Tuesday, February 4, 2014

APRS : Setting up Kenwood TS-2000 in KISS mode with UI-View/32

Assalamualaikum dan selamat sejahtera diucapkan kepada semua warga radio amatur tidak kira dimana saudara berada sekarang. Kesempatan cuti Tahun Baru Cina ini kawan gunakan sepenuhnya untuk mendalami ilmu-ilmu dalam permainan radio ini. Terima kasih daun keladi diucapkan kepada Weerut 9w2rut kerana sudi meluangkan masa untuk membimbing kawan sehingga berjaya menyelesaikan pelbagai masalah mengenai sistem packet ini. Dan pada paparan kali ini, kawan pula ingin berkongsi dengan rakan - rakan sekalian mengenainya pula kerana semasa dalam proses pembelajaran tempohari, kawan dapati begitu sukar untuk mendapatkkan bahan rujukan mengenai setup APRS ini, terutama yang melibatkan transceiver Kenwood TS-2000.


Sebenarnya dengan menggunakan TS-2000 kita sebenarnya sudah boleh setup sebuah base stesen dengan keupayaan APRS tanpa melibatkan tambahan peralatan. Apa yang diperlukan hanyalah CAT cable sahaja, CAT cable ini boleh dibeli atau dibuat sendiri. Pilihan sebenarnya berada ditangan anda. Baiklah berbalik kita kepada perkara utama post kali ini. Dalam post kali ini, kawan ingin berkongsi dengan rakan-rakan sekalian mengenai setup APRS dengan TS 2000.

Langkah pertama :
- Daftar Callsign anda di http://www.apritch.myby.co.uk/uiv32.htm 




















klik pada bendera bendera Britain dan paparan ini akan keluar,






















isikan segala butiran dan klik >>>>Register UI-View32<<<<
Jika diperhatikan betul-betul, semasa proses pendaftaran, mereka tidak meminta email kita, jadi bagaimana kita hendak mendapatkan butiran pendaftaran kita. Untuk itu, kawan cadangkan supaya bookmark address website pendaftaran ini. Oh lupa pula, proses pendaftaran mengambil masa paling kurang 24 jam. Jadi selepas 24 jam, saudara sekalian bolehlah kembali ke website ini untuk mengetahui status pendaftaran anda. Untuk itu, kita hanya perlu klik >>> Previously Registered <<< untuk mendapatkan no pendaftaran. Paparan dibawah ini akan  keluar apabila klik >>> Previously Registered <<<


















Salin atau ingat atau copy UI-View Registration code ini dan simpan baik-baik kerana ia akan diperlukan semasa proses muat turun  dan install perisian UI-View itu nanti. Untuk mendapatkan perisian UI-View32, sila layari laman ini, http://www.apritch.myby.co.uk/uiview.htm dan paparan berikut akan keluar.






















Klik pada >>>download<<< dan install perisian UI-View pada komputer atau laptop anda. Kemudian, selepas selesai install, buka perisian UI-VIEW32 dan paparan ini akan keluar :
Masukkan segala butiran dan registration nombor itu tadi dan klik OK. Selepas itu paparan ini akan kelihatan.

















kemudian terus pergi ke >>>setup>>>comms setup>>>  seperti rajah dibawah:

















kemudian klik pada >>>comms setup>>> paparan ini akan kelihatan:

















pada comms setup, sila check pada setiap butiran yang kawan bulatkan itu dan pilih KISS sebagai Host mode dan klik setup pada sebelahnya itu dan klik TNC2 dan klik OK.

Kemudian pergi semula kepada Setup dan kali ini pilih >>station setup<<

















paparan ini akan keluar,

















Isikan segala butiran seperti Callsign, Latitude dan Longtitude serta Locator dan pada ruangan Beacon Comment, itu terpulan kepada anda. Manakala pada bahagian lain, ikut seperti dalam gambar di atas dan klik OK.

Sebenarnya sudah selesai bahagian pertama, sekarang kita masuk bahagian kedua pula. Pada bahagian kedua ini, ianya lebih kepada setting pada TS 2000. Sila ikut setup ini.
Tekan butang MENU pada TS2K dan ikut arahan dibawah ini.
  1. Menu 56 >>> pilih 9600bps <<<
  2. Menu 55 >>> ON Packet Operation <<<
  3. Menu 48 >>> pilih TNC BAND <<<
  4. Menu 47 >>> pilih 1200bps <<<
  5. Menu 46 >>> pilih SUB <<<
Kemudian tekan tombol SUB pada hujung sebelah kanan TS2K dan paparan ini akan kelihatan.


Setkan frequency 144.390.00 dalam mode FM. Sebelum itu, pasti antenna VHF dipasang pada TS2K anda. Jika anda bernasib baik, anda sepatutnya akan dapat menerima transmisi dari rakan-rakan yang berdekatan atau yang sedang aktif.

Kemudian pada komputer anda, sila klik pada gambar komputer pada sebelah kiri anda. Sepatutnya paparan ini akan keluar.


















Kemudian tekan F9 atau klik pada Action dan select Send Beacon. Sila lihat gambar diatas. Pada masa ini, anda sepatutnya sudah menerima beberapa signal dari rakan-rakan yang lain. Contoh seperti gambar dibawah.

















Untuk memastikan yang setup kita berjaya dan berjaya dikesan oleh rakan-rakan lain. Kita bolehlah melawati laman web ini, http://www.aprsjohor.blogspot.com/ 
untuk melihat samada pancaran kita dapat dikesan atau tidak.



















Syukur alhamdulilah, kawan berjaya. Sebenarnya pada malam tersebut kawan hanya menggunakan antenna ini sahaja dan sebenarnya hanya untuk test sahaja. Selepas ini, kawan akan gunakan F23 yang sudah lama tidak digunakan untuk aktiviti APRS ini.

antenna sementara untuk APRS
Sekian dahulu paparan dari kawan untuk panduan rakan-rakan sekalian, semoga paparan ini sedikit sebanyak membuka jalan dan memberi inspirasi kepada rakan-rakan sekalian untuk terus menerokai ilmu ALLAH SWT ini. Semakin banyak kita meneroka, semakin banyak yang kita akan temuinya.

