Malam tadi kawan rasa amat bertuah, rasa bertuah kerana stesen dari Brazil telah masuk ke dalam CQ kawan. Bukan satu, malah dua stesen yang masuk. Stesen yang pertama ialah PY2KA dan yang kedua ialah PY2DV. Kedua-dua stesen tersebut datang dengan kuat. 599 masuk ke Kulaijaya. Untuk pengetahuan rakan-rakan sekalian, pada masa itu kawan hanya berkaki ayam sahaja (100w) dan antenna yang digunakan adalah antenna jenis yagi 6 element. Tetapi 3 bander-lah. Bukan monoband dan antenna tersebut dihalakan ke arah 35 darjah Utara. Maknanya rakan dari Brazil itu tadi datang dari long path. Wow!!!
Masa pula sekitar UTC 11.00z ini bermakna di Brazil sana sedang waktu pagi. Disini ada dua kemungkinan, kemungkinan yang pertama ialah rakan tersebut mengadap radio dia sejurus selepas dia bangun tidur atau kemungkinan yang kedua pula, rakan tersebut mengadap radio dia sebelum beliau berangkat ke gereja. Namun apa pun, signal mereka memang kuat. Kuat seperti stesen Jepun. Pada awalnya kawan hanya dapat copy 2KA. Dalam hati kawan, ini mungkin Japan stesen. Tetapi apabila kali kedua kawan minta pengesahan, beliau menghantar PY2KA, bukan sekali dia hantar. Tetapi 3 kali dia hantar callsign dia. Mungkin dia juga teruja sama seperti kawan teruja. Jadi kami masing-masing menggengam tangan dan berkata YESS!!! sambil menghentap tangan kanan ke bawah. Gamaknya....
Dalam pada itu kedengaran juga ada lagi stesen PY yang cuba masuk. Tetapi sayang, signal mereka terlalu lemah. Kawan hanya mampu copy PY sahaja. Apabila kawan kembali CQ seperti biasa. Masih kedengaran lagi stesen PY yang lemah itu cuba untuk mendarat di tanah Kulaijaya. Kawan cuba jugak membantu beliau dengan melebarkan filter, mengaktifkan butang NR, mengaktifkan PRE AMP tetapi agak malang. Rakan PY itu tadi masih tidak dapat diselamatkan. Beliau terus tenggelam bersama-sama noise yang tiba-tiba mencanak tinggi. Noise itu terjadi apabila matahari tenggelam atau berada di bawah horizon. Kawan sudah perasan, semasa peralihan siang ke malam, atau malam ke siang...akan berlaku sedikit peningkatan noise pada band.
Kemudian pada malam tersebut, kawan menyambung kembali aktiviti memburu kawan dengan antenna masih teguh menghala ke Amerika Utara. Namun dalam pada itu, masih ada juga stesen dari eropah yang melompat masuk. Kebanyakkannya dari Russia dan Utara Eropah. Mereka datang dari long path juga. Hari ini hari long path gamaknya.... hasil CQ DX pada malam tadi, kawan berjaya mengutip 79 QSOs dengan 23 DXCC. Tiada langsung DXCC yang baru, semuanya yang sudah ada....jadi la... 73 Zaki.