Wednesday, July 4, 2012

CW dan cara pengendaliannya...

Maksud CW ?

CW adalah singkatan daripada perkataan Continuous Wave atau "gelombang terus - menerus". Pengendali Radio Amatur selalu merujuk kepada perkataan Kod Morse ketika berbincang dan berbicara mengenai CW. Jadi, apakah kaitan sebenarnya diantara CW dengan Kod Morse?

Kod Morse digunakan melalui media seperti CW atau  "MODE" dalam komunikasi HF. Kod Morse juga boleh dihantar dan dilakukan dengan menggunakan media perantaraan yang lain seperti lampu suluh, bendera, cermin, bahkan dengan memukul kayu sekalipun. Asalkan ianya mengeluarkan bunyi, corak atau simbol yang boleh dikaitkan dengan kod morse.

Operator Telegraf pada zaman sekitar tahun 1850 - 1900an menggunakan dan menghantar mesej Kod Morse melalui kabel telegraf dan mesej - mesej ini juga dikenali sebagai telegram. Pada masa itu, semua aktiviti penghantaran dan penerimaan mesej 100% bergantung kepada operator telegraf kerana merekalah yang mengawal segala mesej yang masuk serta keluar pada sesuatu masa. Namun selepas teknologi radio dicipta, ianya terus menjadi standard dalam bidang komunikasi dan bertukar kepada teknologi Wireless yang berperanan mengubah corak komunikasi dunia.

Selepas itu, teknologi tanpa wayar ini digunakan pada sebahagian besar kapal kargo dan kapal penumpang yang dilengkapi dengan alat pemancar dan penerima. Pengendali atau operator Kod Morse diperlukan diatas kapal untuk membolehkan komunikasi terjalin antara kapal-kapal lain dan juga dengan pelabuhan.

# RMS Titanic juga menggunakan kod morse untuk menghantar isyarat kecemasan semasa tragedi karamnya RMS Titanic dengan menghantar Kod " CQD" semasa kejadian tersebut.

OK, jadi apakah itu Kod Morse?

Kod Morse dinamakan sempena nama penciptanya iaitu Samuel Fb Morse, 1791 - 1872. Beliau menghasilkan Kod Morse ( dan Telegraft Elektromagnet) pada tahun 1836. Dimana kod ini terdiri daripada serangkaian titik dan garis. Setiap huruf dari abjad dan nombor Sifar hingga 9 mempunyai kombinasi tersendiri.

Sebagai contoh, huruf  "E", adalah satu titik ( . ) atau disebut DIT. Huruf yang paling mudah untuk belajar dan mengenalinya adalah huruf  "O", ia adalah serangkaian simbol ( _ ) iaitu " _ _ _ " atau disebut Da Da Dah.

Tetapi perlu ingat, kebanyakkan huruf tidak semudah itu, namun dengan berbekalkan latihan dan tekad, hal ini pasti dapat dilakukan. Ini terbukti kerana pada masa kini, ada ramai warga radio amatur yang boleh menguasai - menerima - menghantar kod morse dengan kelajuan yang tinggi iaitu sekitar 30 perkataan per minit!

Menguasai kelajuan 10 -30 WPM adalah perkara yang tidak mustahil dilakukan. Buktinya ialah pada masa sekarang sudah ada berjuta - juta pengendali radio amatur yang boleh memahami kod morse di seluruh dunia. Mereka ini menjadikan kod morse sebagai bahasa kedua mereka, bermula dengan mendengar, faham dan seterusnya menghantar. Semua orang pasti boleh melakukannya jika ada kemahuan.

Dimana saya boleh mempelajari Kod Morse?

Anda sebenarnya sudah pun belajar! anda sekarang sudah tahu dua huruf, iaitu E dan O. Kod morse adalah kod audio, jadi cara terbaik untuk belajarnya adalah dengan menggunakan audio, bukannya dengan pembacaan dan visualisasi.

Sekarangkan ada teknologi MP3 dan Internet, jadi gunakan kelebihan ini untuk memuat turun audio CW dan dengar. Dengan cara ini anda akan menjadi biasa dengan audio huruf dan nombor CW dan yang penting sekali ia perlu disetkan pada kelajuan yang tinggi iaitu sekitar 20 WPM.

Terdapat banyak perbezaan yang ketara antara kod yang dihantar pada kelajuan 5 WPM dengan kod yang dihantar pada kelajuan 20 WPM. Untuk merasai perbezaannya, saya cadangkan anda dengar dahulu...dan kemudiannya saya percaya anda pasti dapat membezakannya. Dalam 5 WPM, kod akan kedengaran satu persatu dengan DIT dan DAH ketara kedengarannya. Manakala dalam 20-30wpm, ianya didengar dalam satu nada dan irama, contohnya huruf C, dadidadit. Cuba anda sebut dadidadit secara perlahan dan sekali lagi secara laju. Nanti anda faham apa yang saya maksudkan itu.

Tujuannya adalah untuk mengelakkan anda MENGIRA ( Counting ) Jika anda mengira, anda akan terus ketinggalan, dengar CW secara lagu kerana mengingati lagu adalah lebih mudah dan cepat.