Salam 73 dari Zaki 9M2ZAK

Sunday, January 19, 2014

40 Meter Band DX : Long Path CW QSO (Europe Station)

Tadi kawan sempat meluangkan masa di band 40m. Kawan dapati keadaan band 40m pada malam ini senyap pula. Kurang QRM dan noisenya rendah. Pada QTH kawan, ia mencatat bacaan sekitar S0 dan kadangkala S1, dan ianya berterusan sehingga jam 11:45 malam. Selepas itu, noise kembali tinggi sehingga S5 dan S6. Semasa noise rendah itu tadi, kawan sempat mencekup beberapa stesen dari Eropah. Signal mereka amat kuat dan jelas. Daripada butiran CQ mereka, semuanya datang melalui long path, iaitu 130' SE. Memandangkan kawan menggunakan dipole, jadi perbezaannya tidaklah ketara sangat. Namun kawan layan sajalah CQ mereka tersebut. Hasilnya...

OM3DX : 7001.5 mhz / 599
HA8RM : 7007.00mhz / 599
LZ2VU : 7011.00 / 599
dan UA6YT / 7007.00 / 599. ( dlm QRZ takde gambar). Kesemua stesen-stesen ini datang dari Eropah dan menurut mereka, mereka menghalakan 40m yagi mereka mengikut arah long path ke sini. Wow!!! 40m yagi...bilalah kawan nak merasa antenna ni. Dalam masa yang sama, kedengaran juga stesen dari Vietnam, iaitu 3W1T di 7010.00mhz. Tetapi begitu susah untuk menembusi beliau kerana beliau dihujani oleh stesen dari Eropah dan Amerika Utara. Semuanya datang dengan watt yang besar-besar belaka, kawan yang 100 watt ini pasti akan mudah ditelan oleh mereka. Tidak mengapalah, mungkin tiada rezeki kawan pada malam ini. Lagipun DXCC Vietnam sudah ada dalam koleksi. Bagi peluang kepada yang belum memilikinya. Memandangkan waktu semakin lewat ini, kawan berundur dulu dari frequency, esok ada banyak kerja yang sedang menanti. 73




Saturday, January 18, 2014

Saturday 18 January 2014, My HF Dxing Day

Aktiviti meneroka High Frequency dimulakan pada tepat jam 2.44 petang selepas semua tugasan diselesaikan. Pada masa itu, hanya band 10m sahaja yang menunjukkan tanda-tanda pembukaannya. Sebelum itu, kawan meneliti semua frequency beacon, namun satu pun tiada kedengaran. Tiba-tiba teringat kawan kepada sebuah beacon di Darwin, Australia iaitu VK8VF. Beacon VK8VF memancar pada frequency 28268.10 dalam mode CW. Syukur alhamdulilah...sebaik sahaja kawan QSY ke frequency tersebut...kedengaran begitu kuat dan jelas sekali audionya. Walaupun pada masa itu kawan hanya menggunakan G5RV Jr sahaja. Kawan monitor beacon tersebut selama beberapa minit untuk  memantau keadaan band. Selama lebih kurang 15 minit memantau beacon VK8VF sambil makan kuaci bunga, kawan dapati transmisi dari Darwin itu stabil sahaja. Signal yang masuk kekal  599 ke Kulaijaya.

Langkah pertama diambil, frequency 28035.00 mhz menjadi pilihan kawan setelah menelitinya. Frequency ini kosong dan tidak diduduki. Kelajuan 33 WPM disetkan pada transceiver kerana kelajuan inilah rakan-rakan dari seluruh menggunakannya. Tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan. Selesa dan ramai pengikutnya.

Jam menunjukkan 3.15 petang dan pada waktu itulah kawan memulakan aktiviti DX. Sebelum panggilan CQ dibuat, kawan meneliti lagi frequency 28268.10mhz. Beacon masih kuat kedengaran, ini bermakna band masih lagi membuka. Keyakinan kawan bertambah lagi apabila kedengaran bunyi QRN dari corong pembesar suara transceiver. Ciut - ciut bersahutan serta kadar noise yang rendah iaitu sekitar S1-S2.

Maka dengan rasminya selepas itu, tanda panggilan 9m2zak CQ ke udara. Setelah setengah CQ, memanggil dan memanggil, panggilan kawan langsung tiada sahutan. Adakah band closed, untuk memastikan keadaan band. Kawan berkunjung semula ke 28200mhz dan 29268.10mhz. Pada frequency 28200mhz, kawan dapati langsung tiada sebarang signal dari mana-mana beacon. Setelah 5 minit memantau di frequency tersebut, kawan QSY pula ke 28268.10. Pada frequency tersebut, beacon VK8VF masih kuat kedengaran. Setiap transmisinya dapat didengar dengan jelas. 599 masuk ke Kulaijaya. Kawan kembali ke 28035.00mhz untuk menyambung semula CQ DX kawan.

4.00 petang
Aktiviti DX terpaksa dihentikan sebentar kerana kawan ada tugasan. Lagipun pada waktu itu, kawan masih belum mendapat sebarang contact selepas 45 minit CQ. Memang mencabar dan menuntut kesabaran sungguh aktiviti DX ini. Kalau tidak sabar...habis lunyai transceiver ini kawan kerjakan. Marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Marahkan keadaan band, habis transceiver dihentaknya.

