Tuesday, June 3, 2014

9M2MI Undan Island IOTA AS-097 DXpedition 30 May - 1 June 2014

Keluarga 9M2MI
Semuanya bermula dengan satu panggilan telefon, pada awal bulan May 2014, kawan telah menerima satu panggilan telefon dari Melaka. Dalam panggilan telefon terbabit, pemanggil ada menyatakan hasrat untuk melamar kawan. Melamar kawan untuk menjadi sebahagian daripada kru pasukan 9M2MI. Dimana pada waktu itu, pasukan DXer tegar dari Melaka telah merancang satu projek besar, projek yang melibatkan hampir seluruh warga DXer tegar dikumpulkan dan bersatu tenaga untuk menjayakan projek DX ekspedisi iaitu 9M2MI Undan Island IOTA AS-097 DXpedition 2014. Menurut Syam 9M2ESM, objektif utama DX ekspedisi ini adalah untuk mengaktifkan IOTA AS-097 - Pulau Undan dan merekodkan serta mendokumentasikan aktiviti ini untuk rujukan serta panduan anak cucu kita di masa akan datang kelak di mana proses penerbitan ini akan dimurnikan oleh Prof Noh 9W2MNW. 

9M2MI Pulau Undan IOTA AS-097 DXpedition dianggotai oleh :

                      

9M2ESM Syam - 9M2YOT Yot - 9W2GSG Mie - 9W2EJT Ejat - 9W2MNW Prof Noh -  9M2GET Hairie - 9M8SYA Syed - 9W2SBD Hans - 9W2ADC Khairul - 9W2RUT Weerut - 9M2RMT Rahmat -    9W2WWW Azam - 9M2ZAK Zaki

Pada hari khamis 29 May 2014, semua ahli pasukan mula bergerak dari QTH masing-masing. Bergerak dari negeri masing-masing. Antaranya ialah:

Perlis  : 9M2GET dan 9M8SYA
Perak : 9W2MNW dan 9W2SBD
Selangor : 9M2RMT, 9W2RUT 
Kuala Lumpur : 9W2ADC
Pahang : 9W2WWW
Melaka : 9W2GSG, 9W2EJT dan 9M2YOT
Johor    : 9M2ESM dan 9M2ZAK


Syukur alhamdulillah, semua perjalanan kru 9M2MI berjalan dengan lancar. Semuanya selamat sampai ke negeri bersejarah Melaka. Selepas menjamu selera, kami semua berkumpul di rumah 9M2YOT untuk menyiapkan segala peralatan dan mengadakan perbincangan dengan lebih lanjut untuk melicinkan perjalanan  aktiviti dan melakukan persiapan terakhir sebelum bergerak ke Pulau Undan. Segala peralatan disemak semula keadaannya, begitu juga dengan senarai barang. Kelengkapan radio, makanan, dan antenna perlu dipastikan ianya berfungsi dengan baik sebelum bergerak kerana apabila sudah menjejaki kaki ke pulau, tiada lagi istilah terlupa itu ini kerana bot sudah bergerak ke tanah besar. Maknanya 3 hari dua malam, gunalah apa yang ada untuk meneruskan kelangsungan hidup di pulau tersebut.

Antara peralatan yang dibawa ialah :
  1. 2 buah Kenwood TS-2000
  2. 1 buah Icom IC-746
  3. 1 buah KX3
  4. 1 buah FT-857
  5. 1 set Dunestar Triplexer 20m-15m-10m
  6. HB9CV 3 bander antenna
  7. HexBeam antenna
  8. 4 laptop
  9. coax cabel
  10. HF-10 all band dipole
  11. Frozen Food
  12. 4 biji 30 amp PSU
  13. Heil Headphone
Pasukan 9M2MI bergerak secara konvoi dari base Yot menuju jeti. Kami bertolak pada pukul 6.30 pagi dan sampai pada pukul 7.00 pagi di jeti tersebut. Setelah sampai, perkara yang pertama sekali yang dilakukan adalah bersarapan terlebih dahulu. Hasilnya, gerai nasi lemak makcik yang berdekatan dengan jeti Umbai kami serbu ramai-ramai kerana perut sudah kosong dan perlu diisi untuk meneruskan cabaran pertama kami dalam ekpedisi ini. Selepas selesai bersarapan nasi lemak dengan tea O panas. Kami bergerak semula ke jeti Umbai untuk memunggah segala peralatan ke dalam bot yang sudah bersedia menanti di jeti. Rupa-rupanya bot tersebut sudah lama menanti, cuma kami sahaja leka dengan sembang sana sembang sini. Al-maklumlah, kami sebelum ini jarang-jarang sekali berjumpa. Hanya bertegur sapa di facebook dan Whatsapp sahaja. Banyak cerita dan banyak isu yang dibincangkan. Rasa puas bertemu muka jelas terpapar diraut wajah masing-masing. Syukur alhamdulilah, impian kini menjadi kenyataan.


