Sunday, January 19, 2014

40 Meter Band DX : Long Path CW QSO (Europe Station)

Tadi kawan sempat meluangkan masa di band 40m. Kawan dapati keadaan band 40m pada malam ini senyap pula. Kurang QRM dan noisenya rendah. Pada QTH kawan, ia mencatat bacaan sekitar S0 dan kadangkala S1, dan ianya berterusan sehingga jam 11:45 malam. Selepas itu, noise kembali tinggi sehingga S5 dan S6. Semasa noise rendah itu tadi, kawan sempat mencekup beberapa stesen dari Eropah. Signal mereka amat kuat dan jelas. Daripada butiran CQ mereka, semuanya datang melalui long path, iaitu 130' SE. Memandangkan kawan menggunakan dipole, jadi perbezaannya tidaklah ketara sangat. Namun kawan layan sajalah CQ mereka tersebut. Hasilnya...

OM3DX : 7001.5 mhz / 599
HA8RM : 7007.00mhz / 599
LZ2VU : 7011.00 / 599
dan UA6YT / 7007.00 / 599. ( dlm QRZ takde gambar). Kesemua stesen-stesen ini datang dari Eropah dan menurut mereka, mereka menghalakan 40m yagi mereka mengikut arah long path ke sini. Wow!!! 40m yagi...bilalah kawan nak merasa antenna ni. Dalam masa yang sama, kedengaran juga stesen dari Vietnam, iaitu 3W1T di 7010.00mhz. Tetapi begitu susah untuk menembusi beliau kerana beliau dihujani oleh stesen dari Eropah dan Amerika Utara. Semuanya datang dengan watt yang besar-besar belaka, kawan yang 100 watt ini pasti akan mudah ditelan oleh mereka. Tidak mengapalah, mungkin tiada rezeki kawan pada malam ini. Lagipun DXCC Vietnam sudah ada dalam koleksi. Bagi peluang kepada yang belum memilikinya. Memandangkan waktu semakin lewat ini, kawan berundur dulu dari frequency, esok ada banyak kerja yang sedang menanti. 73




Saturday, January 18, 2014

Saturday 18 January 2014, My HF Dxing Day

Aktiviti meneroka High Frequency dimulakan pada tepat jam 2.44 petang selepas semua tugasan diselesaikan. Pada masa itu, hanya band 10m sahaja yang menunjukkan tanda-tanda pembukaannya. Sebelum itu, kawan meneliti semua frequency beacon, namun satu pun tiada kedengaran. Tiba-tiba teringat kawan kepada sebuah beacon di Darwin, Australia iaitu VK8VF. Beacon VK8VF memancar pada frequency 28268.10 dalam mode CW. Syukur alhamdulilah...sebaik sahaja kawan QSY ke frequency tersebut...kedengaran begitu kuat dan jelas sekali audionya. Walaupun pada masa itu kawan hanya menggunakan G5RV Jr sahaja. Kawan monitor beacon tersebut selama beberapa minit untuk  memantau keadaan band. Selama lebih kurang 15 minit memantau beacon VK8VF sambil makan kuaci bunga, kawan dapati transmisi dari Darwin itu stabil sahaja. Signal yang masuk kekal  599 ke Kulaijaya.

Langkah pertama diambil, frequency 28035.00 mhz menjadi pilihan kawan setelah menelitinya. Frequency ini kosong dan tidak diduduki. Kelajuan 33 WPM disetkan pada transceiver kerana kelajuan inilah rakan-rakan dari seluruh menggunakannya. Tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan. Selesa dan ramai pengikutnya.

Jam menunjukkan 3.15 petang dan pada waktu itulah kawan memulakan aktiviti DX. Sebelum panggilan CQ dibuat, kawan meneliti lagi frequency 28268.10mhz. Beacon masih kuat kedengaran, ini bermakna band masih lagi membuka. Keyakinan kawan bertambah lagi apabila kedengaran bunyi QRN dari corong pembesar suara transceiver. Ciut - ciut bersahutan serta kadar noise yang rendah iaitu sekitar S1-S2.

