Sunday, December 6, 2015

CQWW CW 2015 : HS0ZAR Contest Team, Phinmai Thailand.


Pada contest kali ini, kawan telah menerima undangan dari team HS0ZAR untuk menyertai pasukan mereka dalam cqww cw ini. Pelawaan tersebut kawan terima dengan hati yang terbuka, pasukan ini akan beroperasi dari Bantabong, Phimai, Thailand. Pasukan ini dianggotai oleh :

1. Fred K3ZO (USA)
2. Stiq LA7JO ( NORWAY)
3. Popa YU7EF (SERBIA)
4. Svante SM3DYU (SWEDEN)
5. Tony G4UAV (ENGLAND)
6. Ray HS4RAY (THAILAND)
7. Champ E21EIC (THAILAND)
8. Zaki 9M2ZAK (MALAYSIA)
9. Art HS4LKW (THAILAND)
10. Mike E29BUQ (THAILAND)
11. Joe HS2JFW (THAILAND)

Jadi secara tidak langsung, 7 buah negara bergabung dalam satu pasukan dan membentuk satu pasukan yang mantap. Dalam contest kali ini, kami bertanding dalam kategori Multi Multi. Semua ahli pasukan berkumpul di Phimai pada hari Khamis iaitu 26 Nov 2015. Jadi ada dua hari untuk setup station dan antenna. CQWW CW ini, HS0ZAR akan berada pada semua band, iaitu 10m-15m-20m-40m-80m-160m
with YU7EF Popa
Popa YU7EF bertanggungjawab menguruskan segala perkara yang berkaitan dengan antenna. Di mana segala keputusan mengenai antenna hanya Popa sahaja yang buat. Manakala Sam pulak pada bahagian shack, beliaulah yang bertanggungjawab sepenuhnya memasang dan memastikan semua radio dan antenna berfungsi dengan baik. Tony bertanggungjawab dalam hal-hal yang berkaitan logistik, makanan. Beliaulah yang akan menyediakan makanan, minuman kepada para operator. Operator hanya perlu tekan loceng sahaja jika ingin pesan kopi atau snack. Jika ingin ke tandas, Stiq akan datang untuk menggantikan operator. Begitulah betapa tersusunnya perancangan mereka dalam contest ini.

Apa yang kawan perhatikan, mereka menjalankan tugas dengan baik sekali. Stiq juga bertanggungjawab menguruskan penginapan operator, dimana Stiq menyediakan satu banglow milik beliau untuk penginapan kami. Banglow tersebut terletak hanya lima minit sahaja perjalanan dari Bantabong Contest Station. Cuaca pula alhamdulillah, amat baik sekali sepanjang contest ini berlangsung. Berangin dan cerah, di sini Bantabong, Phimai  gelap awal, iaitu sekitar 6 pm, keadaan sudah pun menjadi gelap. Manakala pada waktu pagi pula, cerah awal iaitu sekitar jam 6 am.

Fred K3ZO dan Stiq LA7JO
Pasukan ini sebenarnya sudah terbentuk lebih daripada 30 tahun. Mereka selalu bersama merantau seluruh dunia melakukan dxpedition dan contest di negara-negara yang rare. Jadi perhubungan mereka amat erat sekali dan tidak ubah seperti adik beradik. Masing-masing sudah mengenali hati budi masing-masing. Jadi sudah tentulah keakraban mereka ini menjadi nadi kekuatan kepada pasukan ini. Di sini, aktiviti contest dimulakan pada pukul 7:00 pagi kerana UTC 00:00z jatuh pada pukul 7:00 pagi waktu tempatan di Thailand. Seperti yang kita maklum, waktu Thailand kurang sejam dari waktu negara Malaysia.

Bantabong, Phimai Thailand
Untuk antenna pulak, mereka menyediakan tiga tower. Dua tower untuk Run 1 dan satu lagi untuk RUN 2, manakala tower yang ketiga pula digunakan untuk memburu multiply station. Kedua - dua station RUN 1 dan RUN 2 ini menggunakan FT2000 sebagai rig utama mereka, manakala untuk stesen Multiply, pesawat K3 digunakan. Manakala untuk band pass filter, filter 4O3A digunakan sepenuhnya pada semua band. Iaitu dari 10m hinggalah ke 160m. Stack yagi digunakan untuk RUN 1 dan RUN 2. Manakala untuk band 80m, Vertical 80m digunakan, dimana vertical tersebut adalah homebrew dari Popa dan untuk antenna 160m, Loop antenna digunakan. Kedua-dua antenna 80m dan 160m ini adalah direct feeding dan tidak menggunakan balun. 

 shack engineer, Svante SM3DYU
Kawan salute kepada SM3DYU Sam kerana beliaulah yang telah bertungkus lumus menyiapkan segala perkara yang berkaitan dengan transceiver, coax, linear, dan bandpass filter. Masalah bandpass filter telah beliau selesaikan dengan jayanya. Beliaulah juga yang menyediakan system stack yagi, wiring dan setup untuk interface Hamradio Master dan membaikpulih transceiver dan linear pada masa itu jugak. Pengalaman berpuluh tahun beliau dalam bidang ini memang banyak membantu dan amat membanggakan dan amat bermurah hati memberi tunjuk ajar kepada kami. Selama 48jam ini, beliau senantiasa bersedia jika ada apa-apa permasalahan berkaitan setup dan shack. Komitmen yang ditunjukkan itu adalah faktor utama kejayaan pasukan ini. Tanpa beliau...agaknya macam manalah keadaannya shack ini. Terbaik Uncle Sam.

Art HS4LKW dan Mike E29BUQ sedang memanjat tower
Kredit juga diberikan kepada Art dan Mike, tanpa mereka segala perancangan yang berkaitan dengan antenna dan coax oleh Popa dan Sam tidak akan menjadi kenyataan jika dua orang yang berhati kering ini tidak memanjat tower yang setinggi 150 kaki ini. Mereka berdualah yang menjalankan tugas untuk menyalin coax baru, menyalin guide wire tower baru dan mengubah kedudukan yagi. Boleh dikatakan, mereka adalah mata, kaki dan tangan bagi Stiq dan Popa. Apa sahaja perancangan oleh Stiq merekalah yang akan tunaikan, manakala apa sahaja antenna yang disiapkan oleh Popa, mereka jugalah akan naik tower memasangnya. Memang langsung tiada rasa gentar dan cuak pada ketinggian anak-anak muda ini. Kawan cuma panjat setinggi ini sahaja, itu pun untuk pasang ant vertical 80m. Gambar di bawah....


pemasangan antenna vertical 80m
Setelah bertungkus lumus selama 48jam, kawan tidur hanya 3 jam sahaja sehari, Kami berjaya mengutip sebanyak 7,307,167 mata. Butiran kutipan QSOs mengikut band adalah seperti berikut:

Band 160m : 26 QSOs
Band 80m : 332 QSOs
Band 40m : 1345 QSOs
Band 20m : 1044 QSOs
Band 15m : 1679 QSOs
Band 10m : 854 QSOs

Jika diteliti, band 10m rendah kutipannya. Kutipan yang rendah pada band 10m ini juga dirasai oleh beberapa pasukan yang lain diseluruh dunia. Band 10m agak tidak memberangsangkan pembukaannya. Namun pada band-band lain, ianya boleh dikatakan agak lumayan, pile-up sepanjang masa dan tidak mengecewakan. Tahniah sekali lagi kepada Fred K3ZO dan seluruh pasukan kerana berjaya mengharungi semua cabaran 48 jam ini dengan jayanya. Disiplin dan komitmen yang ditonjolkan itu adalah kunci utama kepada kejayaan pasukan ini. Kawan berasa amat bertuah sekali kerana diberi peluang untuk beraksi bersama jaguh-jaguh dari serata dunia ini. Segala tips dan tunjuk ajar mereka kepada kawan akan kawan gunakan sepenuhnya demi perkembangan Radio Amatur tanahair kita. Terima kasih sekali lagi diucapkan kepada Champ E21EIC kerana menjemput kawan untuk beraksi bersama keluarga besar ini. Kawan cuba buat yang terbaik untuk kalian semua.           73 dari saya Zaki 9M2ZAK.


Terima kasih Mike E29BUQ kerana menyediakan video ini.... awesome!!!