 Masa yang ada tidak dibazirkan begitu sahaja. Semangat setiakawan dan saling tolong menolong ditonjolkan oleh semua ahli pasukan. Tidak perlu diarahkan, masing-masing tahu peranan masing-masing. Seolah-olah seperti diprogramkan, setiap orang sibuk dengan tugasan mereka. Hasilnya semua peralatan dan kelengkapan berjaya masuk ke dalam bot dalam masa yang sangat singkat sahaja. Tiada istilah beg ini siapa yang punya, masing-masing tanpa mengira ideologi dan latarbelakang, bersatu tenaga menyumbang bakti dan tenaga menolong sesama sendiri mengangkat antenna dan peralatan dengan sendirinya.

Untuk bergerak ke Pulau Undan, sebanyak dua buah bot telah disewa untuk pergi dan balik Saiz bot pula boleh dikatakan selesa kerana semua peralatan berjaya dimasukkan tanpa mengalami sebarang masalah. Daripada antenna hinggalah ke transceiver, semuanya tidak mengalami apa-apa masalah untuk dimuatkan ke dalam bot fiber tersebut. Untuk mengimbangi kedudukan, setiap bot dinaiki oleh 7 dan 6 penumpang. Syukur semuanya berjalan dengan lancar. Soal keselamatan juga dititikberatkan, setiap penumpang wajib memakai life jaket untuk menjaga keselamatan masing-masing. Walaupun kelihatan cuaca sangat baik, namun kita perlu ingat "malang itu sebenarnya tidak berbau" jadi segala persiapan untuk menghadapinya juga perlu dititikberatkan. Kawan sangat kagum dengan ketegasan pakcik Kapten, kerana dengan tegas sekali beliau mengarahkan kami untuk segera memakai Life Jaket. Soal keselamatan tidak boleh main-main, kata pakcik kapten.


 Cuaca yang baik pada awal pagi tersebut seolah-olah merestui perjalanan kami menuju ke Pulau Undan, suasana tenang dan nyaman serta angin yang sepoi - sepoi bahasa itu, menambahkan lagi perisa perjalanan kami. Cuaca pada pagi tersebut memang amat baik sekali, begitu tenang. Walaupun kadangkala suasana kesunyian itu dipecahkan oleh jeritan kambing dari bot sebelah. Kambing yang dipaksa untuk naik bot seolah-olah mengerti yang beliau akan dikorbankan oleh mereka yang merancang untuk BBQ kambing. Sebenarnya, bukan pasukan kami yang bawa kambing tersebut. Tetapi dari pasukan lain. Biarlah mereka bergembira dengan kambing mereka dan kami pula bergembira dengan pasukan radio kami. Maknanya...di jeti tersebut ada dua pasukan. Satu pasukan Radio dan satu lagi pasukan BBQ kambing. Tapi destinasi berlainan...dan matlamat perjalanan juga berlainan. Kami mengejar perkara yang tidak nampak manakala mereka pula mengejar kambing yang jelas penampakannya didepan mata.

  
Pulau Undan AS-097
 Setelah 40 minit mengharungi ombak dan badai, destinasi yang ditujui itu mulai menunjukkan batang hidungnya. Hilang segala kepenatan dan lelah setelah mengharungi ombak badai tatkala munculnya rumah api dari garisan ufuk laut Selat Melaka. Sungguh cantik rumah api yang tersergam indah itu, tetapi cantik lagi pantai dan pulau ciptaan Tuhan yang Maha Esa. Setelah sampai, kami tidak membuang masa. semua peralatan dan beg dikumpulkan setempat sebelum kami akan mengharungi satu lagi cabaran. Boleh tahan jugak cabaran ini. Cabaran yang menguji kekuatan tenaga dan stamina masing-masing.