Maka dengan rasminya selepas itu, tanda panggilan 9m2zak CQ ke udara. Setelah setengah CQ, memanggil dan memanggil, panggilan kawan langsung tiada sahutan. Adakah band closed, untuk memastikan keadaan band. Kawan berkunjung semula ke 28200mhz dan 29268.10mhz. Pada frequency 28200mhz, kawan dapati langsung tiada sebarang signal dari mana-mana beacon. Setelah 5 minit memantau di frequency tersebut, kawan QSY pula ke 28268.10. Pada frequency tersebut, beacon VK8VF masih kuat kedengaran. Setiap transmisinya dapat didengar dengan jelas. 599 masuk ke Kulaijaya. Kawan kembali ke 28035.00mhz untuk menyambung semula CQ DX kawan.

4.00 petang
Aktiviti DX terpaksa dihentikan sebentar kerana kawan ada tugasan. Lagipun pada waktu itu, kawan masih belum mendapat sebarang contact selepas 45 minit CQ. Memang mencabar dan menuntut kesabaran sungguh aktiviti DX ini. Kalau tidak sabar...habis lunyai transceiver ini kawan kerjakan. Marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Marahkan keadaan band, habis transceiver dihentaknya.

5.00 petang
Setelah selesai segala tugasan, kawan kembali beraksi ke udara. Frequency tetap sama dan antenna pun sama. Sengaja kawan memilih untuk beraksi dengan wayar antenna untuk menilai prestasinya setelah hampir 4 tahun beliau tergantung di atas bumbung. Berhujan dan berpanas tanpa memberi sebarang rungutan. Setelah 11 minit panggilan CQ dibuat, callsign kawan muncul pada website RBN ( Reverse Beacon Network). Kawan telah dispot oleh stesen dari China BA7NQ dan Jepun JA4ZRK.
Berjaya dispot
Hmm...nampaknya signal kawan hanya sampai ke Jepun dan China sahaja. Tapi itu tidak mengapa, perjuangan dan hidup mesti diteruskan. Kawan tetap CQ dan CQ tanpa se-inci pun timbul rasa jemu dan bosan. Tiba-tiba semasa sedang asyik CQ, panggilan kawan telah disahut. Sebuah stesen dari India iaitu VU2UR telah menyahut panggilan kawan. CQ kawan telah masuk ke India dan beliaulah stesen pertama kawan pada hari ini selepas hampir sehari bergelumang dengan radio. Punyalah susah nak dapat contact pada hari ini. Adakah keadaan band semakin teruk? persoalan itu selalu bermain di dalam kepala kawan. Tiba-tiba kawan terbau sesuatu...bau yang biasa kawan bau. Nescafe dan karipap...apabila kawan menoleh kebelakang, kelihatan XYL kawan sudah bersedia dengan coffee dan karipap. Terima kasih kawan ucapkan kerana bersusah-payah menyediakan semua ini. Rasa berbunga pulak dalam diri. Thanks sayang.

DX Coffee
Nampaknya sekali lagi aktiviti DX terpaksa dihentikan. Tapi kali ini kawan hendak menikmati dahulu karipap panas dan neskafe. Bukannya apa, nanti kalau dah sejuk ianya sudah tidak enak lagi. Selepas selesai menikmati hidangan, aktiviti DX disambung semula.

