesuatu yang boleh dicapai oleh semua orang. Untuk mencapainya, seseorang itu perlu berani mencuba sesuatu yang baru, membuat perancangan dan menyusun matlamat itu mengikut keutamaan, serta melakukannya dengan cara yang paling baik, yakin dan kreatif. Insyaallah…73 de Zaki 9M2ZAK. 

Saturday, July 27, 2013

HF : Transceiver pertama anda.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua rakan-rakan pembaca sekalian. Terima kasih kawan ucapkan kerana sudi menjengah dan melawat blog buruk saya ini. Terlebih dahulu, kawan ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri yang bakal tiba nanti. Mesti rakan-rakan sekalian sedang sibuk membuat persiapan untuk menyambut hari lebaran itu nanti, pesan kawan hanyalah satu...berhati-hati dalam pemanduan semasa dijalanraya dan berbelanjalah mengikut kemampuan masing-masing. Kawan disini berasa amat berbesar hati dan berterima kasih di atas segala komen dan cadangan yang dilontarkan kepada saya melalui email dan Private Message dalam memberi idea dan cadangan untuk penulisan kali ini. Insyaallah, kawan akan buat yang terbaik untuk tatapan rakan-rakan sekalian. Penulisan atau post kali ini merupakan lanjutan kepada PM serta email rakan-rakan bagi topik hari ini. Dorongan rakan-rakan dan sambutan mereka yang amat menggalakkan, menguatkan lagi azam kawan untuk terus menulis mengenai aktiviti Radio ini, tujuan kawan hanyalah satu...memberi mereka sumber inspirasi untuk mereka yang tercari-cari panduan atau sekurang-kurangnya bahan bandingan untuk mereka mempertingkatkan keupayaan mereka dalam bidang ini, sedangkan bahan dan maklumat tersebut amat sukar diperolehi terutamanya maklumat yang ditulis dalam bahasa kita dan berkisar mengenai maklumat tempatan. 

Dalam post kali ini, kawan akan memberikan tumpuan kepada aspek pemilihan HF Tranceiver bagi rakan-rakan yang baru dan ingin berjinak dalam HF ini. Sebelum itu, kawan disini ingin berpesan, set HF yang kawan ingin jelaskan dan ceritakan disini adalah berdasarkan kepada pengalaman kawan, tidak semestinya ianya adalah terbaik, dan sesuai dengan anda. Namun seperti yang saya katakan tadi...ianya tidak lain tidak bukan hanyalah sebagai sumber rujukan dan bandingan sahaja untuk panduan rakan-rakan. Di luar sana, terdapat pelbagai jenis jenama yang boleh kita pilih untuk memulakan pengembaraan kita di dunia HF
ini. Tepuk dada tanyalah selera anda. 



Disini kawan cadangkan supaya rakan-rakan mencuba transceiver keluaran Icom, iaitu IC-718. IC-718 ini adalah sebuah transciever keluaran syarikat ICOM yang berpusat di Osaka, Jepun. Transceiver ini adalah jenis HF ALL BAND TRANSCEIVER dimana band-band yang terdapat dalam radio ini adalah: 

1. 160 meter (1.8 mhz) 
2. 80 meter (3.5 mhz) 
3. 40 meter (7.0 mhz) 
4. 30 meter (10.100 mhz) 
5. 20 meter (14.000 mhz) 
6. 17 meter (18.068 mhz) 
7. 15 meter (21.00 mhz) 
8. 12 meter (24.890 mhz) 
9. 10 meter (28.000 mhz) 