Tuesday, October 13, 2015

CW Dxing : MODE CW - Panduan CQ DX


Terdapat pelbagai mode yang tersedia di dalam sesebuah standard HF transceiver seperti LSB-SSB-CW-RTTY-AM-FM. Setiap mode-mode ini mempunyai fungsi yang tersendiri dan peralatan tambahan untuk membolehkan ia berfungsi. Objektif setiap mode ini adalah sama, iaitu untuk membolehkan kita berkomunikasi antara satu sama lain tidak kira dimana sahaja kita berada di muka bumi ini malah di planet Zuhal sekalipun, komunikasi masih boleh dilakukan jika kena dengan masa dan penggunaan peralataan yang sesuai.

Dalam post kali ini, saya ingin berbicara mengenai aktiviti DX atau Dxing. Sebelum kita pergi dengan lebih jauh lagi, suka saya disini ingin menjelaskan maksud DX, agar kawan -kawan sekalian lebih memahami dan mengerti definisi DX dan menambahkan ilmu pengetahuan rakan pembaca sekalian.

DX jika menurut terma dalam Ham Radio bermaksud "DISTANCE". Jika diterjemahkan terus kepada bahasa melayu ianya akan menjadi JARAK, tetapi bagi kawan...maksud tersirat DX sebenarnya ialah mengadakan atau berjaya menghubungi station radio amatur atau mendengar (SWL) station radio komersil atau amatur dari seluruh dunia. Perkataan seluruh dunia itu secara automatiknya menerangkan maksud "DISTANCE" itu tadi, iaitu membawa kepada pengertian jarak yang jauh beribu batu atau kilometer dari station kita. 

Jadi apakah yang boleh disimpulkan dengan pendengaran (SWL) atau komunikasi yang terjalin dengan station DX tersebut?

Apabila kita berjaya mengadakan contact atau mendengar DX station. Ini bermakna sistem antenna yang kita bina itu berfungsi dengan baik. Maksud berfungsi dengan baik bagi sesebuah sistem antenna itu ialah:
  1. Take Off Angle yang sesuai untuk DX
  2. Resonant pada frequency sasaran
  3. Bacaan SWR yang baik
  4. Coax kabel yang kurang kadar loss-nya
  5. Ketinggian antenna yang sesuai
  6. Grounding Sistem yang berfungsi dengan baik

Jadi sudah pastinya kita akan tersenyum lebar apabila mengenangkan sistem antenna yang dibina itu berjaya sampai pancarannya hingga ke Rio De Jenerio sana, perjalanan setengah bumi, merentasi lautan pasifik melantun-lantun gelombang elektromagnet itu dari lapisan F2 turun ke laut, naik semula ke F2 dan turun semula ke Pasifik dan naik semula ke lapisan F2 dan jatuh ke Rio De Jenerio. Bagi DX'er yang tegar, saat-saat inilah yang amat dinantikan oleh mereka. Tersenyum sendiri di depan transceiver.

Baiklah....itu berkaitan DX, sekarang beralih pula kita kepada mode CW dan DX dengan mode CW. DX dalam mode CW adalah sama SOP-nya dengan DX dalam mode phone. Cuma yang membezakannya adalah cara transmisi-nya. Jika dalam mode phone, kita menggunakan Mic untuk menukarkan tenaga bunyi (suara) kepada gelombang eletromagnet tetapi berbeza dengan mode CW, dimana kita menggunakan tone yang disetkan pada julat frequency tertentu untuk dimodulasikan.

Dalam mode phone, modulasi penuh pemancaran kita bergantung kepada keupayaan atau kecekapan sistem pemprosesan suara untuk dimodulasikan. Semakin baik sistem pemprosesan suara, semakin baiklah audio kita dimodulasikan dan tenaga yang dipancarkan itu juga mudah mencapai sasaran seperti yang disetkan pada transceiver atau amplifier. Jadi untuk mendapatkan "full modulasi" dalam pancaran phone mode, beberapa perkara perlu dilihat, iaitu:
  • Jika tiada audio gear, anda perlu kuatkan suara anda samada jerit atau bersuara tinggi sikit dari normal
  • Jika ada audio gear, pastikan setting anda sesuai untuk DX atau untuk sembang-sembang bersama rakan difrequency.
"fungsi utama audio gear ini adalah untuk menguatkan audio anda tanpa perlu anda jerit atau bersuara lantang. Anda hanya bercakap secara santai sahaja tetapi outputnya amat kuat sekali - jadi secara tidak langsung transceiver anda akan memodulasikan pancaran anda dengan sepenuhnya - full power output.

Berbeza dengan mode CW. dalam mode CW. ianya sudah mencapai full modulasi secara automatiknya kerana tone itu dijana sendiri oleh transceiver ke PA board untuk dipancarkan. Jadi sebab itulah mode CW atau RTTY atau PSK-31 amat sukses pada level QRP kerana jika kita setkan kuasa 5 watt, memang 5 watt itu akan dimodulasikan sepenuhnya. Lagi satu, audio yang dipancarkan itu berada pada julat freq yang rendah seperti 700hz atau 800hz. Jadi ianya dapat menembusi kebisingan band dan memberi kejelasan kepada pendengarnya untuk berkomunikasi dengan selesa. Jadi, marilah kita lakukan aktiviti DX dengan mode CW.

Seperti yang saya katakan pada awal tadi, Dxing pada mode CW sama SOP-nya dengan dxing pada mode phone. Dimana kita perlu mendengar dahulu. Dengar dahulu secara rawak pada setiap frequency. Teliti betul-betul adakah frequency itu tidak digunakan atau sebaliknya. Jika didapati frequency itu kosong atau tidak ada sebarang aktiviti. Maka bolehlah kita gunakan frequency itu untuk aktiviti DX kita.

Dalam CW, untuk memastikan yang freq itu tidak berpenghuni, kita boleh hantar Q-code (QRL?) beberapa kali, jika tiada jawapan atau respon. Barulah kita memulakan CQ. Kelajuan ketukan anda pula bergantung kepada keupayaan individu masing-masing. Tiada had atau kelajuan yang ditetapkan semasa CQ dengan mode CW. Namun kebiasaannya, kelajuan 20WPM - 30WPM digunakan semasa DX kerana keselesaannya. Tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan. Kelajuan yang ideal bagi penggemar aktiviti CQ DX dalam mode CW.

ayat yang biasa digunakan ialah seperti berikut, tetapi anda juga boleh merangka ayat anda sendiri jika anda kreatif asalkan tidak lari maksudnya.

Beberapa contoh ayat untuk memanggil ( CQ )
  1. CQ CQ DE 9M2ZAK 9M2ZAK PSE K 
  2. CQ DX DE 9M2EDU 9M2EDU K
  3. CQ DE 9M2MDX 9M2MDX K
  4. CQ 9M2M 9M2M K
Jika anda beroperasi secara UP*, ini contohnya. 
  • CQ DE 9M2EDU 9M2EDU UP
  • CQ DE 9M2EDU 9M2EDU UP 5
UP* - Berapa khz perlu kita UP jika kita mengalami pile-up? - semuanya bergantung kepada situasi semasa frequency dan juga situasi pile-up. Jika pile-up tersebut tidak seberapa kuat. Maka bolehlah kita setkan UP 2 atau UP 5, selagi ianya dapat dicopy dengan selesa. Jika kita menghadapi BIG PILE-UP, dimana situasi menjadi seperti berada di dalam ZOO atau keadaan menjadi huru-hara. Kita boleh nyatakan UP sahaja. Itu sudah memadai. Jangan risau, Dx'er - Dx'er diluar sana sudah memahami maksud UP tersebut dan mereka akan memilih sendiri untuk cuba memanggil anda pada freq pilihan mereka sendiri. Kini terpulang pula kepada anda untuk memilih sendiri station yang mana satu pilihan anda, selalunya station yang jelas pancarannya akan dipilih. Itu berdasarkan kepada pengalaman sendiri. Tujuan UP ini adalah untuk memberi peluang kepada station yang berkuasa rendah untuk memancar dan mengelak dari ditindas oleh big gun jika satu freq sahaja dipilih, selain itu, ianya juga memberi kemudahan kepada anda untuk copy station dengan selesa tanpa gangguan dari station yang lain. Adakalanya semasa kita sedang cuba untuk copy weak station, kadangkala ada juga big station yang akan mencelah dan mengganggu agar station beliau mendapat perhatian kita. Jadi tidak ini tidak adil bagi station yang low power. Berilah mereka peluang. Maka operasi UP digunakan supaya station-station ini berselerak duduk difreq pilihan mereka sendiri dan menanti panggilan mereka dijawab oleh anda. Tetapi anda janganlah berada pada satu freq sahaja, cubalah merayau-rayau agar station yang lain juga dapat merasa bekerja dengan anda.

