Pasukan Contest 9M2SM |
Pada tanggal 25hb Oktober 2014, jam 8.00 pagi waktu tempatan - UTC 0800z telah berlangsung sekali lagi CQWW SSB 2014 Contest. Seperti biasa, 9M2SM akan mengambil bahagian dalam contest ini. Kali ini, dalam kategori Multi-One (Multi operator One transmitter). Dalam CQWW SSB 2014 ini, 9M2SM dianggotai oleh 10 operator. Antaranya ialah:
- 9M2GET (Hairie)
- 9M2OUT (Oja)
- 9M8SYA (Syed)
- 9M2AGC (Azlan)
- 9W2SBD (Salehan)
- 9W2SBL (Own)
- 9W2AHU (Afiq)
- 9W2MNW (Prof Noh)
- 9M2ZAK (Zaki)
- 9W2TZW(Hafizi)
Pasukan 9M2SM berkumpul di Arau pada hari Jumaat. Dimana pada hari tersebut, kami semua sibuk membuat persiapan terakhir daripada segala aspek untuk memastikan perjalanan contest pada esok hari berjalan dengan lancar. Pada sebelah malamnya, selepas semua ahli pasukan mendapat rehat dengan secukupnya setelah menempuh perjalanan yang jauh. 9M2GET memanggil semua krew 9M2SM untuk diberikan sedikit ucapan alu-aluan dan taklimat ringkas mengenai contest keesokkannya. Seperti biasa, satu mesyuarat diadakan dimana intipati mesyuarat lebih kepada penyusunan jadual operator yang bertugas serta penerangan mengenai undang-undang contest CQWW SSB 2014. Kali ini kesungguhan jelas terpancar daripada setiap wajah-wajah krew 9M2SM kerana masing-masing mempunyai matlamat yang sama, iaitu ingin membuat yang terbaik dalam contest ini, bukannya untuk berkumpul dan bersukaria. Sasaran juga telah ditetapkan, jadi dalam kontest kali ini, setiap krew memainkan peranan penting dari segala aspek bagi menjayakan misi yang telah dirancang rapi 6 bulan sebelum ini.
sesi taklimat bersama crew |
Selepas sesi taklimat berakhir, masing-masing terus menjalankan tugas mereka. Ada yang menguji amplifier, ada yang menguji performance antenna, ada yang menyiapkan log n1mm, merakam audio untuk auto-CQ dan memastikan keadaan transceiver berada dalam keadaan tip-top serta menyemak ramalan kaji cuaca serta keadaan propogasi, iaitu meneliti ramalan propogasi untuk dua hari berikutnya. Perkara-perkara ini penting bagi memastikan tiada apa-apa permasalahan yang akan timbul sebaik sahaja contest dimulakan. Ini adalah kerana, sebaik sahaja aktiviti contest bermula, istilah toleh kebelakang sudah tidak timbul lagi. Pada masa itu, semua akan memandang ke depan. Memburu callsign dalam masa 48 jam.
sesi perbincangan |
Selepas jam 12 tengah malam, kami semua diarahkan untuk tidur dan lampu mesti dipadamkan kerana 9M2GET mahu kami semua mendapat rehat yang secukupnya untuk menghadapi cabaran pada keesokkan harinya. Perlu diingat, bermula pada hari sabtu jam 8.00 pagi contest akan bermula dan akan berlangsung selama 48 jam tanpa henti. Jadi sudah semestinya ianya menuntut daya ketahanan yang tinggi serta keazaman yang jitu untuk mengharunginya. Maka sudah pasti rehat yang cukup amat diperlukan bagi mengelak sebarang kesulitan dalam mengharungi cabaran contest itu nanti.
9M2AGC dan 9M2ZAK |
Sabtu 25 Oktober 2014 - 8.00 am - Cabaran contest CQWW SSB dimulakan pada tepat jam 8.00 pagi waktu tempatan dan bersamaan dengan UTC 00:00 zulu. Pada ketika itu, band 10m menjadi pertaruhan kerana keadaan band yang cukup baik serta mempunyai kadar noise yang amat membanggakan. Pada ketika itu, antenna dihalakan ke arah Jepun dengan harapan dapat mengutip seberapa banyak stesen dari sana disamping mendapat bonus daripada stesen-stesen dari negara lain seperti Amerika Utara-Amerika Selatan-China-Taiwan-Hong Kong-Asiatic Russia. Namun ada juga yang datang melalui long path seperti Australia dan India. Ini bermakna keadaan band amat rendah sekali kadar noisenya dan membolehkan pelbagai stesen datang dari pelbagai arah. Pada sesi tersebut, kawan bergandingan dengan operator legend dari Kelang, Selangor iaitu 9M2AGC. Inilah kali pertama kawan bergandingan dengan beliau. Terasa amat bertuah sekali diri ini apabila diberi penghormatan untuk beraksi dengan operator yang selama ini menjadi idola kawan. CQWW SSB menjadikan impian kawan menjadi kenyataan.
