Friday, July 20, 2018

WRTC Germany 2018 : Bahagian pertama

bersama 9w2mwz, 9m6kom, 9m2ooo, 9m2yot dan 9w2jyl
Perjalanan menuju ke Germany dimulakan dari KLIA pada 9 Julai 2018 dimana saya telah ditemani oleh beberapa orang sahabat yang setia menunggu saya tiba dari Kulai, Johor. Saya bertolak dari Kulai pada pukul 1.00 tengahari dan sampai ke KLIA lebih kurang pukul 5.30 petang selepas mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang perjalanan sejauh 360km dari Kulai, Johor.

Pada petang yang berbahagia itu, Zul 9W2MWZ bersama adik dan sahabatnya, Kom 9M6KOM, Kayrol 9M2OOO serta Yot 9M2YOT bersama isterinya 9W2JYL telah berkumpul bersama-sama menunggu saya di pintu 8 pada balai pelepasan KLIA. Kami beramah mesra, saling mengucapkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya serta bergambar kenang-kenangan sebelum saya berlepas. Penerbangan saya adalah pada pukul 10.20 malam dan masa untuk check-in adalah sekitar jam 7.30 malam.

Terima kasih saya ucapkan kepada Zul 9W2MWZ kerana sentiasa update perjalanan saya bermula dari Kulai hinggalah sampai ke KLIA dengan bertujuan untuk membantu saya jika berlaku apa-apa sepanjang perjalanan saya ke KLIA. Terima kasih kepada KOM, 9M6KOM yang sanggup terbang mai dari Kota Kinabalu untuk mengiringi saya, begitu juga dengan Kayrol 9M2OOO yang sanggup meredah kesesakan traffik untuk sampai ke KLIA. Manakala begitu juga dengan pasangan suami isteri YOT-JUN yang sanggup bersusah payah datang ke KLIA bersama baby comel mereka, baby Ijan yang senantiasa melakar senyuman dan kekal cute macam ayah dan mamanya.

Tepat pukul 10.20 malam 9 Julai 2018, saya pun  terbang menuju Berlin, untuk sampai ke Berlin, 2 transit akan dilalui iaitu di Bangkok dan juga di Jordan. Selepas mengharungi perjalanan yang panjang, pasukan Malaysia ini menjejak kakinya di tanah Berlin pada pukul 2.45 petang waktu German bersamaan dengan 8.45 malam waktu Malaysia. Syukur semuanya sampai dengan selamat.


TXL airport, Berlin 10 Julai 2018
Dari TXL airport Berlin, kami bergerak ke stesen keretapi Hauptbahnhof yang mengambil masa kira-kira 20 minit dari TXL dan dari stesen keretapi Hauptbahnhof, kami bergerak ke Wittenberg. Perjalanan dari Berlin ke Wittenberg mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit. Semua urusan perjalanan ini banyak ditolong oleh pegawai disana yang sentiasa memberi khidmat dan bantuan jka diperlukan. Walaupun mereka tidak fasih berbahasa inggeris, namun kesungguhan mereka untuk membantu itu sebenarnya tidak menjadi masalah dari segi bahasa. Ibarat ayam dan itik sedang berkomunikasi dalam bahasa masing-masing. Kertas dan pen menjadi medium utama komunikasi kami. Mujur saya senantiasa membawa pen dan buku nota kecil didalam beg saya.

Hauptbahnhof Berlin
Stesen keretapi Hauptbahnhof. Stesen keretapi ini amat luas dan besar sekali. Di dalam kompleks yang tersergam indah ini terdapat pelbagai kemudahan di dalamnya. Namun kami tidak dapat meluangkan masa dengan lebih lama di dalam kompleks ini kerana terikat dengan jadual perjalanan. Keretapi yang akan membawa kami ke Wittenberg akan berlepas pada pukul 4.30 petang. Maka dalam masa yang singkat ini, sempatlah kami pusing sekitar kompleks mencuci mata yang keletihan dek perjalanan jauh beribu batu tadi. Kesibukkan cara hidup kota jelas kelihatan disini. Mereka berjalan kesana-kemari dengan begitu pantas, jarang kelihatan manusia disini yang bergerak perlahan. Jika bergerak perlahan, mungkin orang itu bukan orang lokalan sini iaitu seperti kami dimana tercari-cari nombor platform dan arah yang hendak dituju. Kebanyakkan mereka berjalan pantas mengejar masa dan yang pasti sekali, mereka mengejar tren atau bas yang bakal tiba untuk membawa mereka ke destinasi yang dituju.

