Wednesday, November 27, 2013

CQWW CW 2013 : 9M2SM suatu catatan…



Pada bulan November 2013, iaitu pada hari Jumaat 22 November 2013. Kawan berkesempatan berkunjung ke negeri Perlis Indera Kayangan. Kunjungan kawan sebenarnya bukanlah bertujuan untuk pulang bercuti, tetapi untuk menjalankan tugas sebagai operator CW dalam CQWW CW 2013 Contest. Dimana contest ini akan berlangsung pada setiap tahun minggu ketiga dalam bulan November. Sahabat karib dan juga rakan seperjuangan kawan, encik Hairie 9M2GET telah mengaturkan rancangan besar untuk contest kali ini. Dimana rancangannya adalah untuk memecah rekod tahun-tahun sebelumnya. Iaitu rekod dalam kategori Multi One Multi Operators.
            Perjalanan ke negeri Perlis Indera Kayangan bermula pada petang Jumaat itu. Kawan menaiki pesawat Air Asia tepat jam 3.15 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menuju ke Bayan Lepas, Penang. Syukur alhamdulilah…penerbangan berjalan dengan sempurna tanpa mengalami sebarang kesulitan. 
 
Tepat jam 4.30 petang, kawan pun sampai di Bayan Lepas. Cuaca yang baik serta cerah itu seolah-olah merestui perjalanan kawan pada hari itu. Syukur ke Hadrat Ilahi, semuanya sempurna sekali.
            Dalam suasana hiruk-pikuk dan bersesak-sesak berjalan keluar dari airport, tiba-tiba kawan ternampak callsign 9M2ZAK dari celah-celah ratusan manusia yang bertaburan di dewan ketibaan. Rupa-rupanya Hairie dan Oja…tersenyum lebar kedua-dua mempelai dari Arau itu. Selepas bersalaman dan beramah mesra selama dua tiga minit bersama mereka, tanpa membuang masa lagi kami terus bergerak menuju ke Arau. 
Difahamkan…perjalanan dari Penang ke Arau mengambil masa kira-kira dua jam dengan menggunakan lebuhraya Utara-Selatan. Perjalanan dari Penang ke Arau sebenarnya turut disertai oleh seluruh ahli keluarga mereka, iaitu Mak Jah, Adam, Oja dan Hairie serta kawan. Jadi sudah tentulah keadaan menjadi lebih ceria dengan celoteh Adam yang sentiasa ada sahaja bahan yang endak diperkatakan. Adam baru sahaja berumur 7 tahun dan akan melangkah ke darjah dua pada tahun hadapan.
             Tepat jam 10.27 malam. Kami pun selamat sampai ke Arau. Difahamkan pada masa itu, Own 9W2SBL dan Salehan 9W2SBD sedang dalam perjalanan menuju ke Arau bersama-sama dengan cikgu Aziz 9W2AZE. Manakala Rizal masih lagi di Temerloh baru sahaja hendak memulakan perjalanan ke Kangar. Dijangkan yang Rizal akan sampai tiba pada pagi esok juga. Ini bermakna, pada pagi esok, iaitu 23 November 2013, kawan akan memulakan contest dahulu. Contest akan bermula pada pagi Sabtu 23 Nov pada pukul 8.00 pagi waktu tempatan dan UTC 00:00z.
            Pukul 11.07 malam, suasana perkarangan rumah Hairie menjadi kecoh semula, rupa-rupanya bang Own, bang Salehan dan Cikgu Aziz telah tiba. Pada masa itu, kawan berada didalam bilik sedang bersiap-siap untuk mandi serta membersihkan diri. Rupa-rupanya kawan telah pun bergerak hampir 890 km. 600 km dengan penerbangan dan 300km lagi dengan kenderaan 4 roda. Syukur alhamdulillah kerana badan tidaklah letih sangat. Selalunya jika kawan bergerak dari Johor dengan menggunakan kenderaan 4 roda, ianya akan mengambil masa selama 12 jam dan kesannya…kawan akan letih sepanjang hari. Hanya tidur dan tidur sahaja. Tetapi kali ini lain…terima kasih Oja dan Hairie kerana banyak membantu. Memang gila kita sebenarnya…