9W2SBL dan 9W2AHU |
Kemudian 9M2SM beralih pula ke band 15m setelah mendapati keadaan di 10m semakin berkurangan. Jangkaan kami tepat, kami sekali lagi pile-up di 15m. Kali ini, aktiviti di 15m dipandu oleh dua operator ternama tanahair iaitu 9W2SBL Own dan 9W2AHU Afiq. Mereka berjaya menguruskan pile-up dengan jayanya. Syukur alhamdulilah, keadaan band masih lagi unggul. Kadar noise juga stabil dan ia memudahkan mereka untuk copy setiap stesen yang masuk itu tanpa mengalami sebarang kesulitan. Pengalaman yang luas yang ada daripada kedua-dua operator tersebut pula menjadikan proses CQ tersebut licin dan bebas daripada segala kejadian yang tidak diingini. Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, kedua-dua operator tersebut begitu aktif CQ di 10m band. Jadi tidak hairanlah jika ilmu dan pengalaman yang ada didada mereka itu dipraktikkan sepenuhnya didalam contest ini.
9M2GET dan 9W2MNW |
Menjelang petang, 9M2GET dan Prof Noh 9W2MNW pula mengambil tempat. Kali ini, our BIG BOSS pula beraksi. Mereka beraksi di band 20m. Dalam contest kali ini, kami crew 9M2SM berasa begitu bertuah kerana terdapat dua ahli akademik yang bertaraf PHD turut serta beraksi dalam contest ini. Mereka adalah Prof Noh 9W2MNW dan Cikgu Azlan 9M2AGC (sedang menyiapkan PHD beliau) turut beraksi dalam contest ini. Banyak ilmu yang kami perolehi daripada mereka berdua terutama dalam bidang elektronik dan antenna. Banyak juga persoalan yang terjawab dimana selama ini ianya membelenggu kami kenapa dan bagaimana dalam bidang radio ini. Namun selepas mendapat kuliah percuma daripada mereka berdua segala kemusykilan telah terjawab. Terima kasih kawan ucapkan kerana berkongsi ilmu pengetahuan yang ada dalam diri kalian berdua untuk kami operator radio kampung dari Utara tanahair.
9M2AGC bersama 9W2MNW |
Dalam contest ini, 9M2GET juga melatih
beberapa operator baru untuk dijadikan pelapis bagi memantapkan lagi
pasukan ini. Ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada operator
baharu bagi menimba pengalaman dalam mengharungi cabaran contest
tersebut. Perlu diingatkan bahawa cabaran contest adalah berbeda sekali
dengan aktiviti Dxing dan juga field day. Perbezaannya adalah dari segi
tekanan. Dalam aktiviti contest, setiap stesen yang menyertainya secara
tidak langsung akan terus mendapat stress dan tekanan.
9M2AGC berganding bahu dengan 9M8SYA |
Tekanan ini lahir
kerana setiap contest itu ada masa yang perlu diikuti serta
undang-undangnya tersendiri, disamping itu juga, faktor cuaca juga
menambah tekanan kerana aktiviti ini terpaksa dihentikan kerana cuaca
buruk. Jika perkara ini berlaku, sudah pastilah akan mengalami kerugian
dari segi masa kerana setiap masa yang berlalu itu akan memberikan
kekurangan dalam pungutan QSO dan seterusnya memberi kesan kepada jumlah
pungutan mata. Inilah pengalaman yang perlu dikutip oleh operator yang
baru menceburi aktiviti ini. Kawan pasti, Hafizi dan Afiq tentu sudah
mengerti perbezaan antara dxing dan contest dan selepas ini sudah pasti
mereka akan terus cemerlang dalam mengharungi cabaran contest yang
seterusnya.