Contoh ayat untuk menjawab panggilan ( secara ringkas untuk permulaan)

katakan 9M2GET masuk dalam CQ anda....9M2GET akan menghantar 9M2GET atau DE 9M2GET. Jadi anda akan menjawab sebegini.

9M2GET de 9M2EDU UR 5NN 599 BK          

kemudian 9M2GET juga akan menjawab sebegini, jika dia hendak jawab macam itu lah...

9M2EDU de 9M2GET UR 5NN 599 BK

kemudian, jika anda ingin tamatkan QSO, begini contohnya

9M2GET de 9M2EDU TU E E

atau..... 9M2GET de 9M2EDU 73 TU E E

atau.... 9M2GET de 9M2EDU TU 73 E E

terpulang kepada anda untuk merangka sendiri ayat anda sebenarnya. Asalkan maksudnya sama dan mudah difahami oleh pihak satu lagi. Tetapi jika anda ingin meneruskan QSO dan ingin ragchew dengan rakan anda, berikut adalah contoh QSO-nya.

9M2GET de 9M2EDU UR 5NN 599 = My name is IKMAL IKMAL = QTH TMN MELATI TMN MELATI = TX PWR 3TT 3TT = ANT 11 ELE TRI BND YAGI = TRX ICOM 76TT = HW CPY? BTU DE 9M2EDU KN

kemudian 9M2GET akan menjawab,

OK OK CPY ALL OM IKMAL = TU FB CW QSO ON 40M = HPE TO CUAGN = 9M2EDU de 9M2GET 73 73 TU E E

singkatan-singkatan perkataan yang digunakan itu adalah bebas asalkan difahami maksudnya. Contohnya seperti TMN merujuk kepada Taman. ELE merujuk kepada element. Jadi jangan risau samada penggunaan singkatan itu salah atau tidak, yang penting maksudnya sampai.

tanda = Dahdidididah digunakan pada setiap hujung ayat untuk menandakan bahawa ayat itu sudah tamat dan ayat baru akan bermula. Jika anda tidak biasa dengan =, anda juga boleh gunakan didadidadida iaitu noktah. terpulang kepada anda.

Jadi disini, kawan berharap agar post kali ini sedikit sebanyak membantu rakan-rakan yang ingin CQ DX dalam mode CW. Tanamkan keyakinan dalam diri dan tekadkan dalam diri bahawa aku bisa melakukannya. Jumpa lagi dalam post-post yang akan datang. 73 dari Zaki 9M2ZAK.


Sunday, August 30, 2015

CQ Satelite SO-50 : Satelite QSO with 9M58MM

Tanggal 31, bulan lapan 2015. Kawan berjaya melakukan contact atau QSO dengan sebuah lagi station dari Alor Gajah iaitu 9M58MM. 9M58MM ini adalah callsign istimewa sempena Hari Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-58. Selain 9M58MM, terdapat banyak lagi callsign 9M58 yang lain diseluruh Malaysia yang mengambil bahagian dalam acara CQ serentak satu Malaysia sempena Hari Kemerdekaan negara Malaysia. Namun, kesemuanya beroperasi pada freq HF dan juga aktif di repeater local. Jadi, bagi mereka yang mempunyai lesen sah, maka bolehlah menyertai atau turut serta check-in di repeater local mahupun di freq HF jika berkesempatan.

Pada malam tadi, setelah meneliti jadual lintasan satelite di laman web. Didapati pada pukul 12 tengah malam nanti akan ada satu lagi lintasan. Jadi kesempatan ini saya gunakan untuk cuba membuat komunikasi VHF pada band 2m dengan menggunakan satelite. Konsepnya, adalah mudah. Satelite SO-50 ini akan bertindak sebagai sebuah repeater dimana Freq TX nya adalah di band 2m dan freq RX nya pula di band 70cm. Ringkasnya, TX 145.850mhz - RX 436.785mhz dan pada freq RX, tone 67.0khz diaktifkan.

Sebenarnya, ini adalah percubaan kali kedua. Percubaan kali pertama (tengahari tadi) kawan tidak berjaya membuat komunikasi kerana pada sebelah kawan, callsign 9M58MM tidak sepenuhnya di-copy oleh kawan, walaupun pada hakikatnya kawan tahu yang callsign itu adalah 9M58MM. Namun untuk menjadikan komunikasi itu valid, maka kawan mesti , mendengar sepenuhnya callsign tersebut dan membuat pertukaran RST. Video di bawah ini adalah video percubaan kali pertama, iaitu pada tengahari tadi.

Video percubaan pertama,
          


Dalam video diatas, kawan melakukan percubaan tersebut di sekolah kawan, iaitu di SMK Senai. Sebelum aktiviti, taklimat dan penerangan kawan berikan kepada pelajar SMK Senai mengenai CQ Satelite ini dan cara-cara serta kebaikannya kepada kita. Pendedahan sebegini sebenarnya bagus untuk perkembangan pembelajaran kepada para pelajar kita supaya mereka dapat membuka minda mereka terhadap sains dan teknologi ini.

Kemudian, pada sebelah malamnya pula. Kawan mencuba sekali lagi percubaan untuk berkomunikasi dengan menggunakan satelite. Tetapi pada malam tersebut, kawan hanya seorang sahaja yang menjalankan aktiviti tersebut kerana kawan mengerti, waktu itu adalah waktu tengah malam, jadi tidak sesuai jika kawan membawa pelajar kawan untuk turut serta dalam aktiviti memburu satelite ini.

Setelah semuanya sudah sedia, iaitu segala kelengkapan. Kawan pun melangkah keluar dari base menuju ke taman permainan di hadapan base kawan. Sebenarnya, kelengkapan tersebut, hanyalah sebuah walkie talkie jenama baofeng, antenna yagi dan sebuah telefon bimbit untuk merakam audio. Jadi tiada masalahlah bagi kawan untuk membawanya. Sebaik sahaja tiba, jam telah menunjukkan pukul 12:30, jadi tanpa membuang masa kawan terus CQ ke arah langit di dalam kepekatan malam Hari Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia. Di bawah ini, adalah video aktiviti CQ Satelite dan juga Satelite QSO dengan stesen dari Alor Gajah, Melaka.


Semoga kita berjumpa lagi....salam 73 dari saya, Zaki 9M2ZAK

Tuesday, August 25, 2015

ICOM IC-2300 : Si kecil bersuara lantang...

atas IC-2300 dan di bawah pula rig legend IC-2200
Assalamualaikum dan selamat sejahtera diucapkan kepada semua para pembaca yang budiman. Pada posting kali ini, saya ingin berbicara mengenai sebuah VHF Mobile Transceiver keluaran Icom iaitu IC-2300H. Dalam posting ini, saya akan menyentuh pada beberapa bahagian sahaja yang saya kira ianya menarik bagi transceiver ini. IC-2300 ini berkeupayaan transmit 65watt maksimun dengan output power yang stable pada 65watt dan tidak akan berganjak sikit pun kuasa pemancarannya. Di samping itu juga, ianya juga mempunyai pembesar suara 4.5W yang memberikan kejelasan audio dan kelantangan audio yang kuat jika hendak dibandingkan dengan saiz kecilnya itu.


Body-nya yang diperbuat daripada high kualiti aluminium itu pulak memberikan proses penyejukkan yang cepat dan berkesan sekali terutama semasa operasi berkuasa tinggi seperti 50w - 60w. Binaan yang kukuh itu sudah pasti membuatkan mobile rig ini tahan lebih lama dan sesuai digunakan di dalam mobile yang selalu bergerak ke sana dan kemari. Jadi tidak hairanlah jika IC-2300H ini menepati standard Military, iaitu MIL-STD 810G dan lulus dalam ujian tersebut. Contoh ujian MIL-STD 810G ialah ujian gegaran, hentakan dan suhu. Semua ujian tersebut dijalankan ke atas rig ini tanpa belas kasihan dan semuanya lulus dengan sempurna. Jadi sehubungan dengan itu, kita tidak perlu risau akan keadaannya apabila di pasang pada kenderaan kita yang mana selalu terhentak dan bergegar akibat pergerakan kenderaan ke sana kemari. Selain daripada tahan lasak, VHF transceiver ini juga mempunyai pelbagai fungsi yang memantapkan lagi operasinya seperti :
Frequency coverage 
TX/RX : 136 - 174 mhz ( Sudah dimodifikasi)

207 Memory Channel 
Dengan menyediakan sebanyak 207 ruang untuk kita simpan senarai freq kegemaran, maka sudah pasti ianya tidak menjadi masalah bagi kita untuk simpan semua freq repeater di seluruh tanahair dan malah boleh simpan sekali senarai Simplex Channel seperti V40 dan sebagainya. Jadi sudah pasti ianya akan memudahkan kita pada masa akan datang.
CTCSS dan DTCS
CTCSS (Continuous Tone-Coded Squelch System) dan DTCS ( Digital Tone Coded Squelch) adalah satu system dimana kita boleh private-kan pemancaran kita dengan meletakkan sesuatu tone tertentu pada freq pilihan. Fungsi ini amat berguna jika sesuatu freq itu, contohnya 144.500mhz itu digunakan oleh beberapa individu atau kumpulan yang sama. Jadi kita masih boleh berkomunikasi dengan individu sasaran kita tanpa gangguan dengan CTCSS dan DTCS ini. Untuk itu, Icom ada menyediakan subaudible tones bermula dari 67.0hz hinggalah ke 254.1 Hz. Jadi pilihlah mengikut citarasa dan keperluan anda.

