Monday, October 27, 2014

CQWW SSB 2014 : 9M2SM : We are lucky


Pasukan Contest 9M2SM
Pada tanggal 25hb Oktober 2014, jam 8.00 pagi waktu tempatan - UTC 0800z telah berlangsung sekali lagi CQWW SSB 2014 Contest. Seperti biasa, 9M2SM akan mengambil bahagian dalam contest ini. Kali ini, dalam kategori Multi-One (Multi operator One transmitter). Dalam CQWW SSB 2014 ini, 9M2SM dianggotai oleh 10 operator. Antaranya ialah:

  1. 9M2GET (Hairie)
  2. 9M2OUT (Oja)
  3. 9M8SYA (Syed)
  4. 9M2AGC (Azlan)
  5. 9W2SBD (Salehan)
  6. 9W2SBL (Own)
  7. 9W2AHU (Afiq)
  8. 9W2MNW (Prof Noh)
  9. 9M2ZAK (Zaki)
  10. 9W2TZW(Hafizi)
Pasukan 9M2SM berkumpul di Arau pada hari Jumaat. Dimana pada hari tersebut, kami semua sibuk membuat persiapan terakhir daripada segala aspek untuk memastikan perjalanan contest pada esok hari berjalan dengan lancar. Pada sebelah malamnya, selepas semua ahli pasukan mendapat rehat dengan secukupnya setelah menempuh perjalanan yang jauh. 9M2GET memanggil semua krew 9M2SM untuk diberikan sedikit ucapan alu-aluan dan taklimat ringkas mengenai contest keesokkannya. Seperti biasa, satu mesyuarat diadakan dimana intipati mesyuarat lebih kepada penyusunan jadual operator yang bertugas serta penerangan mengenai undang-undang contest CQWW SSB 2014. Kali ini kesungguhan jelas terpancar daripada setiap wajah-wajah krew 9M2SM kerana masing-masing mempunyai matlamat yang sama, iaitu ingin membuat yang terbaik dalam contest ini, bukannya untuk berkumpul dan bersukaria. Sasaran juga telah ditetapkan, jadi dalam kontest kali ini, setiap krew memainkan peranan penting dari segala aspek bagi menjayakan misi yang telah dirancang rapi 6 bulan sebelum ini.

sesi taklimat bersama crew
 Selepas sesi taklimat berakhir, masing-masing terus menjalankan tugas mereka. Ada yang menguji amplifier, ada yang menguji performance antenna, ada yang menyiapkan log n1mm, merakam audio untuk auto-CQ dan memastikan keadaan transceiver berada dalam keadaan tip-top serta menyemak ramalan kaji cuaca serta keadaan propogasi, iaitu meneliti ramalan propogasi untuk dua hari berikutnya. Perkara-perkara ini penting bagi memastikan tiada apa-apa permasalahan yang akan timbul sebaik sahaja contest dimulakan. Ini adalah kerana, sebaik sahaja aktiviti contest bermula, istilah toleh kebelakang sudah tidak timbul lagi. Pada masa itu, semua akan memandang ke depan. Memburu callsign dalam masa 48 jam.

sesi perbincangan
Selepas jam 12 tengah malam, kami semua diarahkan untuk tidur dan lampu mesti dipadamkan kerana 9M2GET mahu kami semua mendapat rehat yang secukupnya untuk menghadapi cabaran pada keesokkan harinya. Perlu diingat, bermula pada hari sabtu jam 8.00 pagi contest akan bermula dan akan berlangsung selama 48 jam tanpa henti. Jadi sudah semestinya ianya menuntut daya ketahanan yang tinggi serta keazaman yang jitu untuk mengharunginya. Maka sudah pasti rehat yang cukup amat diperlukan bagi mengelak sebarang kesulitan dalam mengharungi cabaran contest itu nanti.

9M2AGC dan 9M2ZAK
Sabtu 25 Oktober 2014 - 8.00 am - Cabaran contest CQWW SSB dimulakan pada tepat jam 8.00 pagi waktu tempatan dan bersamaan dengan UTC 00:00 zulu. Pada ketika itu, band 10m menjadi pertaruhan kerana keadaan band yang cukup baik serta mempunyai kadar noise yang amat membanggakan. Pada ketika itu, antenna dihalakan ke arah Jepun dengan harapan dapat mengutip seberapa banyak stesen dari sana disamping mendapat bonus daripada stesen-stesen dari negara lain seperti Amerika Utara-Amerika Selatan-China-Taiwan-Hong Kong-Asiatic Russia. Namun ada juga yang datang melalui long path seperti Australia dan India. Ini bermakna keadaan band amat rendah sekali kadar noisenya dan membolehkan pelbagai stesen datang dari pelbagai arah. Pada sesi tersebut, kawan bergandingan dengan operator legend dari Kelang, Selangor iaitu 9M2AGC. Inilah kali pertama kawan bergandingan dengan beliau. Terasa amat bertuah sekali diri ini apabila diberi penghormatan untuk beraksi dengan operator yang selama ini menjadi idola kawan. CQWW SSB menjadikan impian kawan menjadi kenyataan.

9W2SBL dan 9W2AHU
Kemudian 9M2SM beralih pula ke band 15m setelah mendapati keadaan di 10m semakin berkurangan. Jangkaan kami tepat, kami sekali lagi pile-up di 15m. Kali ini, aktiviti di 15m dipandu oleh dua operator ternama tanahair iaitu 9W2SBL Own dan 9W2AHU Afiq. Mereka berjaya menguruskan pile-up dengan jayanya. Syukur alhamdulilah, keadaan band masih lagi unggul. Kadar noise juga stabil dan ia memudahkan mereka untuk copy setiap stesen yang masuk itu tanpa mengalami sebarang kesulitan. Pengalaman yang luas yang ada daripada kedua-dua operator tersebut pula menjadikan proses CQ tersebut licin dan bebas daripada segala kejadian yang tidak diingini. Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, kedua-dua operator tersebut begitu aktif CQ di 10m band. Jadi tidak hairanlah jika ilmu dan pengalaman yang ada didada mereka itu dipraktikkan sepenuhnya didalam contest ini.

