Alhamdulillah,
segala puji bagi ALLAH Yang Maha Esa Maha Pemurah lagi Maha Penyayang serta Maha Pengasihani.
Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan yang
membawa obor menyuluh manusia dari kegelapan kekufuran kepada cahaya Islam.
Kedatangan tahun baru 2014 ini begitu sinonim dengan pelbagai azam baru kita.
Namun azam yang ditanamkan itu biarlah tidak tinggal azam atau tinggal sekadar
angan-angan sahaja. Mode CW mesti aku kuasai pada tahun ini. Itulah azam yang
kawan maksudkan pada tahun ini.
Kata pepatah, buatlah dengan apa
yang ada ditangan, bukan yang ada dalam angan-angan. Biar sedikit latihan
tetapi dilakukan secara berterusan. Bukan banyak masa yang diperuntukkan tetapi
hanya sekerat jalan. Hangat-hangat tahi ayam…Kalau kail panjangnya sejengkal,
memancinglah di pinggiran tasik atau alur-alur sungai dahulu. Tengok…boleh
dapat ikan atau tidak. Sebesar jari kelingking atau sebesar lengan. Daripada
situ kita boleh memperbaiki kelemahan kita dan mempertingkatkan kemampuan kita.
Kalau dulu kita keliru antara F dan L, pada tahun ini…kita jadikan F dan L itu
sebagai makanan kita. Kalau dulu kita merangkak terima 16 WPM…tahun ini kita
jadikan 16 WPM itu copy sambil makan kuaci bunga. Kita belajar daripada
kegagalan dan kejayaan kerana itulah yang dinamakan pengalaman. Pengalaman
adalah guru yang paling jujur dalam mendidik kita untuk menjadi cemerlang.
Seandainya tasik atau pinggiran
sungai sudah ditawan, berazamlah pula untuk cuba mengadu nasib di tengah lautan
dalam pula. Jika selama ini kita hanya ditakuk lama iaitu 16 – 18 WPM…maka
tahun ini cuba
pula tingkatkan ke 25 – 30 WPM. Ini bermakna, kita yang bermula dari bawah
tidak pula sentiasa berada di bawah. Insya-ALLAH, kita boleh mencapai kejayaan
dan mampu untuk mengharungi apa jua cabaran yang datang. Ayuh kita bersama-sama
meningkatkan diri kita. Sampai bila kita nak lihat dicluster tanda panggilan
negara kita dipunyai oleh darah lain. Tepuk dada tanya selera…Maruah kita perlu
dijaga…
Selain daripada itu, janganlah
sekali-kali kita abaikan azam dan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mahu
meninggalkan apa sahaja aktiviti atau tingkahlaku yang bersifat mendatangkan
dosa dengan ALLAH SWT dan dosa sesama manusia. Tidak ada gunanya kita tekun dan
berbakti atau beribadat tetapi dalam masa yang sama…hal-hal berkaitan tabiat
buruk yang selalu kita lakukan pada tahun lepas tidak kita hindari. Mungkin
sukar untuk kita hendak meninggalkannya sekaligus. Buatlah secara
berperingkat-peringkat. Yang penting…ianya berterusan.
Jangan lepaskan pergantungan kita
kepada ALLAH SWT. Sebab itulah kita kena berazam dan selalu bertawakal kepada
ALLAH SWT agar azam kita diberkati dan dipermudahkan untuk kita melaksanakannya.
Salam 73 dari Zaki Din 9M2ZAK.
“
Sesungguhnya berjayalah mereka yang membersihkan jiwa dan merugilah mereka yang
mengotorinya”
( Surah Asy-Syams : 9 -10 )