             Malam Sabtu itu, kawan masuk tidur awal iaitu sekitar jam 1.00 pagi. Memang kawan selalu tidur pada waktu itu pun. 6:20 pagi…kawan bangun dan selepas selesai menunaikan segala kewajipan, kawan dan Hairie terus menuju ke shack untuk menyiapkan segala kelengkapan dan log untuk beraksi dalam masa kurang sejam lagi. Antenna dihalakan ke arah Jepun, kuasa pemancaran ditetapkan, SWR diperiksa berkali-kali. Tepat 8.00 pagi, kawan ke udara dulu. Segala perancangan berjalan mengikut apa yang dirancangkan. Setiap 6 jam kami akan bertukar transceiver dan operator. Pada permulaan contest, Icom 756 Pro II akan digunakan dahulu.
             Setelah meneliti keadaan band, band 20m menjadi pilihan. Ini adalah kerana pada masa itu keadaannya amat galak sekali. Bermula dari UTC 00:00 hinggalah ke UTC 02:25z kebanyakkan stesen yang masuk adalah dari Jepun. Dalam masa 2 jam 25 minit itu, kawan berjaya mengutip 195 stesen. Selepas itu, kami pun menukar band memandangkan band 20m semakin bising. Kali ini…band 15m menjadi pilihan. Pada pukul UTC 02:38z hanya dengan sekali CQ sahaja, keadaan kembali menjadi pile-up. Seperti biasa…dalam keadaan time-time begini, stesen Jepun menguasai keadaan. 9M2SM dihujani oleh JA stesen tidak berhenti-henti bermula dari UTC 02:38z hinggalah 07:57z  dengan kutipan sebanyak 356 QSOs tetapi pada kali ini pada penghujung-penghujungnya terdapat banyak stesen dari Eropah sudah masuk.
            Sehubungan dengan itu, Dalbeam dihalakan ke arah barat manakala band pula di tukar kepada band 10meter. UTC menunjukkan jam 0806 iaitu kira-kira pukul 4:06 waktu tempatan. Rupa-rupanya kawan sudah 8 jam CQ dan dalam masa 8 jam pertama contest tersebut. Kawan berjaya mengutip 551 QSOs. Perjuangan harus diteruskan, 9m8sya pula mengambil tempat. Kali ini beliau ditugaskan untuk menjaga band 10m. Pada ketika itu, band 10m amat cantik, cantik kerana tiada QRM, cantik kerana noise level kurang, iaitu sekitar S0-S1 sahaja. Oleh kerana kutipan JA stesen sudah melampaui batas, maka Dalbeam dihalakan ke arah Barat. Seperti yang dijangkakan…9M8SYA Pak Syed menerima hujanan callsign sebaik sahaja beliau CQ di 10m. Pada band 10m tersebut beliau berjaya mengutip 248 QSO.
 
            Pukul 7.30 malam…kelihatan Rizal 9M2RDX sudah segar bugar selepas mendapat rehat yang cukup. Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, Rizal baharu sahaja sampai pada pagi Sabtu tersebut. Jadi pengurus 9M2SM mengambil keputusan untuk merehatkan dulu Rizal dari segala aktiviti contest. UTC 11:36z 9M2SM op 9M2RDX pula mengambil tempat. Kali ini band 20m menjadi taruhan beliau. Hanya dengan sekali CQ sahaja…Rizal terus mendapat pile-up dari Eropah. Wah…kaya beliau kerana Eropah akan memberikan 3 mata untuk beliau. Beliau berjaya mengutip 199 QSOs pada band 20m dan akhirnya beliau berhenti CQ pada jam 3 pagi setelah badan rasa penat.
             Pukul 3 pagi, 9M2RDX diarahkan supaya berhenti rehat kerana beliau kelihatan amat letih sekali. Kali ini Syed 9M8SYA dan kawan mengambil alih tugasan. Pada sesi kali ini, kami akan CQ berdua untuk mengelakkan mengantuk dan disamping itu juga bolehlah menemani antara satu sama lain. Pada ketika itu, high band sudah nampak macam hendak kecundang. Maka keputusan diambil, kami beralih ke band 40m.
            