9M2GET dan 9W2MNW
Menjelang petang, 9M2GET dan Prof Noh 9W2MNW pula mengambil tempat. Kali ini, our BIG BOSS pula beraksi. Mereka beraksi di band 20m. Dalam contest kali ini, kami crew 9M2SM berasa begitu bertuah kerana terdapat dua ahli akademik yang bertaraf PHD turut serta beraksi dalam contest ini. Mereka adalah Prof Noh 9W2MNW dan Cikgu Azlan 9M2AGC (sedang menyiapkan PHD beliau) turut beraksi dalam contest ini. Banyak ilmu yang kami perolehi daripada mereka berdua terutama dalam bidang elektronik dan antenna. Banyak juga persoalan yang terjawab dimana selama ini ianya membelenggu kami kenapa dan bagaimana dalam bidang radio ini. Namun selepas mendapat kuliah percuma daripada mereka berdua segala kemusykilan telah terjawab. Terima kasih kawan ucapkan kerana berkongsi ilmu pengetahuan yang ada dalam diri kalian berdua untuk kami operator radio kampung dari Utara tanahair.

9M2AGC bersama 9W2MNW
Dalam contest ini, 9M2GET juga melatih beberapa operator baru untuk dijadikan pelapis bagi memantapkan lagi pasukan ini. Ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada operator baharu bagi menimba pengalaman dalam mengharungi cabaran contest tersebut. Perlu diingatkan bahawa cabaran contest adalah berbeda sekali dengan aktiviti Dxing dan juga field day. Perbezaannya adalah dari segi tekanan. Dalam aktiviti contest, setiap stesen yang menyertainya secara tidak langsung akan terus mendapat stress dan tekanan. 
9M2AGC berganding bahu dengan 9M8SYA
 Tekanan ini lahir kerana setiap contest itu ada masa yang perlu diikuti serta undang-undangnya tersendiri, disamping itu juga, faktor cuaca juga menambah tekanan kerana aktiviti ini terpaksa dihentikan kerana cuaca buruk. Jika perkara ini berlaku, sudah pastilah akan mengalami kerugian dari segi masa kerana setiap masa yang berlalu itu akan memberikan kekurangan dalam pungutan QSO dan seterusnya memberi kesan kepada jumlah pungutan mata. Inilah pengalaman yang perlu dikutip oleh operator yang baru menceburi aktiviti ini. Kawan pasti, Hafizi dan Afiq tentu sudah mengerti perbezaan antara dxing dan contest dan selepas ini sudah pasti mereka akan terus cemerlang dalam mengharungi cabaran contest yang seterusnya. 
9W2AHU beraksi bersama Hafizi 9W2TZW dan Prof Noh 9W2MNW

9W2SBD bersama 9W2SBL, kembar tak seiras
Dalam contest ini, kami ditugaskan untuk memberikan 100% tumpuan terhadap aktiviti contest. Perkara-perkara lain usah dirisaukan. Terutamanya bab makanan. Terima kasih kami ucapkan kepada Ticer Oja 9M2OUT, kerana menjaga makan dan minum operator 9M2SM selama berada disini. Persiapan dari segi menu makanan juga telah disediakan agar operator SM tidak kelaparan sewaktu beraksi di udara nanti. Sehubungan dengan itu, menu untuk 3 hari dua malam telah dirancang dan segala persiapan bahan juga telah siap disediakan.demi memberi kelancaran dalam aktiviti contest ini. Terima kasih Ticer Oja, Ketam Masak Cili memang sedap sekali. Enak dimakan begitu sahaja. Nanti boleh copy resepi untuk dicuba di Johor pula.

Menu 9M2SM
Begitu juga dengan bang Salehan, terima kasih diucapkan kerana bersusah payah mengimport bekalan kambing segar dari Perak untuk aktiviti BBQ pada malam contest. Inilah perkara yang tiada dalam aktiviti yang lain. Perkongsian ilmu pengetahuan, bersatu hati dan tenaga serta perhubungan persahabatan yang erat terjalin secara automatiknya dalam aktiviti contest ini. CQWW bukan hanya sekadar aktiviti contest, secara tersiratnya ianya berupaya menjalinkan perhubungan tali persahabatan antara penggiatnya. Mengeratkan hubungan antara operator, malah antara negeri dan tidak dinafikan juga... ianya mampu untuk mengeratkan lagi hubungan benua dan antarabangsa di dunia ini

9w2sbd beraksi di dapur
.Kita hanya merancang, sebenarnya tuhan yang menentukan. Kawan terpaksa meninggalkan Arau kerana pada keesokkan harinya kawan bertugas. Jadi perlahan-lahan kawan meninggalkan Arau menuju kembali ke selatan tanahair. Meninggalkan rakan-rakan yang satu kepala dalam hobi ini. Sebenarnya dalam hati ini, kawan begitu berat sekali untuk meninggalkan Arau. Apatah lagi bersama dengan rakan-rakan yang sehobi ini. Sudah pastilah bertambah keberatannya. Namun kawan gagahi juga kerana ada tanggungjawab yang lebih besar perlu dipikul untuk membina negara ini. Perkara berkaitan hobi ini tidak kemana, ada masa kelapangan, adalah ia...tiada kelapangan masa...tersimpanlah ia.

bersama Otai 9M2SE - 9M2PJU
Dalam perjalanan pulang menuju ke selatan, kawan sempat menjenguk sebuah lagi stesen contest dari kawasan tengah, iaitu 9M2SE. Dimana mereka beraksi dalam kategori Multi One Low Power. Ahli pasukan 9M2SE adalah terdiri daripada Khairul Nizam Ngadimin 9M2KRZ , Weerut Srhidhara 9W2RUT, Rahmat Hj Ariffin 9M2RMT, Rosli Hasan 9M2RHQ, Kayrols Afendy 9M2OOO, Ikmal Putra 9W2EDU, Hamid 9M2TPT, Ags Salim 9W2ZSU dan Ahmad Ismail 9M2AIA.

Menikmati BBQ Kambing, terima kasih bang Rosli, sedap sehingga menjilat pinggan
9M2SE beroperasi di Bukit Beruntung, dimana 9M2RMT menjadi tuan rumah. Terima kasih kawan ucapkan kepada semua krew 9M2SE kerana menyimpan sedikit kambing untuk kawan merasainya. Tercapai jugak hasrat kawan untuk bersama-sama dengan krew 9M2SE dalam kemeriahan CQWW dan bersama mengharungi cabaran contest CQWW SSB ini. Seperti 9M2SM, 9M2SE juga mempunyai satu pasukan yang mantap. Pasukan yang bersatu hati dan tenaga demi hobi yang saintifik ini serta berganding bahu dalam apa jua aktiviti dan masalah yang menimpa mereka. Syabas diucapkan kepada team 9M2SE. Semoga kekuatan ini terus berpadu selamanya. Selepas itu, kawan pun terus meneruskan perjalanan kawan ke selatan sambil ditemani oleh kang Hamid 9M2TPT. Terima kasih kawan ucapkan kepada Kang Hamid kerana sudi membimbing kawan untuk keluar dari kawasan Bukit Beruntung menuju ke PLUS. Sebelum itu, terima kasih juga kawan ucapkan kepada Weerut kerana membimbing kawan untuk sampai ke Bukit Beruntung.

