Tuesday, May 28, 2013

CQWW WPX CW 2013 : 9M2SD...suatu catatan.


CQ WPX Contest CW: May 25-26, 2013

Starts: 0000 UTC Saturday
Ends: 2359 UTC Sunday

9M2SD
Multi Operator All Band
Operators : 9M2ZAK, 9W2ZJB 
9m2sd operated by Mat 9w2zjb on 20m

Terdapat pelbagai perkara yang boleh dipelajari apabila kita bersatu dan bekerjasama, walaupun dari segi objektifnya, sasaran 500 QSOs tidak tercapai, namun dari sudut yang lain pula. Kawan amat berpuashati dan bersyukur dengan perkembangan ini. Sifat ini meneroka dan belajar sesuatu yang baru perlu ada dalam setiap diri kita jika ingin sebaris dengan negara-negara lain di dunia. Kejayaan atau kegagalan dalam sesuatu Contest Radio Amatur ditentukan oleh pelbagai faktor, antara faktor - faktor tersebut ialah :
  1. Keadaan Propogasi
  2. Kadar kebisingan band
  3. Sistem Antenna
Kefahaman dan penyesuaian lokasi juga turut memainkan peranan, contohnya seperti kadar ketinggian Sea Level, QRN dan keadaan cuaca. Malah ukuran kejayaan itu sendiri sebenarnya bergantung kepada matlamat yang telah ditetapkan. Kalau kita gagal mencapai sasaran QSOs yang diidamkan, kita jangan gundah, sebab...sebenarnya ada kejayaan yang lain hinggap. Jika kita menentukan ukuran kejayaan itu dari sudut yang lain maka contest itu masih dianggap berjaya selagi ia memenuhi kriteria yang lain. Dalam masa yang sama, kita mungkin telah mencapai pungutan DXCC yang diluar jangkaan. Bilangan QSOs yang tinggi tidak semestinya mencerminkan bilangan DXCC. Kualiti adalah lebih baik daripada kuantiti, kawan rasa semua orang maklum mengenai kuantiti dan kualiti ini.


Sebagai seorang Orang Radio, kita sebenarnya secara sedar atau tidak, tidak pernah berhenti belajar, malah bagi setiap band, frequency dan apa-apa jua event dan contest pasti akan menemukan kita dengan pelbagai permasalahan dan peristiwa menarik yang belum pernah kita alami. Pada pandangan kawan, inilah daya penarik utama hobi ini, daya penarik yang dapat dikaitkan dengan kegiatan DX dan Contest ini. Syabas dan tahniah kawan ucapkan kepada 9W2ZJB kerana berani mencuba dan bersemangat untuk menyertai contest ini, walaupun dalam mode CW. Pada mulanya beliau tidak yakin, tetapi selepas beberapa kali mencuba...akhirnya beliau ketagih pula... CW tidak susah, jika susah bagaimana boleh ada berjuta-juta pengendalinya dari seluruh dunia? Dada kena tepuk...baru tahu sakit atau tidak...

Sejujurnya...kami sendiri telah mengalami keadaan begini dan antaranya ialah semasa kami mencuba di band 10m. Pada ketika itu, kami sedang memantau di cluster kerana ingin memburu DXCC dari kawasan Amerika Selatan sana. Tiba-tiba muncul callsign 3G5EC dari Chile yang telah dispot oleh spotter terkenal, iaitu W3LPL. Pada ketika itu, band 10m mencatat bacaan noise yang tinggi, iaitu S6-S7 dan ianya stabil. Namun dalam sanubari kami, kami bertekad untuk mendapatkannya walau dengan apa cara sekalipun. Buku manual TS2K disemak kembali, tajuk Rejecting Interference muka surat 56 dibaca semula dan cuba difahami. Setelah semuanya selesai disetting, Noise tetap ada tetapi 70% berkurang dari awalnya. Signalnya hanya sayup-sayup kedengaran namun masih boleh dibaca butirannya. Tetapi lama-kelamaan, ianya semakin hilang dan tidak kedengaran langsung malah QRM kembali bermaharaja. Sekali lagi kami mengorak langkah, level (N.R 1) dan level (N.R 2) di adjust dengan penuh teliti. AGC dimatikan...tiba-tiba...krengggggg...krenggggg...sehingga S9. berpinar mata sekejap mata dan headphone serta-merta ditanggalkan...perghhhh...XYL kawan sedang menggunakan blender kat bawah dan signalnya amat kuat sekali. Nafas ditarik semula dan Marlboro Gold Lights dihidupkan...untuk mengatasi noise dari blender tu, butang NB iaitu Noise Blanker ditekan. Syukur...hilang sudah gangguan blender itu tadi...Fikiran yang terganggu tadi kini dapat difokuskan semula kepada stesen Chile iu kembali. Namun apabila kami kembali ke frequency, ianya sudah tiada...hmm...adakah ianya sudah berhenti CQ atau band yang teruk? tiba-tiba kami terdengar stesen Jepun memberikan RST kepadanya. Yessss!!! dia masih disitu...tapi Kulaijaya tidak kedengaran signalnya....hanya QRM sahaja yang ada.