5.00 petang
Setelah selesai segala tugasan, kawan kembali beraksi ke udara. Frequency tetap sama dan antenna pun sama. Sengaja kawan memilih untuk beraksi dengan wayar antenna untuk menilai prestasinya setelah hampir 4 tahun beliau tergantung di atas bumbung. Berhujan dan berpanas tanpa memberi sebarang rungutan. Setelah 11 minit panggilan CQ dibuat, callsign kawan muncul pada website RBN ( Reverse Beacon Network). Kawan telah dispot oleh stesen dari China BA7NQ dan Jepun JA4ZRK.
Berjaya dispot
Hmm...nampaknya signal kawan hanya sampai ke Jepun dan China sahaja. Tapi itu tidak mengapa, perjuangan dan hidup mesti diteruskan. Kawan tetap CQ dan CQ tanpa se-inci pun timbul rasa jemu dan bosan. Tiba-tiba semasa sedang asyik CQ, panggilan kawan telah disahut. Sebuah stesen dari India iaitu VU2UR telah menyahut panggilan kawan. CQ kawan telah masuk ke India dan beliaulah stesen pertama kawan pada hari ini selepas hampir sehari bergelumang dengan radio. Punyalah susah nak dapat contact pada hari ini. Adakah keadaan band semakin teruk? persoalan itu selalu bermain di dalam kepala kawan. Tiba-tiba kawan terbau sesuatu...bau yang biasa kawan bau. Nescafe dan karipap...apabila kawan menoleh kebelakang, kelihatan XYL kawan sudah bersedia dengan coffee dan karipap. Terima kasih kawan ucapkan kerana bersusah-payah menyediakan semua ini. Rasa berbunga pulak dalam diri. Thanks sayang.

DX Coffee
Nampaknya sekali lagi aktiviti DX terpaksa dihentikan. Tapi kali ini kawan hendak menikmati dahulu karipap panas dan neskafe. Bukannya apa, nanti kalau dah sejuk ianya sudah tidak enak lagi. Selepas selesai menikmati hidangan, aktiviti DX disambung semula.

Kali ini kawan QSY pula ke band 20m kerana pada waktu itu, band tersebut penuh dengan aktiviti. Nampaknya rancak band ini sekarang. Penuh dengan DX station. Frequency 14024.50 menjadi pilihan. Tidak sampai 5 minit, panggilan kawan dijawab. Kali ini dijawab oleh sebuah stesen dari Jepun JO3HPM. Selepas bertukar signal report, beliau masih ingin QSO dengan kawan. Beliau bertanya tentang antenna yang kawan gunakan kerana beliau dapat copy 599 di QTH beliau iaitu Hyogo, Jepun. Dengan penuh kejujuran dan rasa rendah diri, kawan menyatakan yang kawan hanya menggunakan G5RV Jr dan TX dengan kekuatan 50 watt. Namun dengan mode CW ini, 50 watt itu sudah dikira kuat sebenarnya. Malah dengan QRP pun boleh. Kemudian beliau bertanya lagi mengenai nombor FIST kawan. Rupa-rupanya beliau adalah Editor of FISTS East Asia (FEA) newsletter "morsEAsia": http://www.feacw.net/nl/ . 

JO3HPM 
Patut pun pelbagai soalan dia bertanya kepada kawan seperti jenis transceiver-ant-tx pwr-jenis key-qth-lesen tahun bila-locator. Rupanya memang tabiat dan kerja dia iaitu bertanya. Selepas habis QSO dengannya. Muncul pula dua callsign, iaitu JH6ANR dan JR0QWW. Kedua-duanya juga dari Jepun. Kedua-dua mereka kawan terima 599 dan kami hanya bertukar signal report sahaja. Aktiviti DX pada band 20m diteruskan.Cuti hujung minggu akan dimanfaatkan sepenuhnya. Keadaan band 20m boleh dikatakan agak baik juga, signal kawan berjaya dispot dari pelbagai benua dan negara.

































Paling kuat ianya masuk ke negara India iaitu 17dB. Maknanya...callsign kawan dapat didengar dengan selesa disana. Oleh sebab itu, kawan nampaknya akan stay disini buat beberapa ketika untuk CQ dan CQ serta frequency 14024.50mhz menjadi tempat parking kawan.

Jam 8.03 malam
Kawan bercadang untuk lepak disini (20m) dalam masa sejam. Selepas itu akan berpindah ke 40m pula. Tetapi frequency tadi kawan terpaksa lupakan kerana ianya telah diduduki. Jadi kawan terpaksa pilih frequency yang lain pula. Sekali lagi kawan terpaksa merayau-rayau disekitar band untuk mencari frequency yang sesuai dan tidak diduduki. Akhirnya frequency 14001.54mhz mendapat tempat dihati kawan. Selepas itu, banyak stesen dari eropah masuk dan mereka sebenarnya sedang contest. Hungarian DX Contest rupa-rupanya bermula pada jam 8.00 malam tadi. Tapi kawan dalam mode DX bukan contest. Jadi untuk memberi laluan kepada aktiviti contest yang sedang giat berlangsung ini. Kawan akan QSY ke WARC band pula, sebab pada band-band ini ( 30m-17m-12m ) aktiviti contest tidak dijalankan. Jom kita QSY ke 30m. Band 40m yang kawan cadangkan tadi...cancel nampaknya.

Band 30m
Frequency 10108.50mhz dijadikan tempat lepak kawan pada malam ini. Kawan masuk semula ke dalam shack pada pukul 12.21 pm waktu tempatan iaitu bersamaan dengan UTC 16:21 zulu. Band 30m nampaknya membuka dengan meluas kerana signal kawan telah dispot oleh VU2PTT dari India, JJ1LIB dari Jepun dan BA7NQ dari China. Kawan pada masa itu, tekun CQ dan CQ menanti callsign kawan dispot oleh rakan dari Amerika Utara ataupun dari Eropah. Band 30m penuh pada malam ini. Rupa-rupanya ramai juga kaki DX yang lepak sini. Kawan faham kenapa mereka lepak sini. Mereka juga sama seperti kawan, ingin memberi laluan kepada aktiviti contest pada tradisional band iaitu 80m-40m-20m-15m-10m.

Pada frequency 10102mhz ada RM22HD, 10106mhz ada EX9M, 10104mhz ada RI1ANT dari Antartica, manakala kawan pula lepak 10108.50mhz. Manakala pada 10114mhz pula ada Z3OU, dan frequency 10106mhz pula ada G4IIY. W4BLX pula duduk rapat dengan kawan iaitu 10108mhz. Walaupun kami sangat rapat, namun ianya tidak menjadi masalah kerana kawan setkan filter sehingga 300hz. 


