Semalam cabaran Amerika Selatan diteruskan, kali ini kawan mencubanya pula pada pukul 8.00 malam. Antenna masih ditalakan pada sudut yang sama, iaitu 30 darjah Utara. Untuk aktiviti DX pada malam semalam, kawan memperuntukkan masa selama sejam sahaja untuk menilai dan mengenalpasti perangainya. Apa yang ramalkan itu tepat. Ramalan atau andaian yang dibuat ialah:
- Jika stesen dari zone 4 Amerika Syarikat masuk, maka akan ada lagi dan lagi stesen dari zone - zone yang lain akan masuk.
- Jika stesen Jepun kedengaran dan masuk dengan kuat, maka akan ada banyak lagi stesen Jepun yang akan masuk
- Jika stesen zone 6 Amerika Utara masuk, maka sekejap lagi akan sunyi dan tiada lagi stesen dari NA akan masuk, bahasa mudahnya...laluan ke NA akan tertutup.
- Jika kedengaran stesen DU/DV atau YB atau VK masuk/CQ maka peluang untuk mendapatkan stesen dari benua-benua lain amat sukar.
Semalam, dalam masa sejam itu, kawan amat mengharapkan ada stesen dari VE ( Canada ) atau KL ( Alaska) masuk kerana berdasarkan kepada log-log yang lepas, selepas mereka (VE dan KL) check in, akan ada satu atau dua stesen dari Amerika Selatan yang masuk. Stesen-stesen ini (VE dan KL) seolah-olah memberi isyarat bahawa laluan ke Amerika Selatan telah terbuka. Namun perkara ini tidak berlaku pada malam semalam. Tetapi kawan bersyukur kerana malam semalam, malam tersebut adalah semalam yang hangat....
Hari ini, cabaran Amerika Selatan akan diteruskan seperti biasa, tiada istilah jemu dan berputus asa dalam diri kawan. Kawan tetap dengan objektif kawan iaitu, ingin mencari dimana lubuk Amerika Selatan berada dan akan merekodkannya untuk panduan dxer - dxer yang lain agar tidak sesat diudara. Maksud Lubuk Amerika Selatan ini adalah kita akan pileup dengan stesen dari Amerika Selatan. Cuba anda bayangkan bagaimana rasanya jika kita pileup dengan stesen dari Amerika Selatan...hmm...tidak terkata dengan ucapan, tidak tertulis dengan perkataan. Disamping itu juga, maklumat yang diperolehi ini juga amat berguna kepada bakal-bakal dxer yang lain untuk memulakan aktiviti DX mereka.
Setakat ini, beberapa lubuk sudah kenalpasti, dan anda pasti akan pileup jika semasa CQ dilubuk-lubuk ini, band membuka dengan cantik. Antaranya ialah:
- Benua Eropah : Membuka dengan cantik selepas jam 10.00 malam hingga 3 pagi dan pukul 3 petang hingga 5 petang.
- Amerika Utara : membuka dengan cantik dua jam sebelum dan selepas tergelincir matahari, samada pagi atau malam. Pada waktu pagi, ianya bermula sekitar jam 8.00 pagi hingga 9.30 pagi. Pada waktu malam: 7.30 petang hingga 9.00 malam.
- Benua Africa dan Australia, membuka dengan cantik sekitar jam 2 petang hingga 5.30 petang dan pada sebelah malamnya pulak, sekitar jam 2 pagi hingga 4.30 pagi.
- Negara Jepun...aktif pada awal pagi dan lewat petang serta waktu awal malam dan lewat malam. Selalunya pada 7 pagi hingga 11.00 pagi - 4.00 petang hingga 9.00 malam. Jika keadaan band begitu baik. Pernah dicatatkan penerimaan stesen Jepun berlaku sepanjang hari, iaitu dari pagi hingga ke petang dan dari petang hingga ke keesokkannya. Begitu juga dengan China dan kawasan sekitarnya.
- Benua Amerika Selatan...masih dalam pencarian...dalam catatan log rakan-rakan yang lain, mereka pernah disergah oleh stesen SA pada awal pagi iaitu sekitar 7.30 pagi hingga 8.30 pagi. Tetapi tidaklah pileup seperti Eropah. Objektif disini ialah nak mencari sudut dan waktu manakah stesen Amerika Selatan ini boleh kita pileup?
Kenapa perlu ditulis semua ini? Ini adalah kerana sebelum ini, semasa kawan baru baru berjinak dengan hobi yang hebat ini, agak sukar untuk kawan mencari bahan rujukan yang berkaitan dengan perkara ini. Semua ini, kawan peroleh dari pengalaman sendiri. Jika kita ingin hobi ini terus subur dan berkembang maju di Malaysia ini, maka pendekatan ini kawan ambil demi kelangsungan aktiviti DX ini. Penulisan berkaitan perkara ini ( DX @ Contest) akan tetap diteruskan walaupun terpaksa merangkak. 73 de 9M2ZAK.