9W2AHU beraksi bersama Hafizi 9W2TZW dan Prof Noh 9W2MNW |
9W2SBD bersama 9W2SBL, kembar tak seiras |
Dalam contest ini, kami ditugaskan untuk memberikan 100% tumpuan terhadap aktiviti contest. Perkara-perkara lain usah dirisaukan. Terutamanya bab makanan. Terima kasih kami ucapkan kepada Ticer Oja 9M2OUT, kerana menjaga makan dan minum operator 9M2SM selama berada disini. Persiapan dari segi menu makanan juga telah disediakan agar operator SM tidak kelaparan sewaktu beraksi di udara nanti. Sehubungan dengan itu, menu untuk 3 hari dua malam telah dirancang dan segala persiapan bahan juga telah siap disediakan.demi memberi kelancaran dalam aktiviti contest ini. Terima kasih Ticer Oja, Ketam Masak Cili memang sedap sekali. Enak dimakan begitu sahaja. Nanti boleh copy resepi untuk dicuba di Johor pula.
Menu 9M2SM |
Begitu juga dengan bang Salehan, terima kasih diucapkan kerana bersusah payah mengimport bekalan kambing segar dari Perak untuk aktiviti BBQ pada malam contest. Inilah perkara yang tiada dalam aktiviti yang lain. Perkongsian ilmu pengetahuan, bersatu hati dan tenaga serta perhubungan persahabatan yang erat terjalin secara automatiknya dalam aktiviti contest ini. CQWW bukan hanya sekadar aktiviti contest, secara tersiratnya ianya berupaya menjalinkan perhubungan tali persahabatan antara penggiatnya. Mengeratkan hubungan antara operator, malah antara negeri dan tidak dinafikan juga... ianya mampu untuk mengeratkan lagi hubungan benua dan antarabangsa di dunia ini
9w2sbd beraksi di dapur |
.Kita hanya merancang, sebenarnya tuhan yang menentukan. Kawan terpaksa meninggalkan Arau kerana pada keesokkan harinya kawan bertugas. Jadi perlahan-lahan kawan meninggalkan Arau menuju kembali ke selatan tanahair. Meninggalkan rakan-rakan yang satu kepala dalam hobi ini. Sebenarnya dalam hati ini, kawan begitu berat sekali untuk meninggalkan Arau. Apatah lagi bersama dengan rakan-rakan yang sehobi ini. Sudah pastilah bertambah keberatannya. Namun kawan gagahi juga kerana ada tanggungjawab yang lebih besar perlu dipikul untuk membina negara ini. Perkara berkaitan hobi ini tidak kemana, ada masa kelapangan, adalah ia...tiada kelapangan masa...tersimpanlah ia.
bersama Otai 9M2SE - 9M2PJU |
Dalam perjalanan pulang menuju ke
selatan, kawan sempat menjenguk sebuah lagi stesen contest dari kawasan
tengah, iaitu 9M2SE. Dimana mereka beraksi dalam kategori Multi One Low
Power. Ahli pasukan 9M2SE adalah terdiri daripada Khairul Nizam Ngadimin 9M2KRZ , Weerut Srhidhara 9W2RUT, Rahmat Hj Ariffin 9M2RMT, Rosli Hasan 9M2RHQ, Kayrols Afendy 9M2OOO, Ikmal Putra 9W2EDU, Hamid 9M2TPT, Ags Salim 9W2ZSU dan Ahmad Ismail 9M2AIA.
Menikmati BBQ Kambing, terima kasih bang Rosli, sedap sehingga menjilat pinggan |
9M2SE beroperasi di Bukit Beruntung, dimana 9M2RMT menjadi tuan rumah. Terima kasih kawan ucapkan kepada semua krew 9M2SE kerana menyimpan sedikit kambing untuk kawan merasainya. Tercapai jugak hasrat kawan untuk bersama-sama dengan krew 9M2SE dalam kemeriahan CQWW dan bersama mengharungi cabaran contest CQWW SSB ini. Seperti 9M2SM, 9M2SE juga mempunyai satu pasukan yang mantap. Pasukan yang bersatu hati dan tenaga demi hobi yang saintifik ini serta berganding bahu dalam apa jua aktiviti dan masalah yang menimpa mereka. Syabas diucapkan kepada team 9M2SE. Semoga kekuatan ini terus berpadu selamanya. Selepas itu, kawan pun terus meneruskan perjalanan kawan ke selatan sambil ditemani oleh kang Hamid 9M2TPT. Terima kasih kawan ucapkan kepada Kang Hamid kerana sudi membimbing kawan untuk keluar dari kawasan Bukit Beruntung menuju ke PLUS. Sebelum itu, terima kasih juga kawan ucapkan kepada Weerut kerana membimbing kawan untuk sampai ke Bukit Beruntung.