Akhirnya pada jam 12:44 pagi bersamaan dengan UTC 16:44 zulu, signal kawan telah berjaya mendarat ke Amerika Utara. WA7LNW dan W3LPL telah spot kawan dicluster. Ini bermakna, signal 50watt kawan telah mendarat di dua tempat di Amerika Utara, iaitu di Utah ( WA7LNW) dan Maryland (W3LPL). Tidak beberapa kemudian, CQ kawan pula disahut. Juga dari Amerika Utara...iaitu N6MA. Yang bestnya, N6MA memancar dari Arizona. Ini bermakna signal diterima dari pelbagai negeri di Amerika Utara sana.


Kemudian selepas itu kawan menerima pula panggilan dari Eropah, kali ini dari LY2ER. LY2ER adalah callsign dari negara Lithuania. Seminit kemudian, RK6AM pula masuk, iaitu sebuah stesen dari Russia. Belum sempat kawan menghabiskan seteguk nescafe panas, BV2DQ dengan kuatnya menerjah. Hampir tersembur kawan dibuatnya, kuat sungguh signalnya. 599 20dB. Berapa agaknya TX power beliau. Tapi kawan tidak bertanya pula kepadanya. Kami hanya bertukar signal report dan dia pun angkat kaki dari frequency kawan. 

Laporan yang ditunggu-tunggu telah pun tiba, DL1EMY sebuah stesen dari Jerman telah berjaya mengesan kawan dan ZL2RV New Zealand juga telah spot kawan. Ini bermakna, signal kawan bergerak hampir ke serata dunia. Cuma tinggal report dari benua Africa saja lagi. Jika ada stesen dari benua Africa spot kawan. Ini bermakna kawan sudah pun mengelilingi dunia pada hari ini. Mengelilingi dunia hanya dengan wayar tembaga dan kuasa 50watt.

Sejurus selepas itu, stesen dari Ukraine pula masuk, UR5MM diterima kuat dan jelas, 599 tanpa sebarang masalah dan diikuti pula oleh K6URK dari Amerika Utara. Dalam pada itu, BV2DQ, stesen dari Taiwan juga tanpa segan silu check-in dalam CQ kawan.begitulah keadaannya apabila DX di band 30m. Band 30m ini lain sedikit jika hendak dibandingkan dengan band-band yang lain. Lainnya adalah pada perangai atau keupayaan band tersebut. Dimana apabila ia membuka, ia akan membuka secara broad, hampir ke seluruh dunia ianya membuka. Kita boleh dapat QSO dengan stesen dari pelbagai arah dan benua. Mungkin sebab itu gamaknya band ini tidak dipertandingkan dalam contest. Itu hanya taksiran kawan sahaja, mungkin ada sebab lain juga. Kawan dapat rasakan.


































Badan mula terasa letih dan penat. Jam ditangan menunjukkan pukul 2:07 pagi, manakala jam di komputer pula 2:11 pagi dan jam didinding pula 1:11pagi. Jam dinding lari sejam rupanya. Manakala keadaan band pulak semakin baik. Noise semakin kurang. Disamping itu juga kedengaran 9m2/JE1SCJ CQ di 10108.2mhz. Rapat sangat tu, kawan boleh dengar CQ beliau dari frequency yang kawan lepak. Jadi untuk mengelak sebarang kesulitan, kawan QSY ke 10111.5mhz. Sejurus kawan QSY ke sana, ZL2IFB dari New Zealand pula masuk. Tapi signalnya tidak beberapa kuat sangat. Hanya 557 kawan terima di Kulaijaya.

Niat dihati memang nak DX lagi tapi memandangkan sudah hampir 8 kali kawan tersengguk dihadapan radio. Kawan akan QRT nampaknya. Lagipun dendam kawan sudah dibalas. Dendam untuk DX dengan sepuas-puasnya. Hari ini kawan DX bermula dari band 10m-20m dan 30m. Terima kasih daun keladi kawan ucapkan kepada semua rakan yang check in dalam CQ DX kawan. Semoga ikatan persahabatan yang terjalin ini kekal selamaya. 73 de Zaki.

Thursday, January 16, 2014

Respect the QRP frequency

Maha Suci Allah dan dengan puji-pujian kepadaNya sebanyak bilangan makhlukNya dan keredhaan diriNya, Dan beratnya timbangan arasy-Nya dan sebanyak dakwat kalimat-kalimatnya....pada tepat jam 2.35 pagi waktu tempatan, kawan dikejutkan dengan deringan Email Alert dari telefon bimbit kawan. Rupa-rupanya kawan telah menerima email dari Gianfranco, IK0ZME. Beliau telah meluluskan dan menerima permohonan kawan.

Gianfranco, IK0ZME telah mengajak kita untuk turut serta dalam kempen yang beliau anjurkan iaitu Respect the QRP frequency. Saudara dan saudara sekalian juga boleh menyertainya dengan hanya mengisi beberapa butiran dalam borang yang disediakan. Hanya perlu klik pada laman web ini ( http://qrprespect.jimdo.com/award-request/) dan ikuti segala arahannya. Kawan pasti permohonan saudara akan diluluskan oleh beliau. Saudara dan saudara juga boleh singgah sebentar ke laman facebook mereka iaitu https://www.facebook.com/qrprespect untuk menikmati pelbagai info yang terkini mengenai aktiviti yang mereka lakukan.

Bila diamati dengan penuh teliti, kempen yang mereka anjurkan ini ada kebenarannya. Perkara pokok yang mereka perjuangan itu ada betulnya. Kita tidak perlu pergi jauh, jika saudara dan saudari ingin mengetahui dan mendengar sendiri kebenarannya. Sila pusingkan tombol VFO anda dan pergi ke 7030mhz atau 7040mhz atau 7090mhz. Kawan pasti akan dengar QRM daripada mereka yang tidak memahami kedudukan frequency ini.
Ruang untuk peminat dan penggemar QRP telah dinafikan pada frequency tersebut sedangkan ianya dikhaskan untuk penggiat kuasa bateri 3Volt atau 9Volts. Jika frequency ini diduduki oleh penggiat 100 watt dan ke atas (selalunya lebih), bagaimana geng-geng QRP ini dapat menguji peralatan mereka? Bagaimana geng-geng QRP ini dapat mengetahui sejauh mana pancaran mereka? Jika transmisi mereka ditelan atau ditindih oleh kaki-kaki besar ini. Perkara ini juga kadangkala berlaku pada frequency-frequency yang lain. Cuma ianya lebih ketara apabila adanya contest, terutama sekali jika ada contest-contest yang besar. Habis semua frequency dilanggarnya. Hilang habis segala etika apabila kepentingan diri diutamakan.