Manakala mode pula merangkumi: 
1. LSB 
2. USB 
3. CW 
4. RTTY 
5. AM 

Kuasa pemancarannya pula ialah maksimun 100 watt dan minimun 2 watt bagi mode LSB/USB/CW/RTTY manakala bagi AM pula, ianya boleh memancar maksimun 40 watt dan minimun 2 watt. Untuk menghidupkan transceiver ini, kita memerlukan sebuah power supply yang boleh menampung dan mengeluarkan voltan sebanyak 13,8 V dan sebaik-baiknya carilah power supply yang boleh menampung 30-40 ampere. Ini adalah untuk persediaan jika terdetik dihati kita untuk memasang sebuah RF amplifier pula dimasa hadapan.
Diamond GZV4000
 Selain daripada itu, kita juga memerlukan sebuah Antenna tuner untuk melancarkan operasi HF anda. Antenna tuner ini berfungsi untuk menyamakan nilai 50 ohm dari feeding line (coax) dengan transceiver anda dengan  bermain-main tombol Inductance-Transmitter-antenna. Sebenarnya...kita menipu transceiver sebenarnya. Konon-konon yang antenna dan coax kita itu mempunyai impedance 50ohm.

Dengan menggunakan antenna tuner, kita perlu tune sehingga mendapat bacaan SWR yang terendah sekali. Jika boleh, dapatkan bacaan 1:1 dan kuasa pemancaran pula mencapai sehingga 100watt. Bacaan SWR ini amat penting kerana jika SWR tinggi, iaitu sekitar 1:6 ke atas, transceiver kita boleh mengalami kerosakan akibat dari nilai impedence yang tinggi iaitu melebihi 50ohm. Fenomena ini sudah banyak kali melanda rakan-rakan kita. Jadi kawan nasihatkan disini agar sentiasalah memantau bacaan SWR kita semasa Transmit di udara. Bagi aspek pemilihan antenna, itu sebenarnya terpulang kepada kemampuan masing-masing. Namun, bagi rakan-rakan yang baru dan ingin berjinak-jinak dalam bidang HF ini. Kawan cadangkan anda membuat sendiri antenna anda dan antenna cadangan kawan adalah 10M Band DELTA LOOP. Kawan-kawan boleh mengambil contoh gambarajah dibawah untuk menghasilkan antenna ini.


Baiklah rakan-rakan, sekalian, berbalik kita semula kepada topik utama iaitu Icom IC-718. Antara ciri-ciri yang menarik perhatian saya bagi transceiver ini adalah seperti berikut:
  1. Display-nya yang besar serta memaparkan digit yang besar.
  2. Speaker-nya yang menghadap ke depan - memberi sedikit kejelasan audio
  3. Keypad yang membolehkan kita membuat direct frequency input-cepat sedikit untuk QSY
  4. Microphone - ada dua butang up/down yang boleh berfungsi sebagai keyer utk CW
  5. Audio yang agak senyap dan lembut, walaupun QRM tinggi.
  6. Bentuknya yang cantik dan lawa.
  7. Kedudukan butang-butangnya yang kemas dan tersusun-sejuk mata memandang.
Disamping itu jugak, saiz IC-718 yang tidak seberapa besar ini, juga sesuai untuk dibawa ke sana kemari. Sesuai dijadikan base station dan sesuai jugak dijadikan portable station.

Portable station dengan IC-718

Saiz PTT ( Push To Talk) agak bersesuaian dan tidaklah besar sangat, sesuai bagi kita orang asia dan sesuai jugak bagi rakyat Eropah sana. Seperti yang dibincangkan tadi, PTTnya juga sesuai untuk CW. Dimana kita boleh transmit CW dengan menggunakan PTTnya. Sila lihat video ini:

                           

Manakala bagi mode SSB pulak, Dimana kita dapat mendengar station yang lemah dengan mengaktifkan fungsi Pre Amp. 

                        
                                                           9w2zak QSO 9m2get


Video diatas adalah Local QSO, namun jika keadaan band mengizinkan signal kita kadangkala boleh mencapai beribu batu jauhnya, dan kualiti signalnya pula kuat dan jelas, umpama dekat sahaja dengan kita.

                          
 
selain daripada mode SSB dan CW, kita juga boleh menggunakan IC-718 untuk beroperasi dalam mode digital seperti PSK-31 atau RTTY.