Namun dengan berbekalkan naluri yakin boleh dan semangat Malaysia Boleh, kami tetap menghulurkan callsign 9M2SD kepadanya. Walaupun di Kulaijaya tidak kedengaran apa-apa signal, tetapi berdasarkan pengalaman dan sedikit kefahaman mengenai propogasi, kami yakin dan yakin bahawa signal 9M2SD sampai ke Chile sana. Cuma disebelah Kulaijaya sahaja yang penuh dengan QRM. Lama juga kami hulur 9m2sd kepadanya, setelah bersabar hampir 23 minit, tiba-tiba kedengaran SD didalam keributan QRM. Terkedu kami seketika...kami hulur lagi...dan confirm...9m2sd didengarinya...lalu dengan pantas kawan hulurkan 3G5EC 5nn 305 kepadanya...kedengaran RR berulang kali...maknanya beliau copy NR dari Kulaijaya, tetapi kami belum terima NR darinya. Berulang kali kami hulur NR PSE kepadanya...namun begitu sukar sekali untuk kami copy kerana signal noise yang tinggi disini...Teringat kawan kepada delta loop 6 meter, delta loop terkenal dengan low noisenya jadi kawan boleh gunakan ia untuk copy atau buatkan ia sebagai receiving antenna. Jadi dua perkara yang kami terpaksa lakukan dalam satu masa, iaitu received di Delta Loop dan TX di Yagi. Ianya berkesan...selepas kami TX, NR PSE pada yagi...cepat - cepat Mat Tanglung tukar ke Delta Loop, antenna switching banyak membantu dalam situasi ini. Akhirnya kami dapat copy NR kawan dari Delta Loop, 9M2SD ur 5NN 1428 5NN 1438. Umang aii...banyaknya QSO dia...


Orang Melayu memang terkenal dengan budaya ramah dan melayan tetamu dengan cara yang ramah dan bersopan. Lebih-lebih lagi jika tetamu itu tetamu istimewa, dalam situasi ini, QSO kami tidak habis disitu sahaja. Kami sempat mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya kerana beliau sabar menunggu kawan. Rupa-rupanya beliau pun sama, beliau pun amat memerlukan callsign dari Malaysia juga dan ini adalah contact pertama beliau dari 9M2 land. Patut pun...


Pada hemat kawan, CQWW ini sama ada WPX ataupun DX Contest sangat mencabar sekali. Cabarannya bukan sahaja datang dari alam (QRM) malah datang juga dari perebutan khz. Hampir setiap khz diduduki, siapa yang gagah dialah yang punya...bagi yang low power atau QRP...cabaran getir perlu diharungi untuk bersaing dengan mereka dalam perebutan khz. Masa inilah segala ilmu dan teknik digunakan...pengalaman serta daya ketahanan diperlukan untuk mengharunginya...

Sememangnya dari segi jumlah tangkapan, 9M2SD tidak mencapai sasaran, tetapi dari segi keseronokan dan pengalaman yang dikutip...ianya tidak ternilai dan rasanya lebih hebat lagi dari sekeping award ataupun plaque. Contest ini merupakan suatu cabaran yang menarik dan dari pengamatan kawan, CQWW merupakan suatu contest yang berprofil tinggi dan mencabar jika kita dapat menyertainya. Pastinya pada tahun hadapan...Stesen Kulaijaya akan menantikannya dan strategi baru akan direncanakan...73 Zaki.

CALLSIGN: 9M2SD
CONTEST: CQ-WPX-CW
CATEGORY: MULTI-ONE ALL CW
CLAIMED-SCORE: 174020
OPERATORS: 9M2ZAK, 9W2ZJB

Saturday, May 18, 2013

My 10 meter and 20m band report : Double Pile-up in 2 hours

Malam semalam, 17 May 2013. setelah kawan meneliti keadaan band 10m dan 20m. Ternyata ramalan dari laman sawang Solarham itu tepat. Menurut ramalan mereka, High Band iaitu band 20m-15m-10m akan membuka dengan baik bermula dari 17 May hingga 19 May 2013. Ini adalah kerana pada tarikh-tarikh tersebut akan berlaku peningkatan dalam aktiviti solar, dengan kata lain...bilangan solarspot akan bertambah. Keadaan band-band tersebut akan menjadi lebih baik  dimana signal noise stabil pada bacaan Sifar, iaitu S0 bacaannya.

Pastinya stesen dari Kulaijaya ini tidak akan melepaskan peluang baik ini sewenangnya. Malam tadi kawan mengambil keputusan untuk test band. Tujuannya hanya satu, iaitu untuk menguji keadaan band seperti mana yang digembar-gemburkan oleh beberapa laman sesawang antarabangsa. Kawan mulakan dengan band 10 meter dahulu, ini adalah kerana band ini special sikit, sementara keadaannya sedang baik ini...lebih baik kawan hentam dulu. Frequency 28037.5mhz menjadi pilihan kerana pada bacaan frequency ini, tiada stesen yang CQ disini dan bebas dari splatter yang merimaskan itu. Ternyata ianya hebat, masa yang diambil tidaklah lama, selepas beberapa CQ, panggilan kawan disahut dan disahut. Sahutannya pulak datang dari benua Eropah sana. Layan pile-up pula kawan selepas ini.

