Malam tadi, band 20m kedengaran cantik, signal noise sekitar S0 kekadang membawa ke S1. Pada waktu itu, jam menunjukkan pukul 10.30 malam. Awal pula ia membuka pada malam ni. Pada malam sebelumnya, iaitu pada malam Sabtu, iaitu pada hari Contest CQWPX SSB tempohari, band 20m jugak membuka awal, kawan dengar dengan kuat station dari eropah pada waktu tersebut, iaitu sekitar pukul sembilan lebih. Selalunya secara kebiasaannya kita warga Malaysia Barat, waktu sekitar 8pm hingga 10pm adalah dead zone bagi kita, jika terdengar pun, mungkin station dari Indonesia, atau sekitar nusantara sahaja dan bukannya dari eropah. Namun pada malam istimewa tersebut, ianya jelas kedengaran.
Jadi peluang keemasan tersebut saya tidak sia-siakannya. Lagipun agak lama jugak saya tidak terbang pada band ini. Sejak antenna 80m/160m dinaikkan, tumpuan lebih diberikan kepada gentleman band tersebut. Ternyata band 80m/160m ini band yang sungguh mencabar. Mencabar kerana ianya menuntut kesabaran. Sebab itulah, band ini dihuni oleh otai-otai atau old timer sebab mereka mempunyai paras kesabaran yang tinggi, tak macam kita...darah muda yang sentiasa berkocak dengan rakusnya.
Jadi, saya pun plug-in coax ke antenna selector usang saya, sebenarnya coax Belden ni pun sudah usang juga. Sudah 11 tahun coax ini berbakti kepada saya. Namun dek kerana prestasinya masih mantap, iaitu masih padu seperti dahulu. Maka khidmat dan perkhidmatannya diteruskan lagi. Selagi ianya masih berfungsi dengan baik, selagi itulah saya akan menggunakannya. Memang berbaloi pelaburan kawan sebenarnya.
Freq 14038.00 mhz menjadi pilihan saya pada malam tersebut. Sebenarnya, saya selalu lepak pada sekitar 14025.00 (CW) hingga 14288.00 (SSB) sebab pada sekitar freq itu, SWR ant kawan adalah 1:1. Jadi mudahlah ke sana ke mari atas dan bawah rookie band tanpa memikir SWR dan menjimatkan masa dengan tune ant. Dan yang pastinya, kekuatan penuh akan saya nikmati sepenuhnya.
CQ sulung kawan, pada malam tersebut disambut mesra oleh sebuah station dari Russia, iaitu R7GR. Kuat signal dia wei...jadi ini satu petanda bahawa band membuka dengan cantik ke arah eropah. Kemudian selang 40 saat kemudiannya, station dari Germany DL5RHN pula menyapa dengan memberi salam. RST yang diberikan olehnya juga kuat, 599, dia kata signal saya di German sana. Dalam hati saya, terdengar seperti ada satu suara halus berkata... sekejap lagi pile-up nih.
Getusan hati saya mengena, Pada CQ yang ketiga...iaitu selepas selesai bersembang gajah dengan station German tersebut. Pancuri Malis Station dihujani station dari serata eropah. Saya tarik nafas dalam-dalam dan lapangkan fikiran...lantas dengan penuh rasa kasih sayang, semua station yang menerjah masuk itu dilayan dengan penuh kasih sayang.
Secara totalnya, saya berjaya mengutip sebanyak 150 station dengan 32 DXCC dari 7 zone iaitu zone 14, 15, 16, 17, 18, 20 dan 33. Tepat jam 12.30 malam, saya sudah tidak berdaya lagi, bukannya tidak berdaya menerima asakan eropah, tetapi tidak berdaya melawan rasa ngantuk. Jadi saya terpaksa meninggalkan rakan-rakan di eropah sana secara mendadak. Lantas 9M2ZAK QRT dihantar beberapa kali dan tiba-tiba...freq tersebut terus menjadi sunyi sepi...seperti tidak pernah berlaku apa-apa sebelum ini. Padahal 30 saat sebelum itu, mereka saling tindan menindan antara satu sama lain, saling pijak memijak antara mereka. Inilah satu lagi keunikkan radio amatur yang tidak ada pada yang lain. Jangan risau kawan... lain masa jika band mengizinkan, saya akan muncul lagi dari corong headphone Heil Pro 7 kalian dan membantu kalian mendapatkan prefix dari 9M2land untuk dimasukkan dalam log kalian dan menambah pungutan DXCC kalian............salam 73 Zaki 9M2ZAK