Sebelum bersedia mencari parking, kami meneliti dahulu keadaan band 40m. Nampak gayanya band 40m cantik awal pagi ini., kedengaran banyak stesen Eropah di frequency. Masing0masing datang dengan kuat sekali. Kelihatan mata Syed bersinar kembali setelah mendengar keadaan band. 
Begitu juga dengan kawan… kawan beralih kebelakang….bang Salehan, Own, Rizal dan Hairie sudah hanyut dibuai mimpi. Nampak gayanya hanya kami berdua sahaja tinggal pada malam itu. Jadi kami berdua perlu kuat semangat dan gigih supaya tidak kecundang juga. Panggilan CQ pun dimulakan, seperti yang dijangkakan. Sebaik sahaja Syed CQ, beliau terus pile-up. Kawan pula bingkas bangun menuju ke dapur menyediakan kopi untuknya. Kelihatan beliau amat sibuk sekali melayan pile-up dari Eropah. Kemudian kami bertukar pula…dimana Syed melayan nescafe panas dan kawan melayan pile-up. Apabila kepala sudah rasa berat, Syed pula akan ambil alih melayan pile-up dan kawan pula melayan nescafe panas. Begitulah keadaan kami berdua selama 4 jam itu. Semangat setiakawan dan saling bantu-membantu itu lahir secara semulajadi demi negara Malaysia tercinta. Kemudian terdengar azan subuh dan kedengaran juga Hairie dan yang lain-lain sudah bangun. Masing-masing sibuk menyiapkan diri. Pada masa itu, kawan dan Syed sudah tidak bermaya lagi…kami gagahkan juga menerima panggilan dari eropah. Sebelum shack ini bertukar tangan kepada Hairie dan Rizal. Kemudian Hairie pula mengambil alih, beliau CQ pada band 20m pula. Setelah selesai segala kewajipan, kawan pun masuk tidur pada pukul 6:55 pagi.
             Pukul 12:26 kawan terjaga dari tidur. Setelah selesai menguruskan diri. Kawan menuju ke shack. Kelihatan Hairie sedang sibuk melayan pile-up dan beliau masih berada di 20m. Kemudian beliau memandang ke arah kawan…memandangkan petang ini hang dah nak balik, maka…nah…ambik shack ini pula. Hang pula sambung sampai pukul 6 petang. Maka kawan terus duduk dan menyambung pile-up tadi. Memang dahsyat keadaan band pada hari Ahad itu. 
 