Lokasi pertama untuk bergambar sejurus sampai ke Pulau Undan
Akhirnya lokasi ini kami pilih untuk bergambar


Sebelum mengharungi cabaran yang seterusnya, satu sesi taklimat dan bergambar diadakan. Dalam sesi tersebut, Sham 9M2ESM sempat menyampaikan sepatah dua kata bagi mengalu-alukan kedatangan kami ke Pulau tersebut. Dalam sesi yang ringkas tersebut, beliau tidak putus putus sentiasa mengingatkan kami supaya senantiasa menjaga keselamatan dan sentiasa berhati-hati semasa melakukan pendakian kerana ianya agak curam dan licin. Disamping itu juga, Azam 9W2WWW juga sempat mengingatkan kami agar sentiasa minum air yang dimasak sahaja kerana sumber air yang diperolehi di atas sana adalah daripada sumber air hujan sahaja. Selain itu, beliau juga ada berpesan agar kami sentiasa berjimat cermat semasa menggunakan air dan elektrik. Maklumlah...sumber tenaga elektrik disini adalah 100% datangnya dari generator. Manakala air pula hanya ada dua tong besar sahaja.

9w2www Azam
Sesi taklimat dan bergambar itu tidaklah mengambil masa yang lama. Ianya hanya berlangsung lebih kurang dalam 20 minit sahaja. Mungkin kerana masing-masing sudah teruja untuk naik ke atas rumah api dan melaksanakan aktiviti Dxing, ini adalah kerana semua ahli yang datang ini adalah kaki dx semuanya. Dalam kepala mereka, hanyalah DX, Dx, dx sahaja. Kawan faham perasan tersebut kerana dalam hati kawan pun begitu juga. 

Cabaran pertama kini sudah bermula, dimana cabarannya adalah memanjat atau mendaki anak tangga menuju ke atas bukit. Cabaran bertambah lagi dengan beban yang dibawa. Boleh dikatakan, setiap ahli pasukan membawa beban seberat 7 - 10 kilo seorang. Mendaki perlahan - lahan sambil mengira setiap anak tangga tersebut, Mendaki perlahan-lahan sambil menikmati pemandangan pulau dan juga menghirup udara segar laut Selat Melaka.
Semakin lama melangkah, semakin terasa bebannya. Ada juga rakan-rakan kita yang berehat panjang dikaki bukit untuk mengumpul tenaga dan kudrat bagi menyambung mengira baki anak tangga yang perlu dihabiskan. Malah ada juga yang selamba mendaki anak tangga. Difahamkan bahawa, rupa-rupanya sudah menjadi rutin beliau setiap pagi naik turun tangga ditempat kerjanya. Patut pun hensem bergaya naik ke atas rumah api rupa-rupanya itu hanyalah makanan baginya sahaja.

Proses rawatan air oleh Azam 9W2WWW
Sesampai sahaja di atas bukit sana, perkara pertama yang dilakukan adalah merawat air. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa air adalah perkara yang paling utama dan perlu diutamakan dahulu daripada lain-lain perkara. Proses merawat air ini tidaklah mengambil masa yang sangat lama kerana Azam 9W2WWW ada membawa satu system alat penapisan air yang begitu efisien sekali. Sejauh mana kecekapan alat tersebut merawat air, ianya sudah terbukti disini. Tidak dapat dinafikan lagi, alat tersebut memang hebat, sehebat tuannya juga. Buktinya, sepanjang 3 hari dua  malam kami di pulau tersebut, tiada seorang pun di antara kami yang mengalami cirit birit atau keracunan makanan atau sebarang penyakit yang berkaitan dengan air.

ruang makan
 Terima kasih Azam 9W2WWW kerana begitu prihatin dengan status kesihatan kami dan terima kasih juga diucapkan kepada Ejat 9W2EJT kerana bertungkus lumus di dapur menyiapkan segala urusan berkaitan dengan pemakanan. Hasilnya, para-para Dxer disini dapat memberi fokus 100% dalam aktiviti dxing mereka. Air tangan Ejat 9W2EJT memang hebat. Sehinggakan kami tertunggu-tunggu bilakah lagi waktu makan kerana asyik terkenangkan masakan beliau. Terima kasih Ejat.