9M2SM : Ara Boys Contest Station menyimpan seribu kenangan
kawan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Hairie 9M2GET dan Oja 9M2OUT kerana sudi menerima kawan budak Kuala Perlis ini sebagai krew 9M2SM. Terima kasih juga kawan ucapkan kepada abang Salehan 9W2SBD kerana bersusah payah menyiapkan badge, t-shirt dan kambing untuk kami warga 9M2SM. Terima kasih juga kawan ucapkan kepada Prof Noh 9W2MNW atas ole-ole dari Pulau Langkawi (Cuban Cigar) dan Cikgu Azlan 9M2AGC atas perkongsian ilmu yang tiada nilainya. Terima kasih juga diucapkan kepada Syed 9M8SYA, Own 9W2SBL, Afiq 9W2AHU dan Hafizi 9W2TZW atas pengalaman dan suka duka selama ber-contest ini. Gelak tawa kalian semua masih terngiang-ngiang di telinga kawan hingga ke saat ini. Semoga tali persahabatan yang terjalin ini akan kekal untuk selamanya. 


Secara peribadinya, kawan berasa sangat bertuah kerana melalui aktiviti contest ini kawan berpeluang untuk mengenali kesemua ahli pasukan 9M2SM dengan lebih dekat. Kesimpulannya, melalui aktiviti contest CQWW SSB 2014, kawan dan ahli pasukan 9m2sm beroleh kesedaran bahawa aktiviti contest seperti ini dapat dijadikan sebagai medium untuk pengiat radio amatur untuk berkumpul dan berkongsi pengetahuan, pengalaman khususnya bagi kami pemegang lesen yang baru setahun jagung ini. Kejayaan Hairie 9M2GET selaku tuan rumah amat kami kagumi, bukannya senang untuk mengumpulkan operator dari seluruh tanahair. Rata-ratanya datang dari pelbagai daerah dan negeri, sejujurnya...kawan memuji kesungguhan 9M2GET dalam menghasilkan pasukan mantap ini. Ada juga station lain yang menjadikan 9M2SM sebagai rujukan, terutamanya station-station dari luar negara.
73 de Zaki 9M2ZAK


9m2sm in action, rasanya ni suara Afiq ni...

Apakah intipati sebenar CQWW ini?
- CQWW ialah satu medium untuk para pengiat radio amatur melibatkan diri secara individu ataupun secara berkumpulan dalam aktiviti contest ataupun boleh disebut pertandingan. Dalam aktiviti contest ini, ianya secara tidak langsung dapat meningkatkan imej diri, imej pasukan serta imej negara dengan secara tidak rasminya. Malah tidak dinafikan juga, dalam aktiviti contest ini juga, setiap contester itu dapat mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik yang ada dalam diri mereka. Justeru itu, mereka dapat merasakan diri mereka itu adalah sebahagian daripada anggota masyarakat yang bertanggungjawab. Dengan ini, para penggiat radio amatur ini dapat membina martabat diri yang positif dan berbangga kerana telah memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara. Ini adalah kerana, dengan CQ di udara, mereka sebenarnya telah mempromosikan negara kecil Malaysia ini keseluruh dunia. Begitu besar impaknya kepada negara, walaupun tidak dibayar untuk melakukannya, mereka dengan rela hati melakukannya. Antara impak yang akan terkesan dalam aktiviti ini adalah:
  1. Sektor pelancong akan meningkat
  2. Jalinan kerjasama antarabangsa akan wujud
  3. Malaysia akan lebih dikenali di seluruh dunia
 Selain itu, dalam sedar atau tidak, sebenarnya dalam aktiviti ini. Beberapa nilai murni telah berjaya diserap. Nilai-nilai murni ini wujud secara tidak langsung dan lahir secara sendiri. Tahukah kita bahawa, dalam kesibukan kita ber-contest, kita sebenarnya telah mengaplikasikan nilai-nilai murni berikut:

  1. Amanah - mengelak daripada melakukan penyelewengan dari segi masa, peralatan dan tenaga kerja.
  2. Tanggungjawab - menjalankan setiap tugas yang diamanahkan oleh 9M2GET dengan sepenuhnya
  3. Ikhlas - Berhati mulia dalam melaksanakan tugas tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Sebenarnya kami tidak dibayar sesen pun oleh 9M2GET untuk datang ke Arau. Semuanya dengan rela hati.
  4. Tekun-Setiap ahli pasukan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kesempurnaan dalam tugas mereka selaku operator 9M2SM
  5. Berdisiplin-Dalam sedar atau tidak, ke semua krew 9M2SM telah mempamerkan etika kerja dan profesionalisme yang tinggi.
  6. Bekerjasama-Masing-masing tolong-menolong antara satu sama lain dalam cabaran mengharungi contest dimana setiap  ahli pasukan ditemani sepanjang masa untuk memberi mereka sokongan dan sokongan.
Kredit to abang Salehan, 9W2SBD kerana menghasilkan video hebat ini. Terima kasih bang Salehan...



Tuesday, October 21, 2014

World Jota 2014 : 9M4SJJ Kulaijaya Jota Station

Pada 17 Oktober 2014 yang lepas, kawan diberi kepercayaan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia - Marts - WOSM - Saudara Rizal 9M2RZL dan Pak Deen Atan 9M2DA untuk menjadi station master dalam World Jamboree On the Air 2014 ini.
        Dalam World Jamboree On the Air 2014 ini, kawan dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan callsign 9M4SJJ. Oleh kerana kawan terlalu sibuk dengan tugasan dan urusan tugas hakiki, maka JOTA kali ini dijalankan secara basic sahaja. Iaitu kawan sediakan sebuah stesen ringkas yang meliputi peralatan berikut:
  • Transceiver : Kenwood TS-50
  • Antenna : G5RV Jr
 
 
Stesen Jota 9M4SJJ dioperasikan oleh : 
  1. Station Master : Zaki (9M2ZAK)
  2. Station Coordinator : Jayakanthan (9W2BUG)
  3. Assistant Station Coordinator : Zahril (9W2ZRJ)
Secara rasminya, 9M4SJJ mula beroperasi pada hari Sabtu pukul 2.00 petang. Seperti biasa, kami menjemput semua pengakap dari seluruh daerah Kulaijaya dan Johor Bharu untuk merasai pengalaman beraksi diudara dan berjumpa dengan rakan-rakan pengakap dari seluruh dunia melalui gelombang elektromagnetik ini.
 