                        

SSTV jugak boleh dengan IC-718 ini, dimana kita boleh menghantar dan menerima gambar dari rakan-rakan seluruh dunia mahupun rakan-rakan yang berada di angkasa lepas (Stesen Angkasa seperti ISS)

                       .

Kesimpulannya disini, IC-718 adalah sebuah transceiver yang sesuai bagi rakan-rakan yang ingin menerokai dunia HF ini. Ketika menulis blog ini, kawan juga mengambil kira pandangan dan keperluan rakan-rakan, terutamanya perkara yang melibatkan kos, jadi jika inginkan sebuah radio yang low cost serta boleh buat pelbagai macam. IC-718 kawan cadangkan. Kawan amat berharap agar post kali ini sedikit sebanyak dapat memberi inspirasi kepada para pembaca sekalian didalam pemilihan radio pertama anda. Selamat berpuasa dari saya 9m2zak handle operator Zaki. 73

       No one radio is perfect, only one radio is perfect for your situation

Monday, July 22, 2013

Hormat-menghormati amalan kita warga radio amatur



Hormat bererti memuliakan seseorang dengan memberikan layanan yang sopan dan beradab. Layanan yang sopan dan beradab ini boleh dilakukan dalam bentuk perbuatan, percakapan ataupun penulisan. Seseorang yang sopan akan sentiasa menjaga tingkahlakunya tidak kira dimana sahaja mereka berada atau dengan siapa mereka temui. Seseorang yang sopan akan sentiasa disenangi dan disukai oleh anggota keluarga dan sahabat handainya, seseorang yang sopan juga tahu menghormati semua anggota masyarakat tidak kira tua atau muda dan dia juga tahu menghargai orang lain dengan berinteraksi dan memberi layanan secara ikhlas agar hubungan sesama kita warga radio amatur lebih harmoni.

Seseorang warga radio amatur dikatakan menghormati rakan-rakannya apabila dia mendengar teguran dan menuruti nasihat mereka dalam tatacara dan etika semasa berQSO dan tingkahlakunya di daratan.. Oleh kerana hobi radio ini memerlukan antara satu sama lain, maka adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk menghormati rakan-rakan kita. Tanpa mereka...siapalah kita, dengan siapa kita mahu QSO jika tidak dengan rakan-rakan? dengan siapa kita mahu melaksanakan sesuatu program jika tidak ada rakan-rakan?
Menurut norma orang Cina, sesiapa yang menghormati orang lain secara tidak langsung rakan-rakan atau masyarakat sekeliling akan menghormati dan mentaatinya dengan lebih lagi. Hubungan sesama rakan-rakan diibaratkan sebagai hubungan antara tangan dan kaki. Jika tidak ada perasaan hormat-menghormati antara satu sama lain, maka ianya seolah-olah tidak ada koordinasi antara tangan dan dengan kaki serta anggota badan yang lain dalam diri seseorang itu. Sebaliknya, koordinasi anggota badan yang betul dapat menggerakkan anggota seseorang. Begitu juga dengan hubungan persahabatan antara kita warga radio amatur. Jika kita saling membenci, bagaimana komunikasi dua hala ini akan berlangsung? Ingat...hobi kita ini, 100% melibatkan komunikasi dua hala...tanpa sistem ini, bagaimana ianya akan terjadi? marilah sama-sama kita merenungkannya secara lebih mendalam lagi. Menghormati dan berinteraksi secara sopan dan beradab akan melahirkan satu suasana yang harmonis. Maka segala konflik yang dihadapi dapat diselesaikan dengan cara baik dan bersopan.

Sebarang luahan perasaan dan ketidakpuashatian harus diterima secara positif oleh kita. Apabila ada dikalangan kita yang meluahkan isi hati mereka. Kita perlu mendengarnya, mengambil iktibar dari luahannya itu dan berusaha untuk mempertingkatkan lagi prestasi hidup kita berdasarkan luahannya itu. Mesti ada sesuatu yang tidak kena dalam diri kita dan lagipun selagi kita bernama manusia, selagi itulah kita tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan dan dosa. Dengan cara berfikiran positif, kita mungkin dapat menerima apa sahaja yang mendatang tidak kira dari sudut mana ia datang...

