Thursday, June 2, 2016

9M2M : CQWPX CW 2016 Contest

9m2m : from left front : 9m2agc 9m2zak 9w2ahu
   from left standing : 9m2agc 9w2sbd 9m2pul 9m2get 9m2noh
 
Sebenarnya... keadaan cuaca yang tidak menentu sebenarnya sedikit sebanyak mencuit perasaan kawan semasa cqwpx cw ini. Kerisauan ini sebenarnya berputik dan berbunga selepas negeri Perlis negeri kelahiran kawan telah dilanda ribut taufan yang agak besar. Jika pokok Jati ditepi jalan boleh tumbang...apalah sangat dengan sebatang aluminiun berdiameter 1.5 inci yang terikat pada ketinggian 80kaki untuk menghadapinya. Namun semua itu ketentuan tuhan, kita hanya merancang tuhan juga yang menentukannya...jadi teruskan perancangan agar kita tidak gagal dalam merancang. Seperti ayat yang kita biasa dengar dalam kursus motivasi atau kepimpinan... Jika kita gagal merancang, kita sebenarnya merancang untuk gagal....  

Berbalik kita kepada WPX CW ini, pada contest kali ini. Ara Boys Contest Team telah bersepakat untuk menyertai CQWPX CW 2016 dalam kategori Multi One. Berbeza dengan kategori pada tahun lepas iaitu Multi Multi. Jadi pada tahun ini, kami mempertaruhkan sepenuhnya kepada kekuatan mental dan fizikal para operator untuk menghadapi cabaran 48 jam bertarung di medan pertarungan yang tidak kenal erti belas kasihan. Kenapa kawan berkata sedemikian, ini adalah kerana...masing-masing ingin memburu kejayaan dan target masing-masing. Siapa yang lemah, dialah yang akan ditindan...manakala siapa yang lambat, maka dialah yang akan ditinggalkan. Itu semua adat permainan, maka kita sebagai peserta...perlulah membiasakan diri kita agar persaingan sihat ini sentiasa berada pada tahap yang optima sekali.

9w2ahu bersama dengan 9m2pul
Kehadiran 9m2pul, operator baharu dalam keluarga Ara Boys Contest ini sedikit sebanyak telah menyuntik semangat ahli keluarga 9m2m dalam menghadapi cabaran CQWPX CW 2016 ini. Kehadiran beliau sebenarnya banyak membantu dan menyerikan suasana contest kali ini. Kemahiran CW beliau yang bertaraf dunia yang dimilikinya itu kawan tabik dengan sepenuh hati. Rekod baru telah berjaya direkodkan oleh pasukan 9m2m iaitu sebuah pasukan contest anak kampung dari Utara Semenanjung Malaysia. Bersatu kita teguh... bercerai kita hancur. Pada kali ini, kami berjaya mengutip sebanyak 2635152 mata. Berbeza dengan kutipan pada tahun lepas iaitu 2293813, berlaku peningkatan sebanyak 341 339 mata. Manakala bagi kutipan QSO pula, pada tahun ini kami berjaya mengutip 1553 QSOs berbanding pada tahun lepas iaitu 1520 QSOs. Berlaku perbezaan sebanyak 33 QSO. Adakah dengan 33 QSO ini ianya membawa kepada peningkatan sebanyak 341 339 mata?
jawapannya ialah YA.


Kita sebenarnya belajar daripada pengalaman. Semakin lama kita berada atau melibatkan diri dalam sesuatu bidang. Semakin itulah kita akan lebih memahami dan masak dengan kehendak dan objektif utama serta cara permainan contest ini sebenarnya. Dengan berbekalkan pengalaman daripada contest-contest yang lepas, kami gunakan ia untuk mengutip mata dengan lebih efisien lagi. Syukur ke hadrat Ilahi, pengalaman yang kami ada selami ini sedikit sebanyak membantu kami dalam meningkatkan kutipan mata dalam contest ini. Memang benar kata Ameng Spring dalam lagunya... "Pengalaman telah mendewasakan...mematangkan fikiran..."

Apa yang kawan pelajari dan fahami daripada penglibatan kawan dalam Radio Sport ini ialah kemahiran atau skill operator adalah kunci utama kejayaan sesuatu pasukan. Perkara ini kami saksikan sendiri semasa contest CQWPX CW tempohari. Dimana ada sebuah station dari sebuah negara Asean telah mengalami kesulitan dalam contest tersebut akibat faktor cuaca. Beliau telah ketinggalan hampir 20 jam dalam cabaran contest CQWPX INI. Namun dengan berbekalkan pengalaman dan kemahiran berbelas tahun beliau dalam arena contest ini, beliau berjaya juga mengejar dan mengutip mata sehingga mencapai jutaan mata hanya dalam beberapa jam sahaja. Memang dahsyat sekali kemahiran yang ada pada  beliau, maka tidak hairanlah jika beliau pernah mewakili Asia dalam World Radio Team Championship WRTC pada beberapa musim yang lepas dan sememangnya beliau adalah seorang operator yang unggul sekali. Kami tabik dan hormat pada kemahiran dan semangat juang yang telah beliau tonjolkan itu. Peristiwa ini akan kami jadikan sebagai pedoman dan sumber inspirasi kepada kami untuk terus maju dalam bidang ini. 

Akhir sekali, kawan disini ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada 9M2GET dan 9M2OUT serta Ibundanya Mak Jah kerana sudi dan berbesar hati membenarkan kami berkampung di teratak mereka di Arau sana. Segala kesulitan dan kekurangan yang datang daripada kami, kami mohon kemaafan dan kami susun sepuluh jari ini sebagai tanda kemaafan. Segala makan minum pakai buang kami minta agar ianya dihalalkan. Ikatan mesra yang kukuh terbina ini akan selalu bermain dibenak fikiran kami warga 9M2M. Nama negara Malaysia tetap kami akan perjuangankan walaupun didalamnya penuh pergolakan. 

                                          
                                          Pergi Menjala Bersama Bang Salehan 
                                          Kuala Sungai Baru Menjadi destinasi 
                                          Ampun Dan Maaf Kami Ucapkan
                                          Panjang Umur Kita Berjumpa lagi    

                                                     73 Zaki 9M2ZAK

Warning from apt-key: Key is stored in legacy trusted.gpg keyring (/etc/apt/trusted.gpg)

  This worked for me... Code:  Select all sudo cp /etc/apt/trusted.gpg /etc/apt/trusted.gpg.d