          Ada diantara mereka tidak pernah merasai menggunakan peralatan komunikasi untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan pengakap dari seluruh dunia. Sudah tentulah mereka berasa teruja dan gembira sekali apabila suara mereka dapat didengar dan dijawab oleh stesen Jota dari luar negara.
 
 
Kegembiraan jelas terpampang di wajah suci mereka. Sorakan dan tepukan kepuasan serta keriangan telah memecah keheningan Jalan Tiong 2 apabila mereka berjaya mendapat contact. Hubungan persahabatan antara benua yang terjalin itu pula memberikan mereka satu kepuasan yang tidak ternilai harganya.
 
Begitu juga dengan station yang berjaya dihubungi, dari speaker transceiver begitu jelas kedengaran keriangan mereka melayan dan beramah mesra dengan stesen kecil kami di Kulaijaya ini. Itulah dia Radio Amatur, hobi yang boleh menyatukan seluruh umatnya dibawah satu frequency.
 
Setiap anak-anak pengakap yang berjaya mengadakan contact di Station JOTA Kulaijaya akan dianugerahkan sijil oleh kami. Tujuannya adalah untuk menyuntik semangat dan dorongan kepada anak-anak pengakap ini untuk terus berbakti kepada bangsa, masyarakat dan negara serta terus bergiat aktif dalam apa jua aktiviti pengakap. Sekali berpengakap, selamanya akan terus berpengakap...
 
Dalam aktiviti World Jota 2014 ini, 9M4SJJ telah berjaya menghubungi sebanyak 220 station dari seluruh dunia. Secara keseluruhannya, kami berjaya :
  1. Mengadakan contact dari 6 benua : Worked All Continent
  2. Mengumpul 35 DXCC
  3. Mengutip 127 WPX
dan paling manis sekali, kami juga berjaya mendapat BONUS. CQ JOTA kami telah berjaya menarik perhatian stesen radio amatur UN ( Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). 9M4SJJ telah dihubungi oleh 4U20B iaitu UN Global Service Center, yang beroperasi dari Italy.
 
 
 
sekian dulu coretan ringkas dari kawan, catatan ini kawan coretkan dari Padang Serai, Kulim, Kedah.
                                                                                                                                                73 de Zaki  

Thursday, October 16, 2014

Operation South Cone : Good sign for the beginning

Dapat contact dengan FM5WD via SP
Salam bertemu lagi rakan-rakan seperjuangan sekalian. Selepas kawan sukses dengan operasi kanggaroo. Maka kawan bercadang pula untuk melebarkan kawasan jajahan kawan dengan cuba menakluki kawasan Amerika Selatan pula. Kawasan Amerika Selatan ini sengaja kawan pilih kerana cabarannya. Antara cabarannya ialah:
  1. Perbezaan masa
  2. Jarak
  3. Propogasi yang tidak menentu
  4. Dalam SA terdapat banyak rare callsign
  5. Menguji keberkesanan sistem antenna 
Disamping itu jugak, kawan ingin menguji sejauh manakah kekuatan 100w dapat pergi dan bagaimana kualiti penerimaan oleh mereka disana. Jika kawan TX dengan 300w-400w, mungkin tiada masalah kut. Tetapi oleh kerana inginkan cabaran dan kenikmatan bermain dalam permainan ini, kawan memilih untuk barefoot sahaja.

Sebenarnya, operasi ini kawan sudah mulakan ia sejak beberapa hari yang lalu, cuma pada hari ini, Jumaat - cuti umum bagi negeri Johor, maka kawan berkesempatan untuk menulis sesuatu di blog ini. Mencuri sedikit masa sebelum kembali bertugas.

Buat masa sekarang, antenna kawan halakan ke 250 darjah, memang betul-betul tala ke negara Brazil. Kawan sengaja tala ke negara Brazil kerana negara tersebut aktif dalam radio amatur. Jika negara-negara lain yang masuk semasa kawan CQ. Itu dikira sebagai bonuslah...lagipun memang kawan mengharapkan mereka (negara lain) masuk pun...

250 darjah
Jika diperhatikan, pancaran kawan akan melalui Africa Selatan, Jadi sebab itulah terdapat beberapa stesen dari Afrika Selatan yang selalu masuk dalam CQ kawan: antaranya ialah ZS6BNE, 

Stesen South Afrika ini, selalu kawan temuinya pada tengah malam atau lewat malam. Kadangkala kawan ada terdengar juga beliau selalu CQ mencari NA melalui LP. Jadi... kami saling bersilangan, dia hendak ke NA dan kawan pulak hendak ke Brazil. Bertembung sesama sendiri melalui SP dan LP masing-masing.

Seperti biasa, dalam apa-apa jua operasi yang kawan jalankan, stesen Jepun selalu sahaja dapat menjejaki kawan, walaupun dari LP. Kawan tabik kepada mereka kerana mereka dapat dihubungi dari pelbagai arah. Ini membuktikan keberkesanan setup antenna mereka dan ilmu yang tinggi dimiliki oleh mereka. Namun kawan tidaklah sampai tidak menghiraukan mereka. Kawan layan mereka sama seperti stesen stesen-stesen yang lain. Kita kan saudara, semua pemegang lesen adalah saudara kita. Saling memerlukan antara satu sama lain apabila ke udara. Jika tidak...tiada siapa nanti yang akan menjawab panggilan kita. CQlah sorang-sorang.


 Setakat ini, kawan hanya berjaya mengumpul 8 station sahaja dari Benua Amerika Selatan. Tetapi ini baru saja permulaan dan kawan tidak akan berputus asa dalam operasi ini. Kawan akan gunakan segala kemampuan yang ada untuk menjayakan misi kawan ini. Rasanya ianya akan mengambil masa yang lama, tetapi itu bukan masalah bagi kawan kerana jika ada kemahuan disitu pasti akan ada jalannya. 

Yang penting...kemahuan kita. Apa yang kawan pelajari daripada operasi kanggaroo adalah kita perlu banyak mendengar dan study patern DX mereka. Pada waktu mana mereka selalu muncul dan band apakah yang selalu mereka gunakan. Untuk itu, penggunaan DX Cluster adalah menjadi kewajipan bagi kawan. Dan meneliti setiap band pula seharusnya menjadi kebiasaan bagi menjayakan misi ini. 