Ketetapan telah diputuskan...ruang untuk mereka juga telah direncanakan. Jadi silalah ikut dan patuhi segala panduan dan peraturan. Daripada kekalutan...maka terciptalah peraturan, daripada peraturan juga terciptalah kekalutan. Please respect the QRP frequency. 73 de Zaki.

p/s :- terima kasih diucapkan kepada Dr Mohd Noh Karsiti 9W2MNW kerana sudi memberi kebenaran untuk beraksi dengan KX3 beliau dan tidak lupa juga kepada saudara Phang Chew Foung 9W2VXP kerana memberi inspirasi-idea dan link sehingga bertemunya kawan dengan kempen ini. Sebenarnya sudah lama kawan mencari gerakan sebegini. Akhirnya ketemu juga. Terima kasih kawan ucapkan. :)

Wednesday, January 1, 2014

Selamat Tahun Baru 2014 : Mulakan dengan azam yang baharu dan mode baru pada tahun ini.

Alhamdulillah, segala puji bagi ALLAH Yang Maha Esa Maha Pemurah lagi  Maha Penyayang serta Maha Pengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan yang membawa obor menyuluh manusia dari kegelapan kekufuran kepada cahaya Islam. Kedatangan tahun baru 2014 ini begitu sinonim dengan pelbagai azam baru kita. Namun azam yang ditanamkan itu biarlah tidak tinggal azam atau tinggal sekadar angan-angan sahaja. Mode CW mesti aku kuasai pada tahun ini. Itulah azam yang kawan maksudkan pada tahun ini.
            Kata pepatah, buatlah dengan apa yang ada ditangan, bukan yang ada dalam angan-angan. Biar sedikit latihan tetapi dilakukan secara berterusan. Bukan banyak masa yang diperuntukkan tetapi hanya sekerat jalan. Hangat-hangat tahi ayam…Kalau kail panjangnya sejengkal, memancinglah di pinggiran tasik atau alur-alur sungai dahulu. Tengok…boleh dapat ikan atau tidak. Sebesar jari kelingking atau sebesar lengan. Daripada situ kita boleh memperbaiki kelemahan kita dan mempertingkatkan kemampuan kita. Kalau dulu kita keliru antara F dan L, pada tahun ini…kita jadikan F dan L itu sebagai makanan kita. Kalau dulu kita merangkak terima 16 WPM…tahun ini kita jadikan 16 WPM itu copy sambil makan kuaci bunga. Kita belajar daripada kegagalan dan kejayaan kerana itulah yang dinamakan pengalaman. Pengalaman adalah guru yang paling jujur dalam mendidik kita untuk menjadi cemerlang.
            Seandainya tasik atau pinggiran sungai sudah ditawan, berazamlah pula untuk cuba mengadu nasib di tengah lautan dalam pula. Jika selama ini kita hanya ditakuk lama iaitu 16 – 18 WPM…maka tahun ini cuba pula tingkatkan ke 25 – 30 WPM. Ini bermakna, kita yang bermula dari bawah tidak pula sentiasa berada di bawah. Insya-ALLAH, kita boleh mencapai kejayaan dan mampu untuk mengharungi apa jua cabaran yang datang. Ayuh kita bersama-sama meningkatkan diri kita. Sampai bila kita nak lihat dicluster tanda panggilan negara kita dipunyai oleh darah lain. Tepuk dada tanya selera…Maruah kita perlu dijaga…
            Selain daripada itu, janganlah sekali-kali kita abaikan azam dan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mahu meninggalkan apa sahaja aktiviti atau tingkahlaku yang bersifat mendatangkan dosa dengan ALLAH SWT dan dosa sesama manusia. Tidak ada gunanya kita tekun dan berbakti atau beribadat tetapi dalam masa yang sama…hal-hal berkaitan tabiat buruk yang selalu kita lakukan pada tahun lepas tidak kita hindari. Mungkin sukar untuk kita hendak meninggalkannya sekaligus. Buatlah secara berperingkat-peringkat. Yang penting…ianya berterusan.
            Jangan lepaskan pergantungan kita kepada ALLAH SWT. Sebab itulah kita kena berazam dan selalu bertawakal kepada ALLAH SWT agar azam kita diberkati dan dipermudahkan untuk kita melaksanakannya. Salam 73 dari Zaki Din 9M2ZAK.

“ Sesungguhnya berjayalah mereka yang membersihkan jiwa dan merugilah mereka yang mengotorinya”

( Surah Asy-Syams : 9 -10 )

Saturday, December 28, 2013

Penjagaan peralatan radio : Bahagian 1

Aktiviti radio amatur atau ham radio tidak banyak berbeda dengan bidang atau kegemaran yang lain dimana salah satu ciri-ciri persamaannya adalah berkaitan dengan peralatan. Setiap peralatan yang dimiliki mestilah senantiasa dilihat atau dibelai dan diselenggara untuk memanjangkan jangka hayatnya. Peralatan radio amatur yang terdapat di pasaran hari ini terdiri daripada pelbagai jenama dan kualiti. Bermula dari yang kurang berkualiti hinggalah ke yang high kualitinya. Tepuk dada tanya selera. Begitu juga dengan harganya, ada yang mahal dan ada juga yang murah.

Kebiasaannya...pemegang lesen radio amatur yang melibatkan diri secara serius dalam bidang ini akan memiliki banyak peralatan seperti transceiver, antenna tuner, power supply, RF amplifier, straight key - lambic key, walkie talkie, coax cabel, head phone, antenna rotator, scanner, audio EQ dan pelbagai-bagai alat tambahan yang lain. Memang banyak jika kawan nak senaraikan disini. Cukup sekadar yang basic sahaja. Disamping itu juga, ada juga rakan-rakan yang suka membeli dan mengumpul peralatan dan sesetengah alatan itu pula dijadikan sebagai collector's item. Semua peralatan ini perlu dijaga supaya ia senantiasa berupaya dapat menjalankan tugas di peringkat maksima dan disamping itu juga kita dapat menjimatkan perbelanjaan.

