Bagaimanakah caranya jika saya ingin menyertai acara Radio Contest? Apakah undang-undang dan peraturannya? dan dimanakah saya boleh merujuk atau meneliti undang-undang tersebut serta mendapatkannya? dan apakah hadiah yang ditawarkan oleh pihak yang menganjurkan Radio Contest tersebut? dan adakah kelas lesen saya itu layak untuk menyertainya?
Saya amat percaya, persoalan diatas akan bermain dibenak masing-masing semasa kalian mula-mula ingin atau berjinak-jinak untuk menyertai Radio Contest. Sebelum ini, kalian hanya ternampak atau terbaca posting rakan-rakan mengenai tarikh contest, dan juga ranking kedudukan mereka dalam setiap kontes yang disertainya. Rasa ingin tahu itu membuak-buak didalam sanubari kalian...jadi dalam paparan kali ini, saya akan cuba menerangkan sejelas yang mungkin segala perkara yang berkaitan dengan Radio Contest ini.
Radio Contest atau juga disebut radiosport ini adalah suatu pertandingan diantara semua station diseluruh dunia, dimana setiap station ini, samada bergerak secara berkumpulan atau solo akan bersaing sesama sendiri mengutip atau mendapatkan contact dari negara lain dengan seberapa banyak yang mungkin dalam jangkamasa yang ditetapkan. Selalunya dalam masa 48 jam pada setiap hari sabtu dan ahad. Pada setiap contest tersebut, pertukaran informasi tertentu dilakukan sebaik sahaja contact berjaya dibuat. Semuanya bergantung kepada peraturan contest, lain contest lain pertukaran infonya. Ada contest yang memerlukan kita bertukar-tukar maklumat umur operator, ada juga yang bertukar jumlah contact terkini masing-masing dan ada juga yang bertukar-tukar CQ Zone. Malah pertukaran grid locator pun ada.
Apabila masa sudah tamat, iaitu cukup 48 jam, setiap peserta dikehendaki menghantar log mereka secara email ke pihak penganjur. Email tersebut boleh didapati dari undang-undang yang mereka sediakan itu. Jadi seelok-eloknya, bacalah dengan teliti undang-undang dan peraturan contest sebelum menyertainya. Ini bertujuan supaya kita tidak melakukan kesilapan semasa pertukaran info dan juga semasa proses penghantaran log kita. Log kita tersebut akan diproses oleh pihak penganjur, cross-checking antara log untuk mendapatkan kesahihannya dan selepas itu mata terkumpul kita itu akan diproses dan disusun mengikut ranking dan kedudukan bagi setiap negara, benua dan dunia.
Apa yang istimewa sangat dengan aktiviti contest ni? sehinggakan ianya mendapat sambutan di seluruh dunia. Malah ada juga yang tanda kalendar masing-masing dari awal tahun hingga ke hujung tahun tarikh-tarikh penting untuk setiap contest ni. Sebenarnya...begini ceritanya.
Kebanyakkan pemegang lesen radio amatur ini secara keseluruhannya adalah terdiri daripada mereka yang berkerja isnin - jumaat. Jadi sudah tentu tiada masa untuk mereka CQ pada sekitar hari tersebut, jika sempat sekalipun...mungkin hanya sekitar sejam dua sahaja iaitu sebelum tidur. Jika perkara ini berterusan...bagaimana pula mereka ingin mencapai sasaran mereka, iaitu mengumpul DXCC sebanyak mana yang mungkin, malah ada yang ingin menguasainya terus. Ianya mungkin akan mengambil masa 7 hingga 10 tahun untuk menghabiskannya malah ada yang lebih daripada itu, Saya sendiri pun masih belum menguasai DXCC, sudah 11 tahun CQ di udara dan hingga kini, masih belum berjaya memenuhi pungutan DXCC iaitu sekitar 330 DXCC.
Jadi dengan menyertai aktiviti contest ini, maka sudah pastilah kutipan DXCC kita ini akan meningkat dengan kadar yang cepat sebab bagi contest yang besar, seperti CQWW dan ARRL, hampir semua station dari seluruh dunia menyertainya. Habis keluar semua peralatan mereka dari bawah katil masing-masing dek kerana ingin menyertai contest ini. Ada yang bergegas ke jabatan perlesenan radio amatur masing-masing untuk menghidupkan dan juga memohon callsign untuk tujuan ini. Jadi, kita boleh jadikan contest ini sebagai short-cut untuk kita capai sasaran DXCC kita.
Saya percaya, kalau setakat Worked All Continents tu, bagi CQWW...ianya hanya akan ambil masa beberapa jam sahaja untuk mendapatkannya. Itu belum Worked All Japan lagi, Kalau Worked All Japan lagilah...belum habis secangkir kopi sahaja kita boleh mencapainya.