Power supply voltage display
Sebaik sahaja rig ini dihidupkan, pada display-nya akan terpapar nilai voltage yang ada pada ketika itu. Tetapi ianya hanya bertahan untuk selama beberapa saat sahaja. Namun ianya amat berguna sekali kepada kita kerana secara automatiknya kita dapat tahu berapakah kuasa sebenar yang power supply keluarkan pada ketika itu.

Apa yang menariknya, IC-2300H ini juga menggunakan tenaga elektrik yang kurang dimana apabila kita TX full power, hanya 11amp sahaja digunakan berbanding jenama lain. Jadi jangka hayat bateri kita akan menjadi lebih lama, dan semestinya ianya akan memberikan kita jumlah masa yang lebih untuk menggunakannya jika kita menggunakan bateri. Jika di base, semesti akan berlaku penjimatan tenaga elektrik. Full power transmission - jimat tenaga elektrik. Mana mau cari kawan....

4.5w loud audio
IC-2300H mempunyai pembesar suara 4.5W 4ohm, berbeza dengan speaker rig-rig yang lain dimana kuasa mereka hanyalah sekitar 1W-2W 8ohm. Jadi sudah pasti audio yang keluar dari pembesar suaranya itu jelas dan terang serta bagus kualitinya. Tidak pecah dan kuat. Keupayaan ini membolehkan ianya sesuai dipasang pada mobile dan juga kapal kargo dimana audionya tadi akan dapat menyaingi audio enjin kenderaan dan juga audio persekitaran yang penuh dengan kebisingan seperti bunyi ekzos dan enjin. Maka segala butiran QSO dapat didengar dengan jelas tanpa sebarang masalah dan tanpa memerlukan speaker tambahan seperti jenama-jenama lain dipasaran.

Selectable LCD backlight color
LCD IC-2300H ini boleh ditukar-tukar warnanya. Pilihan warna yang disediakan ialah amber, yellow dan green. Jadi kita boleh menukarnya mengikut selera dan kepuasan kita.

Green
 PTT 
Bab PTT ini, adalah bab yang paling kawan respect sama Icom. Kenapa kawan berkata sedemikian, ini adalah kerana cable PTT Icom adalah tahan lasak. Ianya tahan kepada sinaran matahari UV dan cable ptt-nya itu tidak akan terkesan dengan sinaran UV. Kepada rakan yang pernah menggunakan transceiver 2m jenama lain, mungkin rakan-rakan sekalian pernah mengalami masalah ini. Masalah kabel ptt yang pecah. Kenapa dia pecah? cable tersebut pecah kerana tidak tahan dengan sinaran UV dan suhu yang melampau apabila ianya dipasang di dalam mobile. 
Sebagaimana yang kita maklum, apabila kita memasang rig di dalam kereta, maka secara tidak langsung transceiver kita itu akan terdedah kepada suhu dan UV. Jadi, jika binaan ptt itu tidak menepati standard MIL-STD 810G, maka ianya akan mudah pecah dan akan mendedahkan kabel pada bahagian dalamnya, Apabila kabel dalam sudah terdedah, maka risiko untuk putus akan terjadi. Maka kita perlu mencari ganti pulak PTT yang lain, disaat saat ekonomi sedang tenat ini. Tetapi ianya tidak akan berlaku kepada ICOM, berdasarkan kepada pengalaman sendiri, saya sudah 11 tahun menggunakan ICOM 2m rig ini dan tidak pernah sekali pun mengalami masalah PTT rosak. Terbaik Icom...
HM-133 yang tahan lasak
Ok, baiklah. Sampai disini sahaja ulasan saya mengenai ICOM IC-2300H, diharapkan agar para pembaca sekalian dapat sedikit gambaran dan ilmu mengenai IC-2300H ini. Pilihan sebenarnya terletak ditangan saudara-saudari sekalian, kawan hanya menyampaikan sahaja. Segala kekurangan semasa penerangan itu tadi kawan dahului dengan ucapan kemaafan kerana kita ini manusia biasa, jadi sudah pastinya akan berlaku kesilapan. Buang yang keruh, ambillah yang jernih. Tetapi untuk tunggu yang jernih, masa yang lama diperlukan. Jadi kesabaran amat diperlukan wahai sahabat-sahabat sekalian.

Semoga terhibur dengan bacaan itu tadi, salam muafakat dari saya, Zaki 9M2ZAK.

Assalamualaikum


Saturday, August 1, 2015

BH4TDV : APRS 51 DIGI : Wiring for Icom V85 and Baofeng



Assalamualaikum dan selamat sejahtera diucapkan kepada semua rakyat Malaysia tidak kira dimana sahaja anda berada. Bagi yang sedang memandu pada ketika ini, diharapkan agar saudara-saudari sekalian menghentikan dahulu kenderaan anda ditepi bahu jalan ataupun di mana-mana hentian sebelah, kemudian barulah baca paparan kali ini. Dalam post kali ini, kawan tidak mahu menghuraikan secara terperinci kerana hari ini, kawan dari tengahari hingga ke petang sibuk ke sana kemari menghadiri jemputan Rumah Terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri, raya kan sebulan. Namun kawan gagahkan juga diri ini untuk menulis sesuatu, Sebenarnya tujuan kawan menulis pada hari Sabtu yang mulia ini adalah untuk menyimpan diagram sahaja. Takut hilang dan mungkin lenyap dimamah anai-anai. Jadi kawan simpan dalam blog sahajalah. Lagipun kawan-kawan pun boleh menggunakannya untuk projek kawan-kawan juga nanti.

Tapi kali ini, kawan tidak mahu berceloteh panjang, biar gambar-gambar sahaja yang bercerita. Lagi mudah dan cepat serta senang difahami berbanding dengan menjelaskan satu persatu mengenainya. Lagipun zaman sekarang ini, orang berkejar-kejar masa. Perjalanan dari Senai ke Subang pun hanya mengambil masa tidak kurang daripada 2-3 jam sahaja, tup tup tup..dah sampai Subang. Tengahari makan berada di Senai, petang sudah ada di Subang. Jadi itu menunjukkan bahawa masa amatlah penting. Bagi sesiapa yang berjaya menguruskan masa dengan baik, maka dia akan mendapat pelbagai kejayaan. Kejayaan dalam kerjayanya, kejayaan dalam keluarganya malah kejayaan diakhirat juga kerana apa? kerana dia berjaya menguruskan masa dengan betul, masa untuk keluarga, masa untuk ALLAH SWT dan juga masa untuk kesenggangan.

Petang tadi pun, semasa kawan bergerak dari Bandar Putra menuju ke Senai, kelihatan banyak sekali kenderaan dijalanraya. Kemudian, baru kawan teringat, hari ini hari cuti bagi Johor. esok dah kerja. Jadi tentulah banyak sekali jemputan Open House Hari Raya. Sambil duk fikir-fikir kenapa jalan Senai - Kulai jem. Terdengar pulak ada panggilan telefon di Radio Hot FM. Kebetulan pula, pemanggil tersebut memanggil dari Tebrau. DJ iaitu Fara Fauzana ada bertanya, bagaimana keadaan jalan disana. Kemudian si pemanggil pun menjawab. Jalan sekitar Highway Pasir Gudang jem teruk, pemanggil hendak ke Tebrau, dan dia dari Pasir Gudang. Katanya..."Akak ingatkan apabila dah lepas jem di Highway Pasir Gudang, jalan Tebrau ni ok kut, rupa-rupanya lagi teruk nih haaa..langsung tak bergerak. Akak nak menuju ke rumah open house yang kedua nih, nampak gayanya Lontong Kering tadi dah hadam ni haa, dah lapar balik nih...mungkin lapar sebab stress kut...."