Baiklah, setakat ini dahulu perkembangan dari kawan. Sampai kita berjumpa lagi dalam post-post yang akan datang. 73 de Zaki.



Wednesday, October 8, 2014

My 6 meter band report : Testing a 3 Element 6m Monoband Yagi

Sebenarnya kawan rancang untuk mengujinya pada hujung minggu ini. Memang sudah tertulis dalam diari aktiviti kawan untuk test performance yagi ini pada hujung minggu. Tetapi malam tadi, entah mengapa tangan ini menjadi gatal untuk membuka radio dan terus ke band 6m. Sebaik sahaja kawan tuned ke 50.001.00mhz, kedengaran beacon BV2B amat kuat dan jelas. Setiap butiran dit dan dah jelas kedengaran. Dalam hati kawan berkata....

" band buka cantik ni, membuka cantik ke negara Taiwan. Hmm....try CQlah...."

Signal noise pula mencatatkan bacaan yang amat luar biasa. Stabil pada kedudukan S-0. Wah!!!..cantik ni, peluang sebegini jangan dilepaskan. Memang rezeki kawan rasanya. Dari kebetulan terus menjadi perbuatan.
Sebelum memulakan CQ, kawan meneliti dahulu setiap khz, Mencari kalau-kalau ada rakan yang CQ difrequency. Kawan tidak mahu nanti, rakan-rakan radio diluar sana memandang kita sebagai Ham yang tidak berhemah. Ikut suka hati sahaja CQ difrequency tanpa menelitinya dahulu. Tatasusila sebagai seorang Ham Malaysia juga perlu dijaga. Perlu diingat, setiap tingkahlaku kita di frequency sebenarnya memberi impak yang besar kerana kita adalah duta kecil negara. Jadi apa saja tindakan kita secara tidak langsung mencermin diri kita yang sebenarnya.

Akhirnya, frequency 50120.00 menjadi pilihan kawan. Frequency kawan pilih kerana ia adalah centre freq bagi antenna kawan. Jadi, inilah masanya untuk kawan melihat sejauh manakah prestasi ant ini selepas 3 hari dinaikkan. Hasilnya adalah seperti berikut :

CQ kawan disahut oleh sebuah stesen dari Jepun pada permulaannya. Kemudian selepas itu, berduyun-duyun stesen dari Taiwan dan China masuk. Semuannya kuat-kuat belaka. Ingatkan kawan akan dimasuki oleh Jepun, tetapi yang lain pula yang datang.

Pada permulaannya, kawan CQ dalam mode CW, dalam mode ini kawan berjaya mengutip 13 stesen. Kemudian kawan tukar pula ke mode SSB. Dalam mode SSB, ianya jugak tidak menghampakan. Berduyun-duyun stesen dari China dan Taiwan masuk dan semuanya kuat - kuat belaka. 

Memang rezeki kawan pada malam ini. Inilah kali pertama kawan memperoleh contact yang  sedemikian rupa. Dalam mode SSB, kawan berjaya mengutip 11 station. Kesemua stesen yang masuk melalui mode SSB adalah stesen dari Taiwan Rata-rata memberikan signal report yang baik, iaitu 59, malah ada yang melaporkan bahawa signal kawan telah mencapai 20dB.














Syukur ke hadrat Ilahi kerana menjadikan yagi kawan ini berfungsi dengan sebaiknya dan memberikan feedback yang baik daripada para stesen yang masuk tadi. Semuanya berkata, you are trully 5 by 9. Kembang hidung nampaknya kawan....

eQSL yang diterima dari Jepun
Kesimpulannya, pada malam tadi band 6m membuka cantik ke arah Taiwan dan China. Mungkinkah ianya faktor gerhana bulan? apa apapun kawan amat puas dan gembira kerana 3 ele ini menjalankan tugasnya dengan penuh kecemerlangan. selepas ini, kawan tidak akan menoleh kebelakang lagi. Magic Band akan diekplore sepenuhnya. 73 de 9m2zak



Tuesday, October 7, 2014

3 element 6 meter band yagi

Semuanya bermula daripada Whatsapp. Apabila kawan terbaca dan terlihat post dari ADC. Kawan baru teringat akan projek 5 element 10m mono band yagi....

Sebenarnya projek ini kawan mulakan pada awal tahun yang lalu, iaitu sekitar bulan Januari, tetapi oleh kerana kekangan masa dan dihujani oleh pelbagai tugasan pada ketika itu. Projek 5 element ini terpaksa kawan tangguhkan dahulu kerana pada setiap hujung minggu, ada sahaja tugasan yang mendatang. Maka urusan hobi ini ditangguhkan dahulu, urusan periuk nasi diberi keutamaan dahulu.

Faktor utama mengapa kawan terlupa akan monoband yagi ini adalah kerana kawan sudah pun ada yagi yang lain. Jadi kekurangan pada band 10m ini tidaklah terasa sangat, tidak terasa sehinggakan terlupa akan adanya projek yang lain yang masih tersorok disebalik bumbung jubin warna merah.

segalanya sudah sedia
Maka pada petang semalam, iaitu sekitar jam 2 petang. Kawan menurunkan semua element yang ada. Setelah diperiksa dengan teliti semua element tersebut. Didapati keadaannya masih lagi cantik dan utuh, walaupun selama 10 bulan ini, berhujan dan berpanas. Kondisinya masih mantap.

Sambil melayan kretek gudang garam, tiba-tiba terlintas idea dibenak kawan untuk menghasilkan sebuah antenna lain...

"kenapa perlu hasilkan yagi 10m lagi, kan aku sudah ada tribander, membazir pula rasanya ...apa kata kalau aku hasilkan yagi untuk band 6m pulak, lagipun pada band ini aku masih belum ada yagi lagi, delta loop dan dipole sudah dicuba. Yagi belum lagi...."

Radio amatur ini adalah hobi yang penuh dengan aktiviti eksperiment. Maka keputusan drastik ini kawan ambil untuk ber-eksperiment pula dengan 3 element. Jadi sebelum operasi dimulakan, segala kelengkapan dan keperluan perlu disemak dahulu. Cantik...semuanya sudah ada. Apa yang kawan perlukan hanyalah mengubah kedudukan element dan mengukur semula panjang element. 