Kali ini kawan QSY pula ke band 20m kerana pada waktu itu, band tersebut penuh dengan aktiviti. Nampaknya rancak band ini sekarang. Penuh dengan DX station. Frequency 14024.50 menjadi pilihan. Tidak sampai 5 minit, panggilan kawan dijawab. Kali ini dijawab oleh sebuah stesen dari Jepun JO3HPM. Selepas bertukar signal report, beliau masih ingin QSO dengan kawan. Beliau bertanya tentang antenna yang kawan gunakan kerana beliau dapat copy 599 di QTH beliau iaitu Hyogo, Jepun. Dengan penuh kejujuran dan rasa rendah diri, kawan menyatakan yang kawan hanya menggunakan G5RV Jr dan TX dengan kekuatan 50 watt. Namun dengan mode CW ini, 50 watt itu sudah dikira kuat sebenarnya. Malah dengan QRP pun boleh. Kemudian beliau bertanya lagi mengenai nombor FIST kawan. Rupa-rupanya beliau adalah Editor of FISTS East Asia (FEA) newsletter "morsEAsia": http://www.feacw.net/nl/ . 

JO3HPM 
Patut pun pelbagai soalan dia bertanya kepada kawan seperti jenis transceiver-ant-tx pwr-jenis key-qth-lesen tahun bila-locator. Rupanya memang tabiat dan kerja dia iaitu bertanya. Selepas habis QSO dengannya. Muncul pula dua callsign, iaitu JH6ANR dan JR0QWW. Kedua-duanya juga dari Jepun. Kedua-dua mereka kawan terima 599 dan kami hanya bertukar signal report sahaja. Aktiviti DX pada band 20m diteruskan.Cuti hujung minggu akan dimanfaatkan sepenuhnya. Keadaan band 20m boleh dikatakan agak baik juga, signal kawan berjaya dispot dari pelbagai benua dan negara.

































Paling kuat ianya masuk ke negara India iaitu 17dB. Maknanya...callsign kawan dapat didengar dengan selesa disana. Oleh sebab itu, kawan nampaknya akan stay disini buat beberapa ketika untuk CQ dan CQ serta frequency 14024.50mhz menjadi tempat parking kawan.

Jam 8.03 malam
Kawan bercadang untuk lepak disini (20m) dalam masa sejam. Selepas itu akan berpindah ke 40m pula. Tetapi frequency tadi kawan terpaksa lupakan kerana ianya telah diduduki. Jadi kawan terpaksa pilih frequency yang lain pula. Sekali lagi kawan terpaksa merayau-rayau disekitar band untuk mencari frequency yang sesuai dan tidak diduduki. Akhirnya frequency 14001.54mhz mendapat tempat dihati kawan. Selepas itu, banyak stesen dari eropah masuk dan mereka sebenarnya sedang contest. Hungarian DX Contest rupa-rupanya bermula pada jam 8.00 malam tadi. Tapi kawan dalam mode DX bukan contest. Jadi untuk memberi laluan kepada aktiviti contest yang sedang giat berlangsung ini. Kawan akan QSY ke WARC band pula, sebab pada band-band ini ( 30m-17m-12m ) aktiviti contest tidak dijalankan. Jom kita QSY ke 30m. Band 40m yang kawan cadangkan tadi...cancel nampaknya.

Band 30m
Frequency 10108.50mhz dijadikan tempat lepak kawan pada malam ini. Kawan masuk semula ke dalam shack pada pukul 12.21 pm waktu tempatan iaitu bersamaan dengan UTC 16:21 zulu. Band 30m nampaknya membuka dengan meluas kerana signal kawan telah dispot oleh VU2PTT dari India, JJ1LIB dari Jepun dan BA7NQ dari China. Kawan pada masa itu, tekun CQ dan CQ menanti callsign kawan dispot oleh rakan dari Amerika Utara ataupun dari Eropah. Band 30m penuh pada malam ini. Rupa-rupanya ramai juga kaki DX yang lepak sini. Kawan faham kenapa mereka lepak sini. Mereka juga sama seperti kawan, ingin memberi laluan kepada aktiviti contest pada tradisional band iaitu 80m-40m-20m-15m-10m.