Nampak tak? sekarang ni musim raya, raya belum habis lagi. Semasa 1 syawal lepas, kampung halaman dan pekan Tunjang serta Jitra malah Arau jem. Bila semua pakat balik ke rumah masing-masing. Kawasan bandar pulak jem. Memang kawasan bandar selalu jem, tetapi jem pada waktu tertentu sahaja, iaitu masa pergi kerja dan balik kerja. Tapi dalam bulan syawal nih, jem pulak pada hujung minggu. Ehh...mana cerita APRS nih, ok berbalik kepada cerita APRS. Untuk lebih memahaminya sila lihat gambar dibawah.

APRS 51 Digi with Icom V85
Gambar di atas adalah setup express untuk 9m2zak-3. Hari ini untuk test sahaja. Lepas ini, kawan akan murnikan setup ini dengan memakaikan board tersebut dengan casing supaya selamat sedikit. Difahamkan bahawa board ini direka untuk handy China Brand sahaja. Namun selepas seharian bermain teka-teki, akhirnya kawan berjaya juga menyambungkan Icom V85 ini ke DIGI tersebut. Dibawah adalah gambar diagram PTT MIC icom V85 untuk ke APRS 51 DIGI.

Diagram ptt mic ke APRS 51 DIGI

APRS 51 DIGI

Jadi apa yang saudara perlu lakukan ialah...sambung sajalah. dan siap. Setelah siap, kawan pun test penyambungan tersebut dengan menghidupkan ia dan membiarkan dia mendengar packet yang lalu-lalang. Hasilnya...
 
 Sebenarnya APRS 51 DIGI ini direka khas oleh BH4TDV untuk handy China seperti Baofeng dan juga sewaktu dengannya. Jadi sudah tentulah ianya akan menjadi lebih mudah. Tak perlu teka-teki. Jadi disini kawan mudahkan lagi untuk kawan-kawan sekalian. Dibawah ini adalah gambar untuk setup Baofeng ke APRS 51 DIGI. Biar gambar yang berbicara.

Untuk Baofeng dan seangkatannya


 test pada IC 32 AT pun tiada masalah
Selamat mencuba dan jumpa lagi pada post-post yang akan mendatang... 73 Zaki bin Din

Wednesday, July 29, 2015

KENWOOD TS- 2000 . Using TNC controller transceiver for APRS


Langkah pertama :
Download file CMD TS2000 dari website ini,  http://aprs.qrz.ru 

Langkah kedua :
Letakkan file TS2000.CMD ke sini, >>>> Program Files \ Peak Systems \ UI-View32 \ CMD \

Langkah ketiga :
Buka  UI-View32, kemudian terus ke >>>Setup>>>Comms Setup, kemudian akan keluar paparan seperti dibawah, dan ikut tetapan seperti dalam paparan tersebut dan klik ok.


Siap, dan kini anda sudah boleh menerima RF Packet dari Digipeater atau Tracker yang aktif.


Have fun...73 de Zaki

Friday, July 24, 2015

80m band report : Saturday, July 25


Malam tadi, kawan terjaga dari tidur yang lena. Apabila melihat jam ditangan, baru pukul 4.00 pagi. Hmm...kenapa terjaga nih, baru kawan teringat. Petang tadi kawan tidur dari jam dua petang hingga jam 6 pm. Sebab tu kawan segar bugar sekarang ni. Jadi kawan ambil keputusan untuk bangun dan buat tahajud. Setelah selesai. Kawan terus menuju ke shack.

Kawan meneliti band 10m, nampaknya band tersebut masih tenat. Noise mencanak naik disini. Kemudian kawan beralih pula ke band 15m dan 20m. Keadaannya juga sama seperti band 10m tadi. Bergelumang dengan noise. Nampak gayanya HIGH BAND kecundang pada malam ini. Manakala band 40m dan 80m terbaik keadaannya. Namun perlu diingat, situasi ini hanya berlaku di Kulaijaya sahaja. Lain padang lain belalangnya kawan.

Jadi kawan pilih band 80m kerana ingin cabaran dan adventure. Lagipun jumlah QSO pada band ini amat menducitakan. kerana masih belum mencecah 3 angka lagi. Freq 3515.00mhz kawan pilih kerana pada freq tersebut tiada kedengaran sebarang aktiviti.

Setelah antenna dituned, kawan menetapkan 100 watt sebagai kuasa pemancaran pada awal pagi tu. Bagi band 80m, 100watt itu, umpama 10watt kerana band penuh dengan QRM+QRN dan bermacam-macam lagi noise. Jadi cabarannya memang dahsyat sekali dan ianya menuntut kesabaran dan keazaman yang tinggi untuk terus bertahan menjamah noise yang mendatang.

Untuk mengatasi masalah tersebut. kita boleh menggunakan teknik RX antenna iaitu TX pada antenna 80m dan RX pada antenna yang lain. Jika mengikut panduan, kita perlu ada sebuah antenna RX untuk band 80m, tetapi kawan pasti, tidak ramai rakan-rakan disini ada ant RX yang dikhaskan untuk band 80m kerana kekangan kawasan. Antenna RX untuk band 80m ini mestilah jenis yang low noise, jenis low noise seperti loop antenna. Tetapi jangan risau, jikalau rakan-rakan sekalian tidak mempunyai RX ant, kita juga masih boleh menikmati band 80m ini dengan menjadikan antenna lain sebagai RX antenna. Dalam kes kawan, kawan jadikan Dalbeam sebagai RX antenna 80m.

Boleh ke? saya pasti itu persoalan yang akan bermain dibenak pemikiran rakan -rakan sekalian. Boleh dan memang boleh, tetapi kualiti audionya tidaklah kuat kerana ianya tidak resonant pada band 80m. Tetapi kita masih boleh mendengar dengan selesa station yang check-in itu dan yang penting sekali noise tidak ada. Noise tiada kerana ant RX itu tidak resonant pada band tersebut.

RX ant interface, homebrew
RX ant interface ini amat diperlukan dan wajib ada jika kita hendak bermain dengan band 80m. Jika tiada, nanti station lain akan gelar kita pekak kerana tidak respon kepada panggilannya. Perlu diingat rakan-rakan, bagi band 80m, dalam noise tersebut sebenarnya ada station, cuma noise sahaja yang menjadi penghalangnya. Apa yang perlu dilakukan dengan RX ant interface ini adalah kita hanya perlu sambungkan (cucuk atau plug-in) pada port HF RX ANT pada belakang transceiver kita. sila lihat gambar dibawah.

HF RX ANT
kemudian, klip buaya yang berada dihujungnya pula. Kawan kepitkan pada coax DALBEAM. sengaja kawan gunakan klip buaya kerana ianya mudah dan cepat. Kawan-kawan boleh juga menggunakan apa jua konektor yang kawan-kawan suka asalkan ianya dapat disambung pada coax. Itu saja prinsipnya. Kemudian, pada transceiver anda, sila setkan ON pada menu 18, iaitu RX-Dedicated Ant. dan kini anda sudah bersedia untuk CQ dan beraksi di udara.

Kawan hanya kepit sahaja pada DALBEAM untuk jadikan ia sebagai RX Ant
 Selepas semuanya sudah sedia, kawan pun memulakan aktiviti CQ. Sebenarnya kawan tidak mengharapkan apa-apa pun dalam CQ kawan ini kerana tahu band 80m ini macam mana dan lagipun dipole 80m kawan ini hanya 40 kaki sahaja dari tanah. Jadi kawan tidaklah memasang harapan yang tinggi kepadanya. Tiba-tiba dalam ketinggian noise tersebut, kedengaran sebuah stesen dari New Zealand. ZL2IFB masuk ke dalam CQ kawan. Signalnya kuat dan yang penting kawan dapat copy sepenuhnya pancaran beliau. Terkejut juga kawan, 80m dengan New Zealand. Kemudian kawan cuba matikan fungsi RX-ANT, wow!!!! memang betullah. ZL2IFB terus hilang dimamah noise dari band. Tetapi apabila kawan aktifkan kembali RX-ANT, ZL2IFB muncul kembali. Untuk kepastian, kawan buat sekali lagi. Kesian ZL2IFB, kawan tidak dengar pun apa yang dia katakan pada kawan sebab asyik sibuk jadikan dia sebagai bahan eksperiment. Jadi betullah kata-kata elmer berkaitan dengan band 80m ini. Dalam noise tu ada orang sebenarnya..... Kawan rasa gembira sekali kerana berpeluang merasai pengalaman ini. Pengalaman yang tidak ternilai harganya.