Team antenna HB9CV
Kemudian, tidak lama selepas itu, sesi pemasangan antenna pulak dilakukan. Pada pagi tersebut, 3 kumpulan telah dibahagikan. Satu kumpulan untuk pemasangan antenna HB9CV, satu kumpulan untuk pemasangan antenna HexBeam dan satu lagi kumpulan untuk pemasangan transceiver dan segala perkara berkaitan dengan setup station. Proses ini dilakukan secara serentak untuk menjimatkan masa kerana masing-masing sudah tidak sabar lagi untuk beraksi di udara. Kawan lagi tidak sabar, untuk pengetahuan para pembaca yang budiman sekalian. Ini adalah kali pertama kawan melakukan aktiviti DXing disini. Sebab itu jiwa ini tidak sabar, tidak sabar untuk mengetahui bagaimana prestasi antenna HB9CV, tidak sabar ingin mengetahui keadaan noise disini, dan tidak sabar untuk mengetahui keberkesanan BPF Dunestar Triplexer.

Team antenna HexBeam
Team pemasangan antenna HB9CV adalah terdiri daripada Hairie 9M2GET, Syed 9M8SYA, Khairul 9W2ADC, Salehan 9W2SBD, Namie 9W2GSG dan Yot 9M2YOT. Manakala team untuk pemasangan Hexbeam pula adalah terdiri daripada Prof Noh 9W2MNW, Rahmat 9M2RMT, Zaki 9M2ZAK, Syam 9M2ESM dan Azam 9W2WWW. Team setup station dan jaringan internet pula adalah Weerut 9W2RUT dan Ejat 9W2EJT. Semuanya bergerak secara serentak dan tersusun rentaknya. Perkara yang paling best pula, semuanya habis dan settle secara serentak juga. memang terbaik pasukan ini. Susah mahu cari pasukan yang mantap seperti ini. Rare nih rare...

Weerut 9W2RUT
Sejurus sahaja pemasangan antenna dan setup station selesai. Pasukan 9M2MI tidak membuang masa, setiap saat yang berlalu itu digunakan sepenuhnya. Syif pertama mengambil tempat, mereka terus bersedia dihadapan radio untuk memancar ke seluruh dunia. Aktiviti DXing bermula seawal jam 11.47 pagi waktu tempatan. Dimana pada masa itu, band 20m, 15m dan 10m berjalan dahulu memandangkan faktor masa. High band selalunya membuka pada waktu-waktu begini. Kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh kru 9M2MI.

9w2adc in action
Dimana pada masa itu, band 10m dijaga oleh 9W2ADC, band 20m oleh 9W2GSG dan band 15m oleh 9M2GET. Manakala dari segi mode pula. Band 10m beroperasi dalam mode SSB, band 15m dalam mode CW dan band 20m dalam mode SSB. Jadi pada permulaannya, 2 mode SSB dan 1 mode CW ke udara. Aktiviti CQ berlangsung dengan rasminya. Keadaan cuaca pula sangat baik seolah-olah merestui aktiviti kami pada hari pertama tersebut. Selain daripada station 10m-15m-20m, kami juga ada menyiapkan sebuah lagi stesen untuk WARC Band. Iaitu band 17m. Pada band ini, antenna yang digunakan adalah Hexbeam manakala untuk band 20m-15m-10m, antenna HB9CV digunakan.

9M2ESM beraksi di 17m
Band 17m terpaksa disetup jauh sedikit dari stesen 20m-15m-10m kerana kami tidak mempunyai BPF bagi band tersebut. RFI tetap juga kedengaran dari stesen 17m tetapi ianya tidaklah menganggu sangat kerana ianya sangat nipis. Asalkan tidak menindan signal yang lain sudahlah. Transceiver yang digunakan untuk band 17m adalah FT-857 dan sebenarnya stesen untuk band 17m ini disetup di dalam bilik yang terdapat disana. Band 17m pada hari itu begitu galak sekali. Difahamkan, mereka pile-up sepanjang masa, tidak putus-putus menerima panggilan dari Eropah dan juga dari Amerika Utara. Antenna Hexbeam air tangan Prof Noh mula menunjukkan taringnya. Sehinggakan operator - operator band 17m ini saling silih berganti bagi memberi ruang dan kerehatan kepada para dxer ini untuk mengumpul tenaga semula.