Pada frequency 10102mhz ada RM22HD, 10106mhz ada EX9M, 10104mhz ada RI1ANT dari Antartica, manakala kawan pula lepak 10108.50mhz. Manakala pada 10114mhz pula ada Z3OU, dan frequency 10106mhz pula ada G4IIY. W4BLX pula duduk rapat dengan kawan iaitu 10108mhz. Walaupun kami sangat rapat, namun ianya tidak menjadi masalah kerana kawan setkan filter sehingga 300hz. 


Akhirnya pada jam 12:44 pagi bersamaan dengan UTC 16:44 zulu, signal kawan telah berjaya mendarat ke Amerika Utara. WA7LNW dan W3LPL telah spot kawan dicluster. Ini bermakna, signal 50watt kawan telah mendarat di dua tempat di Amerika Utara, iaitu di Utah ( WA7LNW) dan Maryland (W3LPL). Tidak beberapa kemudian, CQ kawan pula disahut. Juga dari Amerika Utara...iaitu N6MA. Yang bestnya, N6MA memancar dari Arizona. Ini bermakna signal diterima dari pelbagai negeri di Amerika Utara sana.


Kemudian selepas itu kawan menerima pula panggilan dari Eropah, kali ini dari LY2ER. LY2ER adalah callsign dari negara Lithuania. Seminit kemudian, RK6AM pula masuk, iaitu sebuah stesen dari Russia. Belum sempat kawan menghabiskan seteguk nescafe panas, BV2DQ dengan kuatnya menerjah. Hampir tersembur kawan dibuatnya, kuat sungguh signalnya. 599 20dB. Berapa agaknya TX power beliau. Tapi kawan tidak bertanya pula kepadanya. Kami hanya bertukar signal report dan dia pun angkat kaki dari frequency kawan. 

Laporan yang ditunggu-tunggu telah pun tiba, DL1EMY sebuah stesen dari Jerman telah berjaya mengesan kawan dan ZL2RV New Zealand juga telah spot kawan. Ini bermakna, signal kawan bergerak hampir ke serata dunia. Cuma tinggal report dari benua Africa saja lagi. Jika ada stesen dari benua Africa spot kawan. Ini bermakna kawan sudah pun mengelilingi dunia pada hari ini. Mengelilingi dunia hanya dengan wayar tembaga dan kuasa 50watt.

Sejurus selepas itu, stesen dari Ukraine pula masuk, UR5MM diterima kuat dan jelas, 599 tanpa sebarang masalah dan diikuti pula oleh K6URK dari Amerika Utara. Dalam pada itu, BV2DQ, stesen dari Taiwan juga tanpa segan silu check-in dalam CQ kawan.begitulah keadaannya apabila DX di band 30m. Band 30m ini lain sedikit jika hendak dibandingkan dengan band-band yang lain. Lainnya adalah pada perangai atau keupayaan band tersebut. Dimana apabila ia membuka, ia akan membuka secara broad, hampir ke seluruh dunia ianya membuka. Kita boleh dapat QSO dengan stesen dari pelbagai arah dan benua. Mungkin sebab itu gamaknya band ini tidak dipertandingkan dalam contest. Itu hanya taksiran kawan sahaja, mungkin ada sebab lain juga. Kawan dapat rasakan.


































Badan mula terasa letih dan penat. Jam ditangan menunjukkan pukul 2:07 pagi, manakala jam di komputer pula 2:11 pagi dan jam didinding pula 1:11pagi. Jam dinding lari sejam rupanya. Manakala keadaan band pulak semakin baik. Noise semakin kurang. Disamping itu juga kedengaran 9m2/JE1SCJ CQ di 10108.2mhz. Rapat sangat tu, kawan boleh dengar CQ beliau dari frequency yang kawan lepak. Jadi untuk mengelak sebarang kesulitan, kawan QSY ke 10111.5mhz. Sejurus kawan QSY ke sana, ZL2IFB dari New Zealand pula masuk. Tapi signalnya tidak beberapa kuat sangat. Hanya 557 kawan terima di Kulaijaya.