Rundingan Damai
merujuk kepada perbincangan antara
pihak-pihak  yang berkonflik untuk berdamai.


Radio amatur...hobi yang menyatukan, 73 de 9m2zak

Sunday, July 21, 2013

CQWW VHF 2013 Contest : Kesabaran ditagih

                             “ Di rumah beraja-raja, di rimba berberuk-beruk ”
                            Maksudnya : Pandai menyesuaikan diri dalam pergaulan


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada para pembaca yang budiman sekalian. Bertemu kita sekali lagi dalam post hari ini yang bertajuk CQWW VHF 2013 Contest : Kesabaran ditagih. Dalam post – post yang lepas, seperti yang sedia maklum, kawan ada menulis tentang contest ini, iaitu CQWW VHF 2013 Contest. Dimana didalam post tersebut kawan cuba memberikan penerangan yang terbaik untuk memudahkan rakan-rakan radio sekalian memahami contest tersebut. Diharapkan agar rakan-rakan radio sekalian dapat memahami dan menyelami segala butiran post tersebut demi perkembangan hobi istimewa ini.

Dari Thailand

Tuan – tuan dan puan – puan yang budiman sekalian,

Kawan memilih tajuk kesabaran ditagih kerana kriteria atau perangai band 6 meter itu sendiri. Band 6 meter ini hampir boleh dikatakan membuka dan menutup tidak menentu masanya. Tidak ada masa yang spesifik yang boleh dikatakan untuk band ini. Tidak seperti band 20m, seperti yang kita sudah maklum...ianya membuka cantik sekitar jam 11.00 malam hinggalah ke pukul 3.00 pagi. Band 15m pun sama ciri-cirinya seperti 20m. Cuma perbezaan antara 20m dengan 15m hanyalah kadar kebisingan. Band 15m lebih senyap jika dibandingkan dengan band 20m. manakala band 10m pula cemerlang semasa sejam sebelum dan selepas gelincir matahari. Tidak kiralah samada pagi atau petang. Jika pada waktu siang, band 15m dan 10m sesuai digunakan dan kadangkala 20m pun sesuai, manakala pada malamnya, 20m dan 40m cemerlang untuk DX kerana kestabilan mereka.

Elecraft KX3
Tuan – tuan dan puan – puan yang budiman sekalian,

Apa yang kawan perhatikan, band 6m ini jika keadaan tidak beberapa baik. Ianya sesuai untuk local QSO dan kawasan liputannya pula tidak beberapa luas, hanya sekitar 700 hingga 1000 kilometer sahaja. Tetapi kualiti signalnya cantik. 59 dan tiada QSB. Manakala jika keadaan band mengizinkan dan cantik, kadangkala signal kita boleh sampai sehingga ke Amerika Utara. Rekod yang paling jauh yang kawan catatkan bagi band 6 meter ini adalah QSO dengan rakan dari Amerika Utara, iaitu............Tetapi dalam mode CW. Bila disebut CW, kawan teringat pula suatu peristiwa semasa cuba QSO dengan sebuah stesen dari Thailand, iaitu HS0AC. Pada mulanya, Champ Dx iaitu operator bagi HS0AC ini CQ dalam mode SSB dan kawan langsung tidak mendengarnya...yang kawan dengar hanyalah stesen dari Singapore iaitu 9V1TT Andrew sedang cuba memanggil stesen HS0AC. Kemudian tanpa membuang masa, kawan pun memintas 9V1TT untuk QSO dengan menghulurkan callsign kawan. Jangkaan memang tepat, 9V1TT menjawab panggilan kawan dan RST yang diberi olehnya ialah 59. Selepas habis QSO dengannya (9V1TT) kawan masih lagi kedengaran Andrew cuba memanggil Champ Dx untuk QSO. Namun tidak berjaya. Kemudian...kawan ada kelihatan Champ Dx di facebook dan dengan muka tak malu, kawan PM Champ Dx untuk sked. Syukur beliau bersetuju dengan pelawaan sked dari Kulaijaya. Dalam PM tersebut, kawan meminta beliau untuk tukar mode ke CW. Apabila beliau tukar ke CW, audionya terus muncul dari kebisingan band. Walaupun tidak beberapa kuat, namun butirannya dapat dibaca. No problem to copy him...ceewahhh speaking la pulak. Sila lihat video dibawah:


Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa mode CW boleh menembusi QRM. Namun dalam video tersebut, HS0AC op Champ Dx tidak dapat copy panggilan kawan. Mungkin keadaan QRM di Thailand sana kuat lagi berbanding dengan Kulaijaya. Perkara ini, hanya ALLAH SWT sahaja yang mengetahuinya, dan kita sebagai umatnya pula jangan putus asa untuk mengkajinya. Kesabaran memang ditagih jika rakan-rakan sekalin ingin mengkajinya.

Tuan – tuan dan puan – puan yang budiman sekalian,

Berbalik kepada CQWW VHF 2013 Contest : Kesabaran ditagih, akhirnya kawan berjaya juga mendapatkan contact setelah memberikan kesabaran tidak berbelah bagi terhadap Magic Band ini. Pada petang Ahad semalam, kawan akhirnya berjaya juga contact dengan Champ Dx HS0AC. Sebenarnya....pada permulaannya kawan kedengaran HS4AK. Boleh dikatakan kuat juga signalnya, hampir berpuluh kali kawan menghulurkan callsign, namun tiada respon darinya. Seperti biasa...dengan tiba-tiba lagi...Champ Dx muncul dan komen pada post kawan di FB. Beliau sekarang QRV di 50101.00mhz CW dan menunggu kawan untuk kutipan mata seterusnya. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari...keadaan ini tidak ubah seperti orang mengantuk disorongkan bantal...dan molek sangat laksana pucuk dicita ulam yang mendatang...kali ini signal HS0AC agak lantang berbanding semalam, 559 signal dia mari ke Kulaijaya. Rasanya 1 kilowatt ni...tak pun 800watt. Syukur ke hadrat Ilahi, kawan berjaya mengadakan contact dengannya dan mendapat satu mata untuk CQWW VHF 2013 Contest. Sebagai hadiahnya, kawan postkan callsignnya di cluster dan akhirnya...beliau pun pile – up dengan stesen dari Jepun dan Korea Selatan. Berduyun-duyun JA masuk, tapi yang peliknya, kawan langsung tidak kedengaran signal JA tersebut, hanya mendengar respon dari Thailand sahaja. Yang sedihnya...kawan terlupa untuk rakam video. Apa yang peliknya, inikan radio amatur...hobi yang penuh dengan segala kemungkinan.


Selamat berpuasa, 73 de Zaki 9M2ZAK.

Friday, July 19, 2013

2013 CQ World-Wide VHF Contest

2013 CQ World-Wide VHF Contest
Starts : 1800 UTC Saturday, July 20, 2013
Ends : 2100 UTC Sunday, July 21, 2013

Hari ini Sabtu 20 Julai 2013, kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan, iaitu bersamaan dengan 1800 UTC akan berlangsung satu lagi contest yang kali ini dianjurkan oleh CQ Magazine. Contest ini agak unik sedikit kerana ianya melibatkan band 2m dan 6m. Dimana masa yang diperuntukkan atau diberikan hanyalah 27 jam sahaja. Berita baiknya pula, masa 27 jam itu meliputi semua kategori. Jadi tentulah ianya akan meriah sedikit kerana semua station mendapat masa yang sama rata untuk CQ diudara. Disamping itu juga, para pemegang callsign kelas B dan A pun boleh turut serta menyertai contest ini kerana band 6 meter ( 50mhz) dan 2 meter (144mhz) ada dalam lesen mereka.