Kawan mendapat big pile-up dari Jepun. Petang itu, kawan berjaya mencapai point 1 juta. Pada mulanya kawan ingin habiskan sehingga jam 6 petang. Tetapi memandangkan kepala sudah menjadi tepu dan berdengung dengan CW, maka kawan pun buka headphone dari kepala.
             Pukul 6 petang, bang Salehan memanggil semua crew supaya berkumpul dihadapan rumah untuk sesi fotografi dan sesi makan bersama. Terima kasih diucapkan kepada Oja dan bang Salehan kerana bertungkus-lumus menyiapkan juadah, memang special sekali. Inilah kali pertama kawan rasa popia berintikan kambing, memang enak sekali…sehingga menjilat PTT. Sesi fotografi dan makan-makan tidak berlangsung dengan begitu lama kerana masing-masing fokus dengan objektif contest. Tepat jam 6.46 petang, Syed terus menyambungkan CQ. Ini bermakna 9M2SM tidak ke udara hanya dalam masa 41 minit. Hmm…agak rugi jugak, jika dikira balik…dalam masa 41 minit itu boleh dapat lebih kurang 90 QSO. Tetapi semua itu diketepikan.
             Sesi fotografi dan makan bersama itu sebenarnya lebih berharga dari 90 QSO yang ditinggalkan itu. Kemesraan yang terjalin serta kegembiraan makan bersama itu tidak ternilai sebenarnya. Itu sebenarnya pencapaian kami. Bersatu hati dan beramah mesra antara satu sama lain adalah kemuncaknya. 
             Sebenarnya petang Ahad itu adalah petang terakhir kawan bersama dengan 9M2SM. Kawan terpaksa pulang ke Selatan kerana ada tugasan pada hari Isninnya. Kawan akan berlepas dari Kangar pada jam 7.20 malam. Ini bermakna, pada petang itu, adalah petang terakhir kawan bersama dengan crew 9M2SM. Disaat kawan meninggalkan Arau, Syed sedang bergelut di frequency meneruskan baki perjuangan. Kata-kata semangat untuk Syed kawan lontarkan kepadanya untuk beliau mengharungi pile-up. Manakala GET dan Oja sudah bersedia dalam Triton untuk menghantar kawan ke stesen bus. Sebelum melangkah masuk ke dalam Triton, kawan bersalaman dan berpelukan antara band Salehan, Own, Rizal, Adam dan Mak Jah. Memang terasa benar kali ini, team spirit yang terbina selama 2 hari ini amat terkesan sekali. Perhubungan umpama adik-beradik, kesefahaman yang terjalin itu umpama gabungan 6 jiwa dengan 1 hati. 6 jiwa dari pelbagai negari…satu hati dalam hobi ini.
              Kawan meninggalkan Kangar tepat jam 7.30 malam. Ini bermakna rakan sepasukan yang lain mempunyai baki lebih kurang 12 jam lagi untuk menamatkan cabaran. Disaat kawan meninggalkan mereka, diskrin komputer tercatat point 1 084 274 mata. Pada masa itu 9M2SYA sedang sibuk bergelut dengan pile-up. Dalam hati kawan…semoga 9M2SM berjaya mengejar target 2 juta. Selepas beberapa minit, bas pun bergerak ke selatan… kawan rupa-rupanya terlelap dalam bas dan apabila sedar, kawan terus whatsapp Arau, bang Own memberi respon, jam pada ketika menunjukkan pukul 3.30 pagi. Beliau menyatakan yang sekaran sudah mencapai 1.4 juta. Syukur alhamdulilah. Dari maklumat bang Own, pada malam itu, bang Hairie dan Rizal saling bertungkus lumus mengendalikan pile-up. Kemudian mereka beralih pula kepada band 40m. Kawan pula sambung tidur.
             Pukul 7.00 pagi, bas Sri Maju sudah sampai ke Skudai. Selepas itu kawan Whatsapp sekali lagi untuk mengetahui keadaan terkini 9M2SM. Laporan terkini dari bang Hairie menyatakan yang 9M2SM berjaya mengutip 1.6 million point. Dan band yang terakhir mereka CQ adalah band 20m. Menurut Hairie, semasa di band 20m, banyak stesen NA masuk dan 90% QSO pada pagi terakhir itu datangnya dari NA. Jadi ini bermakna kutipan 3 mata banyak diperoleh dari NA dan seterusnya memacu lagi kutipan mata. Akhirnya stesen terakhir, VE3RG berjaya dilogkan oleh mereka pada UTC 2359z seterusnya menamatkan cabaran 48 jam CQWW CW 2013.
             9M2SM kategori Multi One High Power berjaya menamatkan cabaran CQWW CW 2013 dengan kutipan 1631924 mata. Dalam contest ini, 9M2SM berjaya mengutip 2109 QSOs dari seluruh dunia dan mengumpul sebanyak 242 DXCC iaitu 40m = 51 DXCC, 20m=71 DXCC, 15m=71 DXCC, 10m=49DXCC. Manakala jumlah zone yang berjaya dihubungi ialah 34 zone. Ini bermakna 9M2SM hanya tinggal 5 zone sahaja lagi untuk melengkapkan kutipan zone. Zone yang tidak berjaya dihubungi adalah zone 6, zone 7, zone 12, zone 38 dan zone 37. Manakala jumlah WPX pula adalah 723 WPX.
             Jika dipecahkan mengikut band pula, 9M2SM berjaya mengutip 271 QSO pada band 40m, 602 pada band 20m, 767 pada 15m dan 469 pada band 10m. Tahniah diucapkan kepada Hairie 9M2GET, Oja 9M2OUT, Syed 9M8SYA, Rizal 9M2RDX, Zaki 9M2ZAK, Salehan 9W2SBD dan Own 9W2SBL kerana Berjaya mencipta sejarah. Dengan kutipan ini, kawan percaya callsign 9M2SM akan direkodkan dalam kategori Multi One dan secara tidak rasminya Berjaya memecah rekod yang telah dipegang oleh 9M2JB (2003) selama 10 tahun. 