tiket keretapi
Maka kami pun terikut-ikut dengan rentak perjalanan mereka. Bergerak pantas menuju ke dalam kompleks, tetapi sebenarnya tidak pasti hendak menuju kemana. Kemudian ternampak kaunter pertanyaan. Ada 3 orang sedang bertugas. Soalan pertama saya ialah... do u speak english? kemudian perempuan itu jawab, no. kemudian dia menunjukkan tangannya ke arah kiri. fahamlah saya yang pegawai seorang lagi itu boleh berbahasa inggeris. Pegawai tersebut menerangkan secara detail bagaimana saya boleh mendapatkan tiket untuk ke destinasi sasaran saya. Ada dua cara sebenarnya untuk mendapatkan tiket tren ini. Cara yang pertama ialah dengan menggunakan mesin tiket dan cara yang kedua ialah dengan membeli di kaunter tiket. Oleh kerana masalah bahasa, iaitu semua tulisan di mesin tiket adalah bahasa German, maka kami mengambil keputusan untuk mendapatkan tiket di kaunter sahaja. Malah di kaunter ticket pun alami masalah yang sama, iaitu bahasa. Orang German ini sebenarnya rata-rata tidak mahir dan fasih berbahasa inggeris. Nanti saya cerita kenapa mereka tak mahir bahasa inggeris. Jadi untuk memudahkan urusan, saya banyak menulis pada helaian kertas dan tunjuk kepada mereka. Cara itu lebih berkesan.

menunggu ketibaan keretapi
Masa menunggu tidaklah lama kerana boleh dikatakan tren ini sentiasa mengikut jadual. Fahamlah saya kenapa orang disekeling kami tadi bergerak pantas, rupanya mereka tidak mahu terlepas tren. Tren yang kami tunggu ini tiba pada awal masanya.Iaitu pada pukul 16:40 petang dan bertolak tepat mengikut masa yang tercatat dalam jadual iaitu pukul 16:56 petang. Didapati ramai juga penumpang yang menaiki tren ini, kebanyakkannya adalah pekerja yang pulang dari kerja di Berlin dan pulang ke rumah masing-masing. Untuk sampai ke Wittenberg, kami perlu menukar tren pada station Juterbog dan seterusnya ke Station Lutherstadt Wittenberg. Semasa di Juterbog, kami sekali lagi amat bertuah kerana dibantu oleh 2 orang budak remaja yang sudi membantu kami untuk naik tren yang seterusnya. Walaupun budak-budak tersebut tidak bercakap inggeris, namun dari segi percakapan dan bahasa tubuhnya itu jelas menunjukkan kesudian dan keikhlasan dalam membantu kami mengejar tren seterusnya. Pada ketika itu, suasana tidak ubah seperti ayam bercakap dengan itik. Namun saya pasti, dia faham bahasa inggeris cuma tidak mampu untuk membalas kembali dalam bahasa inggeris, jadi dia balas dalam bahasa German. Eloklah..saya tanya dalam inggeris, dia balas dalam german. Punggah.


Sepanjang perjalanan menaiki tren menuju ke Wittenberg, kami dihidangi dengan panorama dan pemandangan perkampungan dan penempatan orang eropah (German). Sungguh cantik pemandangan kampung dan ladang-ladang yang terbentang luas yang sejauh mata memandang itu. Memang cantik pemandangan sekitar kampung-kampung dan begitu juga di dalam keretapi. Namun tidak pula kelihatan orang bersiar-siar atau berjalan-jalan di lorong-lorong atau jalan. Mana pergi mereka ini. Mungkin masing-masing duduk didalam rumah sahaja.


Perjalanan selama sejam lebih itu dirasakan amat sekejap sahaja. Pemandangan yang indah sepanjang perjalanan tersebut membuatkan mata kembali segar setelah travel beribu-ribu batu dari KLIA-BANGKOK-JORDAN-BERLIN. Hilang segala kepenatan setelah mata ini dijamu dengan pemandangan kampung yang tenang serta persekitaran ladang yang mendamaikan.