Langkah pertama, kawan mesti mendapatkan ukuran. Jadi kawan meminta bantuan rakan-rakan di media sosial untuk berkongsi ukuran yagi 6 meter jika mereka ada. Terima kasih diucapkan kepada saudara Aimil iaitu pemegang callsign 9M2AUR kerana sudi memberikan diagram antenna yagi. Beliau (Aimil) telah mencadangkan kepada kepada kawan agar menghasilkan 4 element yagi. Namun apabila kawan mengukur panjang boom yagi 4 element tersebut, kawan terpaksa melupakannya kerana boom kawan tidak cukup panjang.

Sebenarnya dulu ada, tetapi boom tersebut kawan jadikan pole untuk tribander yagi dimana tribander tersebut kawan naikkan lagi ketinggiannya.  Kali ini, 12 kaki dari bumbung rumah. Ketinggian rumah 20 kaki, ketinggian bumbung 10 kaki, dan ketinggian pole pulak 12 kaki. Ini bermakna tribander tersebut berada pada ketinggian 20+12+10 = 42 kaki. 42 kaki dari tanah. Oklah tu.

Selepas meluangkan masa selama 45 minit di google. Kawan akhirnya terjumpa jugak ukuran yagi 3 element tersebut. Selepas mencatat semua butirannya, kawan terus bergegas ke bawah untuk menyambung kembali urusan pengukurannya. Masa yang diambil tidaklah lama. Kawan berjaya siapkan sebuah yagi dalam masa tidak sampai 30 minit, 30 minit kerana kawan hanya ubah kedudukan element dan ikat serta memotong sedikit boom mengikut ukuran yang didapati. 

Jika rakan-rakan ingin menghasilkannya, dibawah ini kawan sertakan gambarajahnya.


Yagi ini menggunakan balun 1:1, jika rakan-rakan sekalian tidak mempunyai balun, rakan rakan juga boleh buat sendiri dengan mendapatkan diagram dari internet. Mudah sahaja, hanya google dan download sahaja. Setiap element adalah insulate kerana ianya adalah jenis dipole. Konsep asasnya adalah sebuah dipole, cuma ditambah reflektor dan direktor untuk dijadikan sebagai yagi.

siap sudah...
Pada bahagian Driven, jangan lupa untuk menggunakan skru stainless steel atau pun skru copper untk mengelakkannya dari teroksida. Berdasarkan kepada pengalaman-pengalaman yang lepas, jika kita menggunakan skru biasa, lama kelamaan ianya akan berkarat dan prestasi juga akan menjadi semakin menurun. Maka satu kerja lagi perlu dilakukan, iaitu menurunkan kembali antenna dan servis semula. Sebab itulah jika kita membeli  yagi yang dijual secara komersial, mereka para pengeluar menggunakan bahan dari stainless steel demi menjaga kualiti produk mereka.

stainless steel skru untuk direct feeding

Kawan menggunakan boom jenis bulat kerana pole ini mudah didapati di kawasan kawan. Jika anda ingin menggunakan boom jenis square pun tidak ada masalah kerana fungsinya adalah untuk memegang sahaja. Yang penting ianya mesti insulate. sebelum kawan menaikkan ant ini, kawan berkali-kali memeriksa semua ikatan skru dan hose clam[ agar tidak ada yang terlepas pandang, sebab apabila ianya sudah naik. Proses baikpulih akan menjadi semakin sukar dan mengambil masa kerana kedudukannya jauh di atas sana. Jadi segala langkah pencegahan perlu diambil dan dititikberatkan.

sudah naik atas
Proses pemasangan ini kawan lakukan dengan seorang diri sahaja. Yagi tersebut kawan naikkan dengan menyandar dahulu pada dinding rumah kemudian kawan cangkuk dari atas bumbung dengan pencangkuk yang telah diubahsuai. Manakala pole-nya pula kawan gunakan pole 5 kaki sahaja. Dengan menggunakan braket antenna TV, kawan masukkan pole tadi ke dalamnya dan diikat dengan 4 guide wayar yang berwarna hijau. Maka siap sudahlah projek kawan pada hari ini. 3 element 6 meter band yagi.

hanya gunakan braket Y tv ant
Setelah selesai urusan pemasangan, kawan terus menjalankan test ke atasnya. Syukur, ianya berfungsi dengan baik. Bacaan SWR 1:1 pada freq 50110mhz. dan membawa sehingga ke 50250mhz. All the way SWR 1:1. Maka malam tadi kawan ke udara bersamanya. Hasilnya... yagi ini dapat memintas signal dari Darwin, Australia. Pertama kali kawan dapat contact dengan Australia pada band 6 meter. Syabas kawan ucapkan kepada diri sendiri. Dibawah ini adalah video contact tersebut.


Dapat contact dengan VK8RR dari Darwin Australia, sejurus selepas siap pemasangan antenna.

73 de Zaki 9m2zak

Monday, October 6, 2014

Operation Kanggaroo : Mission accomplished

Terima kasih Bang Salehan 9W2SBD atas sumbangan poster ini.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Hari ini, secara rasminya kawan menamatkan cabaran Operasi Kanggaroo dimana objektif cabaran adalah mengumpul dan mendapatkan seberapa banyak callsign dari Benua Australia.

Dalam operasi ini, seperti yang kawan maklumkan pada post yang pertama operasi dahulu, kawan telah menetapkan atau menghalakan yagi kawan ke arah Benua Australia. Begitu juga dengan antenna wire kawan, antenna G5RV Junior juga kawan ubah kedudukannya dan menghadap ke arah Benua Australia. Semua tindakan ini hanyalah kerana satu tujuan, iaitu untuk mendapatkan seberapa banyak contact dari negara Australia.

Operasi ini sengaja kawan adakan kerana ingin menambah perisa atau variasi serta mencari cabaran dalam hobi ini. Dalam hobi radio amatur ini, terdapat 1001 cara untuk kita menghayatinya, terpulang kepada kreativti masing-masing dalam mewujudkan cabaran tersebut. Ada yang suka homebrew, ada yang suka kumpul QSL kad, kumpul award, kumpul prefix, kumpul zone, bereksperiment dengan antenna, APRS, SSTV, RTTY, BPSK, miliwatt DX, APRS, fox-hunting, field-day, memburu IOTA, SOTA, DXpedition, QRP, ESSB, contest, satelite tracking dan bermacam-macam lagi aktiviti yang boleh diwujudkan dengan radio amatur ini. Apa yang diperlukan... adalah idea dan kreativiti kita sahaja.