Hot di band 10m
Selepas itu, keadaan pun reda. Mungkin keadaan tidak beberapa baik.Setiap CQ kawan disahut...tetapi tidaklah bertindan seperti tadi. Lagipun masa tinggal 10 minit lagi, kawan memperuntukkan satu jam sahaja untuk CQ bagi setiap band, tujuannya adalah untuk melihat berapa banyak QSO yang boleh diperolehi dalam masa satu jam. Selepas satu jam, aktiviti CQ akan beralih ke band yang lain pula. Selepas sejam dx, kawan pun menamatkan CQ di band 10 meter dan hasilnya kawan mendapat 61 contact, secara puratanya, 1 minit satu contact...hmm...boleh tahan juga band hari ini. Sebilangan contact di 10 meter ini datangnya dari Benua Eropah. Untuk CQ DX kali ini, kawan mempertaruhkan antenna G5RV Jr bagi cabaran test band ini. Disamping itu juga, kawan ingin memberitahu kepada dunia yang antenna G5RV ini masih relevan dan mantap prestasinya walaupun di High Band. Jadi kawan-kawan, bagi yang tidak berkesempatan membuat antenna yagi, G5RV Jr ini pun boleh juga...jika kena pada masanya...bergegar juga Eropah dibuatnya. 20dB pernah dicapai oleh G5RV ini. Anda boleh lihat catatan dibawah ini.

band 10 meter
Berikut adalah senarai callsign yang berjaya ditangkap pada band 10m dalam masa sejam:

UY3IR  SV1NN/3  UT6UA  8J9VLP  RA6GW  RA4P   UA6AGE  UY5AB  JH2FXK  YO8NR  UR5MUM  UN7AB  UT0IL  RV5K  UU2LX  YO9BPX  UA3QP  UA6XM  UT5EG  UA4FTA UA8WAA UA3ECJ  RK3QY  UY5YA  HB9QO  UA4NCE  UA3GUV  UR0EV  RA0LQ  F8DBF  F8GDP  UT5PI  EA1AUS  F6KHM IZ5RUG  UR7UR  JA9KUG  UR4MVJ  G4CCZ  UX2KA  RN1KA  G5LP  RU1QY  RY3D  EA1EA  RU6AV  EA4IP  EA5ESP  IK2PZC  SM5EPO  OK2RN  9A3TY  IZ3ENH  IK0FUX  EW8O  RU3EG  IZ3EOU  UA3EKG  EW1TZ  DB1BAN RA1QEA

Selepas selesai bertarung di 10m, kawan beralih pula ke band 20m. Syukur alhamdulilah...keadaannya pun sama. kawan sekali lagi menghadapi pile up, band 20m pun cantik juga. Signal Noisenya zero, manakala keadaan band pula senyap sahaja. Sekali sekala, kedengaran sayup - sayup panggilan CQ dari rakan-rakan yang lain. Tanpa berlengah lagi, kawan segera mencari parking. Susah juga untuk parking rupanya. Hampir setiap khz diduduki. Meriah sungguh, tapi kawan tidak marah, malah makin suka dan gembira dengan perkembangan ini. Memang hak mereka untuk CQ disitu, kerana prinsipnya mudah, siapa cepat dia yang dapat. Kawan yang terlambat ini terpaksalah berlegar-legar mencari sedikit ruang untuk melabuhkan khz kawan. Syukur ke hadrat ilahi, bila niat kita baik, maka yang baiklah jadinya. Semasa sedang asyik kawan dok monitor JH1NPS melayan pileup, tiba-tiba beliau QRT. Mungkin ada hal penting kut rasanya. Kawan masih menunggu disitu kerana kut-kut beliau akan kembali, selepas 10 minit...kawan ambil keputusan untuk CQ disitu memandangkan rakan-rakan lain pun tiada yang berminat dengan fre tu. Akhirnya frequency 14007mhz  menjadi tapak baru kawan dalam meneroka dunia yang luas ini. 

Hot di 20 meter band
 Hanya dalam beberapa CQ, keadaan ruang udara Kulaijaya menjadi gamat kembali. Gamat dengan pileup stesen-stesen dari Eropah sana. Sememangnya gempak sekali, nafas ditarik perlahan-lahan...tembakau ditangan dipadamkan dan minda seratus peratus ditumpukan kepada dit dan dah yang berpusu-pusu tiba itu. Syukur kepada ALLAH kerana memberi kekuatan kepada kawan untuk mengharunginya dengan jaya sekali. Objektif tetap diteruskan, kawan QRT selepas sejam pile-up di 20m. Manakala jumlah QSO pula, lebih sedikit daripada band 10m iaitu 63 QSO. Berikut adalah senarai contact di 20m.