Selain daripada meningkatkan kutipan DXCC, aktiviti contest ini juga membolehkan kita meningkatkan kemahiran kita. Kemahiran dari segi teknikal seperti membina shack, antenna serta logging system dan juga kemahiran mendengar serta menerima kita. Maksud saya disini ialah, kemahiran mendengar dan mengorek station kecil dari celah-celah barisan QRM Big Station. Kemahiran menguruskan pileup apabila seluruh dunia bertumpu kepada kita. Kemahiran teknikal, iaitu bermain dengan transceiver kita dalam mengharungi keadaan band yang sesak dengan station-station lain, malah kemahiran copy dengan baik, terutama bagi cw, dimana selalunya apabila contest...setiap khz itu akan ada penghuninya dan kita perlu dengar dengan teliti dengan siapa sebenarnya mereka contact, samada dengan kita ataupun dengan jiran sebelah kita.
Selain daripada itu, aktiviti contest ini jugak boleh mengeratkan tali persaudaraan kita sesama manusia. Secara tidak sedar, sebenarnya kita dalam masa 48 jam itu, kita telah bersatu. Bersatu disini, bukannya bersatu antara lorong tiong 2 dengan lorong merbuk 8, tetapi satu dunia bersatu. Dalam masa 48 jam itu, SELURUH DUNIA BERSATU, hilang semua ideologi dan fahaman serta kepartian. Hilang semua taraf dan kedudukan. Tiada istilah aku ini, dan engkau itu. Semuanya bergerak dan fokus kepada station masing - masing. Inilah keindahan radiosport yang sebenarnya.
Jadi saya rasa, kalian sudah pastinya berkobar-kobar dah ni. Jika sudah sampai ke perenggan ini pembacaan kalian. Maknanya berminatlah tu. Sehubungan dengan itu, dibawah ini saya lampirkan pautan mengenai senarai contest yang ada serta popular pada masa kini. Antaranya ialah :
- ARRL DX ( www.arrl.org/contests )
- CQ WW ( www.cq-amateur-radio.com ) atau (www.cqww.com )
- IARU HF Championship (www.arrl.org/contests)
- Worked all Europe WAE ( www.darc.de/referate/dx/fed.htm )
- ARRL 10-meter Contest ( www.arrl.org/contests )
- All Asian DX Contest ( www.jarl.org/index.html )
Ini pesan saya, jangan terlalu ghairah sangat dek kerana ingin menyertai sesuatu contest. Masa ber-contest adalah masa yang serius. Kita perlu ingat, sebenarnya ada station di luar negara sana yang menghabis puluhan ribu ringgit, malah ada yang cecah ratusan ribu ringgit semata-mata untuk siapkan station mereka. Mereka ini digelar BIG GUN, dan sudah pastinya mereka ada target masing-masing. Jadi marilah kita bersukan dengan penuh tatatertib dan disiplin. Seperti tidak menindan station yang sedang CQ, tidak memotong perbualan orang, tidak tune pada freq yang ada orang dan tidak terus memanggil station tersebut walaupun kita dengar yang dia sedang panggil station lain. Jangan risau, mereka pasti akan layan kita sebentar lagi, sebab bagi contest, satu station amat berharga sekali. Perbezaan satu mata sebenarnya boleh membezakan antara juara dunia dengan juara antara benua.
Jangan risau, kita sebenarnya tidak perlu sebenarnya untuk setup sebuah station yang super power seperti 6KW atau selebihnya untuk menyertai contest ini. Ini adalah kerana, dalam setiap contest, sudah ada kategorinya, seperti high power, low power dan malah, QRP pun ada. Jadi peluang sama rata ini dapat dinikmati oleh semua peringkat. semua orang boleh menyertainya. Yang penting disini ialah... tahu undang-undang, pastikan kategori anda dan CQ-lah.
Saya pasti, kalian pasti pernah dengar mana-mana aktiviti contest, dan semasa mereka bertukar info, masing-masing akan menyatakan seperti berikut,
"9m2m you are 59 8967" atau " 9m2m 5NN 1925"
Walaupun pada ketika itu, kedengaran operator 9M2M berhempas-pulas untuk mendapatkan reportnya, namun ianya tetap disebut 59. Kalian tak rasa pelik ke? Pelik sebab ianya melanggar hukum alam. "aku dengar teruk sahaja, tapi kenapa dia tetap bagi 59?
Sebenarnya begini bang... dalam contest, malah dalam semua contest sebenarnya. Signal Report atau RST tidak dikira mata sebenarnya, yang dikira adalah exchange sahaja. Jadi kita tidak perlu untuk membuang masa mengamati kualiti signalnya, tetapi perlu mengamati dan dengar betul-betul apakah exchange atau nombor yang akan diberikan kepada kita. Malah dalam system logging sekalipun, jika kalian masukkan 57 1234 pun tidak akan memberi kesan apa-apa kepada logging system. Komputer tetap akan cari exchange number.