9w2www Azam di 17m
Mereka mendapat big pileup di 17m pada hari pertama. Dari awal permulaan CQ hinggalah ke stesen terpaksa ditutup kerana faktor cuaca. Mereka tidak putus putus menerima panggilan, begitu hebat sekali penangan band 17m pada hari pertama. Tahniah diucapkan kepada 9M2ESM,9W2WWW, 9M2YOT dan 9W2GSG kerana berjaya. Berjaya menguruskan timbunan callsign menderu-deru datang bagi mendapatkan callsign kita. Berduyun-duyun datang bagi menyokong aktiviti IOTA kita. Begitulah semangat Ham Radio ini, bersatu tidak kira apa jua latar belakang pemahaman ideologi politik mereka.

9W2GSG Nak Mie
Band 15m, untuk band ini, antenna HB9CV dan triplexer serta BPF diberi kepercayaan untuk mengharungi cabaran IOTA. Manakala transceiver yang digunakan adalah Kenwood TS-2000.Sebenarnya TS-2000 ini baru pulih dari kecederaan. Jadi kesempatan event ini, Prof Noh mengambil risiko dan keputusan berani untuk menguji prestasi TS-2000 ini untuk melihat dan menilai sendiri prestasi TS-2000 ini. Ternyata ianya tidak menghampakan. Pesawat yang dipasang di Tampoi, Johor Malaysia ini berfungsi dengan baik. Tidak memberi apa-apa permasalahan dan memberikan prestasi yang membanggakan. Malah berjaya mengendalikan pileup dengan selamba.

9M2GET Hairie on 15m
Kejayaan ini sebenarnya ada tulang belakang disebaliknya. Kemantapan dan kecekapan Hairie 9M2GET tiada tolok tandingannya. Sekarang baru kawan mengerti kenapa kejayaan selalu menghidu beliau. Stesen tunggal dari Arau ini rupanya hebat dalam mengendalikan pileup, hebat dalam mengendalikan pileup cw. Pada masa itu, band 15m sarat dengan stesen dari Japan, tetapi semua itu kacang baginya kerana situasi pileup dan situasi ZOO ini sudah menjadi mainan beliau sejak mula-mula serius dalam bidang gelombang ini. Setiap stesen yang check in itu, berjaya ditangkap satu persatu dengan penuh tertib dan berhemah selari dengan statusnya sebagai anak Malaysia yang penuh melimpah dengan kesopanan dan kesusilaan.

9M8SYA CQ bersama 9W2WWW
9M8SYA Syed
Kehebatan pile-up pada hari itu diteruskan lagi oleh Pak Syed, Pak Syed 9M8SYA pula terkenal dengan sifat cool dan macho beliau. Sejauh mana kecoolan beliau, sejauh Antartica dia punya cool. Sampai hari ini kawan masih belum boleh melupakan reaksi beliau semasa beliau mendapat stesen dari Antartica. Masih cool dan relaks sahaja, terngiang-ngiang ayat ini 'Zak, aku dapat Antartica' lepas tu dengan penuh khusyuk dan berfokus, rokok daun dan tembakau import dari Perlis digentelnya. Setelah menikmati satu dua sedutan, beliau kembali CQ ke udara.

9W2EJT Ejat
Band 20m pula dijaga oleh seorang lagi DXer tegar dari Melaka. Pengalaman beraksi di band 10m sedikit sebanyak membantu beliau untuk mengharungi cabaran pile-up di band 20m. 9W2EJT Ejat, berjaya mengendalikan pile-up di 20m. Difahamkan,  pileup tersebut datangnya dari Eropah dan Jepun, Kehebatan Ejat mula menonjol apabila weak signal menghimpit beliau, beliau berjaya menangkap beberapa stesen yang datang dengan kuasa yang kecil itu tanpa mengalami sebarang masalah. Dengan penuh keyakinan, setiap callsign itu berjaya dikutip dengan selamba. Sehinggakan tiada satu yang terlepas dari genggaman ejat pada petang tersebut.

20m band setup
Apabila petang menjelang, operator juga silih berganti. Syif pagi bertukar dengan syif petang, Pada petang tersebut, Bang Salehan 9W2SBD dan Weerut 9W2RUT serta Yot 9M2YOT. Mengambil tempat masing-masing. Dimana pada waktu itu, bang Salehan CQ di 10m, Rut di 20m dan Yot di 15m. Kali ini, semuanya dalam mode SSB. Stesen dari Eropah berbaris untuk mendapatkan mereka. Sungguh dahsyat sekali aura mereka. hanya sekali CQ sahaja. Mereka bertiga terus sibuk mengendalikan pileup.