AC4CA  JE7SRK W4FOA  W6AUG  JH1EZR  JA4GXS  W5ZR  JM1OUM  BD5FFK  JH3BJX  R0FA  WB3BEE  BD4WN  K0FX  W0RT  K0XB  JR1WYW  RT3I  K7AB  JF3LPM  JA5AZO  JA3SNK  NA6MG  JH1HGC  JA0JWQ  JA2KPV  JK1UNZ  JE1LOI  N6PF  JA2HZA  RU9UC  JG3KCX  JA3SSF/M  JA2FMY  KJ0D  W0WP  7K1PTT  JI1VAH  WA6KJD  K5DC  W7DR  AA6KJ  JG2RFJ  JA4RQO  JF8DIC  HL2LVB  JE4WSA/1  UA9OR  JA1KUU  UA3QPA  KZ5OM  JA7KUY  JR7ILA  K5RHZ  DS5UST  AC6JA  JH1HGI  JA3EBT  K9WZB  N5DI  JM3LXS  W5KS  OM3KWG

Jika diteliti dengan betul-betul, band 20m ini kebanyakkannya station dari Amerika Utara dan Jepun. Untuk pengetahuan semua, kawan masih lagi menggunakan G5RV Jr dan antenna ini sebenarnya mengadap ke arah  eropah. Rasanya station-station ini datang dari Long Path, manakala station dari eropah hanya dapat satu sahaja. Boleh dikatakan bahawa, band 20m membuka ke arah Jepun dan Amerika Utara manakala band 10m membuka ke arah Eropah. Bagaimana pula dengan band 15m? Selepas ini, kawan bercadang untuk meneruskan cabaran di 15 meter band pula, Nescafe dibancuh semula untuk menjana tenaga dan band diteliti untuk mencari ruang CQ ke udara.


Selepas beberapa kali CQ, akhirnya kawan tersedar dengan jam dinding menunjukkan jam 2 pagi, tertidur kawan rupanya...patut pun sedap saja. Cabaran 15m tergendala seketika. Tidur disambung kembali, mimpi DX Expedition di Kepulauan Caribean dicari semula...kat mana aku mimpi tadi...73 de 9m2zak

 zzzzzzzzzzzzzzz......zzzzzzzzzzzzz........zzzzzzzz......zzzzz.......cq.....

Thursday, May 16, 2013

10 meter band, booming...

Semenjak seminggu dua ini, didapati band 10 menunjukkan prestasi yang menggalakkan. Terbukti kehebatannya dengan beberapa kejayaan yang telah dicatat oleh rakan-rakan kita. Antaranya ialah Arie 9W2VVH, Zamri 9W2NMX, Hans 9W2SBD/QRP, Zaiful 9W2MZY, Amzari 9W2GEO  dan Hafiz 9W2HWR. Mungkin ada lagi rakan - rakan yang aktif juga tetapi tidak tersenarai dalam catatan saya kali ini. Lagi pun maklumat ini kawan hanya ambil dari posting mereka dari Facebook. Ternyata kalian semua hebat...


Fenomena ini sebenarnya ada kaitan dengan solar activity. Dimana sejak kebelakangan ini, activitinya diramalkan akan semakin meningkat. Menurut laman web www.solarham.net, solar activity akan semakin meningkat pada 16 May, 17 May dan 18 May 2013 ini. Jadi apa kaitannya dengan kita? apabila berlakunya peningkatan aktiviti solar, ianya akan memberi kesan kepada High Band, seperti 20m-15m-10m. Jadi secara tidak langsung, band-band tersebut akan membuka dengan cantik dan pada masa yang sama, peluang untuk  menambah DXCC ataupun mengejar rare station akan cerah. Terutama stesen-stesen dari Benua Africa dan Amerika Selatan.

Band 10m/15m/20m ini akan membuka dengan senyap, dimana signal noisenya amat rendah sekali, paling rendah dicatatkan S0. Dimana pada bacaan tersebut, operasi QRP bukanlah satu perkara yang mustahil. Malah ianya membawa kejayaan pulak. Ianya terbukti dengan kejayaan 9W2SBD bang Hans, mendapat ratusan QSO hanya dengan kuasa 5 watt sahaja. Anda boleh tengok sendiri kejayaannya di blog beliau, www.9w2sbd.blogspot.com . Begitu juga dengan Zamrix, beliau juga ada mencatatkan kejayaan beliau pada blognya iaitu www.9w2nmx.blogspot.com 

Masing-masing mencatatkan kejayaan manis mereka. Sesungguhnya kawan percaya, masing-masing puas dan bersyukur dengan pencapaian mereka. Hasil jerit pekik ditengah malam buta akhirnya membuahkan hasil. Peduli apa orang kata, peduli juga situasi politik semasa, band 10m ini membuka bukannya sentiasa, capai PTT, Calling CQ best juga akhirnya...

Jumpa lagi rakan-rakan semua, selepas ini kawan nak CQ pula... 73 de 9m2zak.

Saturday, April 20, 2013

CQ Manchester Mineira DX Contest 2013

Setelah berjaya mengenepikan pelbagai rintangan dengan berbekalkan semangat tidak mudah menyerah kalah, kawan akhirnya berjaya juga menyertai contest berprestij ini, CQ Manchester Mineira DX Contest  yang diadakan setahun sekali anjuran kelab CWJF yang berpusat di Brazil ini.