Seorang contest operator yang baik...dia CQ dengan menyebut sejelas-jelasnya callsignnya. Cuba masuk ke dalam CQ rakan sejurus selepas rakan tersebut habis CQ. Memberikan exchange dengan jelas dan mengulang kembali apabila diminta dan tidak mengulang-ulang banyak kali. Jika station tersebut terus CQ selepas kalian beri exchange, maknanya dia terimalah. Tak perlu ulang dan tanya beliau. Sebab masa itu emas.
Bagi logging system, saya disini amat tekankan penggunaan log berkomputer. Sebab dengan menggunakan software, kita dapat mengelakkan duplicate serta memudahkan pengiraan mata serta pembetulannya. Jadi kalian tidak perlu risau akan semua perkara tersebut jika menggunakan software. Logging software boleh didapati secara percuma sebenarnya. Apa yang perlu anda lakukan adalah google. Tapi dalam post ini, saya mudahkan kerja kalian, iaitu saya akan senaraikan laman web yang menyediakan software untuk contest log kita. Ada banyak sebenarnya, terpulanglah kepada selera masing-masing. Ini adalah pautannya.
- n1mm ( www.n1mm.com)
- TR-LOG ( www.qth.com/tr )
- WriteLog (www.writelog.com)
- N3FJP Contest Loggers (www.n3fjp.com)
Untuk mendapatkan contact dengan banyak, sudah semestinya kita perlu CQ dan bukannya merayau-rayau di sekitar freq dan masuk CQ orang lain. Sebenarnya...semua itu bergantung kepada objektif contest kalian, jika sekadar suka-suka atau ingin mencari DXCC. Maka kaedah itu boleh digunakan. Tetapi jika kita mengejar kemenangan atau ranking. Maka kita perlu CQ.
Panggilan CQ semasa contest adalah berlainan sama sekali dengan panggilan CQ semasa aktiviti DX. Semasa contest, CQ lah dengan seringkas yang boleh dan CQ pada irama yang selesa. Tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan. Elakkan dari mengeluarkan kata-kata yang kesat dan perkataan yang tidak sepatutnya. Ingat, kita sebenarnya mewakili negara kita. Nama baik negara dan identiti kita perlu dijaga. Kita sebenarnya secara tidak langsung menjadi duta bagi negara kita. Hebat kan?
Seringkas yang boleh adalah seperti berikut,
9M2M contest.... 9M2M contest...
bagi CW atau digital mode, ianya begini.
9M2M Test.... 9M2M test..
Tetapi rata-rata kawan perhatikan, mereka suka tambah perkataan CQ dihadapan, saya faham kenapa, ianya adalah kerana irama. Sebab tanpa perkataan CQ Contest, Kita rasa kekok untuk CQ. Ianya ok dan tidak salah malah hampir semua mengamalkannya. Ingat.. ini pesanan untuk saya dan juga untuk rakan-rakan sekalian. Sebelum memulakan CQ, sila dengar betul-betul pada freq tersebut. Dengar samada freq itu sedang digunakan atau tidak. Kadangkala fenomena skip berlaku, dimana kita hanya mendengar sebelah pihak sahaja, manakala sebelah pihak lagi berada dalam zone skip kita. Ianya sering berlaku antara Malaysia dengan Australia, Malaysia dengan Indonesia dan kadangkala dengan Jepun. Jadi selalunya memulakan dengan ayat ini... " Is the frequency in use? bagi mode Phone. Atau "QRL?" bagi CW
OK, katakan situasi sebaliknya pula berlaku, dimana pada freq tersebut, kita yang sedang menggunakannya dan ada station lain yang bertanya. Maka jawablah dengan penuh tatatertib, contohnya seperti berikut.
" The frequency is in use, CQ contest WAE..." bagi mode PHONE. Manakala bagi mode CW, cukup sekadar dengan membalas "PSE QSY"
Ini ada satu tips untuk kalian mencari parking, jika band crowded. CQ-lah pada bahagian depan band atau pada hujung band. Sebab selalunya pada tempat sebegini, Big Gun tidak lepak kerana jika mereka CQ di 7198.00 contohnya. Splatter mereka akan menerjah masuk ke 7201.00. Jadi ianya sudah melanggar peraturan contest, sebab itu jika hangpa perasan. Big Gun tiada dihujung band
Jadi saya harap rakan-rakan sekalian faham dan lebih memahami akan perjalanan dan sedikit info berkaitan aktiviti contest ini. Lupa pula nak bagitau, kita boleh rujuk jadual contest dalam masa setahun pada laman sesawang ini. http://www.hornucopia.com Dimana dalam wesite ini, ada disertakan jadual contest bagi sepanjang tahun.
Baiklah sampai setakat ini sajalah coretan kawan mengenai radiosport ini, diharap kalian semua faham dan jangan malu jangan segan, sertailah acara contest kerana banyak kelebihannya. Saya pun tidak terduga akan semua kelebihan ini, Dunia sedang memerhatikan anda. Percayalah.
73 dari saya, Zaki 9M2ZAK