Kemudian, selepas itu, beberapa station daripada negara Jepun pun masuk. Pada malam tersebut, kawan berjaya mengutip 7 station pada band 80m. Kemudian subuh sudah masuk, kawan stop CQ dan tunaikan kewajipan dahulu dan ikut perancang memang kawan nak sambung CQ. Tetapi...kawan tertidur pula. Sedar-sedar...hari sudah cerah. Jadi tulis bloglah...

Jadi secara tuntasnya, kawan berjaya mengutip 7 station dengan 2 DXCC pada band 80m. Jika keadaan mengizinkan, malam ini kawan akan cuba sekali lagi CQ pada band ini memandangkan ianya hari minggu. Hari minggu selalunya, ramai rakan aktif CQ atau monitor di band. 73 de 9m2zak.

Friday, July 10, 2015

End Fed Half Wave : 20m band review

EFHW 20m band
Sejak kebelakangan ini, kawan mula perasan dan menyedari akan kebangkitan band 20m dan 15m. Hampir setiap malam band - band tersebut menunjukkan prestasi yang membanggakan. Bermula selepas matahari terbenam, keanggunan band tersebut mulai kelihatan. Signal noise turun secara mendadak diikuti kurangnya band noise membuatkan sesiapa sahaja yang monitor pada ketika itu pasti akan jatuh cinta untuk mencuba memancar dan yang pastinya kawan pun turut terpesona dengannya dan ingin menduga pancaran kawan disini.

Tetapi bukannya dengan antenna yang biasa kawan gunakan sebelum ini. Kali ini kawan ingin mencuba antenna jenis EndFed pula. Berdasarkan review kawan-kawan yang lepas, mereka mengatakan bahawa antenna ini bagus. Bagus digunakan ketika kita portable. Jadi, sehubungan dengan itu, kawan juga akan portable. Tetapi portable di belakang rumah saja. Hanya beberapa meter sahaja berjauhan dengan shack kesayangan.

Selepas sepetang mencari-cari wayar yang lebih masa kawan buat ant 80m tu. Akhirnya baki wayar tersebut dijumpai. Rupanya ianya cantik dibungkus dalam plastik hitam dan diletak dibawah katil. Jika kawan tak siasat apakah isi dalam plastik hitam itu. Alamatnya sampai raya haji lah kawan tak dapat test ant ini. Selepas itu, kawan pun memulakan pemotongan. 

10.05 meter wayar untuk band 20m
Dihujung wayar tersebut kawan letakkan banana jack supaya mudah untuk mencucuknya dan cepat. Manakala dihujung sebelah lagi pula kawan ikat dengan insulator hitam. Panjang wayar hitam tersebut adalah 10.05 meter berdasarkan kepada pengiraan half wave band dan saya sengaja lebihkan sedikit untuk proses ikatan nanti. Manakala untuk counterpoise-nya pula, wayar sepanjang 1m dipotong rapi dan diletakkan juga banana jack untuk memudahkan penyambungan itu nanti. Manakala dihujungnya pula kawan letakkan klip buaya. Tujuannya adalah untuk memudahkan wayar ini untuk tumpang dimana-mana tempat sekalipun. Kita hanya perlu klip ini gigit sahaja.

Counterpoise sepanjang 1m untuk band 20m

Konsep mudah dan cepat ini penting bagi antenna jenis portable kerana apabila kita portable, kita sebenarnya bermain dengan masa dan keadaan. Katakan kita berkunjung ke sebuah pulau dan masa percutian kita pula adalah 3hari dua malam. Jadi takkan kita nak habiskan seharian masa kita untuk pemasangan antenna. Rugilah percutian kita itu nanti. Jadi antenna EndFed ini adalah penyelamat percutian kita. Masa yang diperlukan untuk setup ant ini adalah kurang daripada 15 minit.

Oleh kerana konsepnya portable, jadi kawan pun menggunakan bahan yang berada disekeliling kawan untuk memasangnya. Baru betul simulasi kawan. Kawan menggunakan batang penyapu untuk support dan kawan ikat pada pagar. Jika kita di tempat percutian, kita boleh ikat pada pagar chalet, atau jika berada di tingkat 15, kita boleh campak sahaja wayar itu keluar. Tetapi disini kawan simulasikan yang konon-kononnya kawan lepak di chalet sahaja.

Nampak tak fungsi klip buaya tersebut
Antenna ini kawan pasang secara flat. Sengaja kawan pasang secara itu kerana ingin melihat perbezaannya. Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, kita juga boleh memasangnya secara vertikal ataupun slope. Bergantung kepada kreativiti masing-masing. 

Wayar 10.05m
Pada bahagian sebelah lagi, kawan pasang disepanjang pagar base kawan. Nampak seperti antenna ini stealh, dan jika sekali pandang pasti rakan tidak akan perasan akan kewujudannya. Jadi sesuailah ianya dibawa kesana dan kemari. Tuan punya Chalet pun tak perasan yang ada antenna dipasang pada chaletnya.
Setelah selesai semuanya, kini tiba masa untuk mengujinya

Seperti yang dijangka, band 20m membuka dengan baik sekali. Signal noise yang dicatatkan di Kulaijaya adalah S-0 dan kedengaran jelas stesen dari Jepun dan Amerika Utara. Bacaan SWR-nya pulak cantik kawan tidak kacau langsung tombol pada EndFed tersebut dan bacaan SWR mudah mencapai 1:1 selepas ditune. Kuasa pemancaran kawan tetapkan pada 100watt. Selepas itu kawan pun memulakan aktiviti CQ.
Semasa CQ, setiap stesen masuk satu demi satu. Kawan tidaklah pileup seperti malam-malam sebelumnya. Boleh dikatakan kawan easy DX pada malam itu.

 Namun kualitinya ada, antenna ini boleh pergi jauh walaupun kawan hanya sangkut pada pagar sahaja. Kawan pasti, jika ianya dipasang dengan sempurna, pasti ianya akan memberikan hasil yang lebih lagi. Lagipun antenna inikan dibina untuk portable, jadi kita janganlah mengharapkan sesuatu yang luar biasa daripada wayar hitam ini. Pada malam tersebut, kawan berjaya mengutip 35 stesen dengan 12DXCC yang rata-ratanya dari Amerika Utara dan Eropah, Jepun pun ada satu dua stesen. 

Berdasarkan kepada DXCC yang dikutip, nampaknya macam ant ini melompat jauh. Ada dua kemungkinan sebenarnya, adakah pancaran kawan take off dia rendah ataupun ianya adalah kebetulan. Maksud kawan, pada ketika kawan test ant itu, hanya stesen NA dan EU sahaja yang aktif dan band pulak hanya membuka ke arah mereka sahaja. Itu semua masih menjadi misteri...Namun disini, yang penting sekali adalah antenna tersebut berfungsi dengan baik. Masih mendapat respon 599 dari stesen NA dan EU. Itu yang penting sebenarnya. Dengan pemasangan 15minit dan 7 kaki dari tanah, kita boleh capai NA dan EU. Maknanya disini misi kita berjayalah... 73 de Zaki 9M2ZAK

Wednesday, July 8, 2015

15m Band Report : 8 Julai 2015

Malam semalam sekali lagi band 15m menunjukkan taringnya. Sebelum itu, pada 7 Julai, keadaannya tidak seperti malam tadi. Pada 7 Julai, keadaannya amat mendukacitakan, dukacita kerana signal noisenya yang terlalu tinggi sehingga mencatat bacaan S-6 ditempat kawan. Tetapi pada malam tadi, keadaannya lain seratus peratus. Malam tadi band 15m senyap sahaja, signal noise S-0 dan ianya stabil. Apabila kawan merayau sekitar band. Kedengaran dengan jelas sekali stesen eropah-jepun-amerika utara-russia sedang CQ. 