Berbalik kita kepada kanggaroo... operasi kanggaroo ini kawan mulakan pada 14 September 2014 dan berakhir pada hari ini, 6 Oktober 2014. Ini bermakna, selama 3 minggu ini, iaitu 21 hari kawan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan. Kesabaran yang tinggi jugak diperlukan bagi menjayakan misi ini. Dugaan yang paling ketara adalah fenomena skip. Dimana pancaran kawan tersasar jauh hingga ke benua eropah sana, malah pernah jugak sampai ke negara India Hasilnya...banyaklah stesen dari negara-negara eropah masuk ke dalam CQ kawan. Mereka (Eropah) datang dari Long Path, ini bermakna pancaran kawan menyusup masuk melalui Finland dan seterusnya menurun hingga ke India. Jadi tidak hairanlah kenapa mereka masuk. Namun atas dasar semangat Kanggaroo dan persahabatan, kawan layan juga check-in mereka itu dan memberitahu mereka yang kawan sebenarnya datang dari arah belakang (Long Path). 


Itu jika berlaku SKIP, jika tidak berlaku SKIP. Sebenarnya kita boleh pile-up dengan stesen VK ini. Negara Australia ini sebenarnya mempunyai bilangan pemegang lesen yang ramai juga. Bukan sahaja ramai malah aktif. Tidak hairanlah jika banyak kelab dan persatuan disana. Ada juga yang menggunakan radio sebagai alat penyiaran untuk aktiviti pendidikan ( School of the air). Dimana mereka menggunakan radio ini untuk berhubung dengan guru atau guru yang menyiarkan bahan untuk pembelajaran mereka.   

School of the air
Jadi...budaya radio itu sudah sebati dalam jiwa anak-anak muda disana. Maka tidak hairanlah jika mereka sukses dengan aktiviti radio tersebut. Sudah biasa dengan peralatan radio seperti PTT, coax cable dan antenna semenjak dari bangku sekolah tadika lagi. Kawan mengenali radio ini, semenjak dari bangku sekolah menengah. Maknanya mereka lagi hebat dan maju lagi.

Dalam masa tiga minggu ini, kawan seolah-olah mendapat bonus dalam operasi kanggaroo kawan. Sebenarnya kawan langsung tidak teringat akan adanya CQ Oceania Contest. Mungkin kerana terlalu sibuk dengan Whatsapp dan Telegram, laman web - laman web yang selalu kawan kunjungi itu sudah tidak dijengah lagi. Akibatnya....banyak yang kawan ketinggalan. Namun apabila terlihatnya perkataan Oceania Contest...pada laman web... aahaaa!!!

....Pucuk dicita...ulam yang mendatang................................................

Ini peluang ni. peluang ini tidak boleh dilepaskan. Namun kita hanya merancang. Kebetulan tarikh contest adalah berdekatan dengan Hari Raya Korban. Hmm...cabaran lagi. Disinilah cabaran sebenarnya. Namun oleh kerana niat kita baik. Maka ALLAH SWT telah memberi jalan kepada kawan untuk menguruskan masa dengan sebaiknya. Contest bermula pada jam 4 petang. Maka kawan ada masa untuk berhari-raya bersama keluarga dan menyertai majlis korban. Selepas memberi 200% kepada keluarga dan jiran tetangga. Kawan sempat mencuri masa untuk menjenguk aktiviti contest di frequency. Dapat sejam dua pun jadi la.
Sebelah malam pula, kawan aktif bercontest hingga ke titisan CQ yang terakhir. Dalam Oceania ini, kawan lebih aktif pada waktu malam. Korbankan masa tidur kawan. Inilah pengorbanan sebenarnya bagi kawan. Pengorbanan seorang pengamal radio amatur.

Hasilnya, kawan berjaya mengumpul VK0 hinggalah ke VK9. Antara banyak-banyak VK ini, VK1 dan VK7 adalah sukar untuk mendapatkannya. Sukar kerana mereka tidak CQ. Mereka hanya check in sahaja. VK7ZX dan VK7BC kawan perolehi dengan memintas mereka. Apabila kawan terdengar VK7ZX masuk ke dalam CQ YF3BPL di 40m, kawan cepat cepat memintasnya dengan menyuruhnya QSY ke freq lain. Begitu juga dengan VK1MA. Sampai begitu sekali kawan terpaksa melakukannya. Mengintai disebalik CQ rakan-rakan jiran sebelah. Bukannya apa, oleh kerana mereka TX dengan high power, jadi kesempatan ini bolehlah digunakan. Menjadikan mereka sebagai sumber untuk mencari prefix. Jika kawan susahlah sebab kawan hanya stesen low power. Selalunya kena tindih dengan big gun di luar sana. Maka strategi lain perlu dirancang. Akal fikiran perlu dimaanfaat dengan sebaiknya.

Jika diperhatikan dengan teliti, kawasan VK4, VK5 dan VK2 amat aktif. Apabila dilihat peta pula. Barulah faham kenapa ianya terjadi. Kawasan ini adalah kawasan yang padat penduduknya. Kawasan bandar boleh dikatakan. Jadi tidak hairanlah jika banyak callsign yang aktif dari sana.

Hasilnya, kawan mendapat 404 stesen selama 3 minggu CQ di udara. Band 10m mencatatkan kutipan yang tertinggi. Ini adalah kerana dalam beberapa minggu ini, band tersebut membuka dengan amat cantik sekali. Lagipun apa yang kawan perhatikan. Rakyat Australia ini, suka sungguh dengan band 10m. Mungkin kerana cabarannya, atau mungkin kerana persekitaran mereka ataupun mungkin kerana kebetulan. Apapun kawan amat bersyukur dengan prestasi yang dicatatkan ini. Segala penat lelah CQ dan bersengkang  mata membuahkan hasil. Tidak cukup tidur, tidur mimpikan kanggaroo dan faktor cuaca yang tidak menentu telah dapat kawan harungi. 

Operasi kanggaroo ini, kawan akhiri dengan sebuah stesen pada band 6m, iaitu VK8RR. Kebetulan kawan baru sahaja pasang yagi 6m. Tiba-tiba muncul callsign dia ditengah-tengah kebisingan band. Apa lagi, sepantas kilat kawan turun semula ke bawah untuk capai hand set dan merakamnya. Sebenarnya audio kawan tercungap-cungap, tetapi kawan berjaya control juga.



Semoga kita berjumpa lagi dalam post-post yang akan datang, 73 de Zaki 9M2ZAK.