9W2SBD Salehan
Pada masa yang sama juga, Weerut sentiasa berusaha memastikan setup station berada dalam keadaan terbaik. Talian internet dan system LAN sentiasa dipantaunya untuk memastikan perjalanan CQ tidak terganggu dan perkembangan terkini aktiviti 9M2MI di cluster dapat dimonitor.

Internet Service Provider
Terima kasih daun keladi kawan ucapkan kepada Weerut 9W2RUT kerana komited dengan tugasnya. Jutaan terima kasih juga dihulurkan kepadanya kerana senantiasa memastikan kru 9M2MI ini dapat online dan mengikuti perkembangan terkini dunia sekeliling kita. E-mail dapat dikemaskini, berita CNN dapat diikuti malah perkembangan terkini politik tanah air pun masih juga dapat dimonitor dari pulau ini. Semua ini adalah hasil titik peluh Weerut siang dan malam memastikan yang kami di Pulau Undan ini sentiasa conected dengan tanah besar. Well done Rut !!!

Syif malam mengambil tempat, pada sebelah malam, ada 4 stesen beroperasi. Stesen 17m oleh 9W2WWW, stesen 40m oleh 9M2ZAK, Stesen 20m oleh 9M2ESM dan 15m oleh 9M8SYA. Pada malam tersebut, keempat - empat stesen tersebut mendapat pileup yang luar biasa. Kebanyakkan stesen yang check-in itu datangnya dari Eropah bagi band 17m-15m, manakala Japan bagi stesen 40m dan 20m.

Syif malam
Band 40m menggunakan antenna HF10 untuk beroperasi. Dimana antenna HF10 dibawa khas dari Arau. Menurut tuan punya wire antenna ini, HF10 boleh beroperasi dari band 160m hinggalah ke 6m. Kesempatan ini kawan gunakan sepenuhnya. Memang terbukti kejantannya, semasa di 40m, kawan mendapat pileup dari stesen Jepun. berduyun-duyun mereka masuk ke dalam CQ operator dari Kulaijaya ini. Mujurlah stesen Jepun ini lain sedikit dari stesen negara lain. Lainnya mereka adalah mereka tidak berebut. Mereka menunggu satu persatu setiap QSO yang dijalankan. Dengan penuh tertib dan beradab, penuh dengan adat orang timur. Begitulah perangai dan sikap orang Jepun. Penuh dengan disiplin tidak kira dalam apa jua keadaan sekalipun, walaupun dalam ham radio ini.

Mencuba 6m dengan HF-10 serta KX3 Dr Noh
Setelah mendapat keputusan yang baik pada sebelah malamnya daripada HF-10. Pada keesokkan harinya, kawan mencuba pula untuk CQ di 6 meter. Mencuba CQ di 6 meter dengan gabungan KX3 dan HF-10. Objektifnya adalah untuk melihat sendiri keupayaan gabungan kedua peralatan tersebut. Ingin melihat keserasian diantara mereka. Setelah siap pemasangan, ternyata antenna HF-10 dan KX3 serasi. Mereka berdua telah menjalinkan hubungan kerjasama yang begitu erat sekali. Auto tuner yang dipasang dalam KX3 itu berfungsi dengan baik. Berfungsi  dengan cemerlang dengan dapat tuned semua band yang terdapat dalam HF-10 itu, antara band yang berjaya ditune oleh si kecil itu adalah 160m - 80m - 40m - 30m - 20m - 15m - 10m dan 6m.