9M2SM : Ara Boys Contest Station menyimpan seribu kenangan |
kawan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Hairie 9M2GET dan Oja 9M2OUT kerana sudi menerima kawan budak Kuala Perlis ini sebagai krew 9M2SM. Terima kasih juga kawan ucapkan kepada abang Salehan 9W2SBD kerana bersusah payah menyiapkan badge, t-shirt dan kambing untuk kami warga 9M2SM. Terima kasih juga kawan ucapkan kepada Prof Noh 9W2MNW atas ole-ole dari Pulau Langkawi (Cuban Cigar) dan Cikgu Azlan 9M2AGC atas perkongsian ilmu yang tiada nilainya. Terima kasih juga diucapkan kepada Syed 9M8SYA, Own 9W2SBL, Afiq 9W2AHU dan Hafizi 9W2TZW atas pengalaman dan suka duka selama ber-contest ini. Gelak tawa kalian semua masih terngiang-ngiang di telinga kawan hingga ke saat ini. Semoga tali persahabatan yang terjalin ini akan kekal untuk selamanya.
Secara peribadinya, kawan berasa sangat bertuah kerana melalui aktiviti contest ini kawan berpeluang untuk mengenali kesemua ahli pasukan 9M2SM dengan lebih dekat. Kesimpulannya, melalui aktiviti contest CQWW SSB 2014, kawan dan ahli pasukan 9m2sm beroleh kesedaran bahawa aktiviti contest seperti ini dapat dijadikan sebagai medium untuk pengiat radio amatur untuk berkumpul dan berkongsi pengetahuan, pengalaman khususnya bagi kami pemegang lesen yang baru setahun jagung ini. Kejayaan Hairie 9M2GET selaku tuan rumah amat kami kagumi, bukannya senang untuk mengumpulkan operator dari seluruh tanahair. Rata-ratanya datang dari pelbagai daerah dan negeri, sejujurnya...kawan memuji kesungguhan 9M2GET dalam menghasilkan pasukan mantap ini. Ada juga station lain yang menjadikan 9M2SM sebagai rujukan, terutamanya station-station dari luar negara.
73 de Zaki 9M2ZAK
9m2sm in action, rasanya ni suara Afiq ni...
Apakah intipati sebenar CQWW ini?
- CQWW ialah satu medium untuk para pengiat radio amatur melibatkan diri secara individu ataupun secara berkumpulan dalam aktiviti contest ataupun boleh disebut pertandingan. Dalam aktiviti contest ini, ianya secara tidak langsung dapat meningkatkan imej diri, imej pasukan serta imej negara dengan secara tidak rasminya. Malah tidak dinafikan juga, dalam aktiviti contest ini juga, setiap contester itu dapat mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik yang ada dalam diri mereka. Justeru itu, mereka dapat merasakan diri mereka itu adalah sebahagian daripada anggota masyarakat yang bertanggungjawab. Dengan ini, para penggiat radio amatur ini dapat membina martabat diri yang positif dan berbangga kerana telah memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara. Ini adalah kerana, dengan CQ di udara, mereka sebenarnya telah mempromosikan negara kecil Malaysia ini keseluruh dunia. Begitu besar impaknya kepada negara, walaupun tidak dibayar untuk melakukannya, mereka dengan rela hati melakukannya. Antara impak yang akan terkesan dalam aktiviti ini adalah:
- Sektor pelancong akan meningkat
- Jalinan kerjasama antarabangsa akan wujud
- Malaysia akan lebih dikenali di seluruh dunia
- Amanah - mengelak daripada melakukan penyelewengan dari segi masa, peralatan dan tenaga kerja.
- Tanggungjawab - menjalankan setiap tugas yang diamanahkan oleh 9M2GET dengan sepenuhnya
- Ikhlas - Berhati mulia dalam melaksanakan tugas tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Sebenarnya kami tidak dibayar sesen pun oleh 9M2GET untuk datang ke Arau. Semuanya dengan rela hati.
- Tekun-Setiap ahli pasukan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kesempurnaan dalam tugas mereka selaku operator 9M2SM
- Berdisiplin-Dalam sedar atau tidak, ke semua krew 9M2SM telah mempamerkan etika kerja dan profesionalisme yang tinggi.
- Bekerjasama-Masing-masing tolong-menolong antara satu sama lain dalam cabaran mengharungi contest dimana setiap ahli pasukan ditemani sepanjang masa untuk memberi mereka sokongan dan sokongan.