Thursday, October 2, 2014

Low Band Low Noise - High Band High Noise

Malam tadi, band 10m-15m-20m hancur belaka. Ketiga-tiga band tersebut menghadiahkan kadar noise yang tinggi kepada stesen kecil radio amatur Kulaijaya. Masing-masing mencatatkan dan memberikan bacaan yang tinggi.
  • Band 10m - Signal Noise stabil pada S-5
  • Band 15m - Signal Noise turun-naik pada S-4 ke S-5
  • Band 20m - Signal Noise carca marba- kadangkala ianya rendah dan kadangkala ianya melonjak naik hingga ke S-6.
Untuk kepastian, sejauh mana tahap kebisingannya ini memberi kesan kepada pemancaran. Kawan cuba monitor pada frequency Beacon.

NCDXF/IARU International Beacon

















Pada band 10m, 28200mhz. Kawan langsung tidak mendengar apa-apa signal dari setiap beacon yang bertaburan di seluruh dunia. Pada band 15m, 21150mhz, keadaannya juga sama dengan band 10m. Langsung tidak ada apa-apa yang kedengaran. Sebenarnya ada, cuma signal beacon itu telah ditenggelami oleh tahap kebisingan yang melampau dari alam. Maka keupayaan telinga kita untuk menangkap dit dan dah dari beacon sedikit mengalami kesukaran. Tetapi jika dalam keadaan normal, ianya tidaklah sesulit seperti malam tadi. 

Band 20m pula lain ceritanya, walaupun bacaan noisenya carca-marba, tetapi masih ada dan boleh didengar lagi signal dari beacon-beacon tersebut. Antara beacon-beacon yang dapat didengar oleh stesen kecil Kulaijaya ialah:
  • ZL6B New Zealand
  • VK6RBP Australia
  • VR2B Hong Kong
Antara ketiga-tiga Beacon tersebut, Beacon ZL6B dari New Zealand dapat didengar dengan kuat. Kadangkala ianya mencecah 6dB manakala selebihnya hanya 1 dB pada sesuatu masa. Beacon New Zealand dapat didengar kerana Yagi telah kawan halakan ke arah 135 darjah. Sebab itulah beacon New Zealand ZL6B dan Australia VK6RBP masuk dengan kuat. Tetapi kawan masih dapat mendengar beacon dari Hong Kong VR2B namun ianya tidaklah segagah dari negara kanggaroo itu tadi.

Ini bermakna, terjawablah sudah persoalan kawan mengenai mengapa stesen dari Jepun selalu masuk ke dalam CQ kawan. Walaupun yagi dihalakan ke arah lain, iaitu 135 darjah. Namun mereka (JA) masih lagi boleh menjejaki signal kawan.

Oleh kerana High Band- High Noise pada malam semalam. Kawan membawa diri yang hina ini naik ke Low Band, mencuba nasib diri disana pula. Telinga ini sudah bersedia untuk menghadapi QRM dari stesen negara jiran yang kurang cerdik sikit, kurang cerdik kerana tidak memahami SOP-kurang cerdik kerana tidak dapat membezakan kawasan ketuk dengan kawasan karaoke dan cerdik dalam peningkatan kualitas bunyi-bunyian. Kawan amat berharap agar rakan-rakan disini tidak terpengaruh dengan situasi di sana. Ambil yang jernih dan buang jauh-jauh yang keruh itu supaya ianya tidak mengalir semula ke arah kita.

Pada band tersebut, kawan terserempak dengan stesen dari Pulau Krimas, VK9AN. Signalnya amat jelas dan terang. Bacaan di Kulaijaya menunjukkan yang dia masuk dengan kekuatan 10dB. Boleh didengar bunyi ketukan keyboard dan klik mouse-nya. Memang terbaik band 40m pada malam tadi.

Antenna VerticalSteppIR CrankIR berfungsi dengan baik sekali
Setelah melakukan SWLing selama beberapa minit, kawan mendapati yang VK9AN hanya memanggil stesen dari NA sahaja. Pada waktu itu, jam menunjukkan pukul 10.00 malam. Ada juga beberapa stesen dari Eropah yang cuba masuk dan mereka juga bertanya... kenapa hanya NA sahaja? beliau menjawab....

"Selalunya pada ketika ini, iaitu sekitar jam 10.00pm hingga 11.00pm. Band 40m akan membuka ke arah NA dari kawasan Asia Tenggara. Jadi sehubungan dengan itu, apa salahnya (why not) kita memberikan laluan dahulu kepada stesen dari NA untuk mengadakan contact dengan kami, kerana selepas ini...sudah tidak ada lagi peluang contact dengan NA."

VK9AN CQ pada 7128 dan beroperasi secara up, memang betul. Banyak stesen NA masuk dan tidak putus-putus mereka datang. VK9AN pile-up sebentar dengan NA stesen. Mereka pile-up selama sejam, dalam anggaran kawan, boleh dikatakan hampir seratus dua puluh stesen NA yang masuk dalam masa sejam. Ini berdasarkan kepada anggaran satu minit 2 stesen.

VK9AN op by Rob N7QT
Selepas sejam, VK9AN QRX. Katanya ingin minum air sekejap. Rasanya memang patut pun kerana dalam sejam tadi beliau berhempas-pulas melayan pile-up dari Amerika Utara.

Kemudian selepas itu, beliau kembali ke udara. Kali ini, beliau membuka pula kepada mana-mana stesen untuk check-in. Sejurus selepas habis dia TX, kawan dengan bergayanya masuk ke dalam CQ beliau. Orang pertama yang masuk. Selepas itu beliau pile-up dengan stesen dari Eropah dan kawasan sekitarnya.

Ada hasil juga pada malam ini. Setelah sabar menunggu selama sejam lebih-mengintai dan tekun mendengar. Banyak perkara yang telah kawan pelajari. Antaranya ialah masa pembukaan band untuk negara-negara tertentu. Semangat setiakawan yang tinggi. Melatih diri kita supaya sabar menunggu. Bertindak mengikut arahan yang telah ditetapkan. Beroperasi mengikut SOP agar tidak menyusahkan orang lain.

Apabila difikirkan semula, gabungan kesemua disiplin tersebut sudah pasti akan membuahkan hasil. Ianya terbukti dengan pemantauan ke atas VK9AN semalam. Syabas dan tahniah diucapkan.

Malam ini, jika tiada apa-apa kesulitan, kawan akan merayau-rayau semula ke seluruh dunia menikmati kehebatan hobi yang luarbiasa ini. 73 de 9m2zak.

Connect a GPS module to a Raspberry Pi 4

  To connect a GPS module with four wires (RST, TX, VCC, and GND) to a Raspberry Pi 4, follow these steps:  Materials Needed: 1. GPS module ...