Tuan-tuan dan puan-puan yang budiman sekalian,

Objektif utama contest ini adalah untuk memberi peluang kepada semua pemegang lesen untuk mendapatkan contact dengan seberapa banyak yang boleh dalam masa 27 jam itu. Disamping itu juga, contest ini juga dapat mempromosikan mode VHF dan memberi peluang kepada semua peminat mode VHF untuk menimba pengalaman dalam aktiviti contest selari dengan peningkatan propogasi. Selain daripada itu, CQWW VHF Contest 2013 ini juga dapat memberi peluang kepada peminat atau pengumpul VHF Maidenhead untuk mereka menambah koleksi grid locator mereka. Maka dengan itu, kawan pasti pada malam ini ruang udara bumi kita ini akan bersimpang siur dengan VHF kesana dan kemari mencari grid locator untuk di key-in.

Tuan-tuan dan puan-puan yang budiman sekalian,

Dalam  CQWW VHF Contest 2013 ini, band yang diperuntukkan adalah band 6 meter dan 2 meter band. Semua station yang mempunyai lesen untuk boleh beroperasi dalam band-band tersebut adalah dibenarkan tetapi bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan masing-masing. Jadi bagi tuan-tuan dan puan-puan yang budiman sekalian, sila patuhi syarat TX power yang telah dikeluarkan oleh SKMM untuk mengelak sebarang kesulitan.


Tuan-tuan dan puan-puan yang budiman sekalian,

Kategori yang ditawarkan dalam CQWW VHF Contest 2013 ini adalah seperti Single Operator, Single Operator Single Band, Single Operator All Band QRP, Hilltopper, Rover dan Multi-op. Tetapi dalam penulisan kali ini, kawan hanya akan menerangkan serba sedikit tentang beberapa kategori sahaja kerana kategori ini amat popular dan pengikutnya ramai.

1.     Single Operator – All band
Dimana bagi kategori ini, setiap station hanya dibenarkan contact sekali sahaja bagi setiap band. Contohnya, bagi callsign 9W2SBD, hanya satu contact dengan 9W2SBL di 50mhz dan satu contact di 144mhz. Disamping itu juga, station yang duduk dalam kategori ini sebenarnya bebas untuk CQ dimana sahaja, contohnya samada di 50.150 mhz ataupun di 145.545 mhz. Asalkan tidak melebihi TX power yang ditetapkan oleh SKMM.

2.     Single Operator – Single Band
Bagi kategori ini, setiap station hanya dibenarkan TX didalam band pilihannya sahaja. Mereka tidak dibenarkan TX pada band yang lain selain daripada band pilihan mereka tersebut. Tetapi mereka boleh berada dimana-mana sahaja pada apa-apa frequency asalkan tidak terkeluar dari 144-148mhz. Contohnya, Jika 9W2JDT masuk kategori ini, dan memilih untuk CQ di 50.135mhz, kemudian beliau mendapati yang frequency ini mempunyai QRM yang tinggi, maka beliau boleh berpindah ke frequency yang lain seperti 50.146mhz asalkan pada frequency tersebut tidak ada station lain yang CQ. Beliau juga tidak boleh mengarahkan station tersebut untuk pindah ke frequency yang lain atas alasan frequency itu adalah frequency kegemarannya. Ini melanggar kod etika DX! Tetapi kawan yakin, senario tersebut tidak akan berlaku di negara kita kerana negara Malaysia terkenal dengan Kesopanan dan Kesusilaan dan ianya diamalkan oleh semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini. Syabas diucapkan.

