Semalam dan kelmarin kawan CQ di band 80m. Tujuannya adalah untuk lebih memahami perangai band tersebut. Band ini kawan masih kurang pungutan DXCC-nya. Sebelum ini kawan memang selalu QRV di 80m, tetapi pada masa itu kawan hanya menggunakan vertical sahaja. Prestasinya agak hambar kerana setiap kali kawan ingin check in mana-mana stesen yang kedengaran. Kawan dapati ianya begitu sukar sekali. Tambahan pula, signal noise yang mencanak tinggi, pernah tercatat di QTH kawan, signal noise sehingga S-9 / S-10 dan ianya stabil.
Setelah berminggu-minggu membuat kajian di google dan meneliti semua perkara mengenai band 80m ini disetiap laman web. Kawan dapati Linear Loaded Half Wave amat sesuai untuk QTH kawan. Ini adalah kerana antenna wayar ini tidaklah panjang sangat. Hanya 32m sahaja jumlah keseluruhannya. Maknanya sebelah 16m.
Kerja-kerja pembuatan antenna ini mengambil masa kira-kira 2 hari. Iaitu pada hari pertama, kawan siapkan 16 batang PVC paip yang telah dipotong setiap 12 cm. 16 batang PVC ini berfungsi sebagai capasitive hat, dimana kawan jarakkan setiap satunya itu dengan 1 meter. Pada setiap hujung batang PVC itu, dibuat lubang untuk memasukkan wayar itu nanti. Wayar yang kawan gunakan pula adalah wayar hitam yang biasa digunakan untuk wiring lampu di rumah.
PVC yang siap dipotong |
Selepas itu, wayar pula dipotong mengikut ukuran yang telah ditetapkan. sila lihat rajah dibawah ini.
Kemudian kerja-kerja memasukkan PVC dimulakan. Kawan memasukkan 8 PVC bagi setiap sebelah dipole dan meletakkan PVC tersebut selang satu meter diantara satu sama lain. Tujuannya adalah untuk menstabilkan wayar apabila ianya ditegangkan. Kawasan yang luas serta panjang diperlukan untuk proses pemasangan PVC ini kerana takut berlaku sebarang kesulitan seperti wayar kusut atau tersalah pengiraan wayar. tersalah potong wayar, bermakna rugilah kita pada hari itu, walaupun masih boleh disambung namun ianya tidaklah sama dengan rasa puasnya bagi antenna yang sempurna sifatnya.
batang PVC yang siap dimasukkan. |
Setelah semuanya selesai. Bacaan SWR diambil sebelum antenna ini dipasang ke atas bumbung base kawan. Bacaan ini diambil pada ketinggian 20 kaki sahaja dari paras bumi dan dilakukan di padang bola sepak. Hasilnya adalah seperti berikut:
- Freq : 3.440 = SWR 1.5
- Freq : 3.450 = SWR 1.3
- Freq : 3.460 = SWR 1.2
- Freq : 3.470 = SWR 1.2
- Freq : 3.490 = SWR 1.1
- Freq : 3.480 = SWR 1.1
- Freq : 3.500 = SWR 1.1
- Freq : 3.510 = SWR 1.1
- Freq : 3.520 = SWR 1.1
- Freq : 3.530 = SWR 1.1
- Freq : 3.540 = SWR 1.1
- Freq : 3.550 = SWR 1.1
- Freq : 3.560 = SWR 1.1
- Freq : 3.570 = SWR 1.1
- Freq : 3.580 = SWR 1.2
- Freq : 3.590 = SWR 1.3
- Freq : 3.600 = SWR 1.5
- Freq : 3.610 = SWR 1.6
- Freq : 3.620 = SWR 1.8
- Freq : 3.630 = SWR 2.0
Ini bermakna dipole ini cemerlang pada CW. Pada phone iaitu 3.6 - 3.8 SWR dia mencanak naik. Kawan tidak risau akan perkara tersebut kerana antenna tuner boleh digunakan untuk Phone. Lagipun kawan memang gemar akan CW, jadi dengan bacaan yang dicatatkan itu, ianya umpama bulan jatuh ke riba bagi kawan. Tiada masalah bagi kawan....
Pada petang 15 April 2015, jam 5.00 petang. Kawan bersama Zaha 9W2BSX melakukan kerja-kerja menaikkan antenna ini. Proses memasang antenna tidak mengambil masa yang lama, hanya 27 minit sahaja diperlukan. Pengiraan masa itu berdasarkan jam dinding di ruang tamu base kawan.