Kemudian kami pun sampai ke destinasi yang dituju. Kami sampai ke stesen Keretapi Lutherstadt Wittenberg Hbf pada 19.01 petang. Cuaca pada petang itu agak mendung dan sejuk. Sejuknya agak boleh tahan juga, apabila disertakan dengan angin yang bertiup. Kesejukkannya itu amat dirasai sehingga ke tulang. Saya memang ada standby jaket, untuk kes-kes sebeginilah. Sediakan payung sebelum hujan, tetapi disini...sediakan jaket sebelum kesejukkan.

Luther Wittenberg

Kedudukan station keretapi dengan hotel penginapan, Luther Hotel tidaklah jauh dari station keretapi ini. Ianya hanya terletak di sebelah kanan di penghujung jalan gambar di atas. Jadi sebelum kami memulakan langkah, kami berhenti berehat sebentar sambil menikmati angin sejuk yang menikam tulang ini dahulu. Sesekali angin bertiup kuat, rasa sejuk lain macam itu terus masuk hingga rasa ke tulang. Sejuk lain macam rasanya pula. Kalau dapat minum kopi panas ni alangkah nikmatnya.

pokok buah epal liar
Sepanjang berjalan kaki dari station keretapi ke hotel, terjumpa pula pokok buah epal yang tumbuh liar di kawasan pejalan kaki ini. Nampaknya macam buah epal ini baru tumbuh dah kecil lagi, jadi tidak jadilah untuk kami petik dan menikmatinya kerana perut ini lapar sangat setelah menempuh perjalanan sejam lebih di atas keretapi tadi. Namun jika buah ini masak elok, rasanya tidak petik juga kot. Kita datang tempat orang, jadi buatlah perangai tu dengan baik-baik. Bak kata orang tua-tua, jangan cari pasal. Kulai tu bukannya dekat wei.

dah nak sampai dah...

Kemudian, selang beberapa minit dan langkah, ternampak papan tanda yang menunjukkan arah ke hotel. Terus rasa letih tadi menjadi hilang sedikit dan rasa teruja pula membuak-buak di dalam dada. Entah mengapa, langkah demi langkah saya rasa macam laju sahaja. Mungkin dalam kepala dok terbayang nak baring dan tidur puas-puas kut. Jujur diakui, pada ketika ini badan memang amat terasa letih dan lesu serta kepala pula berdenyut-denyut. Akibat naik keretapi dan duduk pada arah bertentangan dengan arah perjalanan keretapi, disitu memang rasa macam nak meloya sikit ditambah pula dengan perut yang kosong. Bertabahlah jawabnya.

dihadapan Luther Hotel
Akhirnya...sampai jugak ke tempat yang dituju. Selepas menempuhi perjalanan yang panjang selama hampir 2 hari. Iaitu bermula dari Kulai bergolek sejauh 350km ke KLIA - KLIA terbang ke Bangkok 1177km - Bangkok terbang ke Jordan  6819km - Jordan terbang ke Berlin 3064km - Berlin naik bas ke Hauptbahnhof 5km - Hauptbahnhof ke Wittenberg ber-keretapi 214km. Maka jika dikira jumlah keseluruhannya, kami telah menempuh jarak perjalanan sebanyak 11629km. Jadi apa yang bermain dikepala masing-masing ialah check-in hotel dan tidur. Esok ada setengah hari sahaja lagi untuk kami berkelapangan dan merehatkan badan serta berjalan-jalan sekitar pekan Wittenberg sebelum menempuh tugas yang paling sukar iaitu aktiviti WRTC. Majlis pembukaan WRTC akan berlangsung pada jam 6.00 petang pada keesokkan harinya. Jadi perkara yang paling utama sekali ingin kami lakukan ialah mandi puas-puas kerana sudah hampir 2 hari tidak mandi dan yang kedua ialah baring atas katil kerana sudah hampir 2 hari badan tidak baring, hanya duduk bersandar di atas kerusi sahaja. Badan pun rasa agak sengal-sengal dan tidak selesa. 

Bilik penginapan
Baiklah, sampai disini sahaja dahulu catatan bahagian pertama WRTC 2018. Jangan lupa nantikan bahagian-bahagian yang seterusnya dimana ianya akan menceritakan tentang perjalanan aktiviti WRTC 2018 yang lebih mencabar dan mendebarkan serta aspek-aspek teknikal yang berkaitan dengan setup dan sebagainya. 73 Zaki.

                                                                                                                         bersambung.....

No comments:

Radio frequency monitoring : Kuala Perlis

Kuala Perlis Kuala Perlis terletak di hujung sekali pantai barat semenanjung Malaysia, iaitu ke arah utara pantai barat semenanjung Ma...