Niat dihati memang nak DX lagi tapi memandangkan sudah hampir 8 kali kawan tersengguk dihadapan radio. Kawan akan QRT nampaknya. Lagipun dendam kawan sudah dibalas. Dendam untuk DX dengan sepuas-puasnya. Hari ini kawan DX bermula dari band 10m-20m dan 30m. Terima kasih daun keladi kawan ucapkan kepada semua rakan yang check in dalam CQ DX kawan. Semoga ikatan persahabatan yang terjalin ini kekal selamaya. 73 de Zaki.

Thursday, January 16, 2014

Respect the QRP frequency

Maha Suci Allah dan dengan puji-pujian kepadaNya sebanyak bilangan makhlukNya dan keredhaan diriNya, Dan beratnya timbangan arasy-Nya dan sebanyak dakwat kalimat-kalimatnya....pada tepat jam 2.35 pagi waktu tempatan, kawan dikejutkan dengan deringan Email Alert dari telefon bimbit kawan. Rupa-rupanya kawan telah menerima email dari Gianfranco, IK0ZME. Beliau telah meluluskan dan menerima permohonan kawan.

Gianfranco, IK0ZME telah mengajak kita untuk turut serta dalam kempen yang beliau anjurkan iaitu Respect the QRP frequency. Saudara dan saudara sekalian juga boleh menyertainya dengan hanya mengisi beberapa butiran dalam borang yang disediakan. Hanya perlu klik pada laman web ini ( http://qrprespect.jimdo.com/award-request/) dan ikuti segala arahannya. Kawan pasti permohonan saudara akan diluluskan oleh beliau. Saudara dan saudara juga boleh singgah sebentar ke laman facebook mereka iaitu https://www.facebook.com/qrprespect untuk menikmati pelbagai info yang terkini mengenai aktiviti yang mereka lakukan.

Bila diamati dengan penuh teliti, kempen yang mereka anjurkan ini ada kebenarannya. Perkara pokok yang mereka perjuangan itu ada betulnya. Kita tidak perlu pergi jauh, jika saudara dan saudari ingin mengetahui dan mendengar sendiri kebenarannya. Sila pusingkan tombol VFO anda dan pergi ke 7030mhz atau 7040mhz atau 7090mhz. Kawan pasti akan dengar QRM daripada mereka yang tidak memahami kedudukan frequency ini.
Ruang untuk peminat dan penggemar QRP telah dinafikan pada frequency tersebut sedangkan ianya dikhaskan untuk penggiat kuasa bateri 3Volt atau 9Volts. Jika frequency ini diduduki oleh penggiat 100 watt dan ke atas (selalunya lebih), bagaimana geng-geng QRP ini dapat menguji peralatan mereka? Bagaimana geng-geng QRP ini dapat mengetahui sejauh mana pancaran mereka? Jika transmisi mereka ditelan atau ditindih oleh kaki-kaki besar ini. Perkara ini juga kadangkala berlaku pada frequency-frequency yang lain. Cuma ianya lebih ketara apabila adanya contest, terutama sekali jika ada contest-contest yang besar. Habis semua frequency dilanggarnya. Hilang habis segala etika apabila kepentingan diri diutamakan.

Ketetapan telah diputuskan...ruang untuk mereka juga telah direncanakan. Jadi silalah ikut dan patuhi segala panduan dan peraturan. Daripada kekalutan...maka terciptalah peraturan, daripada peraturan juga terciptalah kekalutan. Please respect the QRP frequency. 73 de Zaki.

p/s :- terima kasih diucapkan kepada Dr Mohd Noh Karsiti 9W2MNW kerana sudi memberi kebenaran untuk beraksi dengan KX3 beliau dan tidak lupa juga kepada saudara Phang Chew Foung 9W2VXP kerana memberi inspirasi-idea dan link sehingga bertemunya kawan dengan kempen ini. Sebenarnya sudah lama kawan mencari gerakan sebegini. Akhirnya ketemu juga. Terima kasih kawan ucapkan. :)

Wednesday, January 1, 2014

Selamat Tahun Baru 2014 : Mulakan dengan azam yang baharu dan mode baru pada tahun ini.