Dr Noh 9W2MNW
 Pada sebelah malam, iaitu sekitar jam 11 malam sehinggalah pukul 4 pagi, band 20m membuka dengan cantik. Kesempatan itu, digunakan sepenuhnya oleh Dr Noh untuk beraksi di udara. Beliau tidak perlu menunggu lama, hanya dalam beberapa CQ sahaja. Berduyun-duyun callsign dari Eropah sana masuk ke dalam CQnya. Kelancaran CQ Dr Noh bertambah cemerlang dengan bantuan auto CQ yang terdapat dalam TS - 2000 AUR. Memang tidak dapat dinafikan lagi. Fungsi auto CQ dari pesawat 9m2aur itu banyak memberi kesenangan kepadanya. Boleh menjimatkan tenaga dan masa, hanya perlu tekan beberapa butang sahaja. Kita akan ke udara tanpa perlu mengeringkan air liur dan tekak kita. Terima kasih Aimil 9M2AUR kerana memberi kami pinjam TS-2000 kesayangan beliau itu. Pada malam itu juga, aktiviti DX terpaksa dihentikan kerana secara tiba-tiba hujan ribut berserta kilat dan guruh datang melanda kami. Mujurlah kami ada membawa banner yang lebih pada tahun lepas. Hasilnya....banner tersebut digunakan sebagai alas untuk menutup segala peralatan dari basah kuyup dek tempias hujan itu tadi.

Sungguh cepat masa berlalu, rasa macam baru sahaja sampai di Pulau Undan tersebut. Pada pagi 1 June 2014. Syam 9M2ESM memberitahu bahawa bot akan datang mengambil kami pada pukul 11 pagi. Maka dengan secara automatik sahaja, kami semua terus berkemas mengejar masa kerana pada waktu itu, jam sudah menunjukkan pukul 8 pagi. Perkara yang pertama sekali yang dikemas adalah setup radio.

Dari kiri, Kenwood TS-2000, Dunestar Triplexer, Kenwood TS-2000 dan Icom 746
Semua transceiver dimasukkan kembali ke dalam kotak dan dibalut dengan kemas kembali seperti masa hari pertama kerana semua peralatan ini akan naik bot semua. Jadi untuk mengelakkan dari basah terkena air laut. Setiap kotak transceiver dibalut rapi dengan plastik.

Persiapan sesi bergambar
Memang terbaik, proses mengemas siap dalam masa yang tidak dijangkakan. Semua siap dalam masa satu jam. Dari antenna hinggalah ke transceiver - dapur - bilik tidur - sampah, semuanya disettlekan dalam masa yang singkat. Inilah contoh terbaik yang ditonjolkan oleh setiap ahli pasukan. Berkerjasama dalam semua perkara. Apabila semua perkara dilakukan secara berjemaah, perkara yang susah pasti akan menjadi senang. Setelah selesai semua peralatan dikemas. Sesi bergambar pula dilakukan. Sesi ini juga tidak mengambil masa yang lama kerana teringat akan bot yang sudah menunggu di bawah sana.

Setelah selesai sesi bergambar, cabaran kedua pulak perlu diharungi, teringat kembali masa mula-mula datang ke pulau ini, ada beratus anak tangga yang perlu diharungi. Tetapi pada pagi ini, ada beratus pula anak tangga yang perlu dituruni. Namun semua itu perlu diharungi juga kerana cuaca semakin mendung dan angin semakin kencang.

Menuruni tangga dengan penuh berhati-hati
 Kami menuruni setiap anak tangga itu dengan penuh berhati-hati kerana peralatan yang kami bawa tersebut amat sensitif dengan gegaran dan hentakan. Jika tergelincir, maknanya tergoleklah dari atas sehingga ke bawah. Jika tergolek, maknanya pasti kecederaan parah akan terjadi dan hancur berderailah segala peralatan itu nanti. Sehubungan dengan itu, langkah pencegahan diambil, kami turun dengan penuh berhati-hati dan memberi fokus kepada setiap anak tangga yang dituruni itu. Setelah 15 minit masa diperuntukkan untuk menuruni anak tangga selesai. Akhirnya kami sampai jua ke pantai tempat bot kami menunggu.

Bergelut dengan cuaca semasa proses loading beg dan tool ke dalam bot
Kami bergegas loading barang ke dalam bot memandangkan cuaca semakin kelam. Sebenarnya, pada waktu tersebut, hujan sudah pun turun, tetapi renyai-renyai. Mungkin faktor hujan renyai itu kut yang menyebabkan proses loading berjalan dengan cepat sekali. Mujurlah kami sempat loading, sejurus selepas semua peralatan naik ke dalam bot. Hujan pun turun dengan agak lebat sedikit berbanding pada awalnya.
Pakcik Kapten tidak mengambil masa yang lama. Selepas semuanya selesai, kami pun bergerak pantas menuju ke Melaka. Mujurlah kepulan awan hitam berada di sebelah barat, maka ianya tidak mengikut kami yang sedang bergerak ke arah timur. Kami bergerak dengan pantas menjauhi Pulau Undan dan semakin lama, kelihatan pulau tersebut hilang ditenggelami oleh hujan lebat yang melanda.