Terdapat juga software CW yang boleh anda muat turun dan install pada PC anda. Terdapat beberapa program yang sangat baik yang boleh digunakan, antaranya adalah CW player, yang ditulis oleh F6QDM iaitu seorang pengendali radio amatur dari Perancis. Anda boleh klik sini untuk mendapatkannya. Jangan lepaskan peluang ini. Program ini terbukti berkesan dan telah melahirkan berjuta-juta operator CW dari seluruh dunia.

Setelah anda belajar semua abjad dan semua nombor, saya sarankan anda mendengar pula audio sebenar CW dari rig anda. Anda boleh monitor dari frequency HF ataupun dari frequency beacon pada setiap band. Apa yang perlu anda lakukan ialah cuba terjemahkan dan memahami setiap transmisi yang anda terima itu.

Mencabar bukan ? percayalah kerana itulah cara QSO sebenar dalam CW dan semestinya selepas ini anda pula yang akan QSO seperti itu. Insyaallah.

Apakah jenis peralatan yang yang saya perlukan untuk belajar Kod Morse?

Anda memerlukan sebuah komputer atau laptop, CW oscilator, CW key, HF tranceiver, pemadam dan pensel. Item - item tersebut akan membantu anda dalam memulakan perjalanan anda untuk belajar Kod Morse.

OK, saya sudah mempunyai semua barang - barang tersebut, sekarang apakah yang perlu saya lakukan?

Cari tempat yang aman dan tenang, nyaman dan sunyi serta santai dan tutup mata anda!
Jangan fikirkan perkara lain pada masa itu, fikiran hanya fokus pada CW Player atau MP3. Apabila anda sudah bersedia, anda boleh menyalin huruf dan nombor di atas kertas. Jangan bimbang tentang ketinggalan beberapa huruf dan nombor pada awalnya ( itu terjadi kepada kepada semua orang) lama - kelamaan ia akan menjadi lebih baik.

Pastikan setiap sesi latihan anda tidak melebihi daripada 30 minit, mendengar MP3 atau bermain kuiz dalam CW Player selama 10 minit, kemudian menyalin apa yang boleh anda dapat di atas kertas. Setelah habis satu sesi, pergi ke luar dan dapatkan udara segar...

Cubalah berlatih sekurang - kurangnya dua kali sehari, 30 minit setiap latihan. Sementara anda di tempat kerja atau memandu ke tempat kerja atau pulang, cubalah untuk mengingati kembali semula apa yang telah anda pelajari dan dengar sebelum ini. Kesesakkan lalulintas banyak memberi masa kepada kita untuk diisi dengan mempelajari kod morse. Jadikan segala papan tanda atau papan iklan itu sebagai bahan pembelajaran anda. Semasa anda memerhati papan tanda jalan, cubalah decode-kan ia menjadi kod morse dengan menyebutnya secara perlahan. Lama - kelamaan anda akan mahir dan kemahiran morse kod anda juga akan semakin meningkat.

Ingat...Kod Morse adalah audio, jadi jangan cuba untuk membayangkan atau cuba untuk menulisnya dalam bentuk .- atau ----. Hal ini penting dan ia membantu anda dalam meningkatkan kelajuan WPM anda.

Bilakah saya boleh mula menghantar?

Jangan bimbang tentang penghantaran dulu, kod penghantaran jauh lebih mudah daripada menyalin. Saya dapati apabila kita mula menghantar, kita sebenarnya cenderung untuk berfikir atau melihat atau sebenarnya kita sedang meniru di dalam otak kita - cuba untuk mengingati DIT dan DAH - membuat pengiraan DIT dan DAH di dalam minda ! dan ianya tidak sama seperti mendengar. Yang paling penting sekali, cuba elakkan dari membuat pengiraan titik. INGAT ! kerana akibatnya anda akan kekal dengan kelajuan 5 - 8 WPM selamanya... menghantar sebenarnya meniru setiap kod yang anda fikirkan itu dan dizahirkan kepada ketukan dari apa yang telah otak anda fikirkan. Jadi, sebelum anda mengetuk, anda sebenarnya sudah tahu apa yang hendak diketuk, berbeza dengan menerima, anda tidak tahu apa kod yang akan datang, dan minda kita akan berada dalam keadaan alert untuk terus decode,

Latihan penerimaan adalah melatih otak kita untuk mengaitkan bunyi dengan huruf, setiap bunyi atau irama yang datang itu mewakili sesuatu huruf. Jadi semakin kerap kita berlatih, semakin cekaplah otak kita mengaitkan bunyi itu dengan huruf/nombor. Jadi teruskan latihan anda untuk mendapatkan refleks tersebut. Operator CW yang berjaya adalah seseorang yang boleh terus decode tanpa berfikir. Kemahiran decode tanpa fikir ini boleh diperolehi dengan meneruskan latihan dengar - decode pada kelajuan tinggi, dan mendengar CW secara irama.

Kod Morse merupakan suatu bunyi yang mempunyai IRAMA, jadi anda seharusnya mendengar setiap huruf itu sebagai IRAMA...