Kesimpulannya disini adalah, jika kita bertekad dan bersatu hati untuk mencapai sesuatu. Nescaya setiap impian yang kita impikan itu pasti akan menjadi kenyataan. Usaha yang berterusan serta semangat setiakawan dalam pasukan pasti akan membuahkan hasil. Tidak lupa juga doa yang berterusan kepada ALLAH SWT juga penting bagi memberkati apa yang kita usahakan. Dalam kesibukan contest, kewajipan kita kepadaNYA jangan dilupakan. Nescaya keberkatan itu akan dating jika kita boleh mengimbanginya.
            Pengalaman tidak ternilai ini kawan zahirkan dalam blog ini untuk tatapan dan pedoman anak-anak cucu kita nanti. Dimana pada suatu hari nanti, pasti ada yang akan sedar bahawa atuk-atuk mereka ini pernah berjuang habis-habisan menyahut cabaran contest 48 jam dan bersatu hati dan tenaga demi menjaga maruah Negara Malaysia. Salam 73 dari kami crew 9m2sm.
              Terima kasih daun keladi kawan zahirkan kepada 9W2SBD dan 9W2SBL, bang own dan bang Salehan kerana tidak putus-putus dan tidak jemu menyuntik semangat dan kata-kata sakti kepada kami untuk terus beraksi berjuang semasa contest.
              Terima kasih daun keladi kawan zahirkan kepada 9M2OUT Oja, kerana menjaga makan minum kami selama 2 hari ini. Air tangan OJA sememangnya banyak memberi inspirasi dan menaikkan semangat kami untuk terus focus kepada aktiviti contest.
            Terima kasih daun keladi kawan zahirkan kepada Rizal dan Syed kerana begitu amanah menjalankan tugas yang diberi. High Skill dan High Speed Operator seperti kalian semua sukar dicari ganti. Semoga prestasi kalian terus memuncak hingga ke tahap maksimun.

Terima kasih daun keladi kawan zahirkan kepada Hairie kerana Berjaya menguruskan contest ini dengan jayanya. Kemahiran pengurusan masa, tenaga dan peralatan contest begitu efisien sekali sehinggakan tiada masalah langsung sepanjang 48 jam. Anda sebenarnya sudah mencapai tahap World Class, World Class Contest Manager. Berjaya menguruskan world class contest dari sebuah rumah kampong di Arau. Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan sampai bila-bila demi kemajuan Radio Amatur Malaysia.

Terima kasih daun keladi juga diucapkan kepada Mak Jah. Ibunda kepada Hairie kerana tidak jemu dan tidak putus-putus berdoa ke hadrat ilahi supaya perjalanan contest ini berjalan dengan lancer tanpa sebarang masalah. Syukur alhamdulilah…berkat doa Mak Jah…cuaca sepanjang 2 hari ini amat baik sekali. Walaupun sebelum ini agak teruk. Keberkatan doa seorang ibu begitu terasa sekali. Segala yang dirancang berjalan dengan baik. Inilah akibatnya jika kita berniat baik, maka yang baiklah yang akan dating kepada kita. Akhir sekali, syukur kepada ALLAH SWT kerana dengan limpah kurniaNYA mengizinkan kami untuk beraksi dalam contest ini. Kami tetap berpegang kepada janji kami…walaupun sibuk sebanyak mana pun, tanggungjawab kami terhadap MU tetap akan dilaksanakan. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui. 73. Zaki 9M2ZAK.