selamat sampai ke Jeti Umbai
Dua puluh minit selepas itu, kami selamat sampai ke Jeti Umbai. Syukur perjalanan kami tidak mengalami sebarang masalah. Semuanya berada dalam keadaan baik. Terima kasih diucapkan kepada pakcik Kapten kerana menjalankan tugas dengan baik sekali. Perkara yang paling kawan suka mengenai pakcik Kapten ini adalah ketetapan masa. Mereka berkerja mengikut masa yang telah ditetapkan. Tiada istilah jam melayu bagi mereka. Mungkin kerana time is money bagi mereka, maka setiap saat itu digunakan dengan secukupnya. Tiada pembaziran saat dan minit oleh mereka.

Makan tengahari terakhir bersama
 Begitu juga pasukan kami, tiada juga pembaziran saat dan minit. Setelah selesai loading barang ke dalam kereta. Kami terus bergerak mencari tempat untuk mengisi perut. Masing-masing kelaparan kerana pada sebelah pagi tadi, kami bertungkus-lumus mengemas itu ini untuk mengejar masa. Syukur alhamdulilah, semua dapat menjamu selera pada tengahari itu sebagai satu keluarga yang besar dengan masing-masing menpunyai jiwa yang sama, Satu hati satu jiwa. Setelah selesai menjamu selera, kami bersalam-salaman antara satu sama lain kerana kami akan berpisah dan bergerak ke destinasi masing-masing. Perpisahan memang terasa sekali. Rasa sebak dan terharu juga menyelubungi suasana restoran itu, terpinga-pinga pelanggan-pelanggan yang lain apabila memerhati gelagat kami. 

Bertemu dan berpisah adat manusia biasa
dari kiri belakang, 9m2zak, 9m2esm, 9m2get, 9w2www, 9m8sya
dari kiri depan, 9w2ejt (topi hitam) dan 9w2adc
 Sejujurnya kawan disini ingin menyatakan bahawa, 9M2MI IOTA AS-097 Undan Island DXpedition telah berjaya. Berjaya dari segala aspek, iaitu pengurusan pengangkutan, pengurusan pemakanan, pengurusan peralatan dan pengurusan tempat penginapan. Pasukan Dxer dari Melaka iaitu Sham 9M2ESM, Yot 9M2YOT, Namie 9W2GSG dan Ejat 9W2EJT telah berjaya. Telah berjaya menganjurkan sebuah world class event, berjaya menyatukan semua DXer-DXer tegar dari setiap pelusuk negara. Bersatu dan bergabung tenaga untuk mengaktifkan IOTA AS-097. Dengan penuh kejujuran kawan nyatakan disini, Event ini adalah sebuah event yang terbaik yang pernah kawan ikuti selama ini. Keserasian antara kami memang sudah umpama adik beradik. bergurau senda dan bekerjasama umpama diprogramkan. Tiada istilah kecil hati dan juga terasa hati, masing-masing mengerti perasaan masing-masing. Itulah sebenarnya hasil permainan radio amatur ini, dapat menyatukan setiap peminatnya tidak kira apa jua latar belakangnya. Semoga keserasian dan kemantapan pasukan ini akan kekal bertahan selamanya dan menjadi contoh dan teladan bagi anak cucu kita di masa akan datang.
9M2MI Crew
Akhir sekali, terima serangkap pantun ikhlas dari saya, walaupun pantun ini sudah beratus tahun menjadi panduan dan contoh teladan, namun maksud tersiratnya itu sampai sekarang boleh digunakan.


                                                     Pulau Pandan Jauh ke Tengah
                                                      Gunung Daik Bercabang Tiga
                                                    Hancur Badan Dikandung Tanah
                                                      Budi Yang Baik Dikenang Jua

Sekian dahulu daripada saya, semoga kita berjumpa lagi di masa yang akan datang. 73 9m2zak.

9M2MI Undan Island IOTA AS-097 Picture Galery
               Get Adobe Flash player 

Connect a GPS module to a Raspberry Pi 4

  To connect a GPS module with four wires (RST, TX, VCC, and GND) to a Raspberry Pi 4, follow these steps:  Materials Needed: 1. GPS module ...