Jadi kawan mencuri kesempatan ini dengan mencuba untuk menjalankan aktiviti CQ di freq 21040.50mhz. Pada awal CQ kawan, hanya beberapa stesen dari Russia dan Ukraine sahaja yang masuk, tetapi selepas 5 minit. Keadaan freq CQ kawan sudah menjadi tidak terkawal. Freq tersebut seolah-olah berada di dalam ZOO Taiping, Perak. Kawan secara tiba-tiba dihujani oleh pelbagai Prefix dan suffix dari eropah yang tidak henti-henti membedil ke arah kawan. Kawan cuba bertenang dengan menarik nafas dalam-sedalamnya sambil meneguk air katira yang dibeli di pasar ramadhan petang tadi bagi menghadapi dugaan ini. Ternyata ianya amat sukar. Sukar apabila kawan ingin mengesahkan dan mendengar stesen yang kawan panggil itu. Pancarannya asyik ditindan oleh stesen yang lain yang tidak mahu memberi peluang kepada rakan tersebut untuk menghabiskan QSOnya. Kemudian, baru kawan teringat, untuk mengatasi masalah ini, kita boleh main secara split. Dimana TX di 21.040.5 dan RX di 21.045.5. Kawan main UP 5. Sebaik sahaja kawan main UP 5. Keadaan menjadi terkawal sedikit. Barulah setiap stesen yang masuk itu kawan dapat copy dengan mudah dan tanpa gangguan dari stesen-stesen yang lain. 

air katira
Itu situasi di eropah, tetapi jika perkara ini berlaku di Jepun. Rasanya tidak perlu kut untuk menggunakan split kerana stesen Jepun mereka amat menghormati sesama sendiri dan yang pentingnya mereka berdisplin. Mereka tidak akan ganggu pancaran orang lain atau memotong Que semasa sedang DX. Mereka akan sabar menunggu callsign mereka dipanggil. Lagi satu keistimewaan stesen jepun ini. Mereka pandai bermain dengan tone. Contohnya, dalam satu pile-up. Jika kedengaran seperti ZOO, maka sahlah yang hampir semua stesen dalam kelompok itu menggunakan tone yang sama. Katakan 800khz. Jadi stesen jepun ini akan ambil sedikit masa dan ubah tone CW mereka menjadi lebih tajam sikit atau lebih bass sikit dengan memilih tone 1000khz atau 600-700khz. Hasilnya...pancaran mereka akan jelas menonjol dan akan didengari serta ditangkap dengan mudah oleh stesen yang sedang DX itu. Perkara ini sudah banyak kali kawan perhatikan dan alami. Memang bijak mereka bermain dengan tone. Itulah stesen Jepun.

Jam sudah menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Jadi kawan terpaksa meninggalkan rakan-rakan yang sedang bergelut di freq untuk mendapatkan kawan. Rasa simpati pun ada juga, tetapi apakan daya, kawan terpaksa tutup kedai kerana esoknya itu kawan kerja dan perlu bangun awal untuk sahur. Jadi kawan memerlukan 5 jam untuk merehatkan badan agar keesokkannya badan menjadi segar dan boleh bekerja dengan riang. Kerja dengan riang...ewahnyer...Jadi kawan meminta maaf kepada stesen yang masih cuba memanggil kawan itu. Insyaallah jika keadaan mengizinkan dan jika band membuka lagi, kita boleh bertemu lagi ok. 


Hasil CQ DX pada malam tadi, kawan berjaya mengutip 115 stesen dengan 33 DXCC. Mata sudah mengantuk, badan sudah letih dan telinga sudah dengung. Kawan berhenti setakat ini dahulu. Salam Ramadan dan Salam 73 dari saya Zaki 9M2ZAK.

Friday, July 3, 2015

Kenwood TS-480SAT HF/50MHz All Mode Transceiver : Excellent compact HF radio

TS-480SAT
Salam Ramadhan dan selamat berhari minggu kepada semua rakan taulan tidak kira dimana sahaja anda berada. Bertemu kita lagi pada hari ini dalam post terbaru kawan iaitu post mengenai Kenwood TS-480SAT. Kawan percaya, rakan-rakan sekalian masih ada masa untuk meluangkan seminit dua membaca review mengenai TS-480SAT ini. Review ini kawan buat berdasarkan kepada perspektif kawan dan bukannya dipengaruhi oleh mana-mana individu atau organisasi. Ianya adalah tulus daripada kawan.

Kenwood mengeluarkan dua model bagi rig ini, iaitu TS-480SAT dan TS-480HX. Dimana bagi model SAT, ianya hanya 100watt dan ada built-in tuner serta satu kipas, manakala model HX pula mempunyai 200watt dan dua kipas tetapi tidak disertakan sekali dengan tuner. Jadi pada paparan kali ini, kawan akan membincang dan review TS-480SAT.

Pertama sekali mengenai kelebihan built-in antenna tuner. Kelebihan ini adalah satu advantage besar bagi Kenwood kerana mereka berjaya menghasilkan sebuah mobile HF rig yang sudah terbina antenna tunernya. Sudah pasti ianya amat menggembirakan rakan-rakan kerana apabila disebut sahaja mobile, maka meminimun peralatan adalah keutamaan utama bagi sesebuah stesen yang ingin portable. Berbeza sangat dengan beberapa mobile transceiver daripada jenama-jenama lain. Dimana kita terpaksa membawa peralatan tambahan seperti mobile antenna tuner untuk beroperasi. Sejujurnya kawan nyatakan disini, Yaesu 857D tidak ada antenna tuner didalamnya. Begitu juga Icom IC-7000. Jadi sudah pasti kita terpaksa membeli atu tambahan untuk melicinkan operasi kita. Namun sebenarnya masing-masing ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Nobody perfect.

Selain daripada itu, Control Panel TS-480SAT ini boleh diubah-ubah kedudukannya. Jadi kita boleh letak dimana sahaja panel tersebut mengikut citarasa kita. Tambahan pula, kabel yang dibekalkan itu adalah sepanjang 4 meter. Cukup panjang dan boleh diletakkan dimana sahaja kedudukannya jika berada di dalam kereta. Manakala jika dibase, sudah pasti cantik diletakkan pada hadapan monitor komputer. Sambil monitor sambil beroperasi. Segala aktiviti DX atau contest akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah atau ketidakselesaan.
Control panel yang boleh ditanggal
Mengenai kualiti audionya pula. Ianya amat berbeza sekali dengan Icom atau Yaesu. Audio Kenwood ini sudah macam ada trademark-nya sendiri. Kemantapan kualiti audio semasa sesi RX sudah tidak boleh dibandingkan lagi. Ianya berada dalam kelasnya tersendiri Ini adalah kerana, pada TS-480 ianya menggunakan quad-mixer. Quad-mixer ini kalau rakan-rakan pernah menggunakan atau dengar TS-950. Sudah pasti akan perasan kesamaannya. Seperti yang kita sedia maklum, legendry rig TS-950 sudah terkenal dengan quad-mixernya, kawan tidak pasti, apakah teknologi quad-mixer TS-950 ini digunakan pada TS-480.

Legendry TS-950
Ianya menggabungkan dua teknologi dalam system pemprosesan audio, iaitu filter Crystal IF dan DSP Filter yang berfungsi mengurangkan kadar kebisingan band. Disamping itu juga, NB iaitu noise blanker yang benar-benar berfungsi menapis kemasukan noise dari sumber buatan manusia seperti blender dan statik dari lampu kalimantang. Untuk NR, iaitu Noise Reducer. TS-480 ada menyediakan fungsi tersebut. NR1 sesuai digunakan semasa kita aktif pada mode SSB, PSK, CW dan FM. Begitu juga pada mode AM. Noise Reducer 1 (NR1) apabila digabungkan dengan Digital Noise Limiter (DNL) akan membantu kita menghadapi noise yang menggila dari band tatkala propogation yang semakin menurun ini. Terutama bagi HIGH band seperti 10m dan 15m.

Untuk lebih mantap lagi, kita juga boleh menggunakan RX EQ (Receiving Equalizer). Dalam RX EQ terdapat beberapa menu pilihan iaitu Flat, High Boost 1, High Boost 2, Formant Pass, Bass Boss 1, Bass Boost 2, Conventional dan User. Jadi terpulanglah kepada anda untuk memilih yang mana satu EQ kegemaran dan yang paling penting, ianya sesuai dengan telinga anda. Selain itu, kita juga boleh customize audio penerimaan kita dengan DSP Filter ini. Sudah tersedia sebenarnya keupayaan filter DSP. Anda bebas untuk memilih pada khz berapa yang anda suka kerana ianya bermula dari 5khz hinggalah ke 5000khz. Pilihlah mengikut kesesuaian band. Jika band crowded anda boleh menghilangkan rakan sebelah dengan mengurangkan khz-nya.

 

Selalunya filter ini amat berguna sekali semasa contest, terutama contest dalam mode phone. Selain daripada itu, anda juga boleh menggunakan BC (Beat Cancel) untuk menghilangkan bunyi atau tone yang anda tidak ingini dan meningkatkan kualiti audio stesen yang kita kejari. Contohnya adalah seperti berikut, katakan anda ingin "work" dengan 9M2ZAK, tetapi pada masa itu band amat crowded dengan pelbagai stesen yang tinggi-tinggi kuasanya. Anda masih boleh menangkap 9M2ZAK dengan mengaktifkan BC dan stesen yang berada disebelah 9M2ZAK itu tadi akan hilang audionya dan 9M2ZAK pula akan lebih menonjol kualiti audionya. Itulah fungsi BC yang begitu function di TS-480.