3.     Singe Operator All Band QRP
Kategori ini adalah kategori yang paling mencabar sekali. Kenapa kawan berkata sedemikian. Ini adalah kerana, dalam kategori ini, kuasa yang dibenarkan untuk TX adalah 10 watt sahaja. 10 watt itu adalah kuasa maksimun, jika tuan-tuan dan puan-puan ingin mencari adventure atau cabaran lagi. Tuan-tuan dan puan-puan boleh turunkan ke 5 watt atau 1watt. Tetapi ingat, ianya masih lagi berada dalam QRP. Dalam kategori ini juga, station yang memilih untuk QRP tidak terikat untuk beroperasi dimana sahaja. Mereka boleh beroperasi dimana sahaja mengikut kemampuan mereka. Tepi pantai, atas bangunan 20 tingkat dan di tepi tasik semua terpulang kepada mereka asalkan TX power mereka 10watt dan ke bawah


Tuan-tuan dan puan-puan yang budiman sekalian,

Dalam contest ini, sistem pertukaran data contest adalah berbeza sedikit berbanding dengan contest-contest yang lain. Bagi contest yang lain, majoritinya hanya membuat pertukaran RST dan bilangan contact. Ada juga bertukar umur serta CQ Zone. Tetapi bagi CQWW VHF Contest 2013, mereka para contester akan saling bertukar Maidenhead grid locator. Locator ini adalah locator base anda dan boleh diperolehi dari Google Earth ataupun dari GPS masing-masing. Contoh pertukaran data contest adalah seperti berikut:

9W2SBD : CQ contest CQ contest CQ contest, this is 9W2SBD 9W2SBD CQ Contest.
9M2ZAK : 9M2ZAK 9M2ZAK
9W2SBD : 9M2ZAK 9M2ZAK thank you very much, you are 59 OJ11TP, 59 OJ11TP over.
9M2ZAK : 9W2SBD you are 59 OJ04LI, 59 OJ04LI Good luck in your contest 73.
9W2SBD : 9M2ZAK 73, CQ contest CQ contest CQ contest, this is 9W2SBD 9W2SBD CQ Contest.

Contoh diatas adalah satu contoh bagaimana Contest QSO dilakukan. Ianya amat ringkas kerana masing-masing ingin mengejar masa. Masing-masing ingin mengutip seberapa banyak QSO dalam masa yang ditetapkan. Menarik bukan? Jika tidak menarik, masakan ada berjuta-juta pengikut aktiviti radio sport ini dari seluruh dunia. Kawan adalah salah seorang penggemarnya.


Tuan-tuan dan puan-puan yang budiman sekalian,

Bagi setiap contact yang berjaya dilakukan, mata akan diberikan berdasarkan system tersebut:

Band 6M (50mhz)   : 1 mata untuk setiap contact.
Band 2M (144mhz) : 2 mata untuk setiap contact.

Setiap station hanya dibenarkan contact sekali sahaja bagi setiap band. Anda juga digalakkan menggunakan logging program untuk memudahkan pengiraan mata contact anda. Kawan cadangkan anda menggunakan Software N1MM untuk key-in contact anda. Bagi yang belum ada logging program ini, anda boleh google N1MM. Ianya percuma untuk dimuat turun ke komputer anda.


Tuan-tuan dan puan-puan yang budiman sekalian,

Award akan diberikan kepada semua station yang berjaya mendapat tempat pertama dalam negara masing-masing. Manakala Plaque pula akan dianugerahkan kepada station yang mendapat tempat pertama bagi setiap benua. Plaque dan award ini adalah disponsor, jika tuan-tuan dan puan-puan ingin mengetahui siapa yang sponsor, maka tuan-tuan dan puan-puan boleh melayari laman ini.

http://www.cqww-vhf.com/plaques.htm

Log pula mestilah dihantar kepada alamat email ini.


dan mesti dihantar dalam format cabrillo. Sebab itu kawan cadangkan N1MM sebab N1MM boleh generate terus log kita ke format cabrillo hanya dengan sekali klik sahaja.

dari kiri, 9w2sbd, 9w2sbl, 9m2get, 9m2out. 9m2zak dan 9w2zjb
Nota tambahan :
Bagi band 2 meter, Frequency yang dilarang untuk CQ ialah :
·         Calling Frequency  V40
·         Frequency Repeater
·         CQ Contest di Repeater
·         Air band

Manakala bagi band 6 meter pula, frequency 50.100 – 50125 MHZ adalah dilarang dan pastikan semasa anda logging QSO anda, gunakan format masa UTC.