Disini kawan cuba senaraikan beberapa panduan supaya ketahanan peralatan kita itu terjamin dan tahan lebih lama walaupun sesetengah alatan itu kita selalu menggunakannya.

Transceiver dan power supply
Transceiver dan power supply adalah dua peralatan yang perlu dijaga dengan rapi. Ini adalah kerana kedua-dua peralatan ini adalah tunjang kepada hobi ini. Maka ianya perlu dititikberatkan dari segi penjagaannya. Bagi transceiver,  kita perlu membuka atau mencabut semua elemen-elemen yang bersambung dengan transceiver selepas kita menggunakannya. Walaupun perkara ini nampak seperti meremehkan dan agak membebankan tetapi kita perlu ingat...langit tidak selalunya cerah dan malang sebenarnya tidak berbau. Kesilapan dan kecuaian ini biasa dilakukan oleh kita...termasuk diri saya sendiri. 

Kenapa perlu cabut semua?
Pada awalnya...kita beranggapan bahawa apabila kilat memancar di langit, elektrik statik yang dilepaskan itu akan bertaburan diseluruh ruang angkasa dan jika kita tidak membuka sambung coax dari antenna ke transceiver kita...maka statik tersebut akan menerjah masuk ke dalam transceiver melalui antenna - coax - dan terus transceiver. Tetapi berdasarkan pengamatan dan pengalaman-pengalaman yang lepas... high voltage atau statik ini masih boleh mencapai transceiver kesayangan kita melalui pintu-pintu atau saluran yang lain. Memang tidak disangka sungguh. 

Kes 1 

Kejadian ini berlaku kepada diri kawan sendiri. Sebab itu kawan berani menyatakannya. Kejadian ini berlaku pada petang Jumaat, tarikhnya kawan sudah tidak ingat, tapi jika di explore balik gambar FB kawan, mesti akan dapat lihat semula transceiver kawan iaitu model Icom 718 yang telah terkena overload current hasil dari panahan petir berdekatan dengan base kawan. Untuk pengetahuan rakan-rakan yang budiman sekalian, kawan juga mengambil langkah-langkah pencegahan seperti biasa yang kita maklum selama ini, iaitu... apabila kedengaran petir atau guruh di udara maka cepat-cepat coax cable ditanggalkan dari transceiver. Langkah tersebut memang kawan patuhi dan mengamalkannya. 

Tetapi lain pulak jadinya...selepas kejadian kilat tersebut, dan keadaan menjadi tenang semula. kawan cuba menghidupkan kembali komputer. Tiba-tiba kedengaran bunyi "PoPs" di bahagian belakang PC, dipercayai dari power supply PC dan PC terus padam. Kawan syak yang PC kawan sudah kena statik kilat tadi. Kemudian kawan cuba pula menghidupkan IC 718, syukur...ianya berfungsi seperti biasa. Ianya hidup..apabila dimonitor pada mode SSB ianya berfungsi seperti biasa, begitu juga dengan mode-mode yang seperti RTTY dan AM, tetapi apabila kawan tukar ke mode CW, ianya terus TX dengan sendirinya. Rupa-rupanya overload current semasa kejadian kilat itu tadi telah masuk ke dalam IC-718 melalui Port CW. Untuk pengetahuan rakan-rakan yang budiman sekalian, semasa kejadian kilat itu tadi, kawan hanya cabut coax sahaja dan overload current itu masuk melalui PC dan terus ke IC-718. Sebelum kilat terjadi, kawan sedang TX dalam mode CW dengan menggunakan Keyboard Keyer, jadi memang ada sambungan dari PC ke transceiver melalui interface. Apabila dibuka IC-718, memang habis terbakar komponen-komponen pada bahagian CW dalam board IC-718.

Untuk pengetahuan para pembaca yang budiman sekalian... Icom-718 diletakkan diatas transceiver Yaesu FT-77, tetapi memandangkan pada masa itu, tiada sebarang kabel yang disambungkan kepada FT-77, maka ianya terselamat dari malapetaka tersebut. Mujurlah Icom 718 mempunyai empat kaki yang diperbuat daripada plastik/getah. Jadi ianya secara tidak langsung menghalang pengaliran arus elektrik dari turun atau pergi kepada FT-77 tersebut. Syukur alhamdullilah. Untuk menambahkan kepastian kawan mengenai kesihatan FT-77, kawan mencuba untuk memasangnya kembali. Setelah semuanya dipasang, FT-77 berfungsi dengan baik, semua mode dan band tiada masalah, semua button berfungsi dengan baik. Syukur ke hadrat Ilahi, walaupun FT-77 hanya setengah inci sahaja berada dari tempat kejadian, namun beliau terselamat dari malapetaka tersebut kerana tiada sebarang sambungan kabel kepadanya. Pengajaran yang kawan perolehi dari kejadian ini adalah:
  1. Sentiasa tanggalkan segala sambungan kabel atau interface dari body transceiver jika kita tidak menggunakannya dan juga jika cuaca buruk melanda.
Kes 2

Kejadian ini berlaku di Skudai, iaitu di Kuarters Kakitangan UTM Skudai. Ianya berlaku terhadap salah seorang pengamal radio amatur yang tegar iaitu Ustaz Ilyas 9M2UST. Kawan sudah lupa bila kejadian ini berlaku tetapi patern kejadian ini juga sama seperti kawan. Pada suatu petang yang panas dan kering... tiba-tiba sahaja berlaku kejadian petir yang kuat. Kejadian petir itu hanya sekali sahaja berlaku dan ianya berlaku secara tiba-tiba. Pada masa itu, Ustaz Ilyas 9M2UST berada di bawah sedang bersantai-santai dihadapan TV bersama XYLnya menonton drama kegemaran mereka. Selepas kejadian panahan petir tersebut, seluruh rumah mereka terputus bekalan elektrik. Kemudian selepas bekalan elektrik dipulihkan. Ustaz Ilyas cepat-cepat memeriksa peralatannya. Semuanya ok, tetapi apabila beliau cuba membuka IC-718nya...mode CW mengalami masalah. Ianya terus TX dengan sendirinya tanpa berhenti-henti. Setelah diperiksa dan diamati dengan penuh teliti. Rupa-rupanya...overload current semasa kejadian kilat itu tadi masuk ke dalam IC-718 melalui interface CW. Untuk pengetahuan para pembaca yang budiman sekalian, Ustaz Ilyas juga mengambil langkah-langkah wajib apabila keluar dari shack, iaitu cabut coax cable. Tetapi lain pula jadinya...Kesnya juga sama macam kawan, FT-857 beliau terselamat dari malapetaka tersebut kerana tiada apa-apa sambungan kepadanya. FT-857 beliau juga hanya bersebelahan sahaja dengan IC-718 tetapi tidak bersentuhan. Pengajaran daripada kes ini ialah :
  1. Sentiasa tanggalkan segala sambungan kabel atau interface dari body transceiver jika kita tidak menggunakannya dan pastikan tiada body contact antara transceiver untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Power Supply 
Bagi power supply, penjagaannya adalah lebih kurang seperti Transceiver, iaitu tanggalkan plag daripada soket apabila tidak menggunakannya. Ini bertujuan untuk mengelakkan daripada terkena overload current, walaupun power supply tidak mempunyai kompenen yang sensitif terhadap statik, tetapi perlu ingat...malang juga tidak berbau, begitu juga dengan peralatan kita. selain itu, setiap power supply mempunyai kipas  dibelakangnya untuk menyedut haba yang terhasil dari power transistor didalamnya. Jadi...jika ada kelapangan dan masa yang lebih, kawan sarankan supaya berikan sedikit masa untuk membuka cover power supply anda dan periksa pada bahagian-bahagian ini:
  1. Kipas - periksa samada kipas tersebut berpusing dengan kelajuan yang sekata. anda boleh check dengan visual sahaja, iaitu dengan memerhati dengan teliti pusingannya. Selalunya ball bearing kipas akan rosak dan jika pusingannya nampak seperti beralun dan tidak sekata, gantikan dengan kipas yang baharu. Atau semburkan 4WD pada bearingnya. Selain itu, tanggalkan segala habuk dan kekotoran yang melekat pada daun kipas supaya kipas tersebut dapat menyedut udara panas keluar dari Power supply dengan lebih efisien lagi. Jika anda rajin lagi. Buka semua wayar-wayar yang bersambungan dengan board dan cuci board tersebut dengan menggunakan Thinner dan kapas untuk menanggalkan segala debu dan kotoran yang melekat pada komponen. Debu dan kotoran yang melekat pada komponen-komponen sebenarnya dapat mengurangkan kecekapan dan menaikkan suhu board tersebut kerana ketidakcekapan pengaliran haba. Kadangkala ada juga kes dimana lipas dan cicak bertelur dan mati di dalam power supply. Jadi sila bersihkan ia supaya dapat elakkan berlakunya short.
  2. Jika power supply anda sudah berusia atau lama, kawan syorkan supaya anda memeriksa litarnya. Kadang-kala berlaku keretakkan pada kaki komponen dengan tapak soldernya dan kadangkala berlaku hakisan pada litar. Jika berlaku hakisan, solder semula mengikut tracknya atau jika anda kurang yakin, buat BYPASS dengan menggunakan wayar dari kaki kompenen ke kompenen yang dikenalpasti bermasalah.
  3. Pastikan GND disambung ke power supply anda untuk mengelakkan dari sebarang masalah overload.
Antenna Tuner 
Sebenarnya jarang kita dengar mengenai kerosakkan antenna tuner. Ini adalah kerana antenna tuner tidak memerlukan punca kuasa untuk beroperasi. Tetapi ada juga antenna tuner yang mengalami masalah, selalunya ianya berkaitan dengan bad solder dan keupayaan tuner itu sendiri. Kerosakkan yang selalu berlaku kepada antenna tuner adalah tombol pada inductance/transmitter/antenna. Apa yang selalu berlaku kepada tombol-tombol ini adalah mereka menjadi haus dan selalu terlepas. Puncanya adalah kerana kita selalu tuned antenna. Jadi...bagaimana untuk mengatasinya?
  1. Tombol antenna tuner diperbuat daripada plastik, apabila penggunaannya terlalu kerap, iaitu kita selalu tuned antenna, lama-kelamaan...track dalam tombol tersebut akan haus dan akan mengurangkan kecekapannya memegang batang kapasitor. Jadi untuk mengelakkan perkara ini berlaku. Dicadangkan supaya...jika rakan-rakan ada keupayaan...cuba hasilkan atau beli atau minta rakan-rakan buatkan antenna yang luas bacaan SWRnya. Contohnya pada band 10m. Cuba hasilkan sebuah antenna yang berkeupayaan SWR 1:1 > 1:5 dari frequency 28300mhz hinggalah 28700mhz. Jadi iainya secara tidak langsung akan mengurangkan penggunaan dan pusingan tombol pada antenna tuner anda sekaligus dan mengurangkan terjadinya kehausan track pada tombol tersebut.

  1. Kebanyakkan antenna tuner dihasilkan secara hand-made iaitu disolder dan dipasang secara manual dikilang oleh manusia. Jadi...human error pastinya akan berlaku kerana manusia ini tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Kerosakkan yang selalunya berlaku adalah bad solder. Jadi selalulah periksa board antenna tuner anda dan jika ada kemampuan, solder semula setiap komponen didalamnya.
  2. Patikan GND disambung kepada antenna tuner anda untuk mengelakkan sebarang masalah.
Coax cable dan antenna 
Untuk memastikan yang pancaran dan penerimaan kita sentiasa berada pada tahap yang maksimun. Disarankan supaya coax cable dan antenna itu ditukar pada setiap 4-5 tahun sekali. Coax cable dan antenna ini sebenarnya sudah terdedah kepada hujan dan panas selama bertahun-tahun lamanya. Sudah pasti keupayaannya jugak akan menurun. Perkara yang selalu terjadi adalah keretakan pada solder antara coax dengan conector. Keretakan ini berlaku akibat dari proses luluhawa dan angin. Kita perlu ingat...sambungan antara coax cable dan antenna akan terdedah kepada faktor-faktor alam yang kawan sebutkan tadi. Dimana pada malamnya ianya akan mengecut dan pada waktu siangnya pula akan mengembang. Cuba bayangkan jika pada hari cuaca panas terik....tentunya ia akan mengembang dengan megahnya dan tiba-tiba berlaku hujan panas...maka sudah tentu akan berlaku pengecutan secara tiba-tiba pada logam yang terdapat pada coax dan antenna tersebut dan yang pastinya...prestasinya tidak seperti dahulu..iaitu masa mula-mula ia dipasang. Ikatan skru dan nat serta genggaman bracket sudah pastinya akan longgar akibat dari proses luluhawa tersebut. Walaupun semua komponen antenna dan coax cable itu diperbuat daripada aluminium dan copper, namun perlu ingat...element-element tersebut sebenarnya datang dari alam. Maka dari bumi ia datang...ke bumi juga ia kembali. Jika kita tinggal dikawasan bandar atau berdekatan dengan kawasan industri, hujan asid mungkin akan berlaku dan akan sedikit sebanyak akan menghakis aluminium dan copper yang terdapat pada antenna kita. Jadi...selalulah jenguk antenna kita di atas sana.  
Baiklah rakan-rakan yang budiman sekalian. Memandangkan jam sudah menunjukkan jam 3 pagi. Maka kawan terpaksa berhenti disini dahulu mengenai penjagaan peralatan kita. Insyaallah akan menyusul lagi perkara tentang penjagaan CW Key, Lambic dan handy @ walkie talkie dalam penulisan yang akan datang. Semoga rakan-rakan dapat memanfaatkan bacaan ini agar hobi ini dapat dinikmati dengan penuh kenikmatan. Salam 73 de Zaki 9M2ZAK.

Sunday, December 15, 2013

Perubahan cuaca perubahan kesihatan...

Selepas 4 hari sampai ke kampung halaman, Kawan mendapat demam dan selesema kerana perubahan dan keadaan cuaca disini agak berbeza dengan keadaan cuaca di Johor. Pada masa kini, Perlis sedang mengalami musim angin timur, dimana angin akan bertiup kencang dari timur Perlis menuju ke Barat Perlis. Akibatnya...kawan tidak boleh bangun selama 3 hari, hanya terlantar sahaja di rumah emak. Keadaan ini berlaku selepas pulang dari Jitra. Perkara ini turut terkenan juga kepada harmonik bongsu kawan, dia juga demam bersama-sama dengan kawan.

Tetapi mujurlah kawan sempat setup antenna G5RV pada base orang tua kawan. Walaupun hanya menggunakan batang buluh sahaja, namun prestasinya amat baik. Kawan berjaya masuk ke Eropah - Jepun - dan juga Amerika Selatan. Memancar dengan panggilan 9M2ZAK/P

batang buluh sebagai pole utama, 20 kaki panjangnya.
Kawasan disini memang agak terhad, terhad kerana rumah disini dibina secara rapat-rapat. Hasilnya...ianya menjadi agak sukar bagi kita peminat radio amatur amatur untuk setup antenna. setelah beberapa jam mengkaji...akhir kawan berjaya juga memasang antenna g5rv ini. Antenna di dipasang dihadapan rumah menghadap ke Eropah. Ianya dipasang secara inverted V, anda boleh lihat pada gambar dibawah. Tetapi masalah lain pula timbul. G5RV ini, hanya boleh tune pada band 40m dan 6m sahaja. Mana datang band 6M nih.. tiba-tiba sahaja ianya muncul. Ada beberapa persoalan yang bermain dalam kepala...antaranya ialah :
  1. Adakah atap zink yang berada kiri dan kanan G5RV ini mengganggu bacaan SWR?
  2. Adakah power-line yang berada melintang antenna ini juga mempengaruhi SWR?
Untuk pengetahuan pembaca yang budiman sekalian... G5RV ini sebenarnya telah merentasi power line. Adakah inductive dari power line itu mempengaruhi SWR ?
Sehubungan dengan itu, kawan bercadang untuk menurunkan semula dan mengubah arah rentangannya agar tidak atau dapat mengelakkan dari hampir atau merentasi power line.
pemandangan dari sisi depan rumah.
Walaupun dalam keadaan sebegini teruk antenna. Kawan berjaya membuat ragchew CW QSO dengan sebuah stesen dari NA iaitu dengan W9KNI Bob dari Oregan, USA. Beliau copy 599 signal kawan dari Kuala Perlis. Jadi maknanya ok juga antenna ini walaupun hanya boleh tune di 40m dan 6m sahaja. Adakah kerana nasib? adakah kerana keadaan ppgasi yang baik pada ketika itu? Hmm...semua itu bermain dalam benak kawan.

Bob W9KNI telah spot kawan pada Website Cluster

Kawan sempat mencuba TX atau DX dalam 2 hari sahaja, kemudian aktiviti DX terpaksa dihentikan kerana kawan mendapat demam panas yang teruk. Kepala berdenyut-denyut sakit dan ditambah pula dengan badan tiba-tiba menjadi lemah dan panas. Hasilnya...kawan hanya mampu berbaring sahaja selama 3 hari.

Hari ini...memandangkan kawan sudah pulih dan hanya sikit sahaja demam...maka masa yang terluang ini..kawan gunakan untuk menulis sesuatu pada blog kawan. Baiklah...sampai disini sahaja dulu...nanti..jika ada apa-apa yangb terkini akan kawan infokan dalam blog ini. 73 9m2zak.


Cara Update Radiosonde Auto-RX Dengan Selamat Tanpa Rosakkan Setup KA9Q + Airspy Mini

  Kalau anda menggunakan Radiosonde Auto-RX bersama KA9Q dan Airspy Mini, proses update sepatutnya dibuat dengan berhati-hati. Update Docker...