Percayalah, anda akan dapat menangkap banyak huruf dan lebih cepat daripada yang anda fikirkan dengan hanya sedikit latihan yang berterusan setiap hari. Anda juga harus menetapkan tujuan dalam diri anda sendiri dan berusaha untuk mencapai sasaran tersebut semasa sesi latihan. 

OK, Saya telah belajar semua huruf dan nombor, boleh saya mula menghantar sekarang?

Ya! anda telah belajar semua huruf dan nombor. Sekarang saatnya bagi anda untuk mula berlatih menghantar pula. 

Ingat !!! saya pernah katakan bahawa penghantaran lebih mudah daripada menerima kan? Ya... itu adalah benar, tetapi anda masih perlu berlatih kerana orang lain perlu untuk memahami apa yang anda cuba katakan itu, jadi berlatihlah menghantar dengan tempo dan irama yang betul. 

Saya tidak boleh menghantar dengan lancar, apa masalahnya?

Pertama, periksa ketegangan spring pada key anda. Anda harus mencari ketegangan yang sesuai di mana anda merasa selesa dengan ketegangan tersebut kerana setiap orang mempunyai rasa yang berbeza.

Selepas itu, anda akan mendapati kelajuan anda akan meningkat selepas 2 - 3 bulan berlatih dengan menggunakan key anda kerana pada masa ini, anda sudah pun sebati dengan key anda. Disamping itu juga, gaya dan cara penghantaran anda juga mempunyai karektor tersendiri.

Kedua, anda perlu rilek dan jangan berfikir apa - apa pun. Pada masa itu, belajarlah untuk menghantar kod morse dengan betul. Semua ini memerlukan masa dan anda harus meluangkan masa yang diperlukan untuk menjadi mahir...

Prosedur CQ dalam Mode CW

Kini anda telah bersedia untuk panggilan CQ. Berikut adalah prosedurnya:

  1. CQ CQ CQ de ( callsign anda) ( callsign anda) ( callsign anda) PSE K. Kemudian dengar...jika tiada yang menjawab panggilan anda, sila ulang lagi.
  2. Katakan ada stesen yang menjawab, selalunya dia akan menjawab sebegini, 9M2ZAK 9M2ZAK DE W6ZZ W6ZZ K. Sekarang anda boleh memulakan QSO dengannya. Contoh QSO adalah seperti berikut: 
 W6ZZ W6ZZ DE 9M2ZAK = = = GA TNX OM FER UR CALL ( greeting) = = = UR RST RST 599   5NN ( memberi signal report) = = = MY NAME IS ZAKI ZAKI ( hantar nama 2 kali) = = = QTH JOHOR JOHOR ( hantar qth dua kali) = = = HW CPY ME ? BK TU W6ZZ de 9M2ZAK KN

     3. Maka selepas itu, station tersebut akan membalaskan kembali kepada anda butiran yang sama seperti yang anda hantar tadi. Anda juga boleh berpindah ke topik yang lain seperti menanya umur, berapa TX PWR, Working Condition dan sebagainya. Ianya adalah sama seperti kita bercakap dengan seseorang di phone mode.

untuk mengakhiri QSO, selalunya begini:

W6ZZ DE 9M2ZAK = = = TU FER FB CW QSO = = = VY HPE TO CUAGN ES GL GDX = = = W6ZZ DE 9M2ZAK 73 TUSK E E

Di bawah adalah sedikit contoh singkatan yang selalu digunakan dalam CW:

CQ : adalah panggilan umum untuk setiap stesen menjawab panggilan anda. Anda adalah stesen yang mencari setiap stesen untuk QSO dengan anda.

DE : bermaksud DARI dan diambil dari perkataan Perancis.

K : bermaksud OVER.

TNX : bermaksud terima kasih, kadangkala ada juga yang hantar TKS dan TU. maksudnya masih sama.

FER : bermaksud UNTUK

OM : bermaksud OLD MAN

ES : bermaksud DAN

GA : Good Afternoon. GE Good Evening, GM Good Morning.

UR : bermaksud ANDA

RST : adalah R - Keterbacaan, S - Kekuatan, T - Nada

HW : bagaimana

CPY : Copy

BK : Back

KN : juga digunakan sebagai over

Jadi disini saya berharap agar post ini dapat membantu anda untuk membiasakan diri anda dengan prosedur membuat panggilan di MODE CW. Jangan malu jangan segan serta takut untuk mendapatkan contact di udara dan membuat kenalan pertama di CW mode. Jika kita tidak mencuba, anda tidak akan tahu. Belum cuba belum tahu. Jangan risau atau gundah, operator CW yang lain diluar sana akan sentiasa membantu anda. Yang penting sekali ialah berani mencuba dan yakin kepada diri sendiri. Selamat mencuba.... jumpa kita di mode CW.

73 DE 9M2ZAK 

1 comment:

Azman Rosly said...

Trmksh sharing..saya cuba mempelajari morse code..susah nak nak ingat..walauapa pun saya cuba.
73
9W2ARZ

Active DMR freq area Johor

Bandwidth : 12500hz / NFM Active Frequency (mhz) 422.112.500  422.125.000 422.137.500 422.150.000 422.162.500 422.175.000 422.23...