Alhamdulillah, segala puji bagi ALLAH Yang Maha Esa Maha Pemurah lagi  Maha Penyayang serta Maha Pengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan yang membawa obor menyuluh manusia dari kegelapan kekufuran kepada cahaya Islam. Kedatangan tahun baru 2014 ini begitu sinonim dengan pelbagai azam baru kita. Namun azam yang ditanamkan itu biarlah tidak tinggal azam atau tinggal sekadar angan-angan sahaja. Mode CW mesti aku kuasai pada tahun ini. Itulah azam yang kawan maksudkan pada tahun ini.
            Kata pepatah, buatlah dengan apa yang ada ditangan, bukan yang ada dalam angan-angan. Biar sedikit latihan tetapi dilakukan secara berterusan. Bukan banyak masa yang diperuntukkan tetapi hanya sekerat jalan. Hangat-hangat tahi ayam…Kalau kail panjangnya sejengkal, memancinglah di pinggiran tasik atau alur-alur sungai dahulu. Tengok…boleh dapat ikan atau tidak. Sebesar jari kelingking atau sebesar lengan. Daripada situ kita boleh memperbaiki kelemahan kita dan mempertingkatkan kemampuan kita. Kalau dulu kita keliru antara F dan L, pada tahun ini…kita jadikan F dan L itu sebagai makanan kita. Kalau dulu kita merangkak terima 16 WPM…tahun ini kita jadikan 16 WPM itu copy sambil makan kuaci bunga. Kita belajar daripada kegagalan dan kejayaan kerana itulah yang dinamakan pengalaman. Pengalaman adalah guru yang paling jujur dalam mendidik kita untuk menjadi cemerlang.
            Seandainya tasik atau pinggiran sungai sudah ditawan, berazamlah pula untuk cuba mengadu nasib di tengah lautan dalam pula. Jika selama ini kita hanya ditakuk lama iaitu 16 – 18 WPM…maka tahun ini cuba pula tingkatkan ke 25 – 30 WPM. Ini bermakna, kita yang bermula dari bawah tidak pula sentiasa berada di bawah. Insya-ALLAH, kita boleh mencapai kejayaan dan mampu untuk mengharungi apa jua cabaran yang datang. Ayuh kita bersama-sama meningkatkan diri kita. Sampai bila kita nak lihat dicluster tanda panggilan negara kita dipunyai oleh darah lain. Tepuk dada tanya selera…Maruah kita perlu dijaga…
            Selain daripada itu, janganlah sekali-kali kita abaikan azam dan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mahu meninggalkan apa sahaja aktiviti atau tingkahlaku yang bersifat mendatangkan dosa dengan ALLAH SWT dan dosa sesama manusia. Tidak ada gunanya kita tekun dan berbakti atau beribadat tetapi dalam masa yang sama…hal-hal berkaitan tabiat buruk yang selalu kita lakukan pada tahun lepas tidak kita hindari. Mungkin sukar untuk kita hendak meninggalkannya sekaligus. Buatlah secara berperingkat-peringkat. Yang penting…ianya berterusan.
            Jangan lepaskan pergantungan kita kepada ALLAH SWT. Sebab itulah kita kena berazam dan selalu bertawakal kepada ALLAH SWT agar azam kita diberkati dan dipermudahkan untuk kita melaksanakannya. Salam 73 dari Zaki Din 9M2ZAK.

“ Sesungguhnya berjayalah mereka yang membersihkan jiwa dan merugilah mereka yang mengotorinya”

( Surah Asy-Syams : 9 -10 )

Warning from apt-key: Key is stored in legacy trusted.gpg keyring (/etc/apt/trusted.gpg)

  This worked for me... Code:  Select all sudo cp /etc/apt/trusted.gpg /etc/apt/trusted.gpg.d