Antenna ini dipasang secara inverted V dan mengadap eropah serta Australia, atau mengadap Australia serta Eropah. mana-mana pun boleh. Balun 1:1 pula diikat pada pole yagi. Sila lihat gambar dibawah.
Inverted V Linear Loaded Dipole |
Kemudian, bacaan SWR diambil semula. Syukur...bacaannya masih sama seperti bacaan di padang bola sepak itu kelmarin. Pada freq 3.5 hingga 3.56 antenna tuner tidak diperlukan. Pada masa itu, kedengaran beberapa stesen dari jiran tetangga sedang QSO. Audio mereka pula begitu baik sekali. Malam nanti kita akan cuba memancar pula.
Pada malamnya, kawan memantau di band 80m. baru sahaja kawan memusing VFO, terus kedengaran satu stesen sedang CQ. Audionya begitu jelas dan kuat. Rupanya Pak Halim Dani YB2TJV dari Jakarta, rakan FB sedang giat CQ di sini pulak. Macam tahu-tahu saja yang kawan sedang test antenna. Peluang ini kawan tidak lepaskannya. Hanya sekali hulur sahaja, Pak Halim Dani terus dapat copy pancaran daripada Kulaijaya. RST yang beliau berikan adalah 599, Kawan sungguh teruja dengan signal report tersebut. Ini bermakna ianya berfungsi. Jadi untuk memastikan keberkesanannya lagi, kawan CQ pulak. Kali ini kawan cuba memanggil di 3.510mhz. Tidak lama selepas itu, panggilan kawan disahut pulak oleh Doc Jack, HS1FVL dari Bangkok, Thailand. Signal report yang diberikan juga 599. Manakala kualiti signal yang masuk ke Kulaijaya juga 599. Sudah bermakna bagi kawan pada malam tersebut. Selepas itu, band kedengaran semakin bising dan bising sehingga S-11 bacaannya. Jadi kawan mengambil keputusan untuk berhenti CQ, lagipun meggi belum dijamah lagi ni.
eQSL dari Pak Halim Dani |
Malam 16 April 2015. Kawan menyambung kembali eksperiment Linear Loaded kawan. Kawan masih CQ di freq yang sama. Tujuannya adalah untuk melihat sejauh mana ant wire ini boleh pergi. Target kawan mestilah sampai ke Eropah sana, atau pun menjejakkan kaki ke Amerika Utara. Jadi sehubungan dengan itu, amali perlu diteruskan.
Setelah meneliti keadaan band, signal noise pada malam tersebut agak rendah, sekitar S-1 dan S-3 sahaja. Cantik juga nih...baik aku ambil peluang ini untuk CQ sebelum Signal Noise menggila. Freq 3.510 masih lagi menjadi pilihan. Entah kenapa kawan suka benar akan nombor ini 3510. Mungkin serasi atau mungkin kebetulan. Tak kisahlah..janji SWR cantik.
Kawan memulakan CQ, agak lama juga panggilan kawan tidak dijawab. Perasaan bosan hampir muncul, tetapi kawan gagahi juga dan mengatasi masalah tersebut. Jika kawan kalah dengan hasutan diri sendiri, maka sia-sia sajalah usaha kawan selama ini. Jadi kawan kuatkan semangat kawan. Panggilan CQ diteruskan demi kebaikan bersama. Jika amali ini tidak diteruskan, bagaimana kita hendak tahu hasilnya.
Tiba-tiba XV4Y terus masuk dengan rakusnya. Seolah-olah seekor ikan Barracuda 40 kilogram menyambar umpan RAPALA kawan dan meronta-meronta untuk dilepaskan. Sungguh laju WPM beliau, kawan tarik nafas dalam - dalam dan cuba sekali lagi untuk menghadapi pancaran dari Vietnam itu sekali lagi. Terima kasih kawan ucapkan kepada Devos XV4Y dari Vietnam atas signal reportnya. 599 beliau berikan kepada kawan. Yang penting disini, pancaran kawan semakin menjauh. Itu yang kawan ingin saksikan sebenarnya.
Devos XV4Y |
Kemudian selepas itu, signal noise kembali mencanak naik dan stabil pada S-9. Apakah ini perangainya? ada masa ia membuka dengan cantik dan secara tiba-tiba dengan tanpa sebarang amaran, QRM tinggi boleh melanda dengan rakusnya. Kawan masih dalam mode sedang study perangai 80m. Tidak mengapa, segala aktiviti dan bacaan noise ini kawan catitkan dan jadikan panduan untuk masa-masa akan datang.
Malam ini, amali akan diteruskan lagi.... 73 Zaki