Sunday, November 10, 2013

WAE RTTY 2013 Contest : Penuh dengan santai

Plan malam ini... sambung WAE RTTY contest. Objektif contest sebenarnya adalah untuk menambah DXCC dalam mode RTTY ni. Jadi suasana contest berjalan dengan penuh santai tanpa tekanan. Sehubungan dengan itu, kawan masuk kategori ALL BAND dan secara tidak langsung ianya selari dengan objektif kawan. Sambil melayan RTTY sambil mendengar MP3. Best rupanya...layan RTTY sambil dengar MP3. Rasanya macam lepas ni... kawan masukkan RTTY dalam kalendar aktiviti DX kawan. Hmm...hmm... confirm dah.

Keadaan band pula agak kurang baik. Tetapi kawan pelik, tidaklah pula rasa tertekan. Mungkin kerana kawan tidak mengharapkan apa-apa kut jadi apa yang berlaku kepada band...lantaklah... Mana-mana stesen yang kawan nampak terang dan cantik signal dia, kawan sapu..mana yang tenggelam timbul, aku tidak peduli. Janji aku happy..aku happy. Malam ini, kawan rancang nak contest sampai pukul 2 pagi. Merantau seluruh band mencari air terjun yang paling lawa... 73 de 9M2ZAK

Friday, November 8, 2013

6 meter band : Mencuba nasib dengan 9M2ZAK/QRP

Assalamualaikum dan selamat sejahtera diucapkan kepada semua para pembaca yang budiman sekalian. Agak lama kita tidak bertemu disini...sejak kebelakangan ini kawan agak sibuk sikit dengan pelbagai tugasan yang mendatang. Maklumlah...bila penghujung tahun ni, banyak kerja dan perkara yang perlu diselesaikan. Semua perlu dibereskan sebelum cuti persekolahan bermula. Jadi jika hendak bercuti dengan tenang dan selesa, maka semua perlulah disettlekan terlebih dahulu.

Malam ini, memandangkan mode kawan agak baik...maka kesempatan ini kawan gunakan untuk menulis sesuatu di blog ini. Untuk menulis...sebenarnya memerlukan mode dan tenaga yang segar. Bila badan segar dan mode pun ok, maka penulisan kita pun akan menjadi ok juga.

Projek kawan pada malam minggu ini adalah mencuba CQ di band 6 meter. Untuk menambahkan sengsara lagi...kawan akan CQ dengan kuasa QRP iaitu 5 watt. Semasa blog ini ditulis, transceiver disebelah kanan saya ini akan TX dengan kekuatan 5 watt selang 10 saat. Jadi sambil menulis sambil TX dan sambil monitor...mana tau kut - kut ada yang menyambut panggilan kawan ni. Antenna yang kawan gunakan hanyalah delta loop sahaja.

Kawan akan CQ selama yang mungkin, iaitu sepanjang malam ini...target dalam 3-4 jam. Ini bermakna kira-kira jam 3 atau 4 pagi. Band 6 meter penuh dengan mistery dan kejutan...jadi kawan akan menanti kejutan itu dengan penuh kesabaran. Kesabaran adalah kunci utama misi ini. Kawan akan update blog ini jika kawan mendapat sesuatu dari band ini. Nantikan keputusannya.....

Warning from apt-key: Key is stored in legacy trusted.gpg keyring (/etc/apt/trusted.gpg)

  This worked for me... Code:  Select all sudo cp /etc/apt/trusted.gpg /etc/apt/trusted.gpg.d