Semoga kita berjumpa lagi di post-post yang akan datang. Selamat berpuasa dan Good Luck in your contest. 73 de Zaki 9M2ZAK 



Wednesday, July 17, 2013

Wednesday is 9M4CJB's day

at Bukit Segenting, Minyak Beku, Batu Pahat, Johor.
Sudah dekat 3 tahun umur 9M4CJB, bermula dari bertatih sehinggalah boleh berjalan sendiri, kini 9M4CJB sudah pun mempunyai pengikutnya sendiri. Tahniah kepada semua team 9M4CJB yang sentiasa berganding bahu dan bekerjasama menjalankan tugas dalam apa jua keadaan sekali pun. Pelbagai aktiviti telah dijalankan bersama 9M4CJB ini, rasa pahit dan manis kami rasai bersama-sama. Ikatan tali persahabatan yang terjalin ini telah membuktikan yang aktiviti Radio Amatur ini sebenarnya lebih membawa kepada kebaikan. Radio amatur boleh menyatukan pelbagai bangsa dan agama, pelbagai ideologi dan fahaman. Tetapi apabila kita ke udara, semuanya adalah satu, semua berdiri atau duduk dibawah satu nama sahaja. Iaitu Radio Amatur. Jadi marilah kita bersama-sama bersatu dan bekerjasama diatas nama hobi yang menyatukan ini.

                  WE ARE THE PEOPLE THAT UNITE THE WORLD 

Malam ini, seperti biasa. Iaitu hari Rabu, 9M4CJB akan ke udara menyebarkan slogan diatas ke seluruh dunia. Menyebarkan mesej keamanan ini dengan tujuan yang amat ikhlas dan sejujurnya. Tiada paksaan dan tiada bayaran dikenakan atau dibayar. Semuanya kawan lakukan dengan penuh ikhlas dan jujur demi keamanan sejagat. Dunia ini semakin mencabar, pelbagai cabaran perlu dihadapi untuk meneruskan hidup ini. Pelbagai cabaran perlu ditempuhi untuk meneruskan kelangsungan hidup ini dan pelbagai dugaan perlu dilangkahi untuk terus meniti rentak hidup ini.

Jadi pada malam ini, 9M4CJB akan CQ di band 20m, Frequency pula belum ditetapkan lagi sebab ianya bergantung kepada keadaan. Jika frequency tidak diduduki, kawan akan CQ di 14029.60 mhz dengan mode CW. Ramai yang bertanya kepada saya, kenapa CW cikgu? Kawan pilih CW sebab :
  1. CW boleh tembus jika band agak bising dgn QRM
  2. CW boleh pergi jauh dgn 100 watt.
  3. Dengan CW mesej yang kawan ingin sampaikan itu mudah disampaikan dengan CW.
  4. CW sudah sebati dengan jiwa kawan...hehe
Insyaallah jika diizinkan ALLAH SWT, jika ada insan yang sudi mendermakan RF Amplifier kepada 9M4CJB, mungkin kawan akan ke udara dalam phone mode juga atau pun mixed mode. CW tidak boleh tinggal beb...Baiklah rakan-rakan budiman sekalian, kita berjumpa lagi di post-post yang akan datang.

                                                            Selamat Berpuasa, 73 de 9m2zak 

 Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, serta keluasan rahmatNya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.
                                                                                                   
Surah Al Jatsiyah. Ayat 005.

Bila KA9Q Tiba-Tiba “Hang” Walaupun Service Masih Active — Cara Saya Buat Auto-Recovery Untuk Radiosonde Auto-RX

  Cara saya buat auto-recovery untuk Radiosonde Auto-RX + KA9Q + Airspy Mini Beberapa hari selepas setup Radiosonde Auto-RX 1.9.0 + KA9Q + A...