Bagi CW, ianya adalah syurga untuk mereka. Terdapat dua port untuk peminat cw iaitu port Key dan Lambic. Yang menariknya kedua-dua port ini boleh beroperasi dengan serentak. Ini bermakna, kita boleh cq dengan komputer dan ragchew dengan key tanpa perlu mengubah apa-apa setting. Berbeza sekali dengan Yaesu. Lagi satu keistimewaan TS-480 ialah automatik zero beat. Dimana kita boleh mendapat freq tepat rakan yang sedang cq itu tanpa mengaktifkan zero beat. Jadi stesen yang datang dengan kelebaran yang besar boleh dikenalpasti freq tepatnya.

Seiring dengan kemajuan teknologi pengkomputeran, TS-480 juga tidak ketinggalan sebenarnya. Kita juga boleh mengawal TS-480 ini dengan menggunakan komputer atau laptop. Ini adalah kerana di bahagian depannya ada port RS-232. Jadi kita boleh sambung TS-480 ini terus kepada PC dengan menggunakan USB converter ataupun direct. Dengan menggunakan komputer, maka secara automatiknya TS-480 anda boleh di-remote dimana sahaja internet berada dan boleh mengawalnya melalui PC. Urusan logging akan menjadi lebih mudah dan seronok sekali.


Secara keseluruhannya, TS-480SAT ini wajib dimiliki oleh penggemar radio amatur yang sukakan kesempurnaan dan juga sesuai bagi mereka yang memiliki shack yang kecil kerana ianya boleh meminimunkan ruang. Malah bagi ham yang selalu mobile, TS-480 adalah penyelesaiannya.  Harga terkini dipasaran ialah SD1300.00

Jumpa dan jumpa lagi, selamat berpuasa dari saya Zaki 9M2ZAK 73.

Monday, June 29, 2015

20 Meter Band Report : Sunday 28 June 2015


Malam tadi kawan rasa amat bertuah, rasa bertuah kerana stesen dari Brazil telah masuk ke dalam CQ kawan. Bukan satu, malah dua stesen yang masuk. Stesen yang pertama ialah PY2KA dan yang kedua ialah PY2DV. Kedua-dua stesen tersebut datang dengan kuat. 599 masuk ke Kulaijaya. Untuk pengetahuan rakan-rakan sekalian, pada masa itu kawan hanya berkaki ayam sahaja (100w) dan antenna yang digunakan adalah antenna jenis yagi 6 element. Tetapi 3 bander-lah. Bukan monoband dan antenna tersebut dihalakan ke arah 35 darjah Utara. Maknanya rakan dari Brazil itu tadi datang dari long path. Wow!!!

Masa pula sekitar UTC 11.00z ini bermakna di Brazil sana sedang waktu pagi. Disini ada dua kemungkinan, kemungkinan yang pertama ialah rakan tersebut mengadap radio dia sejurus selepas dia bangun tidur atau kemungkinan yang kedua pula, rakan tersebut mengadap radio dia sebelum beliau berangkat ke gereja. Namun apa pun, signal mereka memang kuat. Kuat seperti stesen Jepun. Pada awalnya kawan hanya dapat copy 2KA. Dalam hati kawan, ini mungkin Japan stesen. Tetapi apabila kali kedua kawan minta pengesahan, beliau menghantar PY2KA, bukan sekali dia hantar. Tetapi 3 kali dia hantar callsign dia. Mungkin dia juga teruja sama seperti kawan teruja. Jadi kami masing-masing menggengam tangan dan berkata YESS!!! sambil menghentap tangan kanan ke bawah. Gamaknya....

Dalam pada itu kedengaran juga ada lagi stesen PY yang cuba masuk. Tetapi sayang, signal mereka terlalu lemah. Kawan hanya mampu copy PY sahaja. Apabila kawan kembali CQ seperti biasa. Masih kedengaran lagi stesen PY yang lemah itu cuba untuk mendarat di tanah Kulaijaya. Kawan cuba jugak membantu beliau dengan melebarkan filter, mengaktifkan butang NR, mengaktifkan PRE AMP tetapi agak malang. Rakan PY itu tadi masih tidak dapat diselamatkan. Beliau terus tenggelam bersama-sama noise yang tiba-tiba mencanak tinggi. Noise itu terjadi apabila matahari tenggelam atau berada di bawah horizon. Kawan sudah perasan, semasa peralihan siang ke malam, atau malam ke siang...akan berlaku sedikit peningkatan noise pada band.

Kemudian pada malam tersebut, kawan menyambung kembali aktiviti memburu kawan dengan antenna masih teguh menghala ke Amerika Utara. Namun dalam pada itu, masih ada juga stesen dari eropah yang melompat masuk. Kebanyakkannya dari Russia dan Utara Eropah. Mereka datang dari long path juga. Hari ini hari long path gamaknya.... hasil CQ DX pada malam tadi, kawan berjaya mengutip 79 QSOs dengan 23 DXCC. Tiada langsung DXCC yang baru, semuanya yang sudah ada....jadi la... 73 Zaki.

Saturday, June 27, 2015

20m band report : 27 June 2015

Malam ini kawan segar. Jadi bolehlah menyambung aktiviti yang tertunggak pada malam semalam. Pada malam semalam kawan kecundang ditangan eropah. Jadi, misi malam ini, kawan ingin menebus kembali kejadian malam semalam. Apa yang berlaku pada malam semalam, diminta saudara sekalian membaca kembali post yang semalam.

Semalam kawan berada di 15m. Pada mulanya kawan ingin berada disana juga tadi. Tetapi apabila diteliti dengan betul-betul, band 15m noise dia tinggi. Jadi sebelum orang gelar kita pekak, baik kita cabut ke band yang lain. Kemudian kawan dapati band 20m kurang noise-nya. Masih ok, malah apabila kawan monitor beacon, tone yang kedua itu masih jelas kedengaran. Untuk pengetahuan saudara-saudari sekalian. Freq beacon bagi band 20m ialah 14200mhz, dimana pada freq tersebut, akan kedengaran beacon NCDXF/IARU dari seluruh dunia yang memancar pada mengikut callsign masing-masing dan diakhiri dengan empat tone iaitu tone yang pertama 100w, kedua 10w dan ketiga 1w dan yang keempat 100miliwatt.


Jadi dengan tone beacon tersebut, ianya boleh membantu kita untuk merancang berapakah kuasa pemancaran yang ingin dipancarkan. Jika kedengaran tone 100w sahaja, maka kita perlu main high power iaitu 100w atau lebih, jika dengar tone yang kedua, kita boleh main low power, iaitu 50w atau 30w. dan jika kedengaran juga tone ketiga, maka operasi low power secara ekstrem boleh dilaksanakan, dan...jika tone yang ke-4 kedengaran, maka sesuailah kita tambah dibelakang callsign kita dengan /QRP. Inilah salah satu teknik yang digunakan oleh para-para dxer diluar sana untuk mereka menentukan jenis operasi mereka samada mahu main QRP atau tidak. Hendak main QRP ini, bukannya boleh main TX sahaja. Akal kena panjang sikit. Barulah berjaya. Jika tidak...nanti kita akan cepat bosan dan mengalah kerana tidak mendapat contact. Tapi malam ini kawan main low power. Jimat karan sikit.

Ok, berbalik kita kepada band 20m itu tadi. Malam tadi kawan berjaya mengutip 67 stesen dengan 20 DXCC pada freq 14031.50. Dimana kawan mula DX pada jam 10.00 malam hingga 11.00malam. Sengaja kawan DX dalam masa sejam sahaja kerana ingin mengetahui berapa contact yang boleh dicapai dalam masa tersebut. Jadi ok-lah tu dengan kutipan sedemikian rupa. Lagipun hari ini hari sabtu, maka masih ramai warga ham diseluruh dunia yang bekerja. Kita tengok esok pula. Bagaimana pula ceritanya kerana esok Ahad. Mesti akan ada sedikit peningkatan. Itu ramalan kawan sajalah. Tuhan juga yang menentukannya.

Ok, sampai kita berjumpa lagi pada post-post yang akan datang. Selamat berpuasa. Salam 73 dari saya Zaki 9M2ZAK.

How to run rtl-sdr over tcp with dsdplus fastlane

step 1 : build your own raspberry pi vpn server wget https://git.io/vpn -O openvpn-install.sh chmod +x openvpn-install.sh sudo apt update &a...