cuaca kurang baik di Kulaijaya
Walaupun dihimpit masalah cuaca yang tidak menentu dan kekurangan masa, namun kawan tetap berazam untuk memberikan saingan yang sengit kepada semua stesen - stesen yang mengambil bahagian. Persaingan sihat ini perlu diteruskan demi kelangsungan radio amatur Malaysia agar tidak dipandang rendah oleh negara-negara lain. Kali ini kawan menyertai contest ini dengan menggunakan sebuah transceiver usang, transceiver keluaran tahun 1980-an ini diberi tanggungjawab untuk menghadapi cabaran contest ini. Dengan kuasa maksimun 80 watt pada mode CW dan 100 watt pada SSB, kawan yakin... Yaesu FT-77 ini mampu memikul tanggungjawab ini. Ini adalah kerana kawan ingin memberi ruang kepada rakan pasukannya, Kenwood TS-2000 untuk melepaskan lelahnya setelah hampir setahun beraksi tanpa cuti. Lagipun FT-77 ini sudah lama sangat berada di bangku simpanan, masanya sudah sampai baginya untuk beliau menabur bakti mengorak langkah menjejaki DX station yang bertaburan disekeliling dunia yang fana ini. Kawan tidak memandang rendah kemampuannya, kemampuannya sudah terbukti. Sebelum kehadiran adik angkatnya itu (TS2K), kotak kelabu inilah yang selalu menemani kawan meneroka gelombang elektromagnet ini, walaupun kadangkala ianya selalu drift tetapi pencapaiannya amat membanggakan. Dengan bantuannya, kawan telah berjaya :

Hall of Fame
  1. 1st Place Low Power SSB Single Operator All Band CQWPX 2011
  2. 1st Place Low Power CW Single Operator 20 Meters CQWPX 2011
  3. 1st Place Low Power CW Single Operator All Band CQWW DX Contest 2011
  4. 1st Place Low Power SSB Single Operator All Band Oceania DX Contest 2011
  5. 1st Place Low Power CW Single Operator All Band Oceania DX Contest 2011
  6. 1st Place Low Power CW single Operator All Band Scandinavian Activity Contest 2010
  7. 1st Place Low Power CW Single Operator All Band Ukrainian DX Contest 2010
Yaesu FT - 77
Semasa kawan sedang asyik menulis diblog ini, tepat jam 1.50 petang, keadaan cuaca di Kulaijaya sudah kembali tenang. Tiada lagi bunyi guruh dan tiada lagi hujan yang bercucuran. Benarlah kata orang tua, pabila ada ribut, pasti akan ada tenang. Keadaan begitu tenang sekali di Jalan Tiong 2, walaupun nama jalan ini Jalan Tiong, namun kicauan gagak juga yang kedengaran. Keadaan begitu sepi sekali, mungkin ramai penghuni sekitar sini sedang berehat selepas makan tengahari dan  mungkin juga ada yang keluar menziarahi rakan taulan sempena cuti hujung minggu ini. Berbalik kepada CQ Manchester Mineira DX Contest ini, kawan memulakan cabarannya pada jam 3.45 pagi malam tadi. Contest ini sebenarnya bermula pada jam 8.00 malam waktu tempatan dan berakhir pada jam 8.00 pagi pada hari Isnin ini. Ini bermakna, kawan masih lagi ada masa untuk membaiki pencapaian pada tahun lepas dimana pada tahun lepas kawan hanya mendapat 42 QSOs dengan 2070 mata. Persiapan rapi sudah pun dilakukan untuk meneruskan cabaran ini, dan alam pula seolah-olah memberi laluan kepada kawan untuk terus berjuang.

Rekod 2012
 Difahamkan juga, kawan tidak keseorangan dalam mengharungi cabaran contest ini. 9M2UST Ustaz Ilyas dari UTM Skudai Johor turut serta menyertai cabaran ini. Kawan dimaklumkan bahawa yang beliau bersaing dalam kategori CW Single Operator 40 meter Low Power. Syabas dan tahniah kawan ucapkan kerana berani dan bersemangat mengharungi cabaran ini. Baiklah rakan-rakan sekalian, sampai disini sajalah dulu catatan kawan untuk hari ini, selepas ini kawan akan ke udara menyertai rakan-rakan lain di seluruh dunia mengharungi cabaran CQ MM ini. 


 Diharapkan agar contest ini berjalan dengan lancar hendaknya, kawan akan menyambung perjuangan kawan sebagai Single Operator Low Power All Band CW sehingga mana kawan termampu. Target kawan hanyalah satu, ingin memecahkan rekod 2012, jumpa dan jumpa lagi... 73 dari Kulaijaya,  Zaki 9m2zak. Assalamualaikum

Wednesday, April 17, 2013

THE 2013 MALAYSIA VHF CONTEST


Buat pertama kalinya dalam sejarah, Malaysian Amateur Radio League MARL akan menganjurkan The 2013 Malaysia VHF Contest dan pada sepanjang 2 minggu ini, banyak pula sejarah tercipta. 9M2SM dengan sejarah ulung mereka dan kali ini giliran MARL pula. Penganjuran The 2013 Malaysia VHF Contest ini kawan rasa perlu diteruskan tahun demi tahun kerana dengan cara inilah sahaja kita dapat mempelbagaikan aktiviti Radio Sport tanahair selain daripada aktiviti Fox Hunting dan acara 2 meter net.

Ini adalah kerana, aktiviti contest ini dapat mendekatkan dan memesrakan hubungan kalangan pemegang callsign dengan hobi ini serta dapat memelihara populariti radio amatur daripada lenyap ditelan zaman digital ini. Walaupun kita sekarang berada di zaman touch screen namun kesenian tool gadjet-gadjet analog ini perlu juga dipelihara untuk tatapan anak-anak cucu kita nanti. Penganjuran contest ini boleh memberi kesedaran kepada generasi sekarang akan betapa pentingnya peranan gelombang radio ini dalam kehidupan masyarakat kita, lebih-lebih lagi apabila berlakunya kecemasan luar jangka dan majlis-majlis besar. Apa yang diperhatikan, alat komunikasi seperti handy dan mobile rig ini secara tidak langsung menjadi tulang belakang bagi menjamin kelancaran sesuatu event.


Menurut saudara Mohd Iqbal 9M2BAL, beliau berpendapat penggunaan dan pengaruh radio amatur amat luas di kalangan masyarakat melepasi negeri-negeri dari Perlis sampai ke Sabah. Radio amatur ataupun dalam bahasa lain disebut Ham Radio bukan sahaja popular di Malaysia malahan juga di seluruh dunia. Dengan itu, penganjuran contest ini dapat mengeratkan dan memesrakan lagi tali persahabatan di kalangan pemegang lesen radio amatur secara amnya.

Keindahan SOP, menyebabkan komunikasi ini 2 hala ini begitu merdu didengar, kesempurnaan penyebutan Q-Code dan tatacara komunikasi ini menyebabkan Radio Amatur ini begitu memikat jika dibandingkan dengan yang lain. Kita haruslah terus  menyokong segala usaha-usaha ke arah memartabatkan hobi ini seperti penganjuran THE 2013 MALAYSIA VHF CONTEST ini, terutamanya dikalangan pemegang - pemegang lesen yang rata-ratanya baru mendapat tiket mereka. Hobi yang saintifik ini perlu dipelihara agar tidak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan, saya percaya, dengan cara ini akan terpupuk minat generasi muda terhadap hobi yang hebat ini.

Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama memeriahkan lagi ruang udara tanahair dengan menyertai contest yang julung - julung kali diadakan ini. Segala permasalahan bolehlah menghubungi terus saudara Mohd Iqbal melalui link facebook ini, https://www.facebook.com/groups/radioamaturmalaysia/. Bagi yang berminat, anda boleh terus download undang-undang contest pada pautan ini.


Didalamnya mengandungi senarai undang-undang yang perlu dipatuhi merangkumi pilihan kategori hinggalah ke tatacara mengendalikan contest itu sendiri. Semuanya telah disusun rapi oleh saudara Mohd Iqbal 9M2BAL. Didalamnya juga terdapat borang untuk Log contact anda. Contohnya seperti dibawah:

Contoh Log Malaysia VHF Contest.
dan yang paling penting sekali ialah tarikh akhir penghantaran log, ada dinyatakan didalam undang-undang tersebut bahawa tarikh akhir penghantaran log adalah pada 24 April 2013. Setiap log perlu dihantar ke email berikut: hq@marl.org.my ataupun melalui surat ke alamat berikut:

MARL
No 21 Jalan Besi 1
Taman Seri Puteri,
81300 Skudai, Johor Bharu
West Malaysia

Good Luck in your contest, 73 de 9m2zak

Monday, April 15, 2013

9M2SM : World Class Multi-Operator Single Transmitter

Tahniah!!! 9M2SM masuk majalah bertaraf dunia, dan dibaca diseluruh dunia.

Pertama sekali kawan ingin berdiri dan mengucapkan tahniah dan salute kepada semua ahli pasukan 9M2SM kerana telah meletakkan nama mereka dalam majalah CQ : Amateur Radio yang diterbitkan di  Hicksville, New York, Amerika Syarikat. Dalam berjuta-juta callsign yang ada di dunia ini, 9M2SM telah dapat mencuri perhatian editor majalah CQ, Richard S. Moseson W2VU  untuk meletakkan gambar pasukan 9M2SM dalam lipatan majalah mereka. 
 
Majalah CQ : Amateur Radio
 Majalah ini dibaca diseluruh dunia dan dibaca oleh semua peminat radio amatur secara amnya. Pastinya callsign mereka akan menjadi bualan disetiap shack di segenap penjuru dunia dan yang manisnya...kain pelekat...kain warisan kita rakyat Malaysia mendapat perhatian dunia. Inilah dia radio amatur, hobi yang mengagumkan. Hobi yang dapat menyatukan serta mempromosikan kita di mata dunia. Penghargaan ini sememangnya layak untuk mereka. Tahniah kepada semua krew 9m2sm. terutamanya...

9m2get
 
9m2out















9w2sbl
9w2sbd














9m2get Hairie, 9m2out Oja, 9w2sbd Hans dan 9w2sbl Own kerana meletakkan nama Malaysia sebaris dengan callsign - callsign yang hebat diseluruh dunia. World Class Operator. Dengan hasil titik peluh dan daya usaha mereka, negara Malaysia kini sudah mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara - negara maju di dunia ini. Boleh dikatakan...pada masa kini, kita telah pun mempunyai operator radio amatur tempatan berdarah melayu yang berkualiti setanding dengan darah bangsa-bangsa lain seadanya. Semua ini adalah atas usaha yang tidak pernah kenal erti jemu dan perancangan yang bersistematik pasukan mereka. Hasrat 9M2GET Hairie untuk berjaya dalam contest ini tercapai juga akhirnya. Malah boleh dikatakan satu bonus bagi mereka kerana mendapat perhatian penulis luar. Tidak ada yang mustahil untuk dicapai jika kita berusaha dengan bersungguh-sungguh. Peribahasa Melayu juga ada menyatakan, genggam bara api biar sampai jadi arang. Peribahasa ini bermaksud sesuatu kerja yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan mendatangkan hasil yang diharap-harapkan. Jelas sekali ianya dapat dijelaskan melalui kejayaan mereka ini.


Pasukan hebat ini menjadi lebih bertenaga dan ghairah mengejar mata dengan adanya sokongan dari orang lama. Nasihat dan tunjuk ajar dari elmer amat diperlukan kerana garam yang masin itu sudah lama mereka merasanya. Sudah tentu segala panduan dan tips yang diberikan oleh mereka itu amat berguna sekali. Saya mewakili warga radio amatur di Malaysia ini merakamkan jutaan terima kasih kepada 9m2mz Pak Marzuki Saad dan 9w2aze Pak Abdul Aziz Emby kerana memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada anak - anak muda ini dalam mengharungi cabaran CQWW contest mereka tempohari. Walaupun saya tidak bersama, tetapi nun jauh di selatan sana, kehangatannya tetap terasa di selatan sini. Suhunya sentiasa meningkat mengalirkan peluh membasahi telinga. 

Peserta Single Operator dari West Malaysia

Peserta Single operator dari East Malaysia
Penghargaan juga diberikan kepada semua barisan contester dari West Malaysia dan East Malaysia. Sememangnya kalian semua adalah yang terbaik. Best of the best... Ini pun sejarah buat kita. Sejarah untuk anak cucu kita, catatan ini sememangnya akan kekal selamanya. Catatan ini juga tersebar ke seluruh dunia. Pada masa kini, hampir semua orang daripada pelbagai kaum dan budaya mengenali siapa itu 9w2vvh dan siapa pula 9w2www. Lipatan sejarah ini sudah pastinya menjadi satu tanda kekal selamanya. Tercatat callsign kita didalam database HQ CQ Magazine di New York. Tertulis pencapaian kita di dalam fail rekod editor majalah CQ dan tersimpan segala pahit manis pergelutan kita semasa contest pada helaian Award yang diberikan. Sesungguhnya segala rekod-rekod ini akan menjadi lebih sentimental dan meningkat nilainya apabila masa dan waktu semakin bertambah angkanya.



Pada 26-27 Oktober (SSB) dan  23-24 November (CW) 2013 ini. CQ World Wide Dx Contest ini akan kembali. Sebagai pemegang lesen radio amatur, marilah kita menyahut cabaran ini. marilah kita jadikan kejayaan 9M2SM ini sebagai pemangkin untuk kita mencapai kejayaan cemerlang, bak kata peribahasa melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Untuk memastikan kelangsungan dan masa depan Radio Amatur Malaysia, usaha dari segi promosi perlu dilakukan secara berterusan. Bagi pihak saya, bidang penulisan ini akan dijadikan sebagai medium utama usaha ini, ini adalah kerana mata pena kadangkala menjadi lebih tajam daripada mata pedang jika kena gaya dan cara penyampaiannya. 

Team 9M4SG
Penglibatan warga tempatan dalam bidang Radio Sport ini semakin memberangsangkan. Hal ini demikian kerana mungkin ramai pemegang lesen di tanahair sudah mulai sedar akan kepentingan Radio Sport ini. Pembabitan dalam sukan ini banyak mendatangkan impak yang positif. Antaranya ialah ia dapat menghilangkan tekanan akibat bebanan kerja, menjalinkan hubungan diplomatik antara negara, dan sejak akhir-akhir ini, aktiviti Radio Sport juga boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan dan menjana ekonomi negara. 

Chalet Keluarga Kuala Sungai Baru, Melaka
 Dengan aktifnya gerakan DX Expedition, Field Day dan IOTA activation, industri Homestay dan Chalet akan mendapat faedahnya dan ianya secara tidak langsung dapat menarik peminat radio amatur dari negara lain datang ke negara kita sekaligus merancakkan sektor pelancongan negara. Bidang ini mempunyai prospek yang cerah jika dilakukan dengan cara yang betul. Oleh itu, budaya Radio Sport ini perlu disemai didalam setiap sanubari pemegang lesen yang sah untuk kemajuan radio amatur negara kita selari dengan kemajuan teknologi yang sedang berkembang pesat ini.
 
 

 Sekian dahulu dari saya buat masa ini. Diharapkan agar kita dapat bersua lagi pada post-post yang akan datang...insyaallah. 73 9m2zak.


Sudut Informasi:

Team work merupakan kelompok dua atau lebih manusia yang berinteraksi dan mengkoordinasi kerja mereka untuk mencapai matlamat tertentu yang dikongsi bersama (Daft, 1999) secara kolektif dalam kerja (Geotsch dan Devis, 2000). Menurut Lussier dan Achua (2000), semua ahli pasukan perlu bersepakat dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas, cita-cita dan matlamat organisasi berasaskan kemahiran mereka yang bersifat saling melengkapi antara satu dengan yang lain.

Tuesday, April 9, 2013

SP DX Contest 2013

Strategi yang berjaya
Hairie as 9m2sm
"Rome wasn't built in one day" Inilah kata-kata yang dapat kawan berikan untuk menggambarkan keteguhan benteng yang dibina oleh semua warga radio amatur Malaysia. Keteguhan benteng yang dimaksudkan itu adalah semangat juang tinggi yang dibina oleh para peserta SP DX 2013 Contest dari negara Malaysia tercinta ini. Ucapan syabas ini kawan tujukan khas buat dxer - dxer tanahair kerana mereka berjaya melengkapkan cabaran SP DX 2013 Contest ini dengan sempurna.

sila renung gambar ini...

Pelbagai cabaran diharungi, pelbagai dugaan ditempuhi, ada yang terpaksa bertarung dengan jiran sebelah. Ada juga yang mengalami masalah teknikal dan ada juga yang menghadapi kekangan masa untuk menyertai. Tetapi semua itu bukannya alasan, jika hendak seribu daya, jika tidak hendak seribu dalih. Mereka - mereka ini telah membuktikannya. Semakin hari semakin bersemangat dan semakin naik adrenalin mereka.

Pasukan Dxer dari Malaysia.



Diharapkan pasukan mantap ini terus maju ke hadapan dengan pencapaian mata yang lebih banyak lagi demi memberi saingan kepada peserta dari negara-negara lain secara amnya. Syukur ke hadrat Ilahi, aktiviti Radio Sport ini semakin mendapat tempat dan perhatian dihati peminat hobi yang unik ini dari tanahair tercinta. Ianya amat jelas sekali dengan membandingkan penyertaan pada tahun ini dengan tahun lepas dan tahun-tahun sebelumnya. 

Peserta tahun 2012
Dimana pada tahun lepas, iaitu pada tahun 2012. Hanya 3 wakil sahaja dari Malaysia. Antaranya ialah 9M2ESM, 9M2MT dan 9M2ZAK.Masing-masing menggungguli kategori masing - masing dengan jayanya. Masing-masing dengan strategi masing-masing. Strategi untuk menuju kejayaan. Berbeza pula dengan tahun ini, tahun 2013 yang mencatatkan peningkatan dalam penyertaan SP DX Contest ini. Tahun 2013 mencatatkan peningkatan sebanyak 300% berbanding tahun 2012. Tahniah diucapkan kepada :

Pasukan dari Malaysia
    kerana turut serta berganding bahu menyemarakkan lagi tanda panggilan dari Malaysia ini ke serata eropah. Kawan boleh membayangkan tentu gembira sekali penganjur Contest SP DX ini kerana ramai DX station yang sudi menyertai contest mereka. Apabila kawan meneliti senarai callsign yang telah menghantar cabrillo mereka dan membandingkan pula dengan station-station dari negara Asia Tenggara...

    China Station
    Japan station
    Station Australia
    Indonesia Station
     
    Thailand Station


    Negara Malaysia tercinta kita ternyata hebat, kita berada di tempat yang kedua dalam Asia Tenggara selepas negara Jepun. Umum diketahui bahawa bilangan pemilik lesen radio amatur bagi negara kita tidaklah sehebat mana pun jika hendak dibandingkan dengan negara-negara jiran tetangga kita. Negara jiran sebelah mencatatkan hampir 6 angka bilangan pemilik AA dan kita pula merangkak-rangkak untuk menggapai 5 angka. Namun kita perlu ingat, kecil tidak bererti lemah dan besar pula tidak semestinya gagah. Walaupun kita kecil, tetapi kita mempunyai jiwa dan semangat yang begitu besar sekali. Keluasannya merangkumi hampir seluruh dunia..... ingin ditakluki dunia ini seadanya.


    Syabas, tahniah, dan bersyukur pun ada dengan perkembangan positif ini. Rasa berbaloi pun ada juga terdetik dalam sanubari kawan. Tidak rugi rasanya...tidak membuang masa rasanya...segala penat lelah kawan memerah otak ditengah malam untuk mencari idea bagi penulisan blog ini rasanya amat berbaloi sekali. Hobi yang saintifik ini perlu diwar-warkan. Pendedahan yang berterusan perlu digiatkan, kerana apa? kerana hobi ini adalah hobi yang menyatukan, menyatukan segenap insan tidak kira apa latarbelakangnya, tidak kira apa ideologinya dan juga tidak kira apa anutannya. Apabila CQ ke udara...kita adalah sama dan objektif kita juga adalah sama.....


    WE ARE THE PEOPLE THAT UNiTE THE WORLD 

     p/s : hujung minggu ini ada JIDX CW 2013 Contest pula...jom kita...                                                                   73 de 9m2zak

    Cara Update Radiosonde Auto-RX Dengan Selamat Tanpa Rosakkan Setup KA9Q + Airspy Mini

      Kalau anda menggunakan Radiosonde Auto-RX bersama KA9Q dan Airspy Mini, proses update sepatutnya dibuat